KENYATAAN media Kulim Malaysia Bhd (Kulim), syarikat anak Johor Corporation (JCorp) iaitu GLC milik kerajaan Johor, di halaman bisnes terbitan akhbar nasional berbahasa Inggeris minggu lalu menarik perhatian.

Kulim mengumumkan hasrat menyenaraikan syarikat kumpulannya dalam bisnes perkapalan dan pembekalan logistik, iaitu E A Technique Berhad (E.A.Technique). Penyenaraian dijangka disempurnakan sebelum akhir 2014.

E.A.Technique salah satu daripada hampir 80 syarikat intrapreneur JCorp dibangunkan sejak pertengahan 1980an, mengendali berbagai aktiviti bisnes bertujuan memperkukuh ekonomi bangsa. Justeru, penyenaraian E.A.Technique sangat memberangsangkan.

Selain menjadi bukti nyata kejayaan program pembangunan intrapreneur JCorp, ia turut membawa implikasi besar sangat positif kepada peranan masa depan GLC keseluruhannya.


E A Technique syarikat unik

Selaku Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) berulang kali saya tegaskan pendirian DPIM supaya GLC tidak diswastakan. Sebaliknya GLC diketengahkan sebagai korporat induk penggalak dan pemangkin bisnes dan korporat Melayu bertumbuh dan membesar sehingga ke peringkat paling tinggi mungkin.

Kejayaan E.A.Technique, yang bermula sebagai syarikat milik swasta, membuktikan kewajaran pendirian DPIM. Lebih penting, ia bukti nyata matlamat memperkasa ekonomi Melayu boleh dijayakan mengguna cara bisnes dan kaedah korporat GLC tanpa membebankan kerajaan.

Secara peribadi saya bersyukur kerana sewaktu E.A.Technique memutuskan menjadi syarikat anak kumpulan JCorp pada 11 Ogos, 2006, saya di amanahkan menerajui JCorp selaku CEO, sekali gus dilantik Pengerusi E.A.Technique. Tanggungjawab ini saya pikul sehingga mengundur diri setelah terpaksa meletakkan jawatan CEO JCorp serta merta pada 28 Julai, 2010.

Sesungguhnya, E.A.Technique syarikat luar biasa lagi unik. Ia satu-satunya syarikat Bumiputera berjaya sanggup melepaskan saham majoriti milik pengasasnya menjadi syarikat anak JCorp sebagai sebuah GLC. Apa rasionalnya E.A.Technique bertindak demikian?

Pada saya, mungkin pertimbangan utama pengasasnya ialah hasrat memanfaatkan keupayaan tinggi korporat yang ada pada JCorp bertujuan memudahkan pembesaran dan pengembangan syarikat memangkinkannya lebih cepat disenaraikan di Bursa Malaysia. Satu lagi kemungkinan ialah pengasasnya tertarik nilai perjuangan Jihad Bisnes yang gigih diamalkan kumpulan JCorp.

Apa pun, saya pasti pengasas E.A.Technique mempertimbang dan menilai dengan penuh teliti dua alternatif besar untuk dipilih. Pertama, terus pegang majoriti saham syarikat menanggung sendiri semua risiko bisnes dengan keupayaan terhad.

Kedua, jual bahagian saham majoriti menikmati keuntungan modal segera, di samping mendapatkan akses sokongan korporat GLC.

Pengasas E.A.Technique bertekad memilih alternatif kedua, iaitu menjual 51 peratus saham miliknya kepada kumpulan JCorp.

Pada saya, pemilihan alternatif kedua sangat tepat. Kapasiti kapal E.A.Technique berjaya ditambah sehingga menjadi syarikat perkapalan kedua terbesar di Malaysia bagi kategori syarikat pengangkut minyak dan gas petroleum, selepas Malaysian International Shipping Corporation (MISC) milik Petronas.

Modal berbayarnya juga ditingkatkan sehingga berjumlah RM44.04 juta pada akhir 2010, sebahagian besarnya disuntik oleh syarikat kumpulan JCorp.


Menyempurnakan janji amanah GLC

E.A.Technique ditubuhkan pada 1993 sebagai syarikat milik keluarga Dato’ Abdul Hak Md Amin, pengasas dan Pengarah Urusannya. Abdul Hak tidak mensia-siakan pengalamannya lebih 38 tahun dalam bidang perkapalan.

Beliau tidak berpuas hati menjadi eksekutif atau pengurus kanan makan gaji sepanjang hayat, setinggi mana gajinya sekali pun, lalu bertindak berani mengambil risiko melabur menjadi usahawan entrepreneur menerajui bisnes milik sendiri.  

