DALAM pembentangan pada sesi brainstorming wakaf anjuran Forum Ekonomi Islam Dunia -WIEF di Dubai, Oktober lalu, saya anjurkan formula membabitkan tiga pembaharuan strategi bisnes dan korporat yang perlu dilaksanakan untuk memperkasa ekonomi umat Islam.

Pertama, menjadikan bisnes satu perjuangan bertaraf jihad, iaitu strategi Jihad Bisnes. Tujuannya ialah mendapatkan tenaga rohani (spiritual) memupuk semangat juang luar biasa.

Ahli bisnes yang berjihad akan memburu kekayaan menyempurnakan sunnah bisnes dengan gigih dan gagah menegakkan keadilan dan memartabatkan syiar Islam. Fokus mereka ialah menghimpun kekayaan dunia tanpa melupakan akhirat, juga tanpa dijangkiti penyakit bakhil, tamak dan rakus.

 Kedua, membina saf ‘intrapreneur’ (entrepreneur amanah) pemegang harta kekayaan sebagai khalifah, bukan entrepreneur kapitalis memperibadikan semuanya.

Usahawan intrapreneur berjuang berlandaskan semangat zuhud bisnes, memerangi kezaliman kapitalis global rakus nafsu-nafsi, sekali gus menolak materialisme angkuh punca utama manusia hilang sifat insani.  

Ketiga, membangun institusi Waqaf Korporat menjamin kelangsungan bisnes dan kelestarian ekonomi supaya manfaatnya berkekalan memakmurkan kehidupan lagi adil melindungi kepentingan generasi depan.

Institusi Waqaf Korporat berupaya membuka luas peluang ekonomi kepada golongan miskin dan bawahan, memangkinkan mereka mendapat peluang melonjak ke atas, yang tidak mudah dicapai dalam sistem kapitalis eksklusif memihak warga kaya swasta.

Jangan gunakan istilah jihad?

Selepas pembentangan, seorang ahli korporat Arab mewakili sebuah bank antarabangsa tampil menyatakan persetujuan beliau terhadap formula pembaharuan bisnes yang saya anjurkan, kecuali strategi Jihad Bisnes.

Sekalipun memahami tujuannya, beliau berpendapat adalah lebih baik jika strategi ini tidak menggunakan istilah jihad kerana ia pasti mendapat tentangan Barat.

Saya sempat menyatakan pendirian tidak menyetujui pandangannya, menegaskan bahaya umat Islam menyerah sahaja kepada golongan bukan Muslim, terutama Barat dan khasnya Amerika Syarikat (AS), mentakrif dan mendefinisikan semua konsep dan istilah Islam, terutama jihad.

Terdapat banyak bukti Barat sengaja prejudis menyempitkan takrif konsep dan istilah Islam dengan niat mendahulukan kepentingan mereka dalam percaturan politik mendominasi dunia, juga untuk menang di medan persaingan tamadun global antara Islam dan Barat. Mereka lakukan semua ini tanpa mempedulikan kesan dan impak negatifnya terhadap kepentingan umat Islam.

Pada saya umat Islam tidak harus apologetik dalam hal ini dan mesti berwaspada perang psikologi halus yang dilancar musuh. Saya berazam untuk tegas menggunakan istilah Jihad Bisnes setiap kali berceramah, terutama dalam menggalakkan generasi muda membina kerjaya bisnes.

 Sebenarnya definisi dan pengertian istilah jihad kerap dirampas Barat untuk kepentingan mereka, digunakan bertujuan mengelirukan atau memesongkan fahaman masyarakat global, merendahkan imej dan membentuk persepsi negatif terhadap Islam.

AS, misalnya, banyak memomokkan jihad menghasut dunia menakutinya, bertujuan supaya dunia bukan Islam mencurigai Islam dan menjauhi umatnya.

Pemomokan jihad dan Islam oleh AS lebih agresif selepas peristiwa 911 memusnahkan menara kembar New York pada 2001. Presiden George W Bush didukung golongan neo-conservative Amerika pro-Zionis sengaja meng“highjack” jihad, menterjemahkan semua tindakan jihad sebagai keganasan yang legitimis diperangi, lalu melancarkan “War on Terror”.  

Semua ini dijadikan alasan AS untuk menyerang, mengebom dan memusnahkan sesuka hati negara Islam di mana kata mereka terdapat suspek terroris Muslim.

Utamakan jihad aman, bukan perang

Tidak hairan jika ramai pemuda Islam seluruh dunia, termasuk warga Barat, bangkit mengangkat senjata berjihad menentang penganiayaan dan kezaliman terhadap agama Islam dan umatnya.

Malangnya, jihad sekali lagi telah di“high-jack” dan dipesongkan, kali ini oleh pejuang Islam sendiri, menjadikannya ideologi ganas mengizinkan pembunuhan tanpa kesudahan, termasuk ke atas umat sendiri seperti kelihatan dilakukan pejuang Islamic State (IS) di Syria dan Iraq hari ini.

