• muhammad ali hashim muhammad ali hashim
1 /

Keputusan mahkamah antarabangsa menyerahkan Pulau Batu Puteh menjadi milik Singapura pada Mei 2008 satu titik hitam sejarah negara, akibat kelemahan kendalian dan kecuaian pentadbiran kita sendiri. Ia tamparan memalukan dan pengajaran pahit buat Johor khasnya dan Malaysia amnya.

Peristiwa ini menuntut kita waspada dan segera bertindak berani melindungi aset strategik negara, termasuk saham milik GLC, daripada terlepas pegangan.

Selain tragedi Batu Puteh, rakyat Malaysia di Johor khasnya resah dan bimbang andainya hak milik harta dan tanah seperti di Wilayah Iskandar, juga akhirnya bolos terlepas kepada orang lain. Pertumbuhan pesat ekonomi dan penjanaan peluang kerja baru dialualukan.

Namun risiko akhirnya semua cuma menguntungkan kepentingan asing sangat tidak disenangi. Justeru Malaysia amnya dan Johor khasnya tiada pilihan selain mencari formula mengekalkan dan mengebalkan hak milik aset dan harta, termasuk semua kepentingan bisnes strategik negara.

Kekalkan dan kebalkan milik harta

Dalam pembentangan panel Forum Negara anjuran Majlis Perhimpunan Melayu (MPM) di Dewan Bankuet Parlimen baru-baru ini, antara lain, saya
cadangkan supaya Johor Corporation, juga GLC Amanah negara seumpamanya, diwakafkan.

Inilah satu-satunya langkah strategik yang boleh kerajaan Johor laksanakan untuk menyelamat dan melindungi kepentingan jangka panjang aset korporat Johor milik bangsa daripada dicerobohi dan akhirnya terlepas tangan.

Tanda-tandanya jelas. Percayalah, jika kita tidak berbuat apa-apa pembaharuan dan cuma mengulangi melakukan semua mengikut cara dan kaedah yang diamalkan selama ini, sejarah kelemahan lama pasti berulang dan kita akan kehilangan banyak Pulau Batu Puteh lain satu hari nanti. Sesungguhnya ALLAH SWT tidak akan mengubah nasib selagi kita tidak ubah apa yang ada pada diri kita.

Justeru, kita tiada pilihan selain memperbaharui destini masa depan, memanfaatkan semua kekuatan institusi, terutama institusi Islam seperti wakaf kurniaan ALLAH. Wakaf membolehkan hak milik harta kekayaan diserah kepada ALLAH supaya manfaatnya kembali memakmur dan menyejahterakan umat, selain pahala jariah dan barakahnya juga berkekalan.

Johor mendahului memperbaharui peranan wakaf dengan menubuhkan Waqaf An Nur Corporation Bhd (WANCorp), iaitu institusi Waqaf Korporat pertama untuk manfaat besar rakyat jelata, terutama umat Islam. WANCorp terbukti keberkesanannya, justeru tiba masanya seluruh organisasi JCorp, iaitu semua aset, harta dan bisnes miliknya, diwakafkan kepada WANCorp untuk menjamin kesinambungannya.

Sesungguhnya WANCorp sesuai menjadi korporat induk memiliki semua aset, harta dan bisnes JCorp. Perhatikan: Bermula dengan perwakafan saham PLC milik JCorp bernilai RM250 juta pada 2006-2007, nilai aset wakaf WANCorp melonjak melebihi RM575 juta pada akhir 2012. Bayangkan jika JCorp diwakafkan.

Seluruh aset Kumpulan JCorp bernilai melebihi RM17 bilion dan saham syarikat kawalannya dianggar melebihi RM20 bilion hari ini (atas kadar nilai modal pasaran atau market capitalization dan nilai aset bersih) kekal menjadi milik ALLAH untuk manfaat rakyat, termasuk generasi masa depan bangsa dan umat.

Menguruskan WANCorp juga bukan satu masalah dan mudah dilakukan mengguna sepenuhnya barisan pengurusan berkaliber JCorp seperti ada sekarang. Pengurusan profesional, amanah dan berhikmah tanpa campur tangan merosakkan pihak tidak bertanggungjawab boleh melipatgandakan keupayaan WANCorp menambah nilai menjana ekonomi negeri dan negara, insya-Allah berkekalan memanfaatkan semua.

Penswastaan Islamik

Kenapa JCorp perlu diwakafkan kepada WANCorp dan tidak diteruskan atas kerangka yang ada? Kerana tanpa dipagar dan dikebalkan saham JCorp melalui wakaf, semuanya terdedah kepada risiko penswastaan kepada individu atau pencerobohan pemangsa swasta, kerabat dan kroni korporat liar dan buas, seperti banyak berlaku kepada aset dan harta milik GLC sebelum ini.

Rakyat Johor sangat bimbang andainya JCorp diswasta atau diperibadikan, jika tidak hari ini, mungkin esok atau lusa. Mereka juga tidak mahu tragedi kecuaian dan kelemahan Pulau Batu Puteh menjangkiti JCorp dan GLC lain. Mewakafkan aset dan saham boleh menjauhkan semua ini.

Lagi pun, perwakafan sebenarnya juga satu kaedah “penswastaan”, kerana dari sudut undang-undang badan wakaf seperti WANCorp bukan milik kerajaan.

