Minggu lalu seorang sahabat memanjangkan e-mel daripada “Anonymous” bertarikh 2 Oktober 2011, menghuraikan sebab-sebab kenapa saya “terpaksa diusir dari JCorp”.

Saya meletakkan jawatan CEO JCorp pada 29 Julai 2010, setelah tidak mendapat pembelaan adil daripada Pengerusi JCorp dan kepimpinan politik Johor. Sekalipun telah lebih setahun e-mel dikeluarkan, kerana pertama kali membacanya, saya terpanggil mengulasnya.

Bukan tujuan saya menegakkan benang basah peribadi. Saya tidak lagi mempunyai apa-apa kepentingan dan tidak berhajatkan apa-apa daripada JCorp melainkan kelangsungan dan kecemerlangannya.

Tujuan saya mengulas e-mel Anonymous ialah supaya masyarakat memahami situasi sebenar dan menilai kedudukannya berdasarkan kepentingan masa depan bangsa dan negara.   

Hutang bertimbun

“Anonymous” menghuraikan empat sebab kenapa saya “terpaksa diusir” (istilah digunakan dalam e-mel).  Pertama, JCorp dibebankan hutang bertimbun; kedua, saya menyebabkan banyak anak syarikat JCorp “gulung tikar” dan gagal melahirkan usahawan berjaya; ketiga, saya “sombong dan bongkak… tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan Johor”; dan keempat, saya tidak meneruskan wacana Tan Sri Basir Ismail, CEO pertama JCorp. Tuduhan terakhir tidak perlu saya ulas, kerana dalam penulisan dan ceramah telah berulang kali saya tegaskan betapa JCorp terhutang budi kepada pengasasnya, iaitu Tan Sri Othman Saat, Pengerusi pertamanya dan Tan Sri Basir Ismail, CEO pertamanya.

Isu hutang JCorp “bertimbun” melebihi RM5 bilion kerap digunakan sebagai alasan politik mengetepikan saya. Persoalan lebih tepat ialah: Kenapa JCorp banyak meminjam sehingga berhutang besar kepada bank?

Rakyat Johor sendiri terlupa sebenarnya kerajaan Johor tidak melabur sesen pun modal dalam JCorp (atau PKENJ semasa ditubuhkan), walaupun banyak memberi sokongan lain. Tanpa modal saham, JCorp tiada pilihan selain terpaksa meminjam.

Sesungguhnya, tiada bisnes boleh bertapak tanpa modal. Masyarakat Johor harus bersyukur kerana, sekalipun tanpa modal asas kerajaan, JCorp berjaya menjadi organisasi korporat global bernilai lebih RM20 bilion hari ini. Pinjaman JCorp bertambah besar setelah berkembang pesat membina bisnes, menghimpun aset dan mengambil alih (acquisition) bisnes baru bertujuan menguasai bisnes strategik mengukuh dan memperkasa ekonomi bangsa.

Masyarakat bukan bisnes pasti mendapati hutang sebesar ini membimbangkan. Malangnya, pemimpin politik Johor sengaja menjadikan isu ini modal politik murahan untuk mewajarkan tindakan tidak adil, menakut-nakutkan orang awam supaya anti CEO JCorp.

Pinjaman dan hutang lumrah dalam bisnes. Hutang besar bukan masalah jika nilai harta/aset juga besar. JCorp memiliki harta bernilai melebihi RM14.3 bilion pada akhir 2010.

Lagi pun kelangsungan korporat JCorp tidak terjejas selagi aliran tunai, khasnya pendapatan dan kelebihan tunai bersih (net cashflow) positif. Seperti terbukti kemudiannya, bayaran balik pinjaman dan penyusunan semula hutang bank telah dapat JCorp sempurnakan tanpa masalah.

“Diusir” kerana banyak syarikat rugi?

Anonymous juga menuduh saya “diusir” kerana gagal melahirkan usahawan berjaya, terutama jutawan anak Johor. Tuduhan ini tidak langsung menepati rekod pencapaian JCorp.

Pada akhir 2010 terdapat lebih 280 syarikat anak dan sekutu JCorp, termasuk 80 syarikat “intrapreneur venture” (I.V.) peneroka bisnes diterajui eksekutif intrapreneur JCorp dengan memiliki25 peratus saham. Memang benar terdapat banyak syarikat I.V. rugi.

Dalam tempoh 28 tahun selaku CEO saya menutup lebih 40 syarikat I.V. yang tidak berprestasi.

Hakikatnya, jatuh-bangun dan untung-rugi asam-garam bisnes. Perangkaan di Amerika Syarikat sekali pun menunjukkan empat daripada setiap lima bisnes baru (start-up) gagal dalam tempoh lima tahun pertama.

Pengajarannya, bangsa Melayu yang kurang pengalaman dan lemah budaya bisnes mesti berani dan bersedia menghadapi realiti dan risiko kegagalan bisnes baru.

Sekalipun berhadapan risiko besar kegagalan, JCorp cekal membuka luas peluang bisnes untuk memangkin lebih ramai anak bangsa berjaya, dan tidak mengurangkan jumlahnya cuma kerana takutkan gagal.

