TSUNAMI PRU13 dan polarisasi politik terbit daripadanya memberi umat Islam Malaysia peluang dan kesempatan unik memperkasa kedudukan politik dan ekonomi yang wajar mereka segera manfaatkan untuk mengelak perpecahan lebih besar mengancam kesejahteraan negara. Untuk itu pertama-tama, mereka wajib rapatkan saf politik menggunakan sepenuhnya kuasa legitimis politik majoriti kurniaan demokrasi untuk faedah masa depan.

Paling ideal, parti politik mewakili umat Islam, terutama Umno dan Pas, bergabung di bawah satu panji-panji. Jika ini gagal dicapai, rakyat pengundi Muslim mesti tegas menuntut semua Ahli Parlimen (atau Adun) Muslim sepakat gunakan kuasa undi Parlimen (atau Dun) memperjuangkan beberapa agenda asas memperkasa politik dan ekonomi warga majoriti bertujuan menjamin kestabilan politik dan kelangsungan kemakmuran jangka panjang negara.

Mustahil perkasa tanpa Islam

Pada saya, tsunami PRU13 satu peringatan menuntut bangsa Melayu dan umat Islam warga majoriti Malaysia insaf dan tidak memandang ringan kewajipan mereka bersatu merapatkan saf. Pemimpin politik Melayu pula wajib menerima hakikat mereka tidak mempunyai pilihan selain membentuk perpaduan memperkasakan politik berasaskan formula berteraskan Islam.

Tidak ada perjuangan besar Melayu boleh dijayakan jika bertentangan ajaran dan nilai hidup Islam. Perhatikan: Sekali pun lebih 500 tahun dijajah, pegangan kuat Melayu kepada iman dan akidah Islam tidak pernah luntur. Hakikat ini bukti nyata kesungguhan bangsa Melayu menjiwai Islam dan betapa dekat dan mendalamnya iman di hati sanubari bahagian terbesar mereka.

Sejarah juga menyaksikan dalam beberapa insiden genting politik negara, pada akhirnya pegangan teguh bangsa Melayu kepada Islam menentukan kesudahan, ada kalanya menyelamat bangsa dan umat daripada langsung kehilangan hak asasi politik dirampas orang lain. Sebagai contoh, pada 1945 pengganas komunis Bintang Tiga menggunakan senjata cuba merampas kuasa pemerintahan setelah membunuh dengan kejam beberapa penjawat kerajaan di Johor, Perak dan beberapa negeri lain.

Peristiwa ini berlaku selepas Jepun menyerah kalah perang secara mengejut dan British belum sempat kembali menguasai semula pemerintahan Malaya. Bangsa Melayu terselamat daripada ancaman “tsunami Bintang Tiga” setelah rakyat jelata Melayu, sekali pun cuma bersenjatakan parang panjang, bangkit dengan gagah berani menentang pengganas komunis di Batu Pahat, Johor dan Sungai Manik, Perak.  (Lihat huraian tindakan luar jangka Melayu dalam buku “Red Star over Malaya” tulisan Cheah Boon Kheng).

Agenda jihad politik berdemokrasi

Tsunami PRU13 dan polarisasi akibat daripadanya menuntut warga majoriti Malaysia bangkit mempertahan integriti negara, kali ini menggunakan kuasa majoriti kurniaan demokrasi. Tugas ini boleh disempurnakan umat Islam Malaysia dengan membentuk persepakatan berteraskan pegangan kepada Tali ALLAH SWT yang satu. Sekali pun mudah diperkatakan, namun kesatuan Islam sangat mencabar dan payah direalisasi.  Lihat sahaja negara Islam seperti Algeria, Iraq, Pakistan dan Afghanistan. Sekali pun bersatu kiblat, rakyat majoriti Muslimnya berkonflik ganas, hingga sanggup bunuh-membunuh, bom-mengebom, dan bertumpah darah sesama sendiri tanpa kesudahan.
Tegasnya, dalam membina persepakatan Islam, warga Malaysia wajib jauhi politik Islam ekstrem atau ganas seumpama Taliban atau Al Qaeda; juga konflik ideologi politik-agama Syiah lawan Ahli Sunnah wal Jamaah yang sangat berbahaya berpotensi menghancur dan memusnahkan semua. Justeru, konsep Islam wasatiah wajar diterima, dikendali dengan penuh hikmah dan bijaksana mencari jalan keluar terbaik bagi kesejahteraan Malaysia.
Untuk menjayakannya, tiba masanya golongan pejuang politik arus utama nasionalis Melayu mengetepikan saki-baki keraguan terhadap agenda politik Islam; sebaliknya menjadikannya teras jihad politik untuk diperjuangkan di peringkat nasional. Lagi pun, sentimen nasionalisme ekstrem mudah diterjemah musuh sebagai perkauman dan dipatahkan lawan kerana rasis.

Dalam melaksanakan agenda Islam wasatiah umat Islam perlu bijak menjauhi polemik politik memecah-belah, misalnya keghairahan mempolitikkan hudud dan isu seumpamanya. Tiba masanya pejuang politik Islam fokus kepada agenda mengaplikasi nilai dan konsep besar Islam menjernihkan kehidupan membantu masyarakat mengatasi cabaran hidup seharian.

