PADA Ahad yang lalu saya berpeluang untuk berkunjung ke Kuala Balah di daerah Jeli, Kelantan bagi mengiringi pelajar menyertai Pertandingan Forum Remaja Peringkat Negeri Kelantan yang diadakan di SMK Kuala Balah.

Terima kasih diucapkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan kerana mengadakan pertandingan tersebut di suatu kawasan yang tidak pernah saya kunjungi walaupun sudah berusia 44 tahun.

Ternyata pemilihan tempat pertandingan itu merupakan suatu langkah tepat kerana banyak pihak yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke daerah pedalaman itu, sekali gus mempromosikan tempat pelancongan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014. Lokasi itu hanya beberapa minit dari Gunung Stong yang terkenal dengan keindahannya.

Pertandingan forum remaja dianjurkan oleh semua jabatan pendidikan negeri dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini mempunyai signifikannya tersendiri dalam membangunkan potensi pelajar yang bakal mewarisi kepimpinan negara.

Mereka jugalah nanti akan membangunkan negara dalam pelbagai bidang sama ada politik, ekonomi mahupun sosial.

Saya amat tertarik dengan persembahan beberapa buah sekolah yang mewakili Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing. Dalam semua persembahan, pujian haruslah diberikan kepada sebuah sekolah yang pesertanya terdiri daripada empat pelajar puteri dengan tajuk forumnya “Wajah-wajah Wanita”.

Sebutan baku yang digunakan amat lunak didengar ditambah pula dengan senyuman sentiasa terukir di bibir setiap peserta mengiringi perbincangan mereka. Setiap pandangan yang diutarakan disertakan dengan fakta jelas dan nyata telah meyakinkan para pendengar.

Banyak penonton yang sudah dapat mengagak bahawa pasukan tersebut akan muncul juara kerana keistimewaan-keistimewaan yang telah dinyatakan ditambah pula dengan gaya penyampaian santai diselang-selikan dengan unsur kecindan yang tidak keterlaluan.

Dalam menyampaikan maklumat, intonasi, lontaran suara dan nada merupakan perkara yang dititikberatkan supaya proses berkenaan berkesan di samping mimik muka, pergerakan dan perhubungan mata.

Kita berharap agar DBP dengan kerjasama semua jabatan pendidikan negeri terus berusaha menganjurkan pelbagai pertandingan berbentuk kemahiran berkomunikasi bagi melahirkan lebih banyak insan yang mempunyai keterampilan dalam komunikasi.

Kita pasti mengagumi kepetahan bekas Presiden Indonesia, Soekarno berpidato di khalayak ramai apabila membaca kisahnya. Kepetahan beliau berpidato telah menyebabkan pengaruhnya dalam kalangan rakyat Indonesia meningkat.

Seseorang pemimpin yang hebat mampu mempengaruhi orang bawahannya melalui pandangan idea yang disampaikan. Kadang-kadang idea yang tidak seberapa pun akan kelihatan luar biasa apabila disampaikan dalam bentuk pengucapan yang hebat.

Terdapat juga beberapa tokoh di negara kita yang hebat berucap dilahirkan melalui pertandingan pada peringkat sekolah. Maknanya, mereka telah mula mengasah bakat sejak zaman persekolahan lagi seperti YB Datuk Razali Ibrahim, YB Tan Seri Anuar Musa dan YB Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Kemahiran berkomunikasi khususnya kemahiran berpidato merupakan antara resipi kejayaan mereka dalam bidang yang diceburi.

Proses meyakinkan orang lain sangat penting dalam komunikasi, justeru setiap orang perlu memiliki kemahiran ini agar proses penyampaian maklumat lebih efektif.

Semua orang tidak kira ahli politik, doktor, guru, ketua pekerja, ibu bapa malah suami dan isteri juga perlu mempunyai kemahiran komunikasi. Setiap manusia perlu berkomunikasi dengan orang lain kerana kehidupan kita tidak akan sempurna tanpa komunikasi.

Proses melahirkan individu yang mempunyai keterampilan berbahasa hendaklah dimulakan sejak di bangku sekolah lagi.

Bukan kita menidakkan kepentingan kecemerlangan akademik, namun jika hanya bersandarkan kecemerlangan akademik tetapi tidak mempunyai keyakinan diri lantaran kurang kemahiran komunikasi maka ilmu yang tinggi itu tidak akan ke mana-mana. Bagaimanakah hendak berkongsi ilmu dengan orang lain jika bercakap pun menggeletar?

* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur