Dalam ucapan Bajet 2013 pada 28 September lalu, selain menghuraikan isu besar Bajet, Perdana Menteri Datuk Seri Najib selaku Menteri Kewangan juga mengumumkan keputusan kerajaan merangka satu pelan induk bertujuan membangun Waqaf Korporat Malaysia.

Dengan pengumuman ini jelas sekali konsep Waqaf Korporat diterima di peringkat tertinggi kerajaan.

Ia memberi pengiktirafan rasmi kepada Waqaf Korporat khasnya dan institusi wakaf amnya dalam pembangunan masa depan sosioekonomi negara.

Selaku Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) dan bagi pihak semua rakan seperjuangan DPIM di seluruh negara, saya bersyukur ke hadrat Ilahi dan berterima kasih kepada

Perdana Menteri atas pengiktirafan ini. Konsep institusi Waqaf Korporat telah menjadi teras perjuangan DPIM sejak hampir satu dekad sebelum ini. Penubuhannya juga salah satu daripada enam usul DPIM kepada kerajaan yang diutarakan pada 2009 sebagai agenda transformasi Model Baru Ekonomi.

Dalam ucapan Bajet Perdana Menteri turut menyatakan Majlis Agama Islam Negeri merupakan pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf dan dana wakaf dalam sesebuah negeri.  “Yayasan Wakaf Malaysia di bawah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) akan diberi tanggungjawab untuk merangka pelan induk Wakaf Korporat mengambil kira struktur perundangan Agama Islam Negeri." DPIM akan segera mengemukakan pandangan, input dan cadangan kepada JAWHAR dan bersedia bekerjasama sepenuhnya untuk menjayakan penubuhan Waqaf Korporat di seluruh negara seperti diresolusikan dalam kongres ekonomi Islam sebelum ini.

Naungan Raja Melayu

Dalam pengalaman saya ketika menyusun langkah menubuhkan Waqaf An Nur Corporation Bhd (WANCorp), iaitu Waqaf Korporat pertama di Malaysia pada awal tahun-tahun 2000-an, semangat juang tinggi untuk menegakkan syiar Islam dan keikhlasan semua terbabit memperjuangkannya menjadi penyumbang utama kejayaan. Akhirnya WANCorp berjaya direalisasikan setelah mendapat persetujuan dan komitmen total khasnya daripada Datuk Nooh Gadot, Mufti Johor ketika itu, dan juga setelah direstui semua anggota Majlis Agama Islam Negeri Johor kemudiannya. 

Selain itu, jelas sekali, WANCorp juga pasti tidak dapat dijayakan tanpa adanya barisan ‘mujahid’ bisnes rakan seperjuangan sewaktu saya CEO JCorp selama 28 tahun. Antara lain, ‘mujahid’ gagah seperti Datin Paduka Siti Sa’diah, Ahamad Mohamad dan Jamaludin Mohd Ali, buat beberapa dekad sebelum wakaf telah terlebih dahulu ‘berjihad’ cemerlang membina bisnes dan keupayaan tinggi korporat JCorp. Nilai saham pasaran modal (market capitalization) PLC milik JCorp mencecah lebih RM20 bilion. Limpahannya, JCorp berupaya mewakafkan saham PLC bernilai RM200 juta pada Ogos 2006 (ditambah RM 50 juta lagi pada 2009). Nilai aset wakaf WANCorp (pada harga pasaran) di akhir 2011 meningkat melebihi RM538 juta.

Pengalaman menubuhkan WANCorp membabitkan beberapa perkara asas perlu dipertimbangkan dalam merangka pelan induk Waqaf Korporat masa depan.

Pertama, penubuhan Waqaf Korporat pasti tidak dapat dijayakan tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Raja-Raja Melayu yang memerintah dan bertakhta di negeri atau wilayah masing-masing.

Dalam Perlembagaan Negara, bidang kuasa yang ada pada mufti-mufti dan Majlis Agama Islam negeri adalah tertakluk kepada kuasa Raja-Raja Melayu. Dalam kes WANCorp, penubuhannya tidak mungkin dijayakan tanpa titah perkenan dan limpah naungan Almarhum Sultan Iskandar Johor yang memerintah dan bertakhta di Johor ketika WANCorp dirancang dan dilancarkan.

Justeru, peranan Almarhum Baginda Sultan Iskandar akan tercatat selama-lamanya dalam sejarah sebagai pemangkin utama penubuhan WANCorp, iaitu institusi Waqaf Korporat perintis di Malaysia dan juga di dunia. Selaku ketua agama Islam, titah perkenan dan limpah naungan Almarhum Sultan Iskandar mendorong dan memberanikan saya selaku Ketua Eksekutif JCorp mengambil inisiatif menubuh dan memperjuangkan WANCorp.

Alhamdulillah, saya bersyukur dan mencatat junjungan kasih sepanjang hayat kepada Almarhum Sultan Iskandar Johor atas limpah naungan yang memangkinkan WANCorp menjadi satu realiti!

Tegasnya, Waqaf Korporat sebagai satu institusi kurniaan agama Islam cuma boleh dijayakan atas perkenan dan naungan Raja-Raja Melayu. Dalam keadaan bangsa Melayu dan umat Islam tertekan dan terdesak dari setiap penjuru, serta diancam perpecahan politik parah, kini tiba masanya kita gembleng segala kekuatan institusi kurniaan agama Islam seperti wakaf untuk dimanfaatkan sepenuhnya.

Tiba masanya juga kita pertahan daulat dan martabatkan kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu warisan bangsa yang sedia termaktub dalam Perlembagaan.

