Perubahan adalah fitrah dan realiti hidup yang kita semua lalui. Bermula kecil, kita membesar. Dari zaman kanak-kanak kita dewasa, seterusnya meningkat umur tua. Perubahan hidup seperti ini fitrah yang mudah kita terima, kerana ia berlaku kepada semua manusia.  Yang lebih mencabar ialah apabila perubahan datang dari sekitaran luar yang lebih banyak membawa kesan luar jangka kepada kehidupan. Perubahan yang tidak diduga kerap tidak disenangi, malah mudah dicurigai ramai dan ada juga yang ditakuti.

Banyak terdapat perubahan sekitaran luar kehidupan diri atau external environment yang besar impaknya ke atas kehidupan. Ada juga yang berlaku atas inisiatif kita sendiri untuk memperbaharui. Contoh terbaik ialah apabila, melalui kuasa kerajaan, kita gerakkan program pembangunan negara menerusi perbelanjaan perancangan lima tahunan. Setelah dilaksanakan, impak ekonominya membawa beberapa perubahan dan pembaharuan, kebanyakannya yang boleh dijangka dan mudah kita terima setelah memerhatikan kesan pengalaman pembangunan di negara lain dan setelah berdekad merasai manfaat daripadanya.


Tsunami transformasi

Peribahasa Melayu ada menyatakan: “Sekali air bah, sekali pasir berubah”. Transformasi yang berlaku hasil perancangan pembangunan negara seumpama persediaan kita menangani bah atau banjir bermusim yang boleh dijangka berlaku. Cuma sesekali sahaja akan berlaku bah besar atau banjir luar biasa, itu pun jarang yang menjadi bencana besar memudaratkan, justeru mudah diatasi.  

Namun hari ini perubahan yang berlaku ke atas kehidupan di awal abad ke-21 bukan umpama bah dan banjir bermusim, malahan seolah-olah tsunami berterusan. Tsunami mengubah, mengalih dan menganjakkan semua, dan bukan sahaja pasir dan tebing. Seluruh pantai dan daratan, malahan segala ceruk sungai, bukit dan gunung sekalipun semuanya dikesani.

Justeru, tidak mencukupi jika kita cuba tangani perubahan berciri tsunami dengan kaedah perancangan pembangunan lama, teknik perubahan biasa, menggunakan institusi sedia ada dengan susunan strategi berdasarkan pemikiran lampau, bagaimana berkesan sekalipun semuanya pada zamannya. Tegasnya, masalah abad ke-21 tidak akan berjaya kita atasi dengan menggunakan kaedah dan peralatan abad ke-19 atau abad ke-20!

Tsunami ini pula bukan setempat impaknya, malahan global. Tsunami kehangatan revolusi yang berlaku jauh dari Malaysia, seperti di padang pasir Afrika Utara yang kering kontang, boleh segera merebak dan membakar semua, sekalipun kita di Malaysia sedang basah kuyup berhujan di musim tengkujuh. Hakikatnya, hari ini fenomena perubahan yang berlaku bukan lagi tempatan sahaja impaknya, malahan realiti global.

Fenomena berciri global telah pun lama kita di Malaysia rasakan. Seawal 1997 lagi Krisis Asia bukan sahaja telah mengejutkan, malah membankrapkan beberapa negara dan hampir menumbangkan ekonomi Malaysia. Malaysia bertuah kerana dapat mengatasinya dengan baik semua cabaran ini di bawah pimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Terdapat beberapa pengajaran besar yang wajar kita manfaatkan dalam menghadapi krisis global seperti ini. Pertama, ia jelas membuktikan kita memerlukan tindakan berani dan tegas dengan impak besar yang hanya dapat diberikan kepemimpinan berpemikiran intelek tinggi, sofistikated dan berhemah luar biasa. Ia juga menuntut pemimpin bijak bertindak cara strategi.

Semakin jelas disaksikan hari ini perubahan besar yang melanda kehidupan manusia menuntut susunan strategi besar, canggih, berjangka panjang dan luar biasa mengatasinya. Selain itu ia memerlukan watak pemimpin yang juga tegas dan berani bertindak besar dengan kesanggupan meletakkan kepentingan bangsa dan negara di atas segala yang lain, termasuk kepentingan sempit peribadi dan politik kepartian.

Dunia semakin dilanda perubahan menyeluruh luar jangka, justeru dipenuhi ketidakpastian sehingga seolah-olah yang pasti hanyalah ketidakpastian itu sendiri. Justeru, pemimpin yang tidak berani bertindak mengambil kira kepentingan jangka panjang bangsa dan negara, yang takut mengambil risiko ketidakpastian dan yang pula kecil jiwa, cuma melihat kepentingan diri, kelompok atau parti sendiri, bukanlah pemimpin sesuai untuk mengatasi perubahan global semasa yang sangat mencabar hari ini.


