SAYA yakin majoriti terbesar rakyat Malaysia menyanjung tinggi keberanian, ketegasan dan keikhlasan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sultan Perak apabila baginda bertitah menyeru semua warga Malaysia bangkit berjihad memerangi rasuah dalam satu acara sempena ulang tahun BPR/SPRM pada1 Oktober, 2014.

Titah baginda Sultan merupakan peringatan yang sangat tepat pada masanya, kerana terdapat tanda-tanda rasuah semakin berleluasa, berpotensi menjadi satu ciri budaya perosak bangsa yang boleh membawa kepada kehancuran dan kemusnahan negara.

Rasuah dan korupsi bukan perkara baru dalam sejarah pembangunan bangsa dan negara. Tun Sri Lanang dalam Sejarah Melayu membayangkan rasuah salah satu punca kelemahan kerajaan Melaka yang antara lain akhirnya menyebabkan keruntuhan pemerintahan kesultanan Melayu Melaka, langsung memudahkan Melaka dijajah oleh Portugis.

Dalam memperkatakan rasuah Sejarah Melayu menggunakan istilah “menyorong”, iaitu istilah yang sesuai pada zamannya.


Tekanan hidup satu punca rasuah

Sultan Nazrin menegaskan rasuah di Malaysia berpunca daripada dua kategori utama. Pertama, golongan berpendapatan rendah dan miskin.

“...kumpulan yang terdesak, yang terpaksa melakukannya kerana kesempitan hidup; ketidakupayaan mengimbangkan gaji untuk membiayai keperluan asas harian.” Kedua, kalangan yang bersifat tamak-haloba, “...secara umumnya daripada kumpulan atasan, berjawatan penting, bernafsu tinggi, mengamalkan gaya hidup mewah - gaya hidup megah.”  

Baginda tegaskan, majoriti dalam kategori pertama, iaitu yang miskin dan terdesak “...sebenarnya tidak mahu melakukan rasuah.” Jelas sekali dalam suasana peningkatan kos sara hidup hari ini, golongan berpendapatan rendah dan miskin semakin tertekan dan terdesak.  

Selain itu, ramai yang berada dalam golongan berpendapatan sederhana kini turut tertekan diancam jatuh miskin.

Impak berbahaya daripada peningkatan kos sara hidup tidak harus dipandang ringan. Seperti diperingatkan oleh Islam menerusi maksud Hadis Rasulullah SAW: “Kefakiran (atau kemiskinan) boleh membawa kepada kekufuran”.

Apabila tekanan kemiskinan hidup menjejaskan ramai dalam masyarakat, bahaya kekufuran bukan lagi hanya mengancam individu dan keluarga tertentu, malahan mendedahkan seluruh masyarakat dan bangsa kepada risiko ancamannya.

Justeru, kerajaan wajib segera mencari formula berkesan menambahkan pendapatan rakyat bawahan, terutama meningkatkan kadar gaji pekerja.  Tidak mencukupi bagi kerajaan cuma menggunakan kaedah subsidi bersifat sementara seumpama BR1M, yang berpotensi membebankan dan lebih merugikan generasi hadapan.

Perhatikan: Purata kadar gaji pekerja swasta Malaysia jauh lebih rendah berbanding kadar gaji di beberapa negara Asia lain. Laporan Tahun 2012 Bank Pembangunan Asia (ADB) menyatakan pekerja Malaysia mendapat hanya 30 peratus bahagian gaji dan upah daripada jumlah nilai KDNK, berbanding 43 peratus bagi pekerja Korea Selatan dan 48 peratus pekerja Republik Rakyat China.

Ini bermakna golongan majikan dan kapitalis pemilik modal saham korporat Malaysia mengaut untung berlebihan jauh lebih tinggi, iaitu 70 peratus daripada KDNK, berbanding 57 peratus di Korea Selatan dan 52 peratus di Republik Rakyat China.

Ringkasnya, pekerja Malaysia umumnya lebih teruk ditindas dan dieksploitasi majikan berbanding dengan pekerja di Republik Rakyat China dan Korea Selatan.


Tamak-haloba lebih berbahaya

Salah satu sebab utama pekerja Malaysia lebih mudah dieksploitasi ialah kerana mereka tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada pemimpin korporat, pemilik syarikat dan penguasa politik negara. Juga, kerana kegagalan dan kelemahan Kesatuan
Sekerja Malaysia dalam memperjuangkan hak dan kepentingan pekerja.

Kelemahan ini ditambah-burukkan lagi apabila majikan swasta Malaysia berjaya menggunakan pengaruh politik membawa masuk terlalu ramai pekerja asing yang sanggup bekerja dengan kadar gaji dan upah terlalu rendah.

Situasi di mana korporat swasta berleluasa mengeksploitasi dan menzalimi pekerja membawa kita kepada kenyataan Sultan Nazrin mengenai bahaya pelaku rasuah kategori kedua. Mereka adalah golongan yang bersifat tamak-haloba “secara umumnya daripada golongan atasan, berjawatan penting, bernafsu tinggi, mengamalkan gaya hidup mewah - gaya hidup megah.”  

