SELAMA dua minggu berturut-turut saya terpaksa menangguhkan penulisan kolum ini kerana kesibukan berceramah membabitkan dua persidangan antarabangsa.

Ceramah pertama di simposium anjuran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kuala Terengganu pada 18 September bertemakan “Produk Tamadun Islam”. Tajuk ceramah saya ialah: “Reformasi Korporat dari perspektif Islam”.

Kedua, persidangan antarabangsa fokus kepada urus tadbir, tanggungjawab dan akauntabiliti korporat oleh Institute of Corporate Governance and Accountability (ICGA) anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Malaysia bersama Trakya University, Turki, yang diadakan di Edirne, Turki pada 23 September. Di Turki tajuk ceramah saya juga mengenai “Reformasi Korporat”, kali ini fokus kepada isu pertanggungjawaban korporat: “Merapatkan jurang ekonomi mengikut kaedah Waqaf Korporat”.
Korporat meminggir warga majoriti

Simposium UniSZA turut membabitkan beberapa penceramah luar negara. Profesor Dr Mohamed al-Zuhayli dari Emiriah Arab Bersatu antara lain menegaskan, dalam usaha mengembalikan kegemilangan tamadun Islam seperti dicapai dalam sejarah sebelum ini, umat Islam dituntut menegakkan Maqasid al-Syariah ke dalam semua aspek sistem ekonomi.

Dr Ahmed Iskanderani, wakil Bank Pembangunan Islam (IDB) pula menghuraikan pencapaian menggalakkan sistem perbankan dan kewangan Islam (IBF) yang kelihatan semakin berjaya menyeimbangkan ekonomi negara Islam supaya tidak melampau didominasi perbankan konvensional global berteraskan riba.

Untuk membina semula tamadun Islam pada abad ke-21 dalam ceramah di simposium UniSZA antara lain saya tegaskan: Sekali pun IBF berperanan sangat penting, umat Islam tidak harus hanya berpuas hati dengannya.

Saya berpendirian sejauh mana sekali pun ketinggian pencapaian IBF, ia tidak dapat membasmi atau memperbaiki kelemahan terbesar sistem kapitalis global yang kini kelihatan merosakkan kehidupan masyarakat dan tamadun manusia di mana-mana.

Kerosakan yang dimaksudkan ialah impak ketidakadilan ekstrem kapitalisme global meminggir golongan majoriti manusia setelah memangkinkan himpunan melampau harta kekayaan dalam tangan golongan masyarakat elit pemodal dan pemilik bisnes serta korporat swasta. 

Tumpuan hanya kepada IBF tanpa reformasi dan pembaharuan institusi lain dalam sistem ekonomi pasti menambah-burukkan lagi ketidakadilan dan berpotensi menzalimi golongan rakyat terbanyak.

Sesungguhnya konsentrasi melampau harta kekayaan sangat tidak disenangi Islam dan jika dibiar berpanjangan pasti akhirnya menindas dan menzalimi, menjadikannya antara sumber utama konflik, pemberontakan dan ketidakstabilan politik dalam kalangan umat dan negara Islam.

Justeru, saya berpendirian sangat penting umat Islam bertindak mereformasikan teras sistem ekonomi, iaitu “ekonomi sebenar” atau the real economy dan bukan hanya menumpukan perhatian kepada memperkembangkan sektor perbankan dan kewangan.

Ekonomi sebenar lebih mengutamakan usaha pengeluaran dan perkhidmatan menjana kekayaan atau wealth creation hasil aktiviti dinamis dan kreativiti bisnes. Atas pertimbangan inilah Islam menjadikan bisnes sumber utama, iaitu sembilan-per-sepuluh rezeki, langsung menjadikan harta kekayaan salah satu teras Maqasid al-Syariah.

Tegasnya, di samping IBF, sistem ekonomi Islam menuntut negara Islam fokuskan kegunaan sumber dan tenaga warga Muslim membangun dan merangsang barisan usahawan entrepreneur.

Selain itu, mereka harus menyusun organisasi bisnes dan korporat milik negara dan umat dengan efisien, berkesan dan produktif sehingga dapat memperkasa daya saing ekonomi negara di pasaran antarabangsa.
 

Mendefinisi semula bisnes dan korporat

Dalam ceramah di kedua-dua persidangan saya menganjurkan pentingnya negara Islam seperti Malaysia dan Turki menyerasikan sepenuhnya beberapa konsep bisnes Islamik ke dalam amalan korporat.

Antara strategi perlu diutamakan ialah mendefinisi semula konsep usahawan entrepreneur, diikuti mencorak semula arkitektur organisasi korporat.
 
Apa pun, semua strategi ini belum sempurna selagi akhirnya tidak disusuli langkah besar dan berani mereformasikan hak milik korporat yang diserahkan sepenuhnya oleh sistem kapitalis ke dalam tangan peribadi individu swasta.