Perubahan menakutkan

Antara perubahan paling mencabar berlaku setelah beberapa negara dilanda pembaharuan luar jangka. Satu contoh perubahan mendadak yang langsung tidak diduga ialah pemberontakan atau revolusi yang tercetus di dunia Arab. Revolusi yang bermula pada awal 2011 telah menumbangkan tiga pemerintahan sejauh ini, iaitu di Tunisia, Mesir dan Libya dan impak daripadanya masih belum sampai ke penghujungnya. Peristiwa ini menggugat seluruh dunia Arab dan juga secara tidak langsung dunia Islam dan pasti membawa kesan jangka panjang kepada perkembangan politik Malaysia dan negara majoriti Islam lain.  

Paling tidak diduga, fenomena ini dicetus cuma oleh satu peristiwa kecil membabitkan seorang peniaga kecil Tunisia, Mohamed Bou Azizi yang membakar diri setelah kecewa penyalahgunaan kuasa dan keangkuhan pihak berkuasa merampas haknya mencari rezeki halal berniaga kecil-kecilan di jalanan. Jelas sekali sangat ramai orang yang sebenarnya senasib dengan Mohamed Bou Azizi di seluruh dunia Islam, termasuk di Malaysia, yang ditekan, ditindas dan dizalimi sistem yang cuma membuka ruang dan memberi layanan istimewa kepada golongan yang berharta, berpengaruh, berpangkat dan berkuasa.

Pengajaran besar daripada peristiwa ini ialah hakikat sesungguhnya tidak ada pemerintahan negara yang harus lagi memandang sepi atau remeh keperluan hidup warga kecil di mana-mana. Masanya telah tiba fokus kepimpinan yang selama ini cuma mengutamakan kepentingan orang berpengaruh, berharta, berpangkat dan berkuasa dialih dan dihijrahkan.

Berkait rapat dengan isu ini ialah pembaharuan kepada amalan budaya politik yang didominasi sistem ekonomi ciplakan kapitalis Barat yang jelas mengakibatkan penindasan dan peminggiran golongan miskin dan yang tidak berharta.


Kepimpinan mesti tegas, berani

Justeru, yang diharapkan daripada kepimpinan politik negara ialah usaha tegas dan berkesan mentransformasi sistem ekonomi ciplakan kapitalis supaya lebih adil, seimbang dan saksama. Fokus sistem bukan lagi hanya kepada korporat swasta dan warga pelabur, indeks pasaran saham, kadar pertumbuhan tahunan ekonomi dan statistik KDNK. Bukan juga sistem politik berdemokrasi yang menggalakkan perebutan kuasa untuk menambah pada yang ada atau doing more of the same, mengakibatkan peminggiran “Mohamed Bou Azizi” di Malaysia dan di mana-mana dengan menambahlebarkan jurang miskin-kaya.

Malangnya, pada pandangan saya, fokus PRU13 dan isu yang diartikulasi oleh pimpinan politik negara sejauh ini masih tidak memberi perhatian sewajarnya kepada nasib ramai warga Malaysia yang senasib dengan Mohamed Bou Azizi. Tumpuan politik Malaysia adalah perebutan kuasa bercorak  politik yang melampau “politician-centred” atau “politic-centred”, dan tidak “people-centred” seperti sewajarnya. Bukan rakyat yang diutamakan!

Sekalipun peminggiran sosial, ekonomi dan politik isu besar yang mencabar kehidupan majoriti golongan bawahan Malaysia, tumpuan perhatian politik masih terhadap isu perebutan kerusi dan kuasa semata-mata seolah-olah untuk tujuan itu sahaja. Pembaharuan dan transformasi serta pengertiannya tidak diartikulasi dengan perinci.

Justeru, minda ahli politik seolah-olah didominasi persepsi takutkan pembaharuan langsung menjauhi perubahan, kerana pembaharuan boleh mengancam kepentingan. Lagi pun, budaya politik habuan dan politik periuk nasi telah terlalu lama mendominasi. Perhatikan, sebahagian besar ahli politik termasuk ramai Menteri, MP, Adun dan lain berjawatan awam tidak sanggup kehilangan tempat atau kerusi kerana mereka tidak mempunyai kerjaya atau profesion alternatif dan ramai sebenarnya tidak pernah hidup berkerjaya tanpa naungan parti atau kerajaan. Pada mereka, hilang kerusi bermakna hilang periuk nasi. Bagi ahli biasa bawahan, tanpa kemenangan parti pula, akan hilang peluang kontraktor kelas F dan seumpamanya.

Justeru, semua takutkan pembaharuan dan tidak timbul keberanian dan kesanggupan berkorban kepentingan diri atau selflessness.

Kesimpulannya, cabaran tsunami global menuntut teraju dan kemudi negara di serah ke tangan kepimpinan yang diyakini berkeupayaan lebih daripada pihak lawan dalam menanganinya, berserta kesanggupan dan keberanian lebih tinggi memperbaharui dan mentransformasi budaya politik dan sistem ekonomi negara. Inilah doa dan harapan kita, semoga, apa pun keputusan PRU13, kesannya akan memulakan proses transformasi negara ke arah pembaharuan lebih menyeluruh, mendalam dan bermakna.  


* Tan Sri Muhammad Ali Hashim, Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)