Minggu lalu media bisnes melaporkan, Pengerusi Malayan Banking Bhd (Maybank), Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor mengumumkan keputusan lembaga pengarah Maybank melantik Datuk Abdul Farid Alias selaku CEO baru Maybank.
 
Jawatan CEO Maybank dikosongkan hampir tiga bulan setelah penyandang sebelumnya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, dilantik menjadi Senator dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Maybank ialah bank terbesar Malaysia. Saham majoritinya dimiliki secara tidak langsung oleh berjuta rakyat Malaysia menerusi Amanah Saham PNB dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Maybank baru-baru ini diiktiraf majalah kewangan bulanan di Britain The Banker antara 100 bank terkemuka di dunia, satu pencapaian yang wajar rakyat Malaysia banggakan.

Justeru, Farid memikul tanggungjawab amat besar dan kita doakan kejayaan beliau meningkatkan kecemerlangan Maybank, sekali gus martabat ekonomi bangsa dan negara ke tahap lebih tinggi.

Serahkan amanah kepada ahli

Paling menarik perhatian saya ialah proses pelantikan yang diamalkan di Maybank dalam membuat keputusan besar ini; kerana pelantikan CEO, jika tidak tepat, boleh mengubah atau menjejas seluruh destini masa depan organisasi korporat seperti Maybank. Daripada maklumat yang diumumkan jelas sekali satu prosedur paling teliti dan “rigorous” telah dilakukan oleh pengerusi dan ahli lembaga pengarah Maybank mengambil kira amalan korporat terbaik.

Proses pelantikan kepimpinan tertinggi sesebuah organisasi korporat, terutama syarikat milik awam dan GLC, sewajarnya dilakukan secara profesional. Sesungguhnya, semua GLC amanah harus mencontohi Maybank.

Pada saya yang paling perlu dicontohi bukan sahaja pelantikan Farid sebagai CEO Maybank, malah lebih jauh sebelum itu dan lebih penting, iaitu pelantikan Megat Zaharuddin, tokoh berwibawa korporat profesional berpengalaman yang pernah menjadi CEO wilayah syarikat Shell antarabangsa selaku pengerusi Maybank.  

Pelantikan pengerusi GLC menuntut keprihatinan tinggi kerajaan kerana kuasa melantik pengerusi umumnya adalah kuasa mutlak kerajaan. Keprihatinan ini penting kerana CEO profesional, tanpa pengerusi yang juga profesional, pasti mengancam kesepaduan kepimpinan GLC, merosak iklim dan suasana pengurusan, mengganggu prestasi dan menjejas keberkesanan organisasi.

Tanpa profesionalisme di pucuk pimpinan, amanah dan pertanggungjawaban juga mudah sekali dikompromi.

Lagi pun, melantik pucuk pimpinan GLC amanah ke jawatan pengerusi dan CEO daripada kalangan profesional menepati ajaran Islam yang tegas menyatakan: Apabila menyerahkan amanah, hendaklah kepada yang ahli. Umat Islam juga kerap diperingatkan: Jika amanah tidak diserah kepada yang ahli, sesuatu organisasi, badan atau perjuangan hanya perlu menantikan tempoh kehancuran dan kemusnahan usaha!

Bukan kepala kereta api lama

Kegagalan dan kemerosotan prestasi organisasi korporat Melayu-Muslim, khasnya GLC amanah, selalunya berpunca daripada pengabaian amanah di peringkat kepimpinan tertinggi dengan melantik orang yang boleh dipersoalkan “keahlian” dan kewibawaan atau kredibiliti.

Malangnya hari ini kerajaan dilihat semakin ghairah melantik pengerusi GLC amanah, bukan daripada kalangan warga korporat profesional berwibawa, malahan daripada kalangan ahli politik.

Ramai yang juga bimbang melihat mantan pemegang jawatan tinggi politik “dikitar semula” menerajui GLC amanah, bertujuan sebagai “ganjaran” khidmat bakti politik mereka sebelum ini. Bukan pula kita mempersoalkan semua pelantikan mantan ahli politik.

Namun jika pelantikan membabitkan individu tercemar reputasi peribadi atau dikaitkan dengan peristiwa yang membuatkan masyarakat dan warga bisnes dan korporat khasnya meragui integriti, keupayaan atau tahap profesionalisme mereka, pasti ia satu keputusan yang tidak kena pada tempatnya.

Demikian juga jika pelantikan dibuat bukan berdasarkan kepentingan jangka panjang GLC terbabit, tetapi berlandaskan kepentingan politik sempit dan serong.

Ini boleh berlaku andainya dilantik pengerusi GLC dengan niat politik untuk menang pemilihan ke jawatan tinggi dalam parti menjelang pemilihan pucuk pimpinan parti. Kesannya, GLC terbabit kerap diseret ke dalam kancah politik kepartian dan kadangkala sumber, aset dan tenaga pengurusan; juga kontrak, projek dan pelantikan jawatan tertentu dalam GLC diurus dan ditransaksikan atas pertimbangan politik tanpa mempedulikan kesannya terhadap prestasi GLC.

