Politik berdemokrasi seperti yang kita amalkan di Malaysia pada asasnya bercirikan persaingan parti politik memburu dan merebut kuasa menerusi peti undi. Mengikut kaedah demokrasi, parti terpilih dengan undi majoriti diberi kuasa dan mandat oleh rakyat menerajui pemerintahan merealisasikan agenda politiknya, selain memenuhi aspirasi besar rakyat amnya untuk kepentingan jangka panjang bangsa dan negara.     

Sistem demokrasi memberi kuasa  sepenuhnya kepada rakyat memilih pemerintah. Sekalipun bukan satu sistem paling sempurna, umumnya sistem demokrasi jauh lebih baik, misalnya berbanding sistem pemerintahan raja tanpa berperlembagaan atau diktator berkuasa tanpa batasan. Malangnya, ketidaksempurnaan demokrasi itu sendiri kerap menimbulkan banyak masalah yang perlu ditangani dengan bijaksana dan berhikmah.      


Bila takut hilang kuasa
 
Sesungguhnya kuasa politik harus digunakan, antara lain, untuk membina institusi masyarakat yang kritikal kepada pembangunan negara. Namun dalam amalan demokrasi kuasa boleh disalah-gunakan. Ini pernah berlaku di Malaysia apabila tindakan pemimpin berkuasa menjejaskan kebebasan dan autonomi institusi penting negara, seperti institusi pengadilan dan kehakiman; institusi pendidikan tinggi dan universiti; juga institusi media yang berperanan penting memperjuangkan kebebasan bersuara, dan seumpamanya.

Penulisan ini fokus kepada impak politik terhadap masa depan GLC, memandangkan GLC berperanan sebagai institusi utama menegakkan keadilan dan menyeimbangkan ekonomi negara. Tanpa GLC amanah, harta kekayaan negara dikuasai segelintir individu, langsung menjejas kepentingan besar majoriti rakyat, termasuk kepentingan generasi mendatang.

Terdapat dua punca utama penggunaan kuasa politik yang jelas sekali mengancam masa depan GLC. Pertama, dalam konteks peralihan kuasa politik menjelang pilihan raya umum (PRU13 khasnya), terdapat trend ahli politik yang takut hilang kuasa bertindak mencerobohi, langsung merosakkan integriti korporat GLC. Kedua, amalan demokrasi yang menyerahkan kuasa kepada golongan majoriti boleh mempunyai ciri-ciri sampingan negatif yang akhirnya menjejas hak dan kepentingan golongan lemah dan minoriti ekonomi, termasuk jumlah besar semua yang miskin, khasnya warga Melayu, Bumiputera dan warga Malaysia keturunan India.

Sekalipun jumlah besar golongan lemah ekonomi memiliki kuasa majoriti undi, namun peminggiran mereka dari arus perdana sistem ekonomi yang diterajui bisnes dan korporat menjadikan sistem sangat berat sebelah, mengakibatkan timbulnya fenomena “kezaliman majoriti” atau “tyranny of the majority”. Kerana umumnya dalam negara demokrasi, setelah selesai musim PRU, golongan kecil kaya peneraju sektor bisnes dan korporat lebih besar pengaruh politik dan berupaya “membeli” atau menguasai teraju kuasa politik pegangan majoriti sekalipun.


Peduli apa kampung tergadai?
    
Menjelang PRU13, semua penguasa politik berhadapan kemungkinan tewas di medan pilihan-raya jika gagal mendapat undi majoriti. Paling ditakuti semua pemegang kerusi jawatan politik ialah jika tidak dilantik atau dipilih semula menjadi calon. Parti politik juga bimbang kekalahan undi jika golongan yang tidak dicalonkan bersama pengikut masing-masing bertindak mensabotaj parti sendiri.

Bahaya lebih besar mengancam institusi sebenarnya terbit daripada kalangan pemegang kuasa berjawatan tinggi seumpama menteri besar atau pengerusi dan pengarah GLC. Terlalu banyak kita saksikan peristiwa, terutama dalam kalangan mereka yang lama berkuasa lupa diri sehingga mudah sekali memperibadikan kuasa. Apabila tiba masa melepaskan semuanya, ada yang seolah-olah “gila kuasa”, tidak lagi sanggup menjalani hidup seperti orang biasa.

Justeru tidak hairan jika ada ahli Yang Berhormat di akhir khidmat bertindak mengikut kaedah kerap merosakkan perjuangan dan kepentingan lebih besar. Ada yang sanggup mengambil jalan singkat mengkompromi segalanya. Lagi pun, bagi yang akan hilang kuasa, inilah peluang terakhir untuk merebut manfaat dan mengaut kepentingan peribadi.   

Apa pun, dalam kehangatan persaingan PRU, meraih populariti parti satu kemestian dan memikat hati rakyat untuk mendapatkan undi prasyarat utama kemenangan. Untuk memancing undi segala-galanya sanggup dijadikan umpan; dan jalan paling senang bagi yang berkuasa ialah menjadikan harta awam, saham dan bisnes milik GLC umpan pilihan, tanpa perlu membiayai semuanya dari poket sendiri!

