Semakin kita mendekati PRU13, semakin ramai Melayu dan umat Islam Malaysia yang resah dan bimbang akan kedudukan masa depan politik bangsa dan negara.  

Perpecahan politik Melayu yang satu ketika dahulu diharap dan dijangkakan dapat diatasi dengan bijak dan penuh berhikmah oleh pucuk pimpinan ketiga-tiga parti besar Melayu, iaitu Umno, Pas dan PKR, kini semakin tidak menunjukkan tanda akan menjadi kenyataan.  

Pasti ramai Melayu yang kecewa dan putus asa dengan keadaan ini. Ramai yang benar-benar mengharapkan jika tidak dapat disatukan ketiga-tiga parti, sekurang-kurangnya cantuman dua parti iaitu Umno dengan Pas, sudah cukup untuk mengembalikan keperkasaan politik Melayu.

Kehampaan dilahirkan bukan sahaja di warung kopi dan di meja teh tarik, bahkan juga di serambi masjid dan surau, juga di koridor pejabat kerajaan dan korporat serta ruang pertemuan di universiti dan institusi.


Akibat menciplak kaedah politik bertentangan

Seperti kata seorang veteran politik, Tan Sri Abdullah Ahmad, dalam penulisannya di Sinar Harian 28 Oktober di bawah tajuk “Melayu-Islam terus berselisih”: “… mungkin kerana Melayu masih belum merasakan mereka berada dalam keadaan terdesak.

”Mungkin juga, pada pandangan saya, kerana pucuk pimpinan Melayu belum lagi terhantuk kepala masing-masing sampai bengkak. Selagi kepala belum bengkak, selagi itulah mereka belum bersedia mahu bertengadah bersungguh-sungguh berusaha menjayakan perpaduan Melayu.

Pemikir dan penulis bebas Kassim Ahmad, juga seorang veteran politik (dalam komentarnya mengenai Shahnon Ahmad: Utusan Malaysia, 18 Oktober) berpendapat perpaduan politik Melayu tidak dapat dihasilkan dan Pas tidak boleh dan tidak mahu bersatu dengan Umno “…kerana sistem dwi-parti Eropah yang kita amalkan”.   

Beliau berpandangan sistem dwi-parti adalah ”satu hasil daripada sejarah khusus Eropah” justeru tidak wajar diciplak memandangkan Melayu sebagai bangsa Timur “lebih mirip kepada perpaduan dan kerjasama semua golongan dalam masyarakat daripada berpecah kepada dua parti yang bertentangan.”

Saya bersetuju penuh dengan pandangan bahawa ciri politik “adversarial” Barat tidak serasi dengan jiwa Melayu-Islam. Demikian juga banyak kejanggalan lain akibat menciplak Barat.

Kita sedia maklum perpaduan Melayu telah banyak kali terancam dalam sejarah politik bangsa sebelum ini, akibat amalan politik bertentangan atau adversarial yang kita ciplak dari Barat.

Antara paling getir ialah selepas PRU 1969 yang disusuli tragedi berdarah 13 Mei, setelah perpecahan politik Melayu hampir musnahkan tampuk kuasa politik bangsa. Namun terdapat satu perbezaan besar dengan keadaan hari ini.

Ketika itu kepimpinan Melayu dapat menggunakan segala hikmah dan kebijaksanaan politik mengatasi semua halangan dan rintangan termasuk prejudis dan kepentingan politik sempit peribadi untuk merapatkan semula barisan perpaduan bangsa.


Sekalipun berpecah, selamatkan ekonomi

Kassim Ahmad berpendapat Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak, seorang “tokoh negarawan terulung” telah berjaya menyelamatkan keadaan setelah beliau memperluaskan konsep perkongsian kuasa Perikatan Umno-MCA-MIC kepada konsep Barisan Nasional yang lebih terbuka dan inklusif.

Paling menarik perhatian ialah pengiktirafan Kassim terhadap “perubahan-perubahan progresif” Tun Abdul Razak kemudiannya yang dapat membina semula perpaduan bangsa setelah berjaya memperkukuh ekonomi bangsa Melayu.

Tun Abdul Razak bukan sahaja telah tidak mengikut sepenuhnya acuan politik Barat dalam menyelesaikan masalah perpaduan bangsa dan negara. Beliau juga telah bertindak lebih jauh dengan pandangan mendahului zamannya mentransformasi ekonomi bangsa dan negara.

Menyedari ketidakseimbangan dan ketidakadilan ekonomi adalah punca utama perpecahan bangsa, beliau memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk membela kedudukan ekonomi Melayu dan semua warga miskin yang meruncing ketika itu.

Seluruh rakyat Malaysia dan bangsa Melayu khasnya telah menyambut perjuangan politik perpaduan bangsa berlandaskan DEB. DEB berjaya menjadi obor mengembalikan semangat perpaduan negara, dan kejayaan ini dicapai terutama setelah bangsa Melayu yakin kedudukan masa depan ekonomi mereka tidak lagi terancam, malah terbela dan terjamin kukuh.

Hari ini kelemahan dan ketidakpastian ekonomi berulang sekali lagi, mengancam perpaduan bangsa dan kestabilan politik negara. Sekalipun senario ekonomi dan politik kini sangat jauh berbeza berbanding zaman DEB dilancarkan, kelemahan dan kemerosotan ekonomi Melayu serta “kerosakan” yang berlaku terhadapnya kebelakangan ini menjadi antara isu paling besar yang membimbangkan Melayu dan menjejaskan perpaduan bangsa.  

