BANGSA Melayu sebagai umat Islam wajib berjihad, namun bukan mengutamakan jihad perang.” Itulah antara mesej yang saya sampaikan ketika membentang kertas kerja bertajuk "Cabaran masa depan dalam pengukuhan ekonomi umat" di Kongres  NGO-NGO Islam 2014 anjuran Yayasan Dakwah Islam (Yadim) dengan kerjasama beberapa institusi lain pada 29 Mei lalu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Turut menjayakan sesi panel ekonomi ialah Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Sulaiman Mahbob, Sesi panel ekonomi dipengerusikan dengan penuh wibawa dan bersemangat oleh Datuk Dr Mohd Ghazali Md Nor, pemimpin NGO Islam, juga seorang daripada pengasas Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Saya mewakili Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), iaitu NGO komponen MPM, bersama kalangan barisan kepimpinan 70 NGO Islam Malaysia lain hadir menjayakan Kongres. Fokus utama pembentangan saya membicarakan isu dan cabaran ekonomi di hadapan bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia khasnya.

Kongres sehari berakhir dengan penerimaan tujuh resolusi besar, termasuk usul DPIM/MPM mengenai penubuhan institusi Waqaf Korporat. Resolusi Kongres disampaikan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika beliau hadir merasmikan penutupan Kongres.


Kewajipan berjihad

Dalam pembentangan saya petik kenyataan Profesor Dr Yusuf Al Qaradhawi dalam buku besar beliau “Fiqih Jihad” yang menegaskan: “Adapun hukum jihad adalah wajib bagi setiap Muslim dan Muslimah, baik dengan jiwanya, hartanya, lidahnya atau
hatinya... Berjihad dengan hati adalah yang paling lemah.” Ulama besar kontemporari Islam itu selanjutnya menegaskan: “Keimanan seseorang Muslim belum sempurna kecuali dengan jihad.”

Dalam keadaan umat Islam tertekan dan terdesak berhadapan dengan cabaran survival, terutamanya apabila agama ALLAH dicabar dan diancam dari segala sudut. Sesungguhnya umat Islam tiada pilihan selain bangkit berjihad seperti yang dituntut oleh agama mereka. Namun, cabaran jihad di hadapan bangsa Melayu dan umat Islam Malaysia tidak seperti di wilayah Islam Palestin, Chechnya dan seumpamanya yang wajib berjihad mengangkat senjata menentang dan memerangi musuh bertindak zalim dengan niat menghapuskan mereka sebagai bangsa berdaulat di tanah air sendiri.

Sekalipun tidak menghadapi ancaman survival seumpama itu, ini bukan bermakna bangsa Melayu dan umat Islam cuma berpeluk tubuh tidak bertindak untuk berjihad. Mereka juga menghadapi cabaran besar yang wajib ditangani segera sebelum lebih memudaratkan dan mengancam survival masa hadapan bangsa dan agama.  


Memerangi kezaliman ekonomi  

Senario ekonomi Malaysia hari ini semakin didominasi bisnes atau business-driven diterajui kapitalis global, terutama mengikut acuan doktrin kapitalisme Barat. Sistem acuan Barat ini sebenarnya berakar tunjang kepada sejarah orang Barat selama lebih tiga abad mendominasi, menjajah, mengeksploitasi dan menjarah bangsa serta umat lain, termasuk sebahagian besar umat Islam di dunia.

Negara Islam tidak dijajah sekalipun akhirnya turut tertakluk kepada penjajahan secara tidak langsung, iaitu penjajahan ekonomi oleh kuasa bisnes besar Barat. Usaha ini diterajui korporat gergasi MNC yang banyak mencorakkan tamadun manusia semasa setelah doktrin kapitalisme liberal Barat bawaan mereka berupaya mendefinisi dan menstrukturkan sistem ekonomi dunia.

Hari ini, sistem kapitalis liberal berteraskan rakus berciri ekstrem nafsu-nafsi, seumpama permainan board game bisnes “monopoly”, mendominasi kehidupan manusia. Dalam permainan monopoly sifat rakus digalakkan, kerana pemain boleh menang menjadi kaya-raya hanya setelah berjaya dengan cepat membolot segala harta kekayaan mendominasi semua orang lain. Pelanggaran undang-undang, hukum-hakam dan halal haram bukan isu besar, kerana dalam monopoly mudah sekali keluar masuk jel dengan hanya membayar RM200 (merasuah?) kepada pihak berkuasa.

Sesungguhnya monopoly cermin sistem kapitalis liberal rakus, serakah lagi zalim, mengakibatkan golongan kaya mudah bertambah kaya dan majoriti miskin dan daif tidak dipedulikan, malah dikesampingkan, ditindas dan dieksploitasi berpanjangan.

