Untuk memperkasa ekonomi Melayu dan Bumiputera, sasaran matlamatnya mesti 70 peratus, bukan lagi 30 peratus seperti di bawah DEB sebelum ini!” Itulah kesimpulan hujah saya pada perbincangan panel program Landskap siaran langsung RTM TV1 dihoskan Syed Munawar minggu lalu.

Perbincangan disertai bersama dua ahli panel berwibawa, iaitu Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Timbalan Naib Canselor, UKM dan Datuk Suhaimi Shahadan, mewakili Pemuda Umno.

Penulisan ini tidak bertujuan melaporkan atau mengulas seluruh perbincangan panel, justeru tidak ditumpukan kepada pandangan bernas dan input bernilai tinggi khasnya daripada dua rakan tokoh ahli panel yang sangat saya hormati. Artikel ini saya tulis khusus untuk memperjelas mesej utama yang saya sampaikan yang mungkin dianggap kontroversi, bertujuan mengelakkan kekeliruan fahaman atau salah interpretasi.


Tidak perkasa tanpa berdikari

Sesungguhnya cita-cita memperkasa ekonomi sesuatu yang wajib diperjuangkan supaya bangsa Melayu tidak terus ketinggalan, bergantung hidup dan berpanjangan meminta-minta. Cabaran terbesar bangsa Melayu (dan Bumiputera amnya) ialah bagaimana memperkasa ekonomi tanpa terus bergantung atau dependent kepada sesiapa, sekali pun kepada kerajaan sendiri!  

Demikian juga, Melayu bukan bangsa perkasa jika dalam proses memperjuangkan ekonomi mereka kehilangan jati diri dan pegangan nilai hidup yang lebih tinggi maknanya; misalnya, jika akhirnya mereka menjadi rakus, korupsi, rendah akhlak, materialistik, duniawi dan nafsu-nafsi.  

Jelas sekali, memperkasa juga bermaksud akhlak dan nilai budaya Melayu berteraskan agama mereka, iaitu agama Islam, turut diperkasa dan tidak dikompromikan, supaya akhirnya bangsa Melayu dan agama Islam tidak lagi dipandang rendah atau diperlekeh oleh sesiapa.

Justeru, dalam perbincangan panel di kaca TV saya telah menzahirkan beberapa kritik membina terhadap agenda terbaru kerajaan “Memperkasa ekonomi Bumiputera” (MEB) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, di kampus UITM Shah Alam pada Sabtu, 14 September lepas.

Pertama-tamanya, saya berpendapat MEB tidak sempurna jika kerajaan menerajui dan mendominasi segala-galanya, memperuntukkan jumlah wang besar dan berbelanja berbilion ringgit, namun akhirnya Melayu terlepas hak milik berpunca kebocoran dan ketirisan sistem. Salah satu punca utama kebocoran hak milik Melayu berlaku setelah aset dan bisnes kerajaan, khasnya milik GLC, diswastakan dan kemudiannya terlepas kepada orang lain.    


Teras strategi 70 peratus

Jelas sekali, MEB tidak menepati aspirasi bangsa selagi kebocoran berpunca daripada korupsi, pecah amanah dan keangkuhan kuasa dibiarkan berleluasa menyebabkan mustahil dicapai penguasaan ekonomi 70 peratus oleh Melayu dan semua Bumiputera.

Persoalan selanjutnya: Kenapa 70 peratus sedangkan jumlah penduduk Bumiputera Malaysia lebih rendah daripada itu? Jawapannya: MEB harus menepati aspirasi nasional tanpa mengetepikan mana-mana pihak. Justeru, sasaran 70 peratus inklusif warga miskin berpendapatan rendah semua kaum dan keturunan, termasuk semua golongan Cina dan India miskin yang wajar turut mendapat pembelaan.  

Sasaran 70 peratus juga penting dari sudut psikologi Melayu. Pada saya, kegagalan mencapai sasaran DEB 30 peratus mengesani minda Melayu-Bumiputera hingga ramai seolah-olah menjiwainya dengan sikap dan persepsi lemah dan negatif. Saki baki “sindrom 30 peratus” ini berbahaya dibiarkan berpanjangan. Ia melemahkan semangat dan mematikan keyakinan, sekali gus mengakibatkan Melayu miskin cita-cita dan kecil jiwa. Justeru, sindrom 30 peratus ini wajib dibuang dan dikikis habis-habisan, digantikan lonjakan MEB 70 peratus.

Persoalan berbangkit: Jika 30 peratus DEB tidak tercapai, tidakkah sasaran 70 peratus terlalu tinggi untuk dicapai? Tidakkah sasaran tinggi dan “ambitious” ini akan langsung menghampakan, mengecewakan dan mematahkan semangat Melayu jika gagal dijayakan kemudian nanti?

Sebenarnya bukan ini soalan yang harus Melayu ajukan kepada bangsa sendiri. Soalan yang lebih relevan untuk dijawab oleh bangsa Melayu ialah: Apakah tindakan yang boleh kita semua lakukan dan apa bentuk strategi yang wajib kita susun untuk membolehkan dan memangkinkan Melayu dan Bumiputera mencapai sasaran 70 peratus ini?

