Minggu lalu kolum Khalifah Bisnes membincang isu transformasi wakaf. Selain menjadi amalan baik anjuran Islam sebagai bekalan untuk akhirat, wakaf juga boleh dimanfaatkan bangsa Melayu dan umat Islam dalam menghadapi cabaran hidup kontemporari.

Kolum Khalifah Bisnes kali ini memfokuskan bagaimana institusi wakaf, khasnya Waqaf Korporat, apabila digandingkan dengan Jihad Bisnes boleh dijadikan kaedah transformasi ekonomi. Kenapa bangsa Melayu khasnya dan umat Islam amnya perlu berjihad menerusi bisnes dan siapa yang wajib memikul tanggungjawab utama menyempurnakan Jihad Bisnes?  

Semua ahli bisnes Melayu-Muslim bertanggungjawab memburu keuntungan, menambah nilai aset, menghimpun harta kekayaan dan menjana ekonomi melalui aktiviti bisnes masing-masing. Di samping itu, dalam konteks cabaran hari ini, Islam juga menyeru mereka menjadikan kegiatan bisnes sebagai satu perjuangan bertaraf jihad.  

Seruan Jihad Bisnes ditujukan khas kepada golongan ahli bisnes, usahawan dan barisan eksekutif korporat Melayu Muslim serta semua organisasi bisnes, sama ada milik swasta atau GLC, yang diterajui umat Islam. Apabila dikaitkan dengan Jihad Bisnes menjadi satu wadah perjuangan yang lebih besar makna dan pengertian melewati dimensi ekonomi.

Ahli bisnes yang berjihad akan bertindak menjayakan bisnes memburu harta kekayaan bagi menyempurnakan antara cabang utama maksud Maqasid Syari’ah, iaitu menjamin harta untuk maslahat Islam bertujuan membela masa depan umat. Oleh itu, mereka dituntut melakukan semua aktiviti bisnes dengan niat, cara dan kaedah yang serasi dan sehaluan dengan satu perjuangan bertaraf jihad.

Kenapa jihad? Kerana umat Islam diwajibkan berjihad. Dalam keadaan bangsa Melayu dan umat Islam seluruh dunia tertekan, kerap teraniaya, ditindas dan dizalimi sehingga kesucian dan kebesaran agama Islam dipersoalkan, sesungguhnya semua Muslim wajib bangun berjihad.  

Saya petik kata-kata Dr Yusof Qardawi dalam buku besarnya: “Fiqih Jihad” : “Adapun hukum jihad adalah wajib bagi setiap Muslim dan Muslimah, baik dengan jiwanya, hartanya, lidahnya atau hatinya. Dan berjihad dengan hati adalah yang paling lemah... Keimanan seorang Muslim belum sempurna kecuali dengan jihad.”

Sesungguhnya, menerusi ideologi Jihad Bisnes, cita-cita dan aspirasi setiap ahli bisnes Muslim sangat tinggi dan melewati pemburuan harta kekayaan untuk kepentingan peribadi atau untuk hidup senang di dunia semata-mata. Menerusi Jihad Bisnes semua aktiviti bisnes yang diusahakan menjadi satu perjuangan yang sangat besar pengertiannya lagi suci dan mulia.

Ketika menerajui Johor Corporation (JCorp) selaku Presiden dan Ketua Eksekutif, semangat Jihad Bisnes telah saya cuba semarakkan selama hampir dua dekad. Syukur alhamdulillah, semangat kerja dan dedikasi seluruh rakan sekerja sangat hebat dan luar biasa sehingga menghasilkan prestasi bisnes JCorp dan kumpulan syarikatnya yang juga hebat dan luar biasa serta dikagumi ramai.  

Saya sendiri pernah ditemui pemimpin korporat bukan Muslim yang hairan melihat keupayaan tinggi eksekutif JCorp bersaing di pasaran. Mereka mencari-cari sumber utama daya motivasi luar biasa yang ada pada eksekutif JCorp yang kelihatan begitu gigih dan gagah dalam menjayakan satu-satu usaha.

Mereka tertanya-tanya kerana mereka tahu kadar gaji dan bayaran bonus eksekutif JCorp ketika itu rata-rata tidak setaraf dengan kadar ganjaran swasta. Mereka juga sedia maklum eksekutif JCorp tidak menerima sebarang ganjaran istimewa dalam bentuk saham, seumpama tawaran saham pengurusan (management-buy-out atau MBO), pilihan ekuiti (stock option) atau skim penswastaan.  

Pendirian JCorp dengan semangat Jihad Bisnes menolak penswastaan, iaitu satu amalan korporat mengikut kaedah kapitalis liberal. Justeru, pada pandangan pihak yang tidak memahami Islam, adalah mustahil bagi sesuatu badan korporat mencapai prestasi tinggi tanpa ganjaran kewangan dan material seperti yang menjadi teras motivasi dan amalan biasa badan korporat konvensional.

Sesungguhnya, dengan bermotivasi Jihad Bisnes JCorp adalah sebuah badan korporat bukan konvensional. Saya yakin semangat Jihad Bisnes yang ditanam dalam hati sanubari anggota JCorp adalah sumber utama kegigihan dan kegagahan mereka bersaing hebat dalam bisnes dan bertempur sehingga menang di medan korporat. Hakikat ini mungkin tidak masuk akal kepada orang-orang yang tidak memahami, menghayati dan menjiwai Islam.  

