Hari ini warga Malaysia, khasnya generasi muda, digalakkan membina kerjaya bisnes, terutama mengendalikan bisnes milik sendiri atau menjadi eksekutif, sama ada di GLC atau korporat swasta. Sewajarnya bangsa Melayu dan umat Islam memburu rezeki menerusi berniaga, memandangkan Islam sangat menggalakkan umatnya berusaha sendiri. Maksud satu hadis besar jelas menyatakan sebaik-baik rezeki adalah hasil daripada usaha tangan kita sendiri dan bisnes adalah satu daripada cara terbaik menyempurnakan maksud hadis ini.

Tambahan pula berniaga adalah salah satu sunnah besar Rasulullah SAW yang kerap dilupakan umat. Akibatnya umat Islam rata-rata antara umat paling miskin dan rendah pencapaian ekonomi berbanding umat lain di dunia hari ini, justeru mudah sekali ditindas. Di Malaysia, sekalipun kedudukan bangsa Melayu lebih baik berbanding dengan saudara seumat di banyak negara Islam lain, bangsa Melayu masih ketinggalan jauh dalam bidang ekonomi, terutama keupayaan bisnes Melayu.


Pelajari cara bisnes berjaya

Hari ini, dalam memburu kejayaan bisnes, ramai ahli bisnes Melayu-Muslim menciplak kaedah diamalkan usahawan yang terbukti berjaya. Sesungguhnya, cara paling mudah berjaya dalam bisnes ialah meniru atau mempelajari cara orang lain berbisnes, terutama yang jelas sekali terbukti sukses dan menguntungkan. Tindakan meniru dan mempelajari cara berniaga yang terbukti berjaya adalah satu langkah bijak dan logikal, khasnya ketika mula hendak bertapak. Namun, sekalipun memudahkan kejayaan dan mempercepat proses menghimpun pengalaman bisnes, kaedah berbisnes dengan menciplak cara orang lain ada risiko dan bahaya yang perlu kita awasi.

Dalam pengalaman hidup bangsa Melayu terdapat dua model atau kaedah berbisnes paling dekat yang kerap ditiru bulat-bulat. Pertama, kaedah bisnes Barat; dan kedua, cara berniaga warga senegara yang lebih maju, kaum Cina.

Ahli bisnes Melayu mudah sekali meniru Barat kerana bisnes besar dan berjaya, termasuk yang diambil alih hak milik misalnya oleh GLC, banyak kita warisi daripada penjajahan. Selain itu, ramai dalam kalangan eksekutif korporat, CEO dan ahli bisnes Melayu belajar ilmu bisnes dari Barat, termasuk ilmu pengurusan yang dipelajari dari universiti di Amerika Syarikat, Eropah dan seumpamanya. Tambahan pula hakikatnya hari ini, bisnes global didominasi syarikat besar antarabangsa milik Barat, yang sangat berpengaruh dan perkasa.

Selain model Barat, model bisnes amalan warga Malaysia keturunan Cina juga semakin dijadikan ikon bisnes untuk kita tiru. Model ini terutamanya menjadi ikutan bisnes kecil dan sederhana, lebih-lebih lagi setelah jelas dilihat keupayaan tinggi dan kelincahan hebat mereka  memenangi persaingan di pasaran.  Ada juga yang menjadikan mereka rakan kongsi langsung mendampingi dan mengendalikan bisnes mengikut amalan mereka.


Percanggahan dan kontradiksi

Namun hari ini, sekalipun ramai ahli bisnes Melayu yang mengikut kaedah Cina berniaga, kelihatan sebahagian besar bisnes Melayu rendah pencapaiannya dan lemah daya saing. Kerana yang kerap Melayu tiru adalah cara berniaga tanpa membina rangkaian bisnes dalam kalangan peniaga Cina, khasnya menerusi institusi yang diwarisi melalui institusi dan amalan budaya Cina yang memberi mereka kekuatan dan kelebihan bersaing.

Rangkaian (network) bisnes Cina dalam bentuk ”guang xi” (kongsi) dan persatuan suku-kaum seperti ”guilds” dan ”clan association” Cina sangat berkesan membantu kejayaan bisnes Cina dan memudahkan mereka berkongsi informasi, pengalaman, modal dan sumber.

Sekalipun pada zahirnya bisnes Cina kelihatan individualistik dan berfokus keluarga, mereka sebenarnya lebih mudah bekerjasama, terutama di kalangan yang ada pertalian nisab keturunan mengikut nama keluarga (”sirname”) sama.

Justeru, bangsa Melayu perlu menyusun strategi tersendiri mengikut acuan institusi yang serasi dengan rangka budaya Melayu berteraskan nilai Islam.