Sesungguhnya bangsa Melayu tiada pilihan selain berpadu setia memperkasa institusi Raja-Raja, selagi semua pihak dapat memanfaatkan sepenuhnya segala keistimewaan institusi ini untuk memakmur dan menyejahterakan, memperkasa dan memperkaya bangsa dan umat.

Definisi Waqaf Korporat

Pengalaman WANCorp juga membuktikan dengan jelas potensi Waqaf Korporat sebagai satu pembaharuan institusi yang boleh membawa anjakan paradigma besar kepada pembangunan ekonomi negara. Waqaf Korporat membolehkan nilai keadilan, rahmat dan ihsan bawaan Islam direalisasi untuk manfaat semua warganegara tanpa eksklusif pada mana-mana pihak. Paling utama, Waqaf Korporat berupaya membela golongan masyarakat miskin, tercicir dan terketepi akibat kederasan arus sistem ekonomi kapitalis yang terlalu memihak kepada golongan kaya.

Oleh kerana Waqaf Korporat satu institusi baru inisiatif Malaysia tanpa pengalaman atau model seumpamanya dalam dunia Islam, maka proses mendefinisikan dan menyusun kriteria bagi melayakkan sesuatu organisasi diiktiraf sebagai Waqaf Korporat menjadi isu pokok. Ciri-ciri asas Waqaf Korporat perlu diperinci, dihalusi, dibincang dan disyurakan untuk diterima sebagai kriteria definitif. Ciri-ciri inilah yang akan membezakan sebuah Waqaf Korporat dengan badan wakaf lain.

Kesimpulannya, tidak semua badan wakaf berkaitan bisnes, termasuk badan wakaf saham, layak menjadi Waqaf Korporat tanpa adanya ciri-ciri definitif yang dimaksudkan. Sebagai contoh, pewakafan saham milik korporat untuk tujuan kebajikan semata-mata seperti dilakukan badan korporat berjaya (termasuk Vehbi Koc Foundation di Turkey yang ditubuh dengan niat wakaf saham serta yayasan lain seumpamanya di Malaysia) tidak menepati definisi dan maksud serta matlamat sebenar Waqaf Korporat.  Kerana wakaf saham mengikut kaedah ini mengakibatkan badan wakaf atau yayasan ditubuhkan bergantung selamanya kepada peruntukan wakaf atau imbuhan daripada sesebuah korporat induk swasta.

Wakaf saham seperti ini juga lebih berciri CSR, iaitu satu program kebajikan korporat untuk menjayakan niat kebajikan pewakaf. Konsep Waqaf Korporat yang diasaskan WANCorp berbeza, dan bukan CSR. Ia mempunyai struktur organisasi tersendiri, menjadikan WANCorp badan korporat autonomi berstatus wakaf yang diiktiraf sepenuhnya Majlis Agama Islam Johor.

Matlamat jangka panjang Waqaf Korporat ialah menjadi organisasi berautonomi penjana harta kekayaan bisnes dan korporat kekal berkembang bertambah nilai. Justeru, Waqaf Korporat wajib diurus secara profesional oleh barisan eksekutif yang ahli dalam bisnes dan korporat, dan bukan oleh Majlis Agama Islam Negeri. Apabila diurus secara profesional, Waqaf Korporat berprestasi tinggi boleh bertumbuh menjadi MNC Waqaf antarabangsa satu hari nanti, menerajui bisnes strategik untuk manfaat umat Islam khasnya dan kepentingan ekonomi negara Islam amnya.  

Berasaskan pengalaman WANCorp, terdapat 8 kriteria yang mesti ada pada sesebuah entiti sebelum ia layak diiktiraf sebagai Waqaf Korporat, seperti berikut:-
1.    Waqaf Korporat (WKorp) ditubuh oleh pewakaf berteraskan syarikat di bawah Akta Syarikat 1965.  (WANCorp, misalnya, adalah syarikat berhad dengan jaminan JCorp);
2.    Saham, sekuriti (tersenarai atau tidak tersenarai), atau tunai diwakafkan terus kepada WKorp dan saham-saham wakaf didaftar atas nama WKorp;
3.    WKorp diiktiraf dan dilantik sebagai nazir khas atau mutawwali oleh MAIN;
4.    WKorp menerajui bisnes entrepreneurial, menjana harta kekayaan dan menambah nilai;
5.    Hujjah Wakaf atau Trust Deed tentukan bahagian majoriti untung atau lebihan dilabur semula. (Dalam kes WANCorp 70% dilabur semula, 30% untuk kebajikan/fi sabilillah);
6.    WKorp berautonomi sepenuhnya dalam bisnes dan korporat di bawah pimpinan CEO profesional, dengan diawasi Lembaga Pengarah (sewajarnya turut disertai wakil MAIN);
7.    WKorp membuka luas keahlian kepada awam menerusi pewakafan yuran ahli;
8.    WKorp menerima tatacara dan amalan governance korporat terbaik. (WANCorp mengguna kaedah dan amalan PLC bertujuan menjamin ketelusan dan akauntabiliti).

Sesungguhnya, Waqaf Korporat memberi bangsa Melayu khasnya dan negara Islam amnya pilihan institusi yang berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi pacuan bisnes mengikut acuan Islam. Paling penting, institusi Waqaf Korporat berupaya menjamin pertumbuhan yang adil lagi seimbang, sekali gus menolak kerakusan, kezaliman dan kerosakan yang banyak dilihat berlaku terbit daripada menciplak sistem ekonomi kapitalis acuan Barat.  

* Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)