Tegasnya, pejuang politik Malaysia dituntut berkorban dan berjihad memanfaatkan kuasa dan aset politik untuk pengertian lebih besar daripada kepentingan sempit peribadi atau kepartian ekstrem. Untuk menjayakannya, beberapa institusi tradisional Islam seperti jihad, zakat dan wakaf wajar dimasukkan ke dalam naratif politik dan dengan berhikmah dijadikan antara agenda transformasi negara. Kerana institusi Islam seperti ini berupaya membawa perbezaan, merangsang dan memotivasi, memperkasa ekonomi, membuka luas akses peluang ekonomi selain memperbaiki kehidupan sosial; bukan sahaja untuk kepentingan eksklusif umat Islam, malah juga untuk memakmurkan negara membuktikan Islam benar-benar merahmati semua.

Jihad memperkasa ekonomi

Persepakatan politik warga majoriti juga prasyarat utama memperkasa ekonomi golongan besar berpendapatan rendah dan sederhana. Agenda memperkasa ekonomi memerlukan suntikan transformasi menyeluruh, juga bertaraf satu jihad, terutama menerusi konsep Jihad Bisnes.  Kerana bisnes satu sunnah besar, lagi pun sumber kepada sembilan per sepuluh rezeki dan kekayaan. Namun jihad ini memerlukan pembaharuan bermakna kepada sistem ekonomi negara, menggantikan agenda transformasi negara yang sejauh ini lebih fokus kepada meningkatkan prestasi ekonomi tanpa membina keupayaan melindungi Malaysia daripada jangkitan gejala krisis kapitalisme global merosakkan.

Malaysia sejauh ini terlampau menciplak doktrin liberalisasi ekonomi Barat mengutamakan kepentingan swasta mengatasi kepentingan besar rakyat majoriti, khasnya menerusi Dasar Penswastaan. Percayalah, tanpa pembaharuan doktrin ini mengakibatkan harta kekayaan menjadi milik eksklusif warga atasan; juga generasi mendatang pasti mewarisi ancaman krisis ekonomi dan konflik jurang kaya-miskin setelah masyarakat menjadi semakin individualistik,  rakus dan nafsu-nafsi dengan golongan kaya-raya meminggir warga majoriti merosak komuniti.

Demikian juga, tanpa pembaharuan, kerajaan berpotensi diancam krisis defisit bajet dan beban subsidi kewangan luar keupayaan jangka panjang, seperti dilihat juga berlaku di beberapa negara Barat hari ini. Lebih berbahaya, Malaysia boleh dijangkiti ancaman pengangguran besar-besaran dan peminggiran warga golongan terbawah tanpa kepedulian dan pembelaan.

Justeru, umat Islam mesti dengan berani dan tegas memperbaharui semula agenda transformasi ekonomi menjadikannya perjuangan bertaraf satu jihad memerangi kezaliman ekonomi dan membasmi kerosakan sosial.
Antara agenda utama pembaharuan yang wajib dilaksanakan:-

l    Menolak penswastaan dan menggantikan doktrin serta dasar liberalisasi ekonomi punca utama berleluasanya budaya keangkuhan kuasa, kerakusan, korupsi dan amalan kroni.
l    Menghijrahkan sistem ekonomi daripada kapitalis ekstrem mengutamakan
    pemegang saham swasta (menjadikan masyarakat rakus dan individualistik) kepada mengutamakan kepentingan besar komuniti warga majoriti (shifting system from “shareholder-centric” to “community-centric”) dengan peranan utama GLC amanah, koperasi, dan institusi lain.
l    Menjadikan Waqaf Korporat institusi utama menerajui masa depan ekonomi negara, supaya sistem pro-bisnes dan dinamika korporat dapat digunakan untuk manfaat warga majoriti tanpa menggugat pertumbuhan ekonomi negara berteraskan pacuan bisnes;
l    Memperbaharui sistem ekonomi memberi peranan utama kepada institusi
    wakaf dan zakat sebagai ‘economic and social safety net’ inklusif tanpa membebankan kerajaan.

Kesimpulannya, keputusan PRU13 menjadikan politik Malaysia menjurus ke arah sistem politik dwi-parti yang semula jadinya bersifat adversarial mengakibatkan iklim politik sentiasa bergolak dan tidak stabil. Dalam iklim politik tidak menentu ditambah ancaman polarisasi, keutuhan perpaduan golongan majoriti faktor paling kritikal menjamin kestabilan, keamanan dan kesejahteraan, Sebagai warga majoriti, umat Islam Malaysia berkewajipan menyahut seruan perpaduan, selain memanfaatkannya memperjuangkan agenda politik Islamik  memperkasa umat, sekali gus memperbaharui sistem ekonomi untuk manfaat semua.

Perhatikan, negara lain lebih matang demokrasi juga bergolak politik; namun ekonomi tetap berupaya berkembang maju menjamin kesejahteraan. Lihat Israel sebagai contoh.  Sekalipun politiknya bergolak, Israel tetap tidak boleh digugat sesiapa, termasuk negara jiran Arab jauh lebih besar bilangan penduduk. Rahsianya: Israel memperkasa institusi pertahanan, keselamatan, perundangan, bisnes dan korporat; juga kebebasan suara rakyat dan media.

Malaysia juga wajib bertindak demikian. Keutamaan paling penting ialah membina dan memupuk institusi GLC amanah dan koperasi, diiringi institusi Waqaf Korporat memperkasa ekonomi, selain berperanan menegakkan keadilan dan memakmurkan negara dan rakyat berpanjangan.

*Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia
(DPIM) ali.bizjihad@yahoo.com