Syarikat Abdul Hak tidak menjelma menjadi syarikat besar dalam sekelip mata. Seperti kebanyakan syarikat gergasi dunia, ia dibina daripada bisnes berskala kecil bertaraf perusahaan kecil dan sederhana atau PKS.

Tanpa usaha gigih, keringat dan perit jerih, serta kesabaran, kegagahan dan pandangan jauh Abdul Hak mengatasi segala cabaran dan rintangan, tidak mungkin bisnes E.A.Technique berkembang membesar sehingga ke tahap penyenaraian.

Pembabitannya dalam bidang perkapalan bermula pada usia 18 tahun ketika menuntut di Akademi Maritim Indonesia sehingga berjaya mendapat Ijazah dalam bidang Kejuruteraan Marin.

Beliau kemudian meredah ombak badai di lautan biru menjelajah dunia mendalami ilmu maritim, menimba pengalaman dan mengasah bakat selama tujuh tahun selaku shipboard engineer dengan syarikat perkapalan negara, MISC.

Selepas itu, keupayaan dan kemahiran operasi bisnes perkapalan beliau diluaskan lagi dengan bekerja selama lapan tahun di syarikat perkapalan Norway, Des Norte Veritas.

Abdul Hak bercita-cita tinggi. Tidak seperti syarikat perkapalan biasa milik bumiputera lain, beliau bercita-cita membesarkan usaha bisnes perkapalannya menjadi korporat terbilang.

Beliau tidak mahu ikut jejak beberapa syarikat perkapalan milik Melayu berjaya, terlepas tangan apabila pemiliknya meraih untung segera menjual kepentingan kepada orang lain.

Ketika membeli saham majoriti E.A.Technique, sebagai CEO JCorp saya berjanji kepada Abdul Hak memberi segala sokongan korporat JCorp memangkin beliau melangkah lebih cepat dan lebih jauh ke depan.

Penyenaraian di Bursa Malaysia juga turut dijadikan matlamat bersama.

Untuk itu, keutamaan paling tinggi ialah melipat-gandakan kapasiti kapal milik E.A.Technique. JCorp mengotakan janji sepenuhnya apabila berjaya meningkatkan kapasiti kapal lebih sepuluh kali ganda; daripada 15,000 tan dwt pada Ogos, 2006 (ketika JCorp mula menjadi pemilik saham majoriti) kepada melebihi 150,000 tan dwt pada akhir September, 2010 (ketika saya

melepaskan jawatan Pengerusi, E.A.Technique). Jualan tahunan E.A.Technique juga meningkat berlipat ganda. Daripada jumlah sekitar RM40 juta pada 2006, jualan bertambah tiga kali ganda kepada lebih RM120 juta pada 2013.


Merealisasi aspirasi DEB tanpa DEB

Pengajaran besar daripada pengalaman E.A.Technique sangat relevan kepada usaha masa depan membangun usahawan Melayu. Iaitu, tanpa daya keusahawanan, kegagahan dan kegigihan usahawan individu seperti Abdul Hak, mustahil syarikat seperti E.A.Technique dapat menyerlah. Juga, tanpa akses kepada sumber dan sokongan GLC (seperti JCorp), tidak mungkin E.A.Technique dapat melonjak dan melipatgandakan prestasi dengan pesat dan meyakinkan.

Kesimpulannya, daya keusahawanan tinggi entrepreneur individu apabila digandingkan dengan keupayaan korporat GLC lebih mudah menghasilkan kejayaan besar untuk manfaat semua.

Pengalaman E.A.Technique bersama JCorp juga membuktikan konsep GLC sebagai korporat induk mendokong bisnes usahawan satu strategi institusi canggih lagi sangat berkesan memperkasa ekonomi Melayu supaya berkesinambungan berdaya saing dan berdaya tahan.

Paling penting diperhatikan: Kejayaan E.A.Technique dicapai menggunakan sepenuhnya kaedah bisnes dan pendekatan korporat tanpa campur tangan, juga tanpa membebankan kerajaan.

Justeru, kejayaan JCorp sebagai GLC business-driven satu model strategi institusi memangkin bangsa Melayu terus memperjuangkan pencapaian aspirasi DEB sekalipun setelah DEB tamat.

Dalam kata lain, menerusi model strategi pembangunan intrapreneur JCorp, matlamat dan aspirasi suci DEB menegakkan keadilan ekonomi merapatkan jurang kekayaan boleh Melayu jayakan.

Lebih daripada itu, pembinaan critical mass syarikat cemerlang milik Melayu seumpama E.A.Technique berpotensi memperkasa ekonomi Melayu menghimpun kapasiti bisnes dan korporat hingga berupaya menerajui ekonomi negara satu hari nanti, insya-Allah.