Minggu lalu saya menyampaikan ceramah atas undangan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia di Genting Highlands dengan tajuk kepimpinan organisasi cemerlang. Dalam ceramah kepimpinan, kita banyak mendengar huraian ciri kepimpinan unggul dan bagaimana organisasi dapat manfaatkan kehebatan peribadi pemimpin mencapai prestasi luar biasa. Tidak banyak kita dengar ceramah kepimpinan fokus kepada memupuk pengikut cemerlang.

Saya memfokuskan ceramah kepada tugas dan kewajipan besar pemimpin organisasi memupuk ciri “kepengikutan” atau followership cemerlang. Saya berpendapat dimensi kepengikutan cemerlang penting ditekankan dalam usaha mencemerlangkan organisasi Malaysia.

Organisasi tidak mungkin berkelangsungan cemerlang sekali pun terdapat kehebatan peribadi pemimpin di puncak hierarki tanpa kewibawaan pengikut. Tegasnya, kepengikutan cemerlang atau excellent followership prasyarat kepada kecemerlangan berpanjangan organisasi.


Gaya kepimpinan abad 19 untuk organisasi abad 21?

Tema utama ceramah saya ialah pada kata-kata hikmah yang menegaskan: “Seorang pemimpin baik membina keyakinan pengikut terhadap diri dan kepimpinannya. Seorang pemimpin agung membentuk semangat dan keyakinan dalam diri pengikutnya.” (A good leader inspires men to have confidence in him. A great leader inspires men to have confidence in themselves.)

Justeru, mengupayakan dan memperkasa pengikut sangat penting, terutama dalam konteks bangsa Malaysia membangun ekonomi, sosial dan politik untuk mengatasi cabaran abad ke-21. Masyarakat Malaysia abad ke-21 pasti bercorak masyarakat organisasi atau a society of organizations sama seperti negara maju lain. Kemajuan dan kelajuan pencapaian masyarakat organisasi pula sangat berkait rapat dengan keberkesanan organisasi, sama ada bisnes (termasuk korporat swasta, GLC atau koperasi), sosial (NGO) atau badan politik.

Perhatikan, negara lebih maju daripada Malaysia semuanya mempunyai keupayaan organisasi lebih tinggi, efisien, berkesan dan canggih daripada kita. Justeru, keberkesanan organisasi wajar mendapat perhatian utama masyarakat. Keberkesanan organisasi pula tidak hanya boleh bergantung kepada ketokohan pemimpin atau CEO tanpa didampingi dan didokong kehebatan pengikut umumnya.

Dalam ceramah saya umpamakan organisasi Malaysia seperti kereta api lama yang terlalu bergantung kepada kepala kereta api untuk bergerak menarik semua gerabak. Maksudnya, organisasi bisnes, politik dan sosial Malaysia banyak menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada pemimpin di puncak organisasi, mengharapkannya menyelesaikan segala masalah. Justeru kepemimpinan satu tanggungjawab peribadi besar, sehingga menjadi satu beban berat.

Sistem organisasi bercorak kereta api lama tidak menurunkan kuasa dan keupayaan kepada gerabak pengikutnya. Budaya organisasi kereta api lama, (sama seperti banyak organisasi bisnes dan politik Malaysia hari ini), tidak menggalakkan anggota mengasah bakat dan menonjol keupayaan. Kepala kereta api memonopoli segalanya.

Justeru, tidak ramai pengikut berani bersuara, terutama dengan pandangan kontra. Ramai keberatan menginisiatifkan pembaharuan dan perubahan, menjadikan organisasi beku, kejang dan jumud. Lagi banyak jumlah gerabak, bertambah besar beban pemimpin, menyebabkan kereta api lama (seperti KTM) kerap tidak menepati masa, lambat, mudah rosak dan tergelincir.

Sebaliknya, kecanggihan kereta api teknologi tinggi Jepun, Korea Selatan, Republik Rakyat China, Eropah dan negara maju lain mencerminkan budaya organisasi cergas dan dinamis. Umumnya mereka menepati masa. Paling menarik perhatian, mereka sangat pantas dan laju. Perhatikan, kepantasan dan kelajuan dimangkin setelah teknologi canggih memberi tenaga dan kuasa kepada setiap gerabak, juga kepada setiap roda. Bayangkan pengertian simboliknya, jika semua anggota dalam organisasi, setiap pengikut bertenaga sendiri, diperkasakan dan empowered.

Kebimbangan saya, budaya organisasi Malaysia bukan sahaja berciri seumpama kereta api lama, mengguna teknologi abad ke-20 untuk menghadapi cabaran abad ke-21. Paling berbahaya, hari ini terdapat trend di beberapa organisasi Malaysia seolah-olah bertindak mengitar semula amalan budaya kepemimpinan lapuk yang diwarisi dari abad ke-19!

