MEDIA sosial memainkan peranan yang besar terhadap kehidupan manusia kini. Manusia telah menggunakan media sosial bagi menyampaikan apa-apa sahaja maklumat, perkongsian, hebahan malahan menyampaikan perasaan melalui media sosial.

Ada seorang sahabat secara berseloroh menyatakan bahawa media sosial telah mengambil alih banyak peranan manusia, malah tidak keterlaluan jika dikatakan dia dapat hidup seharian tanpa isterinya di sisi jika ada telefon pintar yang memuatkan di dalamnya media sosial tetapi akan berasa tidak keruan jika tidak berdamping dengan media sosial walaupun ada isteri di sisi.

Esok, umat Islam di Malaysia akan menyambut 1 Syawal 1436H. Tidak keterlaluan jika dikatakan kemunculan media-media sosial telah menyebabkan hilangnya seri Aidilfitri kerana tiada lagi utusan kad ucapan hari raya antara satu dengan yang lain.

Suasana ini amat berbeza jika dibandingkan dengan suasana hari raya sepuluh atau dua puluh tahun yang lalu. Utusan kad hari raya merupakan sesuatu yang menjadi lumrah apabila tibanya hari lebaran, malah ada yang sanggup mencetak kad hari raya peribadi untuk dihantar kepada kaum keluarga, sahabat handai, rakan sekerja atau kepada orang bawahan jika mereka terdiri daripada pemimpin-pemimpin politik atau peneraju utama di sesuatu tempat kerja.

Hilangnya fungsi kad raya seolah-olah turut memberi gambaran bahawa pantun-pantun Melayu yang menjadi penghias dalam kad-kad raya turut dilupakan.

Bait-bait pantun yang dicipta mempunyai ciri-cirinya tersendiri dengan dilengkapi keindahan yang seolah-olah menggambarkan ciri-ciri bangsa Melayu.

Jika tiada bait-bait pantun dalam utusan kad raya, di manakah lagi generasi muda dapat menghayati keindahan pantun?

Pantun mendidik orang Melayu agar berlapis untuk menyampaikan sesuatu maksud serta tidak terburu-buru dalam sesuatu perkara yang diterjemahkan melalui penggunaan pembayang dalam pantun.

Seingat penulis semasa belajar di univerisiti antara tahun 1990 hingga 1994, apabila tiba hari raya, penulis dan rakan-rakan begitu ghairah  apabila menerima kad ucapan hari raya.

Bagi menggambarkan keghairahan ini, satu carta telah dibuat dan ditampalkan di dinding untuk merekodkan penerimaan kad raya bagi setiap penghuni di aras yang kami huni. Malah ada rakan yang sanggup membeli sendiri kad ucapan hari raya, menulis sendiri ucapan, mengepos sendiri kepada dirinya sendiri kerana malu dengan rakan-rakan yang lain lantaran dirinya tidak menerima sebarang kad raya. 

Bagi penghuni di desa-desa, kedai kopi yang paling menjadi tumpuan ramai akan menjadi tempat posmen menghantar surat bagi semua penduduk di kampung berkenaan.

Anak-anak muda terutamanya begitu ghairah dan ternanti-nanti untuk menerima kad ucapan hari raya lebih-lebih lagi bagi yang mempunyai teman istimewa di tempat lain.

Kini, keghairahan itu sudah tiada lagi kerana apa-apa ucapan boleh dilakukan dengan mudah melalui media sosial pada bila-bila masa. Ucapan hari lahir, tahun baharu Masihi, tahun baharu Hijrah, hari perayaan dan hari-hari istimewa yang lain dapat disampaikan dengan mudah melalui media sosial.

Kad ucapan hari raya turut dijadikan penghias rumah apabila tiba hari lebaran dengan menggantungnya pada dinding.

Kad-kad yang diterima oleh ahli keluarga akan dikumpulkan untuk digantung, ditampal, diikat pada dinding bagi menggambarkan kemeriahan suasana hari raya.

Suasana itu jarang-jarang lagi kelihatan kini kerana penggunaan kad ucapan hari raya semakin dilupakan.

Kemerosotan  penggunaan kad ucapan hari raya telah menyebabkan pihak-pihak yang menjadikan bidang penerbitannya sebagai aktiviti komersial menjadi suram. Hal ini demikian menjadikan aktiviti perniagaan mereka tidak serancak dahulu.

Kita tidak dapat mengelakkan diri daripada menggunakan media sosial dalam kehidupan. Banyak maklumat sama ada yang sahih ataupun tidak disebarkan melalui media sosial.

Cabaran inilah yang menjadi suatu cabaran baharu buat umat manusia di seluruh dunia. Kita perlu sedar bahawa kemudahan yang sama-sama  kita dapat kecapi ini  dalam masa yang sama telah meminggirkan kelaziman dalam corak kehidupan kita.
 
* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur