MINGGU lalu saya diundang menyampaikan ucaptama dalam bahasa Inggeris di dua persidangan antarabangsa anjuran dua universiti di Kuala Lumpur.

Ceramah pertama pada 18 Ogos di PWTC anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) bertemakan kelestarian atau sustainability pengurusan dan bisnes antarabangsa.

Ceramah kedua di persidangan anjuran Kuliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di kampus Gombak pada 19 Ogos, fokus kepada cabaran pengurusan dalam dunia kontemporari dan mengenal pasti jalan ke depan.

Dalam kedua-dua ucaptama, fokus saya ialah terhadap peranan bisnes dan impak korporat ke atas kehidupan manusia sejagat, terutama umat Islam kontemporari.

Bisnes mendominasi dunia hari ini setelah organisasi korporat merajai kehidupan. Oleh kerana bisnes global diterajui kuasa korporat bukan Muslim, sama ada milik Barat mahu pun Timur, impaknya sangat besar terhadap kehidupan umat Islam, selain membawa implikasi pembangunan tamadun masa depan manusia.

Korporat boleh menzalimi

Sistem ekonomi global business-driven membawa dua impak besar terhadap negara Islam yang wajib ditangani.

Pertama, sekali pun terdapat ramai jutawan dan bilionair bisnes Muslim dan ada negara Islam kaya-raya hasil ciptaan sistem kapitalis global, umat Islam rata-rata paling miskin dan lemah di dunia, majoriti hidup dibelenggu penderitaan dan penindasan.

Tegasnya, bisnes gagal membebaskan umat daripada kemiskinan, melangsungkan pergantungan hidup mereka kepada umat lain. Antara puncanya: Korporat di dunia Islam terlalu berkiblat ekonomi ke Barat.

Kedua, diperhatikan di semua negara Islam jurang kaya-miskin semakin melebar luas apabila harta kekayaan cuma berputar dalam kalangan segolongan kecil warga elit. Keadaan bertambah buruk di banyak negara Islam apabila pemerintahan diterajui raja atau pemimpin politik korupsi, nafsu-nafsi dan melampau utamakan kepentingan peribadi.

Tidak hairan jika beberapa negara Arab dan Islam dilanda konflik dan rakyat bangkit menentang pemimpin bersekongkol dengan kroni bisnes dan korporat rakus menswasta dan memperibadikan harta kekayaan milik negara.

Punca konflik umat Islam sesama sendiri sebenarnya sangat kompleks dan bukan sahaja menyentuh isu ekonomi.

Apa pun, selagi akar-umbi kezaliman sistem ekonomi tidak ditangani, konflik pasti bertambah teruk dan pergolakan akan berpanjangan. Salah satu sumber utama konflik terbit daripada dominasi korporat swasta dalam sistem ekonomi.

Westoxication berbahaya

Sekali pun merosakkan kehidupan, manusia masih belum menemui formula berkesan mereformasi kapitalisme membasmi ciri kerakusan ekstremnya. Hakikatnya hari ini semua negara Islam menciplak dan berebut-rebut menunggangi kuda korporat kapitalis sama. Dalam ceramah saya labelkan fenomena ini jangkitan wabak “Westoxication”.

Terdapat tiga ciri utama wabak penyakit Westoxication ini. Pertama ia berasal dari Barat, dilahirkan dalam konteks budaya dan nilai hidup banyak bertentangan pegangan Islam.

Kedua, kapitalisme menjanjikan kekayaan melimpah ruah untuk penganut setianya. Menghimpun harta kekayaan naluri manusia, justeru sangat kuat daya tarikannya.

Akibatnya ramai umat Islam terpengaruh mabuk harta. Ada yang terbabas, langsung hilang akal intoxicated mengikut nafsu hingga sanggup bergelumang menghalalkan segala cara, tidak kira halal-haram memburu harta.

Bahayanya, pada akhirnya sistem ini juga toksik. Kapitalisme materialistik nafsu-nafsi berpotensi merosakkan iman, menghakis akidah dan meracuni kehidupan masyarakat.

Lagi pun sistem ini tidak adil, mengizinkan konsentrasi harta kekayaan dalam tangan segelintir swasta meminggir dan mengeksploitasi masyarakat, iaitu satu corak penzaliman ditentang keras oleh Islam.  

Kesan negatif kapitalisme juga salah satu sebab kenapa ramai umat Islam menjauhi bisnes, menambah-burukkan kelemahan ekonomi umat. 

Apabila persepsi anti bisnes berleluasa, umat Islam pasti kekal bergantung hidup kepada orang lain, langsung hilang upaya mengembalikan darjat khalifah ekonomi memperkasa umat.  

