Kebelakangan ini isu harga ayam mendapat perhatian luas media. Diperhatikan setiap Ramadan dan menjelang musim perayaan Aidilfitri harga ayam di pasaran meningkat dengan mendadak.

Demikian juga harga barangan lain, tetapi harga ayam lebih mendapat perhatian dan dijadikan petanda aras harga barang makanan amnya, mengakibatkan keresahan ramai.

Anehnya, kenaikan harga ayam jarang sekali mendadak, justeru tidak menjadi isu, sewaktu musim perayaan lain seperti ketika sambutan tahun baru Cina.

Industri ayam didominasi korporat swasta

Kerajaan, terutama kementerian berkenaan akan bertindak, kerap membabitkan menteri bergegas melawat pasar menjual ayam, diiringi liputan meluas media dan komentar orang awam mengenai isu ini.

Setiap kali juga menteri akan mengeluarkan “arahan” supaya harga ayam dikekalkan tidak melebihi paras harga kawalan yang kerajaan tetapkan.

Namun pembeli dan pengguna akhirnya terpaksa menerima harga lebih tinggi, kerana tidak mempunyai lain pilihan. Inilah hakikatnya apabila swasta berkuasa mutlak di pasaran.

Umumnya awam akan menuding jari menyalahkan penjual atau peruncit; mereka dituduh mengambil kesempatan meningkatnya permintaan.

Peruncit pula kerap mempunyai alasan munasabah menyalahkan pengedar membekal ayam dengan harga lebih tinggi daripada biasa. Kesannya, “orang tengah” kerap menjadi sasaran utama awam, juga tumpuan perhatian media.

Jauh di belakang, peranan pengeluar ayam sebagai salah satu punca utama kenaikan harga jarang sekali mendapat perhatian umum.

Sebenarnya, jika harga ayam hendak ditentukan berkekalan di paras munasabah, perhatian perlu diberi terhadap seluruh rantaian pemasaran, bermula di peringkat pengeluaran ayam.

Hari ini cuma sedikit jumlah ayam di pasaran dikeluarkan oleh penternak kampung atau secara kecilan. Bekalan ayam sebenarnya dikawal dan diselenggarakan pengeluar besar milik korporat swasta membabitkan cuma beberapa pengeluar gergasi mendominasi pasaran.

Apabila jumlah pengeluar tidak ramai, mereka mempunyai kuasa ekonomi luar biasa menetapkan harga jualan dan menaikkannya pada bila-bila masa untuk memaksimumkan keuntungan, terutama sewaktu permintaan memuncak pada musim perayaan.

Dalam situasi ini, sangat mudah sekali kelompok pengeluar gergasi bertindak memanipulasi pasaran dan bersekongkol, berpakat, sesuka hati menaikkan harga untuk meraih keuntungan besar segera.

Kuasa swasta boleh menzalimi

Malangnya inilah yang berlaku di Malaysia dan semua negara mengamalkan sistem persaingan bebas berteraskan kapitalisme liar dan buas ciplakan Barat. Ia berpotensi menzalimi warga majoriti berpendapatan rendah dan sederhana serta melebarkan jurang kaya-miskin.

Seorang penerima Anugerah Nobel di bidang ekonomi tahun 2001, Profesor Joseph E Stiglitz dalam bukunya  “The price of inequality” menyatakan sistem kapitalis mengakibatkan wang berpindah tangan daripada bawah ke pertengahan dan akhirnya kepada golongan atasan yang kaya-raya: “... we have a system that has been working overtime to move money from the bottom and the middle to the top...”

Profesor Stiglitz turut menegaskan sistem dominasi swasta juga mudah sekali menggalakkan diskriminasi golongan berkuasa ekonomi ke atas golongan lemah ekonomi.

Di Amerika Syarikat, golongan lelaki kulit putih mendominasi ekonomi kerap mendiskriminasikan warga Amerika berkulit hitam, juga terhadap wanita dan kaum berbahasa Sepanyol atau Hispanic: “... collusive behavior of a dominant group (white, men) can be used to suppress the economic interests of another group.  There is discrimination against major groups in American society - against women, against African Americans, against Hispanics.”

Jika berlaku di Amerika, tidak hairan sekiranya sistem sama memudahkan warga majoriti lemah ekonomi di Malaysia ditindas secara terbuka atau didiskriminasi dengan halus.

Misalnya, Melayu-Muslim lemah ekonomi dieksploitasi apabila terpaksa membeli barangan atas kadar harga lebih mahal daripada kadar yang dikenakan kepada golongan berkuasa tinggi ekonomi.

Selanjutnya, sistem ini juga menzalimi warga bawahan setelah golongan atasan kaya-raya dipermudah menjana untung menghimpun wang dan harta kekayaan.

Keadaan ini turut mengakibatkan perpindahan berpanjangan wang dan kekayaan daripada majoriti Melayu Muslim miskin dan sederhana kepada minoriti swasta kaya.

