Dalam zaman kehidupan manusia didominasi kuasa ekonomi, negara-bangsa kuat dan dominan adalah yang berkeupayaan tinggi bisnes. Persaingan sengit global pula menjadikan bisnes lebih berciri peperangan, iaitu perang ekonomi yang pasti memihak kepada bangsa yang tinggi keupayaan strategi bisnes, gagah berdaya saing dan kebal berdaya tahan.

Untuk menang dalam perang ekonomi, bangsa Melayu dan umat Islam tiada pilihan selain segera membina keupayaan bisnes dan menghimpun kekuatan korporat jangka panjang.

Beberapa faktor kritikal untuk menang (critical success factors) adalah seperti berikut:-
•   Melayu bertindak dengan         kaedah berstrategi.  
•   Membanteras sumber
    utama kelemahan dalaman.
•  Membentuk institusi lestari.
Bertindak dengan strategi

Untuk bertindak dengan strategi, pertama-tama bangsa Melayu dan umat Islam perlu belajar dari sejarah pengalaman hidup sendiri. Antara yang paling relevan ialah sejarah penjajahan Barat yang berjaya menundukkan kuasa dunia Islam, khasnya penjajahan Melayu oleh Britain.

Sejarah penjajahan Barat sangat berkait rapat dengan agenda menguasai bisnes, mendominasi ekonomi dan menundukkan bangsa lain. Ia bermula dengan kejayaan bisnes milik syarikat seperti East India Company (EIC) yang ditubuh Belanda dan juga Britain sekitar awal 1600-an. Syarikat seperti EIC fokus pada bisnes dan menjadi pejuang barisan depan agenda penjajahan dengan disokong penuh kekuatan senjata serta kuasa pemerintahan penjajah di belakang. 

Matlamat menguasai pasaran dan mendominasi sumber ekonomi dilakukan dengan strategi mapan sehingga dua negara Barat, iaitu Britain dan Belanda, sekalipun kecil jumlah penduduk, berjaya menakluki dan menjajah negara-bangsa lain yang jauh lebih besar bilangan penduduk, termasuk bangsa Melayu di Tanah Melayu oleh Inggeris dan bangsa Indonesia oleh Belanda. 

Kaedah strategi Inggeris mengandungi pengajaran penting: iaitu jumlah kecil tidak menghalang kejayaan jika kita bijak mengguna sumber yang sedikit untuk mendapat manfaat maksimum. Melayu wajib memanfaatkan strategi ini kerana kecilnya bilangan usahawan Melayu bertaraf entrepreneur global. Bakat keusahawanan terhad ini mesti didukung badan korporat besar (PLC atau GLC) menerajui bisnes strategik negara. Strategi ini wajar dijayakan dengan sokongan politik sihat tanpa campur tangan politik berkepentingan sempit. Teraju bisnes strategik juga tidak harus dipegang kroni politik atau bekas ahli politik kitar semula yang cuma pandai mempolitikkan semuanya.

Membanteras kelemahan dalaman

Sejarah penjajahan Melayu juga menyaksikan Britain menggunakan strategi yang menyerupai strategi perang amalan China. Antaranya, termasuk tiga strategi popular, iaitu: pertama, “menyelindungi senjata dalam senyuman”; kedua, “mengeruhkan air untuk mendapat ikan” dan ketiga, “membunuh/menewaskan Melayu dengan keris pinjaman”. 

Britain menjajah Tanah Melayu dan menguasai ekonomi tanpa mengguna senjata, dengan kos paling rendah dan penjimatan besar tenaga dan modal. Teras strategi penjajahan Inggeris ialah meminjam dan mengguna Keris Di Raja lambang kuasa Melayu menguasai istana raja Melayu.  Di samping mengekalkan kebesaran raja Melayu di mata rakyat, mereka bijak memaksa pelantikan “Penasihat” Inggeris oleh raja Melayu dengan “nasihat” yang wajib dilaksana dan dikuatkuasakan. Kebesaran raja Melayu dikekalkan Inggeris, sambil kuasa kerajaan diinggeriskan. Pintu tanah air juga dibuka luas untuk pelabur Barat dan kemasukan tenaga buruh migran.