Justeru, umat Islam tiada pilihan selain bangkit mereformasi sistem kapitalis, membina ekonomi dengan adil dan menegakkan amanah menyempurnakan kewajipan khalifah memakmurkan kehidupan.

Namun semua ini tidak boleh dicapai dengan memuji kemiskinan, menolak harta kekayaan. Ahli bisnes dan korporat Muslim wajib gigih dan gagah berusaha hingga umat Islam berjaya menjadi khalifah ekonomi; bukan sahaja bertujuan hidup mewah, malah lebih penting, memperkasa umat memperbaiki semula kehidupan manusia berlandaskan ciri terbaik tamadun Islam seperti pernah dicapai dalam sejarah kegemilangan Islam sebelum ini.

Reformasi korporat

Untuk itu, dalam kedua-dua ucaptama persidangan saya anjurkan warga bisnes dan korporat Muslim bertindak mereformasikan bisnes dan korporat. Cabarannya: Bagaimana menggembleng keupayaan tinggi kapitalisme menambah nilai ekonomi menjana harta kekayaan memperkasa umat dan negara Islam tanpa mengetepikan atau mengkompromikan nilai asasi Islam.

Saya mencadangkan tiga strategi besar menjayakannya. Ketiga-tiga strategi ini bukan teori atau retorik, kerana terbukti dijayakan selama hampir tiga dekad di Johor Corporation. Pembaharuan strategi ini menuntut CEO korporat dan ahli bisnes Muslim mendefinisi semula beberapa konsep asas amalan korporat global. Tindakan mendefinisikan semula sangat penting, bertujuan membebaskan umat daripada penjajahan minda dan pemikiran setelah kita terima tanpa soal konsep dan pengertian bisnes serta amalan budaya korporat mengikut cara dan nilai hidup Barat.

Tiga strategi terbabit ialah: Pertama, mentakrifkan semula konsep entrepreneur; kedua mereka-cipta semula konsep organisasi korporat atau corporate architecture; dan ketiga, memperbaharui konsep pemilikan korporat atau corporate ownership.

Konsep entrepreneur mengikut definisi kapitalisme Barat merujuk kepada usahawan gigih dan gagah, yang juga pemilik saham utama bisnes. Pemilikan saham peribadi dan potensi menjadi jutawan kaya raya sumber motivasi utama usahawan entrepreneur. Namun konsep pemilikan saham peribadi menyebabkan ramai usahawan menjadi rakus, materialistik dan nafsu-nafsi.

Definisi sempit ini juga tidak membuka ruang usahawan berbisnes dengan niat berkorban jiwa raga memperjuangkan sesuatu lebih besar makna, seumpama berjihad menerusi bisnes. Justeru, Johor Corporation (JCorp) memperkenalkan konsep intrapreneur yang tidak semestinya dikaitkan dengan pemilikan saham peribadi.

Dalam ucaptama saya buktikan kewibawaan konsep intrapreneur memotivasikan CEO bisnes JCorp berdaya saing tinggi; sekali pun tidak memiliki saham, berjaya mencapai kecemerlangan korporat luar biasa sehebat entrepreneur konvensional.

Konsep organisasi korporat atau corporate architecture amalan kapitalisme nafsu-nafsi juga perlu diperbaharui. Struktur organisasi bisnes, sistem pencapaian keputusan dan budaya korporat dalaman seperti diamalkan hari ini lebih menggalak tindakan individualistik dan asset-centric, justeru kerap merendahkan martabat insan dan mengetepikan nilai budaya berjemaah.

Ketiga dan paling penting, semua harta kekayaan diserah oleh kapitalisme ala Barat menjadi milik mutlak peribadi. Kesannya, harta kekayaan dibolot segelintir jutawan dan bilionair kaya-raya meminggir golongan masyarakat bukan korporat, sekali gus merampas hak generasi mendatang.

Amalan kapitalis ekstrem ini bertentangan konsep harta milik mutlak ALLAH SWT anjuran Islam, dan manusia memegang amanah khalifah mengurus harta sebaik mungkin bertujuan membawa sebanyak kebaikan memanfaatkan kehidupan. Justeru, kaedah terbaik membasmi kezaliman kapitalisme nafsu-nafsi dari perspektif Islam ialah menolak idea menjadikan individu swasta fokus utama sistem ekonomi, sebaliknya memperkenalkan institusi amanah Waqaf Korporat.

Sesungguhnya umat Islam tiada pilihan selain segera bertindak menghijrahkan sistem ekonomi kapitalis ekstrem daripada berpaksi kepada mengutamakan kepentingan individu swasta mengatasi semua golongan lain dalam masyarakat, iaitu “shareholder-centric”, kepada sistem mengutamakan kepentingan besar masyarakat dan ummah berciri “community-centric”.