MINGGU lalu saya diundang sebagai ahli panel Forum Meja Bulat anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di Kuala Lumpur. Fokus forum membincang dan mencari jalan alternatif lebih baik daripada pendekatan ekonomi sedia ada berpaksi kepada sistem kapitalis liberal yang dilihat semakin mengakibatkan kerosakan. Paling ketara ialah krisis ekonomi yang melanda beberapa negara, khasnya di Eropah hari ini; selain kezaliman sistem menyebabkan pelebaran jurang kaya-miskin dan peminggiran melampau rakyat bawahan, menjejas dan merosakkan kehidupan manusia seluruh dunia.

Kini krisis kapitalisme mengancam kestabilan ekonomi, sosial dan politik seluruh dunia setelah semua negara menciplaknya. Di Eropah, pengangguran melata dan berjuta hilang mata pencarian, terutama generasi muda. Sistem ini juga jelas tidak adil lagi zalim setelah kehidupan majoriti rakyat miskin semakin tertekan, terdesak dan menderita. Sebaliknya, golongan segelintir kaya, khasnya warga pemilik korporat, hartawan dan banker, semakin bertambah kaya dengan gaya hidup mewah luar biasa hingga ada yang mencolok mata.

Wabak “Westoxication”

Tema forum pilihan IKIM tepat dan relevan. Malaysia wajib segera menerokai pendekatan alternatif, dan bagi warga majoriti Muslimnya, tiada pilihan selain menentukan pendekatan alternatif ini digubal dan dizahirkan mengikut acuan atau kerangka yang serasi dan selaras sepenuhnya dengan nilai Islam pegangan hidup.

Pembaharuan alternatif kritikal, kerana semua negara Islam dan seluruh umat telah pun dijangkiti kuman atau virus penyakit “Westoxication” yang sangat berbahaya. Penyakit berpunca daripada virus sistem kapitalis liberal ini saya labelkan wabak “Westoxication”, kerana terdapat tiga ciri utama wabak ini.

Pertama, ia dicetuskan tamadun Barat, diperkenalkan manusia Barat berlandaskan falsafah hidup ekstrem kebendaan dan duniawi sekular-materialis dominan di Barat hari ini. Kedua, liberalisasi boleh memabukkan, iaitu sangat “intoxicating”, mengkhayalkan dan membuat manusia lupa pengertian hidup dan mudah mengetepikan kesucian dan kemuliaan hidup rohaniah berpaksikan agama. Ketiga, ia bercirikan kaedah dan sistem toksik meracuni nilai kemanusiaan dan memusnahkan kehidupan bermasyarakat pada jangka panjang.

Sesungguhnya kerosakan akibat jangkitan wabak ini semakin jelas dilihat dan diakui ramai. Seorang penulis Barat, Samuel P Huntington dalam bukunya The Clash of Civilizations and the Remaking of World Order pernah menyifatkan Pembaratan (“Westernisation” dalam istilah beliau) satu proses penciplakan Barat seumpama sejenis virus, sekalipun tidak membunuh, pasti berpanjangan mencacatkan orang yang dijangkiti. Kata beliau: “… the Western virus, once it is lodged in another society, is difficult to expunge. The virus persists, but is not fatal; the patient survives, but is never whole.”

Saya lebih cenderung mengguna istilah Westoxication (bukan Westernisation), bertujuan mengingatkan kita kepada inti racun berbahaya pada sistem, khasnya kepada masyarakat Islam. Racun ini berpotensi membunuh roh Islam dan mematikan semangat jihad dalam kalangan umat, iaitu satu-satunya sumber dan teras motivasi perkasa pra-syarat kebangkitan semula bangsa Melayu dan umat Islam. Kerana tanpa roh Islam dan tanpa jihad mustahil mereka menjadi umat terbaik atau khaira ummah, juga mustahil bangkit semula akhirnya sebagai khalifah di muka bumi seperti yang diamanahkan dan diwajibkan kepada mereka.

Malangnya, kesan dan impak Westoxication telah lama menjangkiti umat Islam setelah bergelumang dalam sistem kapitalis liberal rakus dan nafsu-nafsi ini. Pada saya, sama ada secara sedar atau tidak, wabak virus Barat ini telah meracuni dan “memakan diri” masyarakat Islam di mana-mana. Fenomena ini digambarkan dengan tepat, sekalipun sinis, dalam lukisan kartun yang saya petik daripada majalah bahasa Arab. (Lihat lukisan kartun).

Lukisan kartun diterbitkan di London sebelum berlaku pemberontakan Arab pada 2010-2011 menonjolkan imej kerosakan nilai dan jiwa yang berlaku dalam kalangan bangsa Arab (juga berlaku kepada semua umat Islam lain, termasuk kita di Malaysia), setelah membabi-buta menciplak Barat. Penciplakan Barat dilambangkan bendera Amerika Syarikat menyelubungi Kaabah “harta-dunia” yang “disembah” ramai orang Islam hari ini, menyebabkan mereka lupakan Kaabah asli kurniaan ALLAH SWT.