Saya perhatikan semangat ini disemarakkan lagi setelah JCorp memperkenalkan konsep Waqaf Korporat kemudiannya. Barakahnya juga kelihatan berlipat ganda. Syarikat yang sebahagian sahamnya telah JCorp wakafkan, terutama Kulim Malaysia Bhd (Kulim) dan KPJ Healthcare Bhd, (KPJ) telah berkembang pesat setelah mendapat beberapa peluang bisnes baharu yang tidak dijangka pada mulanya.  

Kulim misalnya, sekalipun mendapat tentangan hebat, telah berjaya mengambil alih KFC Holdings Bhd dan QSR Brands Bhd pada 2006-2007, langsung menerajui rangkaian restoran KFC dan Pizza Hut terbesar di Asia Tenggara. KPJ pula berjaya dibina dan berkembang pesat sehingga menjadi sebuah syarikat perubatan pakar terkemuka di Malaysia dan rantau Asean. KPJ kini menduduki tempat ke-63 dalam senarai syarikat PLC 100 teratas di Bursa Malaysia, mendahului MAS, BerjayaCorp dan Shell.

Justeru, semangat Jihad Bisnes dengan gandingan institusi Waqaf Korporat wajar dijadikan landasan strategi untuk mengupayakan daya saing bangsa Melayu dan umat Islam dalam sistem ekonomi pacuan pasaran saingan sengit hari ini. Dengan semangat Jihad Bisnes bangsa Melayu memiliki satu ideologi Islamik sumber motivasi hebat.   

Menerusi Waqaf Korporat pula mereka memiliki institusi perkasa kurniaan Islam yang melihat harta kekayaan sebagai amanah ALLAH untuk manfaat manusia sepenuhnya. Kesimpulannya, gandingan Jihad Bisnes dengan Waqaf Korporat memangkinkan ahli bisnes dan korporat Muslim berjuang membentuk sistem ekonomi Islam berlandaskan prinsip amanah untuk menegakkan keadilan ekonomi.  

Menunaikan amanah dan menegakkan keadilan sangat penting, lebih-lebih lagi dalam konteks dunia hari ini yang selama lebih 300 tahun telah dirosakkan oleh sistem ekonomi kapitalis yang rakus, liar dan buas. Sistem ekonomi kapitalis ini juga telah melahirkan satu tamadun manusia yang juga kelihatan semakin rakus, liar dan buas sifatnya. Sistem yang tidak adil dan merosakkan ini jelas sekali tidak berupaya lagi dilestarikan.  

Apa pun, sistem anjuran kapitalis dengan menggunakan keupayaan teknologi yang dibisneskan telah mendominasi dunia dan mencorakkan nilai hidup. Sistem ini membentuk satu tamadun manusia yang kelihatan ekstrem materialistik. Sistem kapitalis Barat ini semakin tidak disenangi dan kini ditentang masyarakat Barat sendiri, apabila ia jelas mengancam kehidupan. Justeru ia tidak lagi wajar diciplak umat Islam yang sebenarnya berkewajipan mencari pilihan alternatif.

Jihad Bisnes dan Waqaf Korporat membawa satu pilihan baharu yang Islamik dan berupaya memperbaiki kerosakan yang telah menjangkiti masyarakat Malaysia (dan semua masyarakat Islam lain), setelah menciplak sistem kapitalis Barat. Menerusinya kita juga berupaya mentransformasikan sistem ekonomi bertujuan mengelakkan Malaysia daripada terjerumus ke dalam krisis dan permasalahan seperti yang sedang berlaku di Barat.  Ia juga memberi peluang kepada umat Islam menyusun semula struktur ekonomi pacuan bisnes supaya bisnes dan korporat tidak lagi didorong oleh kerakusan dan materialis ekstrem.  

Sebaliknya, menerusi Jihad Bisnes dan Waqaf Korporat umat Islam berpeluang membina semula tamadun manusia mengikut acuan Islam yang berteraskan fahaman harta kekayaan adalah milik Allah yang diamanahkan untuk dimanfaatkan oleh manusia.  
Hari ini organisasi gergasi korporat milik individu swasta adalah antara punca utama ketidakadilan ekonomi dan pelebaran jurang kaya miskin.  

Bayangkan jika kepentingan majoriti saham milik korporat gergasi dalam sistem ekonomi, termasuk bank gergasi (yang di Barat disifatkan sebagai too big to fail dan oleh itu perlu dipertahankan, sekalipun dengan menggunakan duit rakyat) dimiliki oleh badan Waqaf Korporat.

Tidakkah ini lebih adil? Di bawah milik Waqaf Korporat bahagian terbesar keuntungan adalah menjadi hak milik bersama yang turut mewakili kepentingan semua golongan miskin dan daif dalam masyarakat.

Bayangkan juga satu hari nanti, andainya organisasi Waqaf Korporat berupaya menerajui badan korporat yang memiliki semua bisnes strategik negara. Ketika itu, tidakkah kepentingan seluruh masyarakat dan umat akan lebih terjamin dan terbela seperti yang dihasratkan oleh Maqasid Syari’ah?  


Tan Sri Muhammad Ali Hashim, Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) ali.bizjihad@yahoo.com