Baginda Sultan sifatkan golongan perasuah kedua “...amat licik, melakukan rasuah secara sofistikated, bijak membersihkan tangannya daripada sebarang lumpur kekotoran, tidak mudah untuk disabitkan, di samping sebahagian mereka mempunyai hubungan intim dengan orang atasan.”

Amalan korupsi kelihatan mula menjadi-jadi setelah kerajaan melancarkan Dasar Penswastaan menerusi kaedah pilih kasih dan kroni, menjual banyak aset kerajaan tanpa tender terbuka telus dan bersaing adil.

Sebenarnya kaedah penswastaan seperti ini satu tindakan menzalimi rakyat majoriti kerana ia mengakibatkan pemindahan aset dan harta kerajaan, iaitu amanah untuk semua, khasnya golongan miskin, kepada golongan korporat kaya-raya atas kadar harga murah.

Sewajarnya Sultan Nazrin menganjurkan rakyat Malaysia bangkit “berjihad memerangi rasuah”. Selain itu, tiba masanya barisan pimpinan politik Malaysia melancarkan Jihad Politik, memerangi keangkuhan dan penyalahgunaan kuasa, serta membersihkan politik Malaysia daripada segala kepincangan, korupsi dan amalan merosakkan kepentingan generasi depan seperti penswastaan.

Di bidang ekonomi, memandangkan sistem ekonomi hari ini dipacu dan diterajui bisnes, satu gagasan Jihad Bisnes perlu dilancarkan. Fokus utama Jihad Bisnes ialah memasyarakatkan bisnes dengan membuka luas peluang bisnes kepada generasi muda Malaysia berdikari menerusi kerjaya bisnes, membebaskan diri mereka daripada belenggu kerjaya berpendapatan rendah kepada lebih tinggi, sekali gus membasmi kemiskinan.  


Jihad memerangi kezaliman ekonomi

Dalam satu lagi titah ucapan pada Forum Megatrend anjuran Khazanah Malaysia, baginda Sultan Nazrin dengan tegas menganjurkan supaya Malaysia jadikan ciri-ciri inklusif dan lestari (inclusiveness and sustainability) teras falsafah dan landasan dasar ekonomi negara.

Tujuannya ialah menentukan supaya ekonomi negara bertumbuh dengan “inklusif dan adil...”, supaya golongan miskin dan berpendapatan rendah mendapat peluang luas mobiliti melonjak ke atas.  

Saya tertarik dengan anjuran baginda Sultan supaya diubah pandangan hidup (worldview) sempit yang malangnya dijadikan landasan percaturan dasar dan strategi ekonomi negara hari ini.

Antara yang wajar diubah ialah tanggapan bahawa harta dan sumber ekonomi milik swasta adalah milik mutlak peribadi, (“private right sover resources”); menyebabkan kita mudah melupakan hak masyarakat dan kepentingan generasi depan terhadap sumber ekonomi. Tanggapan begini antara punca kenapa pembangunan gagal dilestarikan kekal berpanjangan.

Paling menarik perhatian saya ialah apabila baginda dengan tegas dan berani menyarankan supaya fahaman bahawa individu swasta adalah pemilik mutlak aset dan sumber ekonomi digantikan dengan mengiktiraf mereka hanya sebagai “steward” atau “pemegang amanah”.

Bagi saya dan semua rakan seperjuangan DPIM, persepsi baginda Sultan Nazrin mengandungi makna mendalam dan pengertian serta implikasi sangat luas terutama apabila dinilai dari perspektif Islam kerana Islam tegas mengiktiraf harta dan sumber ekonomi sebenarnya milik mutlak ALLAH SWT dan manusia berperanan hanya sebagai “khalifah”, iaitu “steward” pemegang amanah mengurus semuanya untuk manfaat makhluk dan seluruh kehidupan di muka bumi.

Kesimpulannya, saranan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sultan Perak wajar disambut baik semua warga Malaysia, terutama oleh bangsa Melayu dan umat Islam. Tanpa sumber harta kekayaan diiktiraf sebagai milik ALLAH SWT dan manusia cuma khalifah pemegang amanah, mustahil penindasan dan eksploitasi serta perbezaan jurang harta antara kaya-miskin dapat dibasmi.

Tanpa pandangan dari sudut nilai agama, harta kekayaan punca utama manusia menjadi tamak-haloba, bernafsu besar hendak membolot semua; rakus menghimpun sebanyak-banyak harta secepat mungkin tanpa mempedulikan hak atau batil, langsung menghalalkan segala cara.

Juga, tanpa pembaharuan persepsi terhadap hak milik harta dan sumber, mustahil bisnes dapat dijadikan satu cabang jihad, iaitu jihad memerangi kezaliman ekonomi. Demikian juga, mustahil institusi Waqaf Korporat dapat dijayakan untuk membela nasib golongan miskin dan berpendapatan rendah, berkelestarian melindungi kepentingan generasi depan.