Kenapa perlu ada acuan sendiri? Kerana kedua-dua model Barat dan Cina yang ada di depan mata, sekalipun pada zahirnya berupaya menjayakan usaha dan memudahkan kita bersaing, turut mempunyai beberapa ciri janggal dan kontradiksi dengan nilai dan aspirasi hidup Melayu mengikut ajaran Islam.  Paling ketara, banyak amalan bisnes Cina dan Barat berlandaskan kaedah bisnes yang boleh menyebabkan konflik jiwa, malah berpotensi merosakkan akidah.

Tidak hairan, kerana konsep dan pendekatan amalan bisnes yang mereka gunakan telah lahir dalam konteks budaya dan masyarakat bukan Islam, justeru ia lahir dalam konteks masyarakat dan budaya yang tiada konsep halal-haram dan pahala-dosa. Jika ada di kalangan mereka yang percayakan Tuhan sekalipun, konsep dunia-akhirat jelas sekali berbeza.

Selain itu, kedua-dua boleh memudaratkan kerana berciri individualistik, materialistik dan nafsu-nafsi, iaitu ciri-ciri persamaan antara Barat dan Cina. Cara Cina khasnya, kalau tidak individualistik ekstrem, kaedah berniaga ”ultra kiasu” (menurut tafsiran Dr Redzuan Tee Abdullah dalam beberapa penulisan beliau dalam Sinar Harian) juga boleh merosakkan jika Melayu ciplak dan amalkan tanpa pertimbangan.

Pada pandangan saya, selain menciplak Barat atau Cina, sebenarnya terdapat pilihan bagi Melayu-Muslim. Salah satu pilihan ialah Melayu memilih alternatif berniaga atau berbisnes mengikut kaedah bercorak ”naga”.


Konsep bisnes ijtimaai

Model alternatif ekonomi ini terbit daripada perbandingan yang pernah dibuat oleh seorang penulis China berketurunan Taiwan, Chin-Ning Chu dalam bukunya ”The Asian Mind Game”. Dalam buku tersebut penulis membandingkan kaedah berbisnes yang membezakan antara pilihan orang China berbanding Jepun. Hakikatnya, perbezaan besar pilihan tersebut terbit daripada latar belakang budaya dan pegangan hidup yang berbeza antara orang China dan Jepun.

Chu menggambarkan perbezaan ini menerusi kenyataan ringkas beliau:”Seorang China kelihatan seperti seekor naga, tiga orang China dilihat berperilaku seperti tiga ekor babi. Seorang Jepun kelihatan seperti seekor babi, sementara tiga orang Jepun dilihat berperilaku seperti seekor naga.”  

Maksud penulis, budaya dan pegangan hidup kaum China begitu kuat berpegang kepada kepentingan individu dan keluarga serta mementingkan organisasi bisnes yang berpaksikan dua elemen itu. Sehinggakan semua individu, terutama yang melampau ”kiasu”, bercita-cita menjadi tauke dan berebut untuk menang bersaing bagi kepentingan peribadi dan keluarga. Ini tidak jauh bezanya dengan kaedah Barat yang melampau.

Jepun pula sebaliknya. Budaya dan pegangan nilai hidup mereka lebih mengutamakan kepentingan besar komuniti dan membuat mereka memilih cara bisnes berorganisasi sehingga menjadi korporat gergasi (seperti naga) yang hebat.

Sistem ekonomi global yang didominasi oleh gergasi korporat multinasional (Multinational Corporation) atau MNC, menuntut Malaysia serta negara Islam membina ekonomi berlandaskan bisnes dengan dua pilihan strategi organisasi tersebut. Pada pandangan saya, melihat kepada nilai budaya pegangan bangsa Melayu dan umat Islam, jelas sekali kita perlu memilih corak strategi ’naga’. Pendekatan berorganisasi dan berlandaskan institusi ini begitu penting dan pernah disebut dengan istilah ”ijtimaaii” oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika merasmikan Kongres Ekonomi Islam ke-3 pada Januari 2009.

Pendekatan ala ”naga” ini telah terbukti menghasilkan kejayaan cemerlang dalam membina ekonomi negara, khasnya dalam bidang bisnes dan korporat.  Saksikan betapa Petronas hari ini diiktiraf sebagai salah sebuah MNC dalam industri petroleum terbaik di dunia.

Demikian juga, Malaysia berbangga apabila Kumpulan Sime Darby diiktiraf sebagai Korporat Transnasional (Transnational Corporation) atau TNC terbesar dalam bidang agro-bisnes oleh sebuah badan Bangsa-Bangsa Bersatu, UNCTAD.

Tegasnya, di samping kita menggalakkan kebangkitan usahawan, jutawan dan bilionair daripada kalangan individu, mereka perlu digalakkan mengijtimaaikan bisnes setelah membesar.  Selain itu, kita tidak harus mengabaikan peranan dan sumbangan GLC. serta agensi dan organisasi amanah korporat lain untuk terus membina negara dan membela bangsa. Cara ini juga dapat mengurangkan pengaruh ”kiasu”, daripada mempengaruhi nilai budaya bangsa Melayu dan umat Islam.


* Tan Sri Muhammad Ali Hashim ialah Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)