Dalam kata lain, jika kita biasa dengar pepatah Inggeris: “Power corrupts and absolute power corrupt absolutely”, dalam konteks ketidakpastian PRU yang lebih membimbangkan ialah apabila ahli politik kecil jiwa dan mabuk kuasa takutkan hilang kuasa, menyebabkan mereka bertindak korupsi dan melakukan kerosakan: "Often it is not power that corrupts but the fear of losing power!”

Dalam situasi seperti ini semua sekali mudah dikompromi. Saya bersyukur dalam pengalaman selama 28 tahun sebagai CEO sebuah GLC negeri, iaitu Johor Corporation atau JCorp, dapat mengatasi cabaran politik berkepentingan sempit dan serong. Ini dapat dilakukan terutama dengan adanya naungan kuasa Sultan Iskandar Sultan Johor yang sangat peka peranan strategik institusi seperti JCorp, langsung melindungi JCorp daripada desakan kompromi politik.

Justeru, bagi selama 40 tahun pertamanya JCorp lebih berupaya mempertahankan amanah, mengelakkan saham syarikat miliknya daripada diswastakan sewenang-wenangnya. Kesannya, syarikat seperti Kulim Malaysia Bhd, KFC Holdings Bhd dan KPJ Healthcare Bhd dapat dibangunkan sehingga bernilai berbilion ringgit, dengan menyusun strategi pertumbuhan, termasuk terutamanya menerusi acquisition, sehingga ke peringkat antarabangsa sekali pun. JCorp juga berjaya memulakan inisiatif membangunkan Waqaf An Nur Corporation Bhd sebagai institusi induk Waqaf Korporat memegang amanah saham dan bisnes yang diwakafkan supaya kekal berpanjangan dan kebal daripada ancaman kerakusan penswastaan.


Mengatasi kezaliman majoriti

Sekalipun terdapat perlindungan naungan sultan, JCorp terdedah kepada tekanan politik sempit dan serong. Sebenarnya, sebagai CEO saya banyak mendapat tekanan dan arahan politik menjurus kepada penswastaan syarikat dan bisnes milik JCorp.

Antara yang paling hebat ialah arahan supaya saya jual saham-saham KFC yang dibeli di pasaran. Arahan ini mencerminkan kompromi politik pucuk pimpinan tanpa memikirkan kesan negatifnya kepada JCorp, justeru terpaksa saya tentang untuk melindungi KFC sebagai bisnes makanan halal paling strategik.

Terdapat juga beberapa peristiwa kegagalan JCorp mengambil alih syarikat tersenarai seperti Palmco Holdings dan syarikat perubatan pakar Pantai Holdings Bhd, yang berlaku atas campur tangan kuasa politik menyebelahi pihak lawan semata-mata kerana kompromi!  

Kes Pantai Holdings paling mendukacitakan, kerana campur tangan politik menyebabkan Pantai diswastakan kerabat dan kroni politik, sekalipun JCorp mendahului membelinya.  Pantai terlepas daripada pegangan Malaysia dan akhirnya terpaksa dibeli balik oleh Khazanah Malaysia dengan harga sangat mahal untuk mengembalikan hak milik negara.

Justeru, dalam sistem demokrasi, kuasa politik boleh menzalimi kepentingan dan hak majoriti mengakibatkan berlakunya kezaliman terhadap majoriti atau “tyranny of the majority” apabila kuasa undi majoriti dikompromi. Tegasnya, pemimpin berkuasa tanpa hikmah dan kebijaksanaan boleh merosakkan jika berterusan berkompromi kepentingan besar bangsa dan matlamat jangka panjang negara, menjadikan semuanya umpan pertaruhan “political deals”.    

Penyalahgunaan kuasa majoriti boleh merosak kerana sistem demokrasi tidak mempunyai mekanisme membatasi kuasa majoriti. Ia juga boleh rosak apabila pemegang kuasa majoriti membabi-buta menciplak doktrin politik luar, terutama Barat yang dianggap “lebih maju”.   

Salah satu doktrin Barat yang perlu diwaspadai ialah doktrin liberalisasi ekonomi dengan konsep penswastaan mengutamakan kepentingan swasta dan individu mengatasi kepentingan besar masyarakat dan komuniti. Krisis ekonomi  kini menjejaskan kemakmuran dan kesejahteraan negara seperti Ireland, Greece, Sepanyol, Portugal dan Cyprus,  antara pengajaran besar bagi Malaysia.

Kesimpulannya, dalam kesempatan peralihan pemerintahan, tidak kira sama ada kuasa kembali ke tangan parti pemerintah sedia ada atau pun ke tangan parti baru, kita mesti bertindak memperbaharui. Paling penting ialah menghijrahkan sistem ekonomi daripada berlandaskan acuan “shareholder-centric” Barat melampau rakus dan individualistik, kepada sistem  mengutamakan kepentingan besar untuk manfaat majoriti; iaitu sistem “community-centric” yang serasi sepenuhnya dengan nilai masyarakat penduduk majoriti Malaysia.

* Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (ali.bizjihad@yahoo.com)