Namun penswastaan cara wakaf satu kaedah paling adil lagi Islamik, mencantumkan dua kelebihan hebat: Pertama, kekebalan, kelestarian dan barakah wakaf; kedua, keupayaan entiti korporat bertindak cergas dan dinamis menambah nilai dan menjana harta kekayaan berlandaskan amalan korporat terbaik sejagat.

Jelas disaksikan sistem kapitalis konvensional pacuan korporat ciptaan Barat sangat efisien dan berkesan menjana harta kekayaan memakmur dan memperkaya semua yang berjaya. Namun, dalam masa sama, impak negatifnya juga kelihatan semakin merosakkan kehidupan manusia.

Kelemahan kapitalis terdapat pada kesan rakus greed-driven dan nafsunafsinya. Hari ini semua negara Islam menciplak sistem sama,  mengakibatkan kemungkinan besar krisis ekonomi yang kini mengancam negara Eropah menjangkiti mereka satu hari nanti.

Demikian juga, Malaysia sebagai negara majoriti Muslim, berpotensi diancam ledakan pemberontakan seperti tercetus di beberapa negara Arab menentang kerakusan kapitalis kontradiksi nilai hidup Islam.

Memperbaiki kerosakan sistem kapitalis rakus Malaysia wajib bertindak mengatasi ciri rakus amalan kapitalis.

Institusi Waqaf Korporat salah satu jalan keluar terbaik, iaitu dengan wakafkan GLC strategik negara dan menggalakkan korporat swasta Muslim wakafkan saham dan bisnes mereka. Melalui wakaf kita berpeluang suntik nilai zuhd bisnes (selflessness) Islam, integrasikan ciri keadilan langsung ke dalam struktur korporat.

Dalam kalangan GLC Malaysia, JCorp adalah paling sesuai diwakafkan terlebih dahulu kerana ia mudah dilaksana menerusi WANCorp sedia ada. Dijangkakan tindakan mewakafkan JCorp pasti mendapat tentangan banyak pihak, termasuk terutamanya halangan politik.

Fokus hujah anti-wakaf, antara lain, pasti menegaskan, sebagai agensi kerajaan, JCorp berkewajipan melindungi kepentingan semua warga negara, dan bukan eksklusif Melayu dan umat Islam.

Jawapannya mudah sekali. JCorp ciptaan DEB, berjaya dibina sampai ke tahap korporat berbilion RM terutama atas semangat juang bangsa dan keringat serta daya keusahawanan, kegigihan dan kegagahan eksekutif dan warga kerja Melayu-Muslimnya.

Justeru perwakafannya ikut acuan Islam tidak harus dipersoal. Lagi pun, JCorp dibangun tanpa guna satu sen pun geran kerajaan atau sumber cukai duit rakyat. Tambahan pula tindakan mewakafkan JCorp tidak bertujuan eksklusif memanfaatkan Melayu dan umat Islam sahaja.

Perhatikan, majoriti doktor pakar KPJ Healthcare Bhd bukan Melayu dan bukan Muslim. Ramai kalangan mereka berjaya menjadi jutawan di bawah naungan JCorp. Profil staf, pesakit dan pelanggan rangkaian hospital KPJ, juga di Kulim, KFC dan semua bisnes JCorp lainnya, semuanya tidak eksklusif Melayu.

Tegasnya, JCorp tidak pernah bersikap eksklusif Melayu, dan demikian juga WANCorp. Sekali pun wakaf institusi Islam, agihan manfaatnya terbuka luas.

Sebagai contoh, program kebajikan pesakit miskin kendalian rangkaian klinik dan Hospital Waqaf An Nur di bawah KPJ di seluruh negara (dengan bayaran hanya RM5 mendapat rawatan doktor bersama ubatan) terbuka kepada semua.

Daripada jumlah 885,400 pesakit mengunjungi rangkaian 18 klinik dan Hospital Waqaf An Nur sejak ditubuhkan, lebih 62,120 pesakit miskin bukan Muslim memanfaatkannya, sekalipun lokasi sebahagian besar Klinik Waqaf An Nur di pekarangan masjid!

Kesimpulannya, tiba masanya Malaysia mendahului memperbaharui sistem ekonomi dengan mengintegrasikan nilai Islam, terutama ciri keadilan Islam, ke dalam struktur ekonomi negara. Kaedah terbaik ialah membina critical mass institusi Waqaf Korporat negara.

Pembaharuan boleh dimulakan dan dirintis jalannya dengan mewakafkan semua aset, saham dan bisnes milik JCorp kepada WANCorp; disusuli kemudiannya perwakafan aset strategik milik semua GLC amanah. Matlamat utama jangka pendek Waqaf Korporat bertujuan membentengi dan melindungi bisnes strategik GLC daripada bolos diswasta, diperibadi atau diperdagangkan.

Pada jangka panjangnya, institusi Waqaf Korporat berupaya menyusun semula struktur hak milik ekonomi negara, menentukan harta kekayaan negara tidak berputar atau “hanya beredar di antara orang-orang kaya” dalam masyarakat. (Lihat al-Quran, Surah Al Hasyr, 59:7). Waqaf Korporat berpotensi mengelakkan harta kekayaan negara daripada akhirnya dibolot semuanya oleh segelintir swasta kaya-raya rakus nafsu-nafsi.



* Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) ali.bizjihad@yahoo.com