Saya berkata demikian kerana banyak ciri warisan budaya zaman dahulu masih kita amalkan dalam organisasi kita hari ini. Dalam artikel minggu lalu saya nyatakan kita banyak mewarisi dan mengamalkan ciri budaya melukut, feudal dan penjajah dalam organisasi, menjadikannya antara punca utama kelemahan.


Pantang organisasi kerdilkan jiwa

Sebagai bukti, hari ini hampir semua organisasi Malaysia masih “mengkakitangankan” warga kerja, sekali pun cabaran abad 21 menuntut organisasi menjadi knowledge dan tecnology-driven.  Mustahil kita peroleh hasil terbaik dan input cemerlang daripada warga kerja yang tidak sempurna sifat dan dipandang rendah martabat insannya. Mana mungkin organisasi manfaatkan ilmu pengetahuan, hikmah dan kebijaksanaan jika pengikutnya tidak berkepala dan berotak serta tidak berdada dan berhati perut?

Malangnya, tidak banyak organisasi pimpinan anak bangsa bertindak memperbaharui sikap dan mengubah pandangan sarwa (worldview) pengikut, jauh sekali daripada memperkasa dan mengempower mereka. Malahan terdapat pemimpin yang senang dan selesa dengan kejumudan dan kekejangan organisasi, memudahkan mereka bersama kroni bermaharajalela membolot kuasa. Mereka sibuk terbang tinggi bersama Superman, sementara warga organisasi kekal dengan sikap melukut, berjiwa kecil dan bersemangat kerdil warisan zaman silam.

Bahayanya, terdapat tanda-tanda budaya kepimpinan abad ke-19 sedang aktif diaplikasi dan diamalkan GLC Malaysia seperti JCorp. Warga kerja organisasi semakin seolah-olah hendak “diabdikan” seperti di zaman dahulu kala, supaya taat setia membuta-tuli tanpa soal.

Ramai pengikut seolah-olah “kena picit dan perah dan ramas di tangan pemerintah-pemerintahnya yang pada zaman dahulu… iaitu dari bangsa mereka sendiri.” (Za’aba).

Ini boleh berlaku apabila organisasi GLC dikerajaankan, diminta mematuhi semua arahan, perintah dan titah tanpa soal. Warga kerja diperbudak dan ditakut-takutkan. Kadang kala sistem spy dan informant digunakan berleluasa dalam organisasi, mematikan semangat, menakutkan semua, langsung mengkerdilkan jiwa. Kesannya seluruh organisasi berjiwa budak atau hamba. Meminjam istilah Prof Hamka, warga organisasi seperti ini “…akan terus menyerahkan saja pada nasib dan berjiwa budak (hamba), bertuhankan manusia, takut kepada segala orang yang berpangkat…” dan berkuasa.


Pengikut bukan untuk diperalat

Sampai ke tahap itu, pengikut dan warga kerja dipandang semata-mata alat untuk memenuhi segala kehendak dan nafsu pemimpin dan Superman berkuasa. Adakalanya budaya seperti ini sengaja dibentuk dalam organisasi, memudahkan pengikut dan warga kerja diperalat dan diperkosa jati diri. Ramai pengikut dipaksa melakukan perkara batil, haram dan mungkar; termasuk menyalahgunakan kuasa, mengutamakan kroni, pilih kasih kontrak dan bekalan, menswasta dengan cara tidak adil, atau langsung rasuah dan korupsi.

Kesimpulannya, selagi pemimpin mengizinkan organisasi didominasi budaya memperkosa jiwa pengikut dan merendah martabat insan mereka, selagi itulah kita tidak dapat menyaingi kederasan dan kehebatan organisasi bangsa lain yang lebih maju. Untuk mengatasi kelemahan ini, saya menyarankan semua organisasi Malaysia, menyusun strategi budaya berkesan untuk kecemerlangan organisasi.

Bagi organisasi majoriti Muslim, prasyarat kejayaan dan keberkesanan strategi budaya wajib berlandaskan nilai Islam. Mustahil bangsa Melayu dan umat Islam diperkasa melalui kaedah tanpa berpegang teguh kepada Tali ALLAH.

Dalam menyusun strategi budaya, paling penting ialah mengiktiraf martabat pengikut dari perspektif Islam. Pengikut bukan lagi kakitangan atau manusia tidak sempurna. Islam melihat mereka sebagai insan kamil dan ahsanitaqwim, iaitu ciptaan ALLAH dalam bentuk yang sebaik-baiknya (al-Quran, 95:4). Pengikut juga harus dilihat sebagai khalifah berpotensi menerajui dan memperbaharui, meningkatkan prestasi dan mencemerlangkan organisasi.

Dalam kes GLC, koperasi dan badan korporat, institusi dan juga universiti, ini bermakna setiap pengikut adalah pemimpin masa depan, potensi CEO dan usahawan entrepreneur. Organisasi wajib membentuk suasana, budaya kerja, struktur dalaman dan sistem pengurusan yang dapat mengasah bakat mentransformasi pengikut melonjak ke sehingga ke puncak paling tinggi.


* Tan Sri Muhammad Ali Hashim ialah Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)