TAKKAN Melayu Hilang Di Dunia” dikatakan pernah diungkapkan oleh Laksamana Hang Tuah yang bermaksud bangsa Melayu akan kekal selama-lamanya di dunia ini. Kata-kata beliau itu seharusnya menjadi pembakar semangat kepada orang Melayu untuk terus menempa kejayaan di peringkat antarabangsa dalam pelbagai bidang. Kita tidak perlu risau kerana insya-Allah bangsa Melayu tidak akan hilang di dunia ini, namun yang menggusarkan kita ialah bangsa Melayu sahaja yang kekal tetapi peradaban Melayu terus terkubur.

Peribahasa “Bahasa Menunjukkan Bangsa” bermaksud cara kita berbahasa menggambarkan keperibadian sesuatu bangsa itu. Seharusnya konteks bahasa itu kita perluas bukan hanya dari skop cara berkomunikasi tetapi juga merangkumi adab dan kebudayaan kerana adab dan kebudayaan yang ditonjolkan oleh sesuatu bangsa sudah pasti mencerminkan keperibadian sesuatu bangsa. Ringkasnya, jika sesuatu bangsa itu beradab, maka bangsa itu juga akan dikenali sebagai bangsa yang bertamadun.

Ketika perlawanan bola sepak Piala AFF Suzuki 2014 antara Malaysia dengan Singapura pada 29 November lalu, rakyat Malaysia bergembira apabila Harimau Malaya berjaya mengalahkan pasukan Singa. Jaringan gol ketiga yang dilakukan oleh Indra Putra Mahayuddin paling menarik perhatian kerana penjaga gol lawan tidak berada di posisinya ketika itu, lantas terciptalah lagu “Keeper kat mana?” yang seolah-olah mempersendakan pihak lawan. Orang Melayu tidak diajar bersikap begitu apabila mencapai kemenangan kalau kita tidak mahu orang mempersendakan kita nanti, lagipun cara itu bukan budaya kita.

Hasil kemenangan itu, kita layak ke perlawanan separuh akhir menentang pasukan Vietnam. Perlawanan separuh akhir pusingan pertama yang diadakan di Stadium Shah Alam pada 7 Disember 2014 menyaksikan Harimau Malaya telah tumbang. Bukan kekalahan itu yang mengecewakan kita namun tindakan segelintir penyokong kita yang telah menyerang penyokong lawan amat memalukan.

Sikap tidak dapat menerima kekalahan dan sakit hati melihat orang lain bergembira menyebabkan kejadian yang mendapat liputan meluas media itu telah berlaku. Walaupun kemungkinan ada provokasi daripada penyokong lawan, kita seharusnya bersabar kerana sabar itu suatu tuntutan dalam Islam. Walau bagaimanapun kita masih mampu menarik nafas lega kerana majoriti rakyat Malaysia mengutuk tindakan ganas itu.

Dalam ajaran Islam yang dianuti oleh orang Melayu amat menekankan adab menghormati tetamu. Daripada Abu Hurairah r.a., katanya, “Rasulullah bersabda: Sesiapa yang beriman dengan ALLAH dan hari kiamat, maka janganlah dia menyakiti tetangganya. Dan sesiapa yang beriman dengan ALLAH dan hari kiamat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. Dan sesiapa yang beriman dengan ALLAH dan hari kiamat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam”. Orang Melayu yang beradab akan melayan tetamunya dengan baik walaupun penyokong Vietnam itu kebanyakannya tinggal dan bekerja di sini.

Semua orang menjangkakan penyokong kita akan dilayan seperti itu di Stadium My Dinh, Hanoi dalam perlawanan separuh akhir pusingan kedua pada 11 Disember 2014 walaupun jaminan sudah diberi bahawa penyokong kita akan selamat. Kita seharusnya rasa terharu apabila melihat suasana yang cukup berbeza di Hanoi kerana para pemain dan penyokong kita dilayan dengan sangat istimewa.

Pemain-pemain kita dikhabarkan menerima jambangan bunga daripada penyokong mereka manakala penyokong kita pula dapat duduk bersama-sama mereka tanpa adanya penghadang untuk menyaksikan perlawanan sengit itu. Apabila pasukan mereka kalah, penyokong mereka tidak menyerang penyokong kita.

Seorang rakan saya yang juga peminat bola sepak berpendapat bahawa agaknya orang Vietnam sudah tidak mahu bergaduh lagi kerana mereka sudah lama terlibat dalam perang saudara, malah mereka antara negara yang pernah menewaskan tentera Amerika Syarikat dalam peperangan.

Kemajuan dan peradaban seharusnya bergerak seiringan. Kita tidak seharusnya mengejar kemajuan tanpa mempertahankan peradaban bangsa kita. Kemajuan yang dicapai oleh sesuatu bangsa akan lenyap jika bangsa itu tidak beradab.