Himpunan harta milik peribadi swasta punca utama ketidakadilan dan kezaliman, menjadikan kapitalis global satu sistem ekonomi berciri liar dan buas. Di kedua-dua persidangan saya anjurkan strategi reformasi korporat menggunakan kaedah institusi Islamik, khasnya institusi wakaf warisan Islam melalui penubuhan Waqaf Korporat.

Sistem kapitalis global berteraskan usaha entrepreneur sebagai pemilik utama bisnes. Doktrin kapitalis menjadikan nafsu menghimpun harta kekayaan milik peribadi sebanyak dan secepat mungkin sebagai sumber utama motivasi bisnes.

Kaedah ekstrem “nafsu-nafsi” ini menyebabkan ramai Muslim tidak minat berbisnes; sebaliknya ada yang menjauhi dan membenci bisnes setelah melihat terlalu banyak contoh usahawan Muslim rakus dan serakah.

Tidak hairan jika ramai menganggap ahli bisnes melampau duniawi dan materialistik perosak masyarakat dan tamadun.

Persepsi negatif bisnes perlu dibanteras jika umat Islam ingin berjaya menjana dan menghimpun harta kekayaan memperkasa ekonomi. 

Untuk mengatasi halangan minda dan jiwa serta keraguan rasa hati terhadap kerjaya bisnes, saya anjurkan umat Islam menjadikan usaha bisnes sebagai satu jihad fi sabilillah, iaitu Jihad Bisnes menjana dan menghimpun harta kekayaan kerana ALLAH, menggunakan semuanya bertujuan memperkasa ekonomi umat memartabatkan semula tamadun Islam ke darjat lebih tinggi setaraf ketinggian agama Islam yang suci mulia.


Waqaf Korporat memakmur dan memperkasa

Sesungguhnya Islam tegas pro bisnes dan pemerintah negara Islam diwajibkan membangunkan pasaran, menyusun peraturan timbang dan sukat bertujuan menegakkan sepenuhnya keadilan menerusi semua transaksi ekonomi.

Justeru Islam melihat harta kekayaan bukan untuk diperibadikan memuaskan nafsu serakah individu semata-mata. 

Malahan Islam mengiktiraf harta kekayaan sebagai milik mutlak ALLAH SWT yang terdapat di dalamnya hak orang miskin dan melarat. Islam juga melihat manusia, khasnya usahawan entrepreneur dan ahli bisnes, sebagai khalifah mengurus harta kekayaan atas dasar amanah bertujuan memakmurkan bumi dan menyejahterakan kehidupan.

Justeru konsep usahawan entrepreneur perlu direformasikan, dan dalam hal ini saya berkongsi pengalaman membina bisnes Johor Corporation (JCorp) sebagai GLC menghimpun nilai harta berbilion ringgit menjadi konglomerat bernilai tinggi milik warga majoriti rakyat Malaysia dan bukan individu tertentu.

JCorp menggunakan konsep usahawan “intrapreneur” atau “entrepreneur amanah” sebagai khalifah bisnes bertanggungjawab menerajui organisasi korporat dengan niat menghimpun harta kekayaan milik umat Islam dan bukan milik peribadi.   

Kejayaan hebat beberapa intrapreneur JCorp bukti nyata kewibawaan konsep intrapreneur sebagai usahawan amanah.

Sekalipun tidak menjadi bilionair secara peribadi, beberapa intrapreneur JCorp berupaya dan berjaya membina bisnes hebat bersaing hingga ke pasaran global atas dasar perjuangan berjihad untuk kepentingan besar bangsa dan agama.

Untuk memangkinkan semua ini, struktur dan arkitektur organisasi JCorp turut dirangka dan disusun sebegitu rupa dengan menerap nilai Islam, mengamalkan syura dan budaya korporat Islamik, kesemuanya dicantumkan menjadi teras amalan korporat berdaya saing.

Kesimpulannya, dalam memperkasakan ekonomi ummah, tidak mencukupi dengan tumpuan terhadap IBF sahaja. Juga, sangat berbahaya jika negara dan umat Islam cuma menciplak kaedah kapitalis global liar dan buas melebarkan jurang kaya-miskin dan meminggir golongan majoriti bawahan.

Mustahil umat Islam berjaya membina semula tamadun berjati diri Islam memperkasa umat di abad ke-21 tanpa menerapkan sepenuhnya ciri-ciri keadilan dan kekhalifahan serta tanpa mereformasikan struktur dan sistem ekonomi membersih dan menyucikannya daripada ciri-ciri kerakusan dan kezaliman, iaitu sifat semula jadi sistem kapitalis liar dan buas ciptaan Barat ini.