Senario di mana harta kekayaan didominasi golongan kaya dan berputar cuma dalam kalangan mereka adalah satu situasi sangat tidak disenangi Islam (lihat Al Qur’an, Surah Al Hashr, 59:7), justeru wajib dibanteras.

Sistem kapitalis dengan sendirinya tidak dapat membasmi ketidakadilan ini, malah sebaliknya menambah-burukkannya lagi apabila golongan kaya mengambil kesempatan daripada kuasa ekonomi mereka untuk terus menindas dan menzalimi. Profesor Stiglitz menegaskan: “One of theways that those at the top make money is by taking advantage of their market and political power to favor themselves, to increase their own income, at the expense of the rest.”

Halal dan wakaf kaedah membela

Kesimpulannya, “arahan” pihak berkuasa dan tindakan undang-undang semata-mata tidak berupaya menyelesaikan masalah lonjakan harga barangan musim perayaan secara muktamad.

Masalah lonjakan harga ayam menjelang setiap raya dijangka terus berulang selagi struktur hak milik pengeluar tidak disusun semula membabitkan lebih banyak syarikat di bawah kawalan Melayu-Muslim, termasuk GLC, menjadi pengeluar makanan secara besar-besaran.

GLC amanah dan korporat Melayu-Muslim wajib digalakkan melabur dan membina keupayaan menerajui pengeluaran makanan negara bermula dengan bisnes ternakan dan pemprosesan ayam, daging lembu/kambing dan lainnya.

Keutamaan tinggi terhadap sektor ini penting di atas satu lagi pertimbangan: iaitu untuk menjamin taraf halal dan toyyiban produk menepati anjuran Islam supaya tidak diragui pengguna Melayu-Muslim.

Inilah antara sebab utama, sewaktu menerajui JCorp selaku CEO dan Kulim Malaysia Bhd selaku pengerusi, saya serta rakan pengurusan gigih dan gagah dalam usaha mengambil alih syarikat KFC Holdings Malaysia Bhd pada 2006.

Pengambilalihan KFC berlarutan selama hampir setahun setelah ditentang hebat oleh pemilik saham lain.  Mereka cuba menentang habis-habisan, termasuk menggunakan pengaruh kuasa politik untuk menggagalkan matlamat menguasai KFC.

Namun, alhamdulillah, akhirnya pengambilalihan KFC berjaya disempurnakan. Kembalinya keyakinan masyarakat pengguna Islam terhadap halal produk KFC melonjakkan prestasi KFC Malaysia hingga berjaya memenangi anugerah rangkaian KFC terbaik seluruh Asia bagi dua tahun berturut-turut pada 2007 dan 2008.

Kejayaan ini meyakinkan KFC induk Amerika Syarikat memberi KFC Malaysia hak francais bisnes KFC halal di Kemboja dan Mumbai, India, selain menambah rangkaian restoran sedia ada di Malaysia, Singapura dan Brunei Darus Salam.

Perhatikan: Kejayaan menguasai KFC turut menjadikan JCorp dan Kulim pengeluar utama ayam di Malaysia. Jika diurus dengan bijaksana, KFC boleh diguna untuk menyeimbangkan kuasa pasaran swasta.

Justeru pengekalan hak miliknya di tangan GLC seperti JCorp perlu diutamakan.

Mempertahankan hak milik syarikat KFC juga antara sebab saya meletak jawatan CEO di JCorp pada Julai, 2010, setelah mendapati peneraju politik Johor ketika itu merancang menswastakan KFC, berkompromi politik mengetepikan kepentingan besar rakyat majoriti Melayu Muslim.

Saya bersyukur rancangan menswastakan KFC mengikut kaedah kapitalis nafsu-nafsi Barat melampau memperkayakan swasta akhirnya tidak diteruskan setelah turut mendapat tentangan hebat NGO Melayu-Muslim kemudiannya.

Namun kini, setelah dinyah-senaraikan, KFC mungkin sekali lagi diancam penswastaan yang pasti merugikan Melayu-Muslim dan membuka luas ruang mereka berpanjangan ditekan, ditindas dan dizalimi sistem pasaran kapitalis dominasi swasta perkasa.

Pada saya, penyelesaian terbaik ialah JCorp mewakafkan Kulim dan KFC Holdings kepada Waqaf An Nur Corporation Bhd (atau JCorp itu sendiri diwakafkan bersama semua syarikatnya).

Kerana Waqaf Korporat jalan keluar terbaik kurniaan Islam membanteras kerakusan dan membasmi kezaliman dan kerosakan akibat sikap nafsu-nafsi swasta individu materialistik.

Perhatikan: Kaedah institusi Waqaf Korporat memperkasa komuniti sebenarnya menepati jalan keluar yang dianjurkan Profesor Stiglitz untuk Amerika Syarikat apabila beliau menegaskan dalam bukunya:  “... the real solution to the inequality crisis lies in focusing on community rather than simply on self-interest - both community as a means to prosperity and as a goal in its own right."

* Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)
ali.bizjihad@yahoo.com