KETIKA pulang ke kampung pada hujung minggu lepas, saya berkesempatan untuk minum petang di sebuah kedai kopi yang telah dibuka sejak saya masih kecil.

“Cikgu, acu cuba try kopi ni, power ni,” kata pemilik kedai kopi itu kepada saya sebagai mempromosi kopi segera yang dijual di kedainya dan dikatakan dapat
meningkatkan stamina lelaki. Saya tersenyum sambil berfikir apabila mengenangkan penggunaan perkataan acu, cuba dan try yang digunakan serentak itu sebenarnya membawa maksud yang sama. Fenomena ini dikatakan sebagai sebahagian  aspek kelewahan dalam bahasa.

Unsur lewah bermaksud berlebih-lebih sehingga menambah perkara, hal dan sebagainya yang tidak perlu. Contoh di atas menunjukkan unsur lewah yang menggabungkan perkataan dalam beberapa bahasa yang membawa maksud sama.

Selain contoh di atas, terdapat beberapa penggunaan bahasa rojak (menggabungkan perkataan daripada beberapa bahasa) yang lewah dalam kalangan masyarakat kita. Antara contoh lain ialah kasut boot, baju T-shirt, dan pintu gate.

Masyarakat Melayu lebih gemar menggunakan unsur lewah kerana ingin menyampaikan maksud secara lebih berkesan.

Perkataan yang digunakan dirasakan masih belum mencukupi untuk menyampaikan sesuatu maksud sehinggalah mereka terpaksa menambah perkataan lain untuk menguatkan maksud yang hendak disampaikan waima perkataan yang digunakan itu mempunyai maksud yang sama.

Penggunaan kata sendi nama juga sering terdedah kepada unsur lewah. Banyak kata sendi nama dalam bahasa Melayu yang mempunyai maksud yang sama seperti demi dan untuk, sejak dan dari serta hingga dan ke.

Sekiranya kedua-dua kata sendi nama ini digunakan secara serentak maka kelewahan telah berlaku. Jadi, pengguna bahasa Melayu perlu mengelakkan unsur lewah dalam penggunaan bahasa harian mereka dengan hanya menggunakan satu daripada kata sendi nama tersebut sama ada demi atau untuk, sejak atau dari dan hingga atau ke.

Kadang-kadang kita terpengaruh dengan bahasa Inggeris apabila guna bahasa Melayu. Contohnya, penggunaan bahasa Inggeris yang tepat ialah three books.

Jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu akan menjadi tiga buah buku-buku.

Jika kita menggunakan tiga buah buku-buku, maka kelewahan bahasa telah berlaku. Bahasa Melayu amat berbeza dengan bahasa Inggeris dalam konteks ini.

Sesuatu unsur yang menunjukkan bilangan yang banyak (penanda jamak) tidak  boleh diikuti dengan kata ganda yang juga menunjukkan bilangan yang banyak.

Contoh penggunaan bahasa yang salah ialah semua pemain-pemain, antara cara-cara, banyak kedai-kedai, senarai nama-nama, lima ekor kucing-kucing dan sebagainya.

Kita tidak perlu menggandakan unsur kedua dalam frasa berkenaan kerana unsur pertama sudah menunjukkan bilangan yang banyak. Penggunaan  tepat ialah semua pemain, antara cara, banyak kedai dan lain-lain lagi.

Orang Melayu amat mementingkan keberkesanan dalam komunikasi. Oleh itu, mereka sering menambah perkataan kedua untuk menyokong perkataan pertama agar maksud yang hendak disampaikan dapat difahami oleh penerima.

Contohnya menjemput dan mempersilakan, kemudahan prasarana, contoh teladan dan lain-lain lagi. Kesemua contoh itu menunjukkan penggunaan unsur lewah yang sering digunakan oleh masyarakat. Sebenarnya kita perlu memilih satu perkataan sahaja kerana sudah cukup untuk menyampaikan maksud.

Banyak lagi contoh  unsur lewah yang digunakan secara berleluasa dalam masyarakat kita, seperti pada masa kini (sepatutnya kini atau pada masa ini), ahli saintis (sepatutnya ahli sains atau saintis) dan saling tolak-menolak (sepatutnya saling menolak atau tolak-menolak).

Kita seharusnya mengelakkan daripada menggunakan unsur lewah ini dalam penulisan atau pertuturan. Memang benar bahawa kelewahan ini dianggap sebagai suatu ragam bahasa tetapi penggunaan unsur lewah yang melanggar hukum bahasa haruslah dielakkan kerana dapat mencemarkan kesucian bahasa Melayu.

Dirgahayu bahasaku. Bahasa jiwa bangsa.