Tidak hairan juga jika terdapat mantan politik selaku pengerusi GLC bertindak mengaplikasikan budaya kepimpinan politik cara lama ke dalam GLC, seumpama mengguna kaedah kepala keretapi lama.

Perhatikan: Kereta api jenis lama berteknologi lapuk memusatkan segala kuasa dan tenaga di kepala kereta api untuk menarik semua gerabak dan penumpang. Sistem kawalan dan kata pemutus semuanya diserahkan ke kepala dan hanya pucuk pimpinan di kepala organisasi menjadi tumpuan penyelesaian semua masalah dan persoalan, besar dan kecil.

Sekali pun secara rasmi tidak mempunyai kuasa eksekutif, pengerusi “kereta api lama” akan menggunakan taktik politik membolot kuasa mendapatkan “super power” dalam organisasi menjadikan dirinya Superman korporat.

Akhirnya, anggota warga kerja menjadi penonton dan eksekutif cuma penumpang, tukang tepuk dan warga sorak. Kerap berlaku GLC “kereta api lama” terpaksa membudayakan gaya pengurusan bercorak politik menyebabkan barisan pengurusan bertukar peranan menjadi pakar mengipas, tukang kompang dan pembawa bunga manggar!

Sebenarnya pemimpin “kereta api lama” merendahkan imej korporat GLC amanah terbabit, khasnya di kaca mata sektor bisnes dan korporat. Keretapi jenis lama sememangnya membawa imej lesu, tidak menepati masa, tidak cergas dan tidak pantas serta kerap pula tergelincir dari landasan (seumpama persepsi masyarakat terhadap Keretapi Tanah Melayu satu masa dahulu)!

Pengerusi dan CEO Khalifatul malik

Bandingkan dengan kereta api moden canggih berteknologi tinggi seumpama kereta api peluru Jepun, TGV Perancis atau maglev China; semuanya berkelajuan melebihi 300 kilometer sejam, menepati masa, berkuasa tinggi, perjalanannya licin dan selesa serta umumnya jauh lebih selamat.

Perhatikan punca simboliknya: Kereta api teknologi tinggi meletakkan kuasa penggerak kepada setiap gerabak dan roda supaya semua menyumbang kepada pemacuan dan kelajuan.
 
Malang sungguh jika GLC korporat amanah canggih dan moden berkeupayaan tinggi bergerak pantas, dipaksa menerima pengerusi bersikap seperti “kereta api lama” yang mahu “control” semua dan bertindak memusatkan semua kuasa di tangan. Lebih merosakkan jika orang mengepalai GLC amanah tidak memahami cara atau tidak mempedulikan perlunya diperkasa setiap “gerabak’ organisasi dan setiap “roda” pengurusan mengikut amalan korporat terbaik.

Justeru, pelantikan pengerusi dan CEO bukan satu keputusan yang harus diambil ringan dan juga tidak wajar dibiar dipolitikkan berpanjangan.

Kita tidak mahu melihat berulangnya era di mana penguasa politik, misalnya dalam keghairahan melaksanakan dasar penswastaan, mengakibatkan hak milik bangsa terhakis.

Juga kita perlu jauhi kaedah kendalian GLC hingga ada yang mengambil kesempatan mengejar kekayaan peribadi, atau memperkayakan kroni atau parti politik yang diwakili; hingga banyak kepentingan GLC amanah dikompromi, terlepas daripada tangan, diswastakan hingga menghakis dan melemahkan ekonomi Melayu-Muslim.

Kesimpulannya, kepimpinan tertinggi GLC wajib melihat tugas dan tanggungjawab mereka sebagai amanah bangsa dan agama seumpama memikul tugas dan tanggungjawab khalifah ke atas semua aset dan bisnes di bawah kelolaan masing-masing. Sesungguhnya, dari perspektif Islam, pengerusi dan CEO pemimpin tertinggi GLC amanah adalah “Khalifatul malik”.  

Dr Yusuf Al Qaradhawi dalam buku “Ekonomi Islam, Nilai dan Akhlak” menjelaskan “Khalifatul Malik” sebagai falsafah Islam yang menerima hakikat harta kekayaan sebagai amanah ALLAH:   “…  manusia bukanlah pemilik kepada hartanya, tetapi mereka merupakan wakil dan ‘Khalifatul Malik’ (yang diberi kuasa oleh pemilik yang mutlak) iaitu ALLAH TAALA.”

Dalam menyempurnakan amanah ALLAH selaku ‘Khalifatul malik’, pengerusi bersama CEO  berkewajipan menerajui GLC berdasarkan niat dan tujuan menegakkan amanah dan melipatgandakan keupayaan menjana harta kekayaan hingga bangsa Melayu, menerusi GLC amanah (dan GLC yang diwakafkan sebagai Waqaf Korporat) akhirnya berjaya memacu pertumbuhan dan menerajui ekonomi negara.
 
* Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) ali.bizjihad@yahoo.com