“Mubarak” Malaysia

Pemujaan dan pendewaan hidup sekular-materialis Barat inilah racun toksik paling berbahaya jangkitan virus wabak Westoxication. Jelas sekali keracunan jiwa ini akhirnya tidak dapat diterima bangsa Arab, mengakibatkan pemberontakan besar dunia Arab, bermula di Tunisia, diikuti di Mesir dan Libya. Pemberontakan menentang kontradiksi nilai hidup ini masih bersemarak membakar suasana politik dunia Arab, dan belum lagi sampai ke penghujungnya.

Presiden Tunisia, Zine El Abidin Ben Ali, Muammar Gadhafi di Libya dan Hosni Mubarak di Mesir digulingkan kemarahan dan kebencian memuncak rakyat jelata yang bosan dan bencikan sistem pemerintahan merosak setelah menciplak kapitalis liberal Barat. Jelas sekali sistem ini bukan sahaja merosakkan, malah menindas dan menzalimi rakyat jelata Arab.

Sebagai contoh di Mesir, ia cuma memperkasa dan memperkayakan Hosni Mubarak dan keluarganya serta kroni, kuncu dan kerabat sekongkolan Mubarak, termasuk kalangan elit bisnes, tentera dan politik seangkatan. Kerakusan dan keangkuhan kroni Mubarak melemahkan ekonomi Mesir, mengakibatkannya didominasi kepentingan MNC Barat. Kepentingan politik Mesir juga dikompromi setelah terlalu bergantung kepada Barat (Amerika Syarikat khasnya), sehinggakan kepentingan Israel lebih kerap diutamakan daripada kepentingan Arab Palestin.

Pemberontakan Arab sesuatu yang tidak langsung dijangka, terutama di Barat. Kini Mesir, (juga Libya, Tunisia dan negara Arab lain) sedang dalam proses memperbaharui sistem ekonomi - satu proses yang sangat mencabar. Apa pun, jelas sekali, tanpa pembaharuan mengetepikan segala kepincangan dan kelemahan lama, iaitu jika Mesir terus membina semula negara pasca- revolusi berdasarkan struktur dan sistem ekonomi kapitalis liberal yang diamalkan selama ini, tidak hairan jika “Mubarak” generasi baru akan menjelma semula pada masa depan.

Perhatikan, fenomena sama sebenarnya mencabar masa depan kita di Malaysia, kerana kita menggunakan sistem serupa, dan telah pun dijangkiti virus penyakit sama. Di Malaysia kini pun terdapat golongan “Mubarak”nya tersendiri: iaitu golongan “Melayu buruk dan rakus” (atau “the Ugly Malays”) cetusan dasar ekonomi liberal yang kita ciplak dan amalkan. Pelaksanaan dasar penswastaan eksklusif dan keterlaluan berkompromi politik banyak mengakibatkan kerakusan, keangkuhan dan korupsi. Sekiranya tidak dikawal, tidak mustahil ia mencetuskan kemarahan dan kebencian yang mungkin turut menjurus kepada pemberontakan rakyat jelata.

Jangan salah pilih kiblat

Justeru, dalam Forum Meja Bulat IKIM, saya mengingatkan peserta supaya jangan tersalah pilih kiblat. Tegasnya, semua negara Islam tiada pilihan selain memperbaiki dan memperbaharui sistem ekonomi dengan mencari alternatif kepada liberalisasi Barat. Paling mencabar, kaedah alternatif baru mesti berupaya menjana harta kekayaan memakmurkan kehidupan. Dalam kata lain, ia wajib pro-bisnes dan pro-pasaran, memangkin pertambahan nilai ekonomi, memakmurkan dan memperkaya kehidupan dan bukan sebaliknya; dan bukan juga menzalimi dan merosakkan.

Kesimpulannya, rata-rata peserta Forum yakin semua ini boleh dijayakan, khasnya dalam konteks Masyarakat Islam Malaysia. Apa diperlukan ialah ikhtiar kreatif, termasuk inovasi institusi, dan salah satu pendekatan dikenal pasti dalam forum ialah institusi Waqaf Korporat.

Bayangkan jika Waqaf Korporat dapat dijadikan teras utama sistem ekonomi pacuan bisnes masa depan. Menerusi institusi Waqaf Korporat, ciri dinamis dan keupayaan tinggi organisasi korporat pasti dapat dimobilisasi untuk menjana harta kekayaan ummah.

Lebih dari itu, dengan pengendalian berhikmah, aset bisnes dan harta korporat milik Waqaf Korporat dapat digunakan menambah nilai ekonomi menjana harta kekayaan untuk manfaat semua, dan bukan sahaja eksklusif untuk golongan mewah dan kaya seperti sistem sedia ada.

* Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) ali.bizjihad@yahoo.com