Sistem rakus dan zalim ini wajib ditentang dan ditolak, tetapi bukan dengan kaedah mengetepikan atau memusnahkan pasaran, sebab Islam tidak anti pasaran, juga tidak anti harta kekayaan. Sebaliknya berniaga dan berbisnes satu sunnah besar Rasulullah SAW, dan harta kekayaan diiktiraf Islam sebagai satu daripada paksi utama Maqasid Syariah.

Malangnya model monopoly diciplak dan dijadikan landasan utama semua sistem ekonomi negara Islam, mengakibatkan gaya hidup, corak pemerintahan dan sistem ekonomi nafsu-nafsi mempengaruhi gaya hidup umat Islam, langsung mencorakkan tamadun mereka. Ini berlaku, sekalipun terdapat banyak ciri asas kapitalisme bertentangan dengan nilai hidup anjuran Islam.

Kesannya ketidakadilan dan kezaliman sistem ekonomi semakin meluas, mengakibatkan himpunan harta kekayaan dunia berterusan dalam tangan segelintir individu swasta dan organisasi korporat gergasi, khasnya syarikat korporat antarabangsa MNC dominasi Barat.

Bahayanya, hari ini Barat, terutama Amerika Syarikat dilihat semakin mendesak dan memaksa Malaysia serta semua negara di pesisiran Lautan Pasifik, menciplak sistem zalim lagi merosakkan ini. Kaedah terkini ialah dengan mendesak Malaysia menerima terma dan syarat Perjanjian Persahabatan Trans-Pasifik (TPPA) yang tegas menuntut kerajaan Malaysia menswastakan semua GLC, mengetepikan agenda keadilan ekonomi seperti dianjurkan DEB.


Jihad pemimpin dan aktivis politik  

Justeru itu, jihad menentang kezaliman ekonomi atau Jihad Bisnes wajib disempurnakan, terutama kerajaan dan GLC, juga semua usahawan dan ahli bisnes serta korporat Melayu-Muslim, sama ada di peringkat individu, swasta, mahupun agensi dan koperasi. Bangsa Melayu dan umat Islam wajib bersepadu gunakan segala tenaga, kuasa dan sumber, termasuk “undi Ringgit” setiap Muslim sebagai pengguna, bertujuan memperkasa ekonomi umat selaras sepenuhnya dengan anjuran al-Quran supaya harta kekayaan akhirnya “tidak hanya beredar di antara orang kaya dalam kalangan kamu.” (Lihat al-Quran, Surah Al-Hasyr, 59:7)

Demikian juga aktivis politik, ulama, pentadbir, ilmuwan dan pendidik Muslim wajib bersama menyempurnakan tanggungjawab jihad di bidang masing-masing. Paling kritikal untuk survival, seperti ditegaskan dalam perbincangan di bawah tajuk politik dalam Kongres NGO Islam, ialah peranan penguasa politik Melayu-Muslim, tidak kira warna bendera atau ideologi politik.

Seluruh Kongres menegaskan pemimpin dan aktivis politik Melayu-Muslim jangan melampau taksub bermati-matian memperjuangkan kepentingan puak dan parti hingga sanggup menggunakan kuasa semata-mata bertujuan mematikan lawan. Akhirnya agenda atau program kritikal untuk kepentingan besar bangsa dan agama anjuran pihak lawan patah di tengah jalan.

Sewajarnya semua penguasa politik Melayu memandang serius saranan Prof Dr Yusof Al Qaradhawi, iaitu: “Keimanan seseorang Muslim belum sempurna kecuali dengan jihad.”

Dalam usaha memperkasa ekonomi, sesungguhnya semua wajib menentukan kepentingan jangka panjang, khasnya aset bisnes strategik sama ada milik peribadi swasta Melayu-Muslim atau milik GLC amanah, tidak terlepas tangan, dikompromi atau digadaikan menjadi mangsa persaingan politik Melayu berebut kuasa.   

Malah saya berpendapat setiap ahli Yang Berhormat dan semua penguasa politik Melayu wajib dipertanggungjawabkan dan di'KPI'kan penggunaan kerusi dan kuasa di tangan masing-masing supaya rakyat dapat menilai sumbangan masing-masing memperjuangkan agenda Islam. Tujuannya ialah menentukan mereka tidak mengkhianati perjuangan memperkasa ekonomi bangsa kerana kekuatan ekonomi adalah landasan utama survival umat Islam.

Kesimpulannya, penguasa dan aktivis politik Melayu-Muslim wajib turut berjihad dalam politik, bersama menjayakan agenda Jihad Bisnes memperkasakan ekonomi bangsa dan agama. Matlamat akhirnya ialah mengupayakan umat Islam mendefinisikan semula tamadun manusia mengikut prinsip, nilai dan syariat Islam, bertujuan memakmurkan kehidupan manusia dan membawa rahmat kepada sekalian alam.