Kali ini, perpecahan Melayu berlaku bukan lagi dalam keadaan Melayu serba miskin seperti pada 1969, yang memudahkan DEB membulatkan semula perpaduan bangsa. Kini ramai Melayu lebih berada, hidup selesa dan ada juga yang kaya-raya.  

Justeru, lebih susah Melayu hendak disepakatkan dan disatukan. Terutama setelah ideologi politik dan dasar ekonomi berbalik semula dipengaruhi Barat mengikut trend global, khasnya setelah doktrin liberalisasi dengan dasar penswastaan diperkenalkan.  

Setelah mengikut semula pengaruh Barat, kedudukan ekonomi Melayu semakin terhakis dan merosot, langsung memalapkan api perjuangan dan semangat perpaduan tiupan DEB sebelum ini.

Keadaan ditambah-burukkan lagi setelah jurang pendapatan sesama Melayu melebar dengan ketara dan kos sara hidup pula semakin meningkat, mendambakan tekanan hidup warga miskin dan sederhana seluruh negara. Tekanan hidup mengakibatkan kemarahan hingga ramai Melayu dipengaruhi hasutan kebencian.

Kemarahan memuncak setelah ramai percaya terdapat Melayu kelas istimewa yang memperoleh harta kekayaan dengan mudah cuma kerana kedudukan, pangkat dan pengaruh politik serta kesekongkolan dengan orang berkuasa.

Justeru bersemaraklah politik benci-membenci dan fitnah-memfitnah antara sesama Melayu, langsung membelahkan yang retak sehingga mustahil dicantum semula.  

Paling merugikan ialah apabila perpecahan Melayu memberi kesempatan kepada pihak lain menangguk di air politik Melayu yang telah keruh; terutama dalam kalangan mereka yang mengamalkan ciri budaya dan prinsip hidup berpandukan strategi: “Keruhkan air, kalau nak dapatkan ikan!” Akibat perpecahan, banyak prinsip perjuangan telah terpaksa Melayu kompromi dan gadaikan!


Bina semula ekonomi acuan sendiri

Dari perspektif ekonomi, jelas sekali perpecahan berlaku setelah Melayu mengabaikan semangat perpaduan DEB dan menciplak kaedah Barat, terutama menerusi agenda penswastaan yang dijadikan dasar utama kerajaan.

Tambahan pula setelah menciplak doktrin liberalisasi ekonomi Barat berteraskan nilai dan gaya hidup individualistik dan nafsu-nafsi. Contoh penciplakan paling janggal ialah apabila jutawan dan bilionair individu dijadikan wira dan ikon negara, sedangkan nilai hidup bangsa Melayu yang berjiwa ijtimaai jelas sekali tidak menyenanginya.

Doktrin liberalisasi juga menganjurkan kepentingan swasta diutamakan di atas segala yang lain.  Di bawah doktrin ini kerajaan cuma instrumen untuk memangkin swasta membolot semua, tidak kira sama ada akhirnya ia mengakibatkan peminggiran kepentingan majoriti rakyat.   

Demikian juga, doktrin ini menganjurkan supaya semua GLC diswastakan. Tidak kira latar sejarah GLC sebagai institusi amanah berperanan penting menyeimbangkan dan menjamin keadilan ekonomi.

Justeru, sebelum perpaduan bangsa Melayu dapat dibina semula, beberapa isu besar ekonomi Melayu yang menjadi teras perpaduan selama ini perlu diutamakan. Paling penting, benteng pertahanan asas kekuatan ekonomi Melayu, iaitu GLC sebagai institusi amanah, jangan sekali diruntuhkan.  

Jika ada kelemahan GLC, misalnya kegagalan membantu industri media milik Melayu mesti ditangani dengan bijaksana dan bukan dengan cara marahkan “nyamuk iklan dan promosi”, kita bakar “kelambu” GLC!

Kesimpulannya, sekalipun pahit ditelan, bangsa Melayu terpaksa menerima perpecahan politik sebagai satu realiti semasa, yang mudah-mudahan sementara sifatnya. Untuk itu kita dituntut bertindak penuh hikmah, bijaksana dan bukan memusnahkan langsung kekuatan yang ada.

Cari strategi baru mengekalkan hak milik korporat, misalnya menerusi kaedah wakaf, khasnya Waqaf Korporat supaya terjamin berkesinambungan. Strategi berkesan perlu segera disusun supaya kuasa dan pengaruh ekonomi, sumber dan daya organisasi pada GLC digunakan dengan bijak untuk memperkukuh dan memperkasa ekonomi Melayu dan menjana ekonomi negara dalam menghadapi persaingan global yang semakin mengancam.

Pada akhirnya, jangan sekali-kali takut bertindak menentang dan mengetepikan doktrin Barat yang merosakkan, dan jangan pula segan dan apologetik mentransformasi sistem ekonomi mengikut acuan kita sendiri, berlandaskan nilai Islam.  

Sesungguhnya, selagi tidak berpaksi kepada Islam dan tanpa kembali berpegang kuat kepada “Tali ALLAH”, selama itulah perpaduan dan kekuatan bangsa dan umat tidak akan tercapai sepenuhnya.