MINGGU lalu saya diundang menyampaikan “Ceramah Eksekutif Intan” kepada lebih 350 penjawat awam dari berbagai jabatan, kementerian dan agensi kerajaan, di bawah anjuran Institut Pentadbiran Awam (Intan). Sesi ceramah diadakan di Auditorium Intan, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, dengan tajuk: “Kepemimpinan Entrepreneur untuk Sektor Awam”.
 
Fokus utama ceramah ialah berkongsi pengalaman selama hampir 30 tahun selaku CEO Johor Corporation (JCorp), khasnya kaedah memupuk bakat keusahawanan tinggi dalam kalangan eksekutif dan penjawat awam. Mesej paling penting: Sektor awam, terutama GLC, berupaya berciri entrepreneur berprestasi tinggi. Justeru wajar diberi peranan utama seiring dengan swasta menjana harta kekayaan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.  

GLC memperkasa ekonomi Melayu

Saya menegaskan pendirian DPIM supaya peranan GLC diperhebatkan, iaitu sebagai institusi amanah korporat awam, khusus bertujuan membela dan memperkasa golongan lemah bukan swasta, terutama Melayu dan Bumiputera yang rata-rata terpinggir daripada arus perdana bisnes.
 
Kejayaan dan kecemerlangan JCorp dan beberapa GLC lain termasuk kumpulan Khazanah, PNB, Petronas, Felda, PKNS dan seumpamanya semuanya menjadi bukti nyata GLC sebagai institusi strategik menegakkan keadilan dan keseimbangan sistem ekonomi negara.

GLC juga pemangkin pencapaian matlamat ekuiti 70 peratus memperkasa ekonomi Melayu/Bumiputera, justeru tidak wajar kerajaan swastakan. Kes JCorp jelas membuktikan GLC berupaya membuka luas peluang bisnes kepada eksekutif muda anak petani, nelayan dan penjawat rendah awam untuk diasah bakat hingga menjadi CEO menerajui syarikat ke peringkat paling tinggi.

Membuka luas peluang bisnes kepada semua warga negara, terutama golongan bawahan, adalah antara peranan amanah terpenting GLC dalam sistem ekonomi kapitalis eksklusif memihak kepada golongan kaya membolot semua.

Tegasnya, Malaysia tidak harus membabi-buta menciplak ideologi kapitalisme liberal rakus dan nafsu-nafsi merosakkan. Sebaliknya, GLC Malaysia wajib diperkasa dengan mengutamakan pembinaan keupayaan tinggi eksekutif GLC selaku usahawan “intrapreneur” atau “entrepreneur amanah”.

Kenapa “intrapreneur” atau “entrepreneur amanah”? Persis kerana bisnes GLC adalah milik awam, tidak seperti syarikat swasta diterajui “entrepreneur” yang umumnya pemilik bisnes pemegang saham utama syarikat atau bisnes terbabit.

Ganjaran luar biasa “entrepreneur amanah”

Entrepreneur swasta pemilik bisnes mendapat dorongan motivasi hebat menjayakan usaha, kerana apabila berjaya mereka secara peribadi akan kaya sehingga ada yang menjadi jutawan dan bilionair - sesuatu yang payah atau mustahil dicapai CEO dan warga pengurusan GLC.
 
Hakikat ini menuntut dicari sumber motivasi perkasa alternatif khas untuk barisan CEO GLC milik awam. Lebih-lebih lagi, hakikatnya menerajui GLC kerap disifatkan sebagai satu kerjaya yang tidak setimpal ganjaran iaitu “a thankless job”.

Kadar imbuhan di GLC rata-rata jauh lebih rendah daripada swasta. Lagipun mustahil dapat menjadi “jutawan atau bilionair” di hujung kerjaya seperti yang kerap dicapai swasta. Sebaliknya, CEO GLC selalu pula berhadapan risiko besar kerjaya terbit daripada cabaran dan ancaman langsung politik yang jarang swasta hadapi.

Sekalipun “thankless”, saya yakin masih ramai anak bangsa sanggup dan bersedia membina kerjaya di GLC, kerana ia satu peluang terbaik berkhidmat untuk bangsa, negara dan agama.
Sebenarnya terdapat satu lagi kelebihan besar yang jarang mendapat perhatian umum: iaitu hakikat CEO entrepreneur amanah GLC sebenarnya menyumbang kepada perjuangan menjauhkan dan mengelakkan negara daripada dicemarkan dan dirosakkan kerakusan dan keserakahan sistem ekonomi kapitalis global dominasi swasta.   

Lihat sahaja kesan negatif kapitalis liberal rakus atau “greed-driven” merosakkan, mengakibatkan krisis dan konflik melanda beberapa negara termasuk di Barat hari ini.