Jihad anjuran IS menyebabkan jumlah umat Islam terbunuh, termasuk kanak-kanak dan wanita, berlipat ganda dan yang menderita termasuk pelarian meningkat berjuta. Tambahan pula banyak pihak menangguk di air keruh, melaga-laga dan mengadu-domba umat supaya konflik dan peperangan berpanjangan.

Mereka lebih senang melihat Islam lemah kerana ia satu agama yang dijangka berpotensi mendominasi dunia di abad mendatang. Lagi pun, peperangan membuka peluang bisnes berbilion dolar menguntungkan industri pengeluar senjata dan peralatan tentera.

Sesungguhnya, dalam keadaan umat Islam diancam survival, mereka tiada pilihan selain berjihad. Persoalannya, sejauh mana jihad berperang membawa manfaat kepada umat?

Konflik tanpa sempadan dan peperangan tanpa kesudahan pasti memusnahkan kehidupan dan tamadun, mencemar imej Islam dan merendahkan martabat umat, sekali gus menguntungkan musuh Islam.

Tegasnya, dalam menyempurnakan tuntutan berjihad, umat Islam wajib cari kaedah alternatif. Perhatikan, ancaman survival umat bukan sahaja datang dari luar. Sejarah membuktikan kelemahan dalaman umat Islam sendiri punca utama mereka ditindas, dijajah dan dizalimi.

Antara paling memudaratkan ialah kemiskinan dan kelesuan ekonomi, terutama apabila umat Islam tidak menjadikan bisnes sumber utama rezeki, langsung gagal menjadi umat alyadul uliya, iaitu umat yang tangannya di atas (the upper hand) menguasai ekonomi menerajui kehidupan.

Justeru, pengertian jihad sebagai struggle, berjuang dengan gagah dan gigih mengatasi segala halangan dan rintangan menjayakan sesuatu usaha adalah definisi yang wajar diutamakan.

Jihad aman dan bukan perang wajar di sempurnakan terlebih dahulu, dimulai dengan jihad memerangi hawa nafsu individu, iaitu jihad agung atau “jihadan kabira”. (Surah Al-Furqan: 52).   

Guna strategi bunyanun marsus

Dalam konteks ekonomi dunia dipacu bisnes, Jihad Bisnes mesti turut diutamakan. Ini bermakna ahli bisnes dan korporat Muslim berkewajipan menyempurnakan jihad menerusi usaha bisnes mereka, sama seperti golongan politik, ilmuwan, pendidik, budayawan dan pejuang sosial serta NGO Muslim juga dituntut berjihad dalam bidang masing-masing.   

Satu strategi besar anjuran Islam menjanjikan kejayaan jihad aman, sama ada dalam bisnes, politik mahu pun sosial, ialah bertindak strategik menggunakan organisasi dan bukan bersendirian nafsi-nafsi.

Strategi organisasi menepati maksud al-Quran dalam Surah As-Saf ayat 7: “Sesungguhnya ALLAH T’ala amat menyukai orang yang berjihad pada jalan-Nya dalam barisan yang teratur seolah-olah mereka seperti satu binaan yang tersusun kukuh.”

Perhatikan, strategi berorganisasi juga diperlukan untuk menjayakan pembangunan ekonomi, yang juga boleh dijadikan satu kaedah jihad aman. Pencapaian pembangunan pesat Malaysia selepas merdeka banyak menggunakan strategi organisasi mapan seperti Felda, Tabung Haji, PNB, Khazanah, LTAT, JCorp, serta GLIC dan GLC lain.

Organisasi hebat GLC, selain diamanahkan sumber dan aset negara bernilai tinggi, hari ini dilihat menerajui beberapa bisnes dan industri strategik negara, mengimbangi kuasa korporat swasta menegakkan keadilan ekonomi Malaysia.

Banyak terdapat bukti impak besar “jihad pembangunan” memakmurkan negara Pertumbuhan ekonomi dan peningkatan berpanjangan pendapatan rakyat menyumbang besar kepada mengekalkan keamanan dan kestabilan Malaysia.

Tidak kurang penting, kejayaan jihad pembangunan Malaysia turut memanfaatkan berjuta umat Islam lain, khasnya migran Indonesia dan Bangladesh yang datang memburu rezeki membina masa depan lebih cerah di Malaysia.

Kesimpulannya, dalam mengatasi ancaman survival, umat Islam tiada pilihan selain berjihad. Namun mereka dituntut memilih kaedah jihad yang menjanjikan manfaat, bukan memudaratkan, iaitu jihad aman memakmurkan kehidupan dan bukan jihad perang memusnahkan tamadun.

Jelas sekali pilihan berjihad dalam aman, khasnya jihad pembangunan, termasuk Jihad Bisnes, lebih menepati matlamat Maqasid As-Syariah, menjanjikan masa depan lebih bermakna.

Ia berpotensi memperkasa umat Islam, memangkinkan mereka bangkit sebagai khalifah satu hari nanti, memakmurkan kehidupan dan membina semula tamadun mengikut acuan adil Islam.