Saya selalu menegaskan: jika JCorp melabur dalam 10 syarikat, sekalipun 7 jatuh bankrup, JCorp masih boleh berjaya. Yang penting ialah fokus kepada yang berjaya, memangkinkannya maju ke puncak paling tinggi, di samping mencantas segera mana yang gagal.

Perhatikan, 40 syarikat yang terpaksa saya tutup menyebabkan JCorp rugi lebih RM350 juta. Namun, kerugian besar ini dapat ditampung oleh salah satu syarikat intrapreneur JCorp paling berjaya, iaitu KPJ Healthcare Bhd (diterajui selama lebih 30 tahun oleh intrapreneur Datin Paduka Siti Sa’diah Sheikh Bakir), yang bernilai hampir RM4 bilion hari ini!

Ini bermakna kaedah “intrapreneur venture” terbukti berwibawa dan antara formula terbaik membina barisan usahawan Melayu yang serba lemah. Persoalan yang timbul: Kenapa “intrapreneur” dengan ekuiti hanya 25 peratus dan tidak 100 peratus, iaitu diswastakan terus?

Jawapannya: Kerana persaingan bisnes sengit hari ini memberi kelebihan kepada bisnes berorganisasi besar berdaya tahan. GLC seperti JCorp berperanan strategik sebagai korporat induk amanah Melayu, memupuk, melindungi dan mendukung perkembangan bisnes baru.

Lagi pun penswastaan merekod banyak kegagalan dan kebocoran hak milik selain menciplak kapitalis nafsu-nafsi Barat yang jelas tidak serasi dengan jiwa Islam.


Penswastaan juga banyak mengakibatkan kerosakan membabitkan amalan kronisme, penyalahgunaan kuasa dan korupsi dan inilah antara sebab JCorp menolak penswastaan dan memilih untuk akhirnya mewakafkan ekuiti miliknya untuk kepentingan jangka panjang bangsa dan umat.
“Sombong” kerana menolak arahan songsang?

Akhirnya, Anonymous menuduh saya “…tidak bekerjasama dengan kerajaan Johor”, justeru “seorang yang sombong dan bongkak sebab itu beliau tidak ada tempat di Johor…” Anonymous menambah: “Orang luar Johor mungkin tidak tahu tentang hubungan tidak baik antara TS Ali dan kerajaan Johor dan juga sultan sekarang.”

Perlu saya tegaskan, sesungguhnya mustahil segala yang dicapai oleh JCorp dijayakan tanpa sokongan dan dukungan kerajaan Johor, terutama tanpa restu dan perkenan Sultan Johor.

Memang terdapat insiden di mana saya berbeza pendapat dengan kerajaan dan juga Istana, atas menjaga kemaslahatan lebih besar. Sebagai contoh, pada Oktober 1981 Sultan Iskandar Johor menitahkan supaya Hospital Pakar Johor (HPJ) ditutup atas tuduhan “penyelewengan”, dan JCorp diminta kerajaan negeri (juga Persekutuan) supaya akur dengan titah baginda.  

Namun, alhamdulillah, akhirnya semuanya berjaya diselesaikan dengan baik setelah Sultan Johor mendapat maklumat sebenar, langsung memberi sokongan berpanjangan kepada JCorp.

Bayangkan jika JCorp tidak tegas mempertahankan diri, dan ikut sahaja semua titah dan arahan kerajaan, pasti HPJ tidak dapat dikembangkan menjadi KPJ Healthcare Bhd hari ini. Malangnya, ketegasan dan kemaslahatan telah diterjemahkan menjadi sikap “sombong dan bongkak”.

Untuk kemaslahatan lebih besar, sebagai CEO JCorp, saya kerap terpaksa menolak beberapa dasar, (termasuk Dasar Penswastaan), juga beberapa arahan dan keputusan atasan, yang jika diikut semuanya pasti melemahkan JCorp dan menjejas kepentingan bangsa.

Contoh terakhir menyebabkan saya dituduh “tidak bekerjasama” dengan kerajaan Johor berlaku pada 2007 apabila Pengerusi JCorp, atas sebab politik, mengarahkan saya menjual semula saham KFCH yang telah JCorp beli di pasaran (melalui Kulim Malaysia Bhd).

Saya menyifatkan arahan ini luar biasa dan songsang. Bayangkan jika saya patuhi sepenuhnya, pasti bisnes KFC dan Pizza Hut (yang kemudiannya berjaya dikembangkan ke Cambodia dan Mumbai, India) terlepas dari tangan bersama peluang menjamin bekalan makanan halal untuk bangsa dan umat.

Apa pun, pada akhirnya tuduhan “tidak berkerjasama” dan “ingkar” arahan kerajaan sama sekali tidak berasas kerana tidak ada satu pun keputusan yang saya laksanakan selaku CEO JCorp dibuat tanpa mendapat keputusan muktamad secara rasmi Lembaga Pengarah JCorp.

Kesimpulannya, pengajaran daripada pengalaman JCorp menuntut penguasa politik bijak dan berhikmah menggunakan kuasa. Mereka mesti berhati-hati mengimbangi tuntutan realiti politik, sama ada dalam menangani tuntutan parti rakan atau parti lawan; mahu pun melayani tuntutan rakyat jelata atau titah istana. Paling penting, jangan sampai mengkompromi kepentingan lebih besar dan maslahat jangka panjang bangsa dan negara.

* Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)