Sumber motivasi ini terdapat pada tanggungjawab asas CEO GLC dan syarikat miliknya, iaitu amanah besar dan berat yang mereka pikul, kerana aset dan bisnes GLC yang dikendalikan semuanya milik kerajaan dan amanah rakyat. Pada umat Islam, “amanah” tidak boleh dipandang ringan. Islam melihat amanah sangat berkait rapat dengan iman. Perhatikan maksud hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak beriman orang yang tidak amanah...” (Riwayat Al Bukhari)

Sesungguhnya, dalam pengalaman saya di JCorp, dalam menjayakan amanah besar ini terdapat sumber motivasi perkasa buat CEO, pengurus, eksekutif dan warga kerja Muslim khasnya.

Kerana dengan menegakkan amanah, CEO “intrapreneur” atau “entrepreneur amanah” Muslim berpeluang menjadikan bisnes satu ibadah, juga satu usaha menyempurnakan amalan soleh.
 
Justeru mereka juga berpotensi mendapat ganjaran paling istimewa di akhirat kelak.

Berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang menegaskan: “Peniaga-peniaga yang jujur dan amanah (akan ditempatkan) berserta golongan nabi, siddiqin dan syuhada.”

Jauhi “pakatan syaitan”

Sistem kapitalis rakus pernah disifatkan oleh seorang CEO jutawan kapitalis berjaya Barat sebagai satu “pakatan dengan syaitan” merosakkan kehidupan manusia. Anita Roddick, antara usahawan terkaya di Britain (pengasas syarikat dan produk berjenama global: The Body Shop) menyatakan demikian dalam satu temu duga mengenai kerjaya bisnesnya.

Anita Roddick terkenal sebagai pejuang hak asasi kemanusiaan hingga digelar “capitalist with a conscience”, iaitu usahawan kapitalis luar biasa, yang berhati perut dan bertimbang rasa.

Sekali pun jutawan kaya-raya, beliau akhirnya kecewa dan menyesal menyenaraikan syarikat The Body Shop miliknya di Bursa London; kemudian menjualkannya kepada L’Oreal, iaitu konglomerat global milik Perancis.

Penyenaraian memaksa beliau menyerahkan masa depan syarikatnya hingga didominasi institusi kapitalis yang “memperjudikan” semuanya “seperti dalam kasino”, selain mendedahkan syarikat kesayangannya kepada kerakusan kuasa korporat institusi kewangan.
 
Lalu beliau menyifatkan peristiwa ini sebagai “a pact with the devil” atau satu pakatan bersama syaitan.

Jika diberi peranan dominan dalam ekonomi negara, saya yakin GLC Malaysia sebagai institusi korporat amanah di bawah pimpinan saf CEO entreprenur amanah berupaya mengelakkan sistem ekonomi negara daripada dirosakkan kerakusan swasta nafsu-nafsi dominasi “pakatan syaitan”

seperti dibimbangi Anita Roddick. Terutama jika GLC memperjuangkan agenda menjayakan falsafah Jihad Bisnes didampingi langkah mentransformasikan GLC strategik menjadi badan Waqaf Korporat, semuanya dengan niat untuk memperkasa ekonomi umat, sekali gus menegakkan keadilan dan ketinggian nilai hidup berlandaskan Islam.  

Jihad Bisnes berupaya membina semangat dan memupuk tenaga spiritual luar biasa di jiwa semua entrepreneur amanah terbabit hingga mereka sanggup berkorban seluruh jiwa raga dan gagah serta gigih menjayakan usaha sampai berjaya ke tahap cemerlang.

Selepas ceramah, seorang sahabat yang turut hadir di Intan membawa perhatian saya kepada ayat al-Quran yang jauh lebih awal memperingatkan manusia supaya menjauhi “pakatan syaitan”.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "(ALLAH berfirman kepada syaitan), “Dan hasutlah sesiapa yang engkau dapat memujuknya dengan pujuk rayu mu dan kerahlah penyokong-penyokong mu yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka (manusia); serta masuk campurlah dengan mereka dengan menguruskan harta benda dan anak-anak (mereka), dan janjikanlah mereka (dengan janji-janji mu). Sedangkan tidak ada yang dijanjikan oleh syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.” (Surah Al-Isra': 64)

Bahagian ayat al-Quran: “...masuk campurlah dengan mereka dengan menguruskan harta benda...", pernah ditafsirkan seorang ustaz dan ilmuwan terkenal sebagai merangkumi semua tindakan dan usaha “bersyarikat” dengan syaitan dalam mengurus harta benda hingga mengakibatkan manusia sanggup melakukan segala yang mungkar, menganiaya, menindas, menzalimi dan memudaratkan kehidupan.

Bangsa Melayu dan umat Islam tiada pilihan selain bangkit berjihad, sama ada dengan jiwa, harta, lidah atau hati, menentang dan memerangi mana-mana hasutan yang mengajak mereka menciplak kaedah dan amalan bisnes mengikut acuan korporat “keparat”, iaitu tipu daya syaitan yang pasti mengakibatkan kerosakan hidup manusia!

* Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)ali.bizjihad@yahoo.com