Saya berpendapat lima pembaharuan strategi berikut wajar dilaksanakan untuk memperkasa Melayu:-   

1. Diperhatikan MEB menganjurkan konsep “Penswastaan Terpilih”. Sewajarnya dihentikan semua bentuk penswastaan GLC kerana penswastaan sumber terbesar kebocoran hak milik. Sebaliknya GLC mesti diketengahkan dan dikekalkan sebagai institusi utama peneraju bisnes strategik negara dengan mengiktiraf mereka sebagai institusi Korporat Amanah Negara.

2. Pelaksanaan MEB mesti tegas menjauhi kaedah berciri korupsi, kroni, rakus, tidak adil dan tidak telus. GLC selaku institusi Korporat Amanah Negara wajib diurus tadbir secara korporat profesional berautonomi sepenuhnya, ditambah dengan menegaskan harta milik GLC sebagai amanah ALLAH dan semua pengurus harta terbabit sebagai “khalifah” bertanggungjawab menyempurnakan amanah terhadap harta menepati Maqasid Syariah.

3. Perkenalkan strategi berkesan membasmi ketidakadilan dan pelebaran jurang kaya-miskin. Untuk itu, konsep mengutamakan pembangunan usahawan Melayu dan Bumiputera “Superb” (“Super Bumiputera” atau “Superman Bumiputera”?) berciri individualistik mengikut model kapitalis Barat wajar digantikan dengan mengetengahkan konsep CEO GLC amanah sebagai “intrapreneur”. Intrapreneur adalah “entrepreneur amanah”, iaitu “Khalifah Bisnes” yang memimpin institusi Korporat Amanah negara tanpa kepentingan milik korporat peribadi, menerajui GLC hingga berjaya ke peringkat antarabangsa sekali pun.

4. Untuk berjaya, agenda MEB mesti menggunakan pendekatan dan kaedah pasaran dan pro bisnes, bukan lagi kaedah pacuan dasar di bawah arahan politik kerajaan.  Pembaharuan strategi mesti membabitkan GLC ditransformasikan menjadi “business-driven” sepenuhnya, diberi autonomi tanpa campur tangan politik dan birokrasi kerajaan.

Beberapa GLC terpilih (antaranya, FELDA atau FGV, JCorp dan PKNS) wajar ditransformasikan menjadi badan Waqaf Korporat untuk mempertahan milik Melayu supaya kekal berpanjangan menghimpun harta kekayaan, menambah nilai generasi demi generasi. Matlamat akhirnya ialah memperkasa ekonomi bangsa hingga Melayu berjaya menerajui ekonomi negara.

5. Tentukan pada jangka panjangnya sistem ekonomi negara bukan lagi diterajui dan didominasi swasta semata-mata, malahan didampingi organisasi korporat milik jemaah semua warga negara (menerusi institusi GLC, koperasi dan Wakaf Korporat). Untuk itu, MEB dituntut menjadikan hak milik institusi teras strategi, membabitkan gandingan institusi GLC + Koperasi + Wakaf Korporat bersama kepentingan swasta menjana harta kekayaan memacu pertumbuhan masa depan ekonomi berlandaskan
persaingan bebas.  


Jangan biarkan swasta membolot semua

Kesimpulannya, mustahil bangsa Melayu berjaya memperkasa ekonomi tanpa transformasi. Jika kita terus mengikut sepenuhnya kaedah lama berteraskan kaedah penswastaan nafsu-nafsi tanpa transformasi, sekalipun kemajuan yang dikejar kita dapat, yang dikendung lebih bernilai tinggi, termasuk keadilan dan kesaksamaan serta akhlak bangsa dan nilai budaya suci mulia, akan semuanya dikompromikan dan akhirnya bertaburan terlepas daripada genggaman.  

Pembaharuan dan transformasi mengikut strategi yang diutarakan bukan sesuatu yang mustahil dilaksanakan, terutama kerana organisasi teras, iaitu GLC dan koperasi sedia terdapat dalam sistem ekonomi Malaysia. Yang diperlukan ialah GLC dan koperasi diperkasa, diamanah dan diberi autonomi dengan penuh disiplin pasaran bertindak “business-driven” menjana nilai menghimpun harta berpanjangan.

Perhatikan, gandingan perkasa antara swasta dan GLC ini telah sedia ada model  dan contoh paling berkesan di peringkat global. Republik Rakyat China berjaya menjadi kuasa kedua terbesar ekonomi dunia setelah mentransformasikan sistem ekonomi daripada dimonopoli atau dipacu kerajaan sepenuhnya kepada sistem dipacu bersama oleh GLC dan swasta China.  

Perhatikan: 70 peratus daripada nilai modal pasaran (market capitalization) syarikat tersenarai di bursa saham China kini dimiliki dan dikuasai state-owned enterprise milik pemerintah negara terbabit, iaitu GLC China.

* Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)