Setelah hampir enam dekad merdeka, impak penjajahan Inggeris yang berstrategi halus dan sofistikated masih mengesani pemikiran Melayu. Akibatnya ramai Melayu tidak mahu terima realiti dan masih khayal dengan mitos politik “ketuanan” ciptaan imaginasi mereka sendiri.

Mitos ini mudah tersemat dalam jiwa kerana antara lain, dulu penjajah dijadikan “tuan” setelah Melayu terpesona kehebatan uniform dan pedang mereka.  Kini, setelah bebas merdeka, tidak hairan jika ramai Melayu berpendirian sesungguhnya Melayu adalah “Tuan”. Siapa yang tidak terpesona melihat budaya rasmi pemerintahan Melayu pasca merdeka dengan pakaian uniform lebih hebat daripada orang putih? Tambahan pula ada yang lengkap dengan pedang tersisip di pinggang dan dada dipenuhi darjah kebesaran, pingat dan bintang!

Dalam kegemerlapan istiadat rasmi, banyak kelemahan dalaman terlepas pandang. Salah satu yang mesti diatasi segera membabitkan Melayu menggadai atau langsung “menjual” kuasa.  Terlalu lumrah Melayu membiarkan takhta, istana dan Keris lambang Di Raja dipinjam dan diguna orang lain.  Selain itu, banyak kita lihat peristiwa kuasa politik disia-siakan. Pemimpin berjiwa kecil, lemah semangat, gila pangkat dan cinta kerusi kerap mengakibatkan Melayu kalah strategi. Terlalu banyak peristiwa membabitkan Melayu ditikam keris sendiri, setelah pemimpin taksub kompromi politik dan ekonomi hingga lupa amanah. Ada juga yang rakus dan rasuah!  

Mencapai kemerdekaan tanpa perlu bertempur menentang kuasa penjajah juga membawa beberapa kesan negatif pada Melayu. Ia berlaku apabila, selain uniform, ciri dasar dan amalan pentadbiran penjajah dipanjangkan pemakaiannya jauh selepas merdeka, sekalipun janggal dan kontradiksi. Contoh paling mudah terdapat pada label “kakitangan” yang diwarisi dari penjajah. Label ini merendah darjat dan mengecil martabat insan pekerja sebangsa. Apabila di”kakitangan”kan, semua terbabit ibarat kurang sifat, iaitu tanpa muka dan kepala, tanpa hati dan jiwa, tanpa jati diri dan daya fikir sendiri.  Kenapa pemakaiannya masih diteruskan?

Bahayanya, apabila rakyat terus berjiwa “kakitangan”, semua pantang-larang, termasuk yang haram, mudah dihalalkan. Segala salah laku, rasuah dan korupsi lebih senang didiamkan, atas alasan menurut perintah atasan.

“Kakitangan” wajib merendah diri, berdisiplin santun dan berbahasa setia setiap masa.  Mana yang ingkar, ikhlas cuba menentang, dijadikan umpama bendul lurus melintang: dilangkah, dipijak, dilanggar dan dilanyak.

“Kakitangan” atasan yang lurus menegak, tegas atas dasar prinsip dan iman, juga tidak terlepas daripada cengkaman.  Ramai yang dijadikan galah: diguna orang berpangkat dan berkuasa menjolok emas dan harta.

Membentuk institusi lestari

Justeru, masih banyak yang perlu Melayu pembaharu dan transformasi. Dalam menyusun strategi ekonomi juga, kita perlu hati-hati menciplak doktrin kapitalis liberal dan terbuka bebas, iaitu kaedah yang pernah diguna penjajah dari awal lagi ketika membolot dan merampas kuasa ekonomi. Akibatnya, hari ini kita diancam gergasi MNC kapitalis global. Kali ini bukan sahaja dari Barat, malah juga Timur: iaitu dari Jepun, Korea Selatan,

China dan Singapura yang berebut mengambil kesempatan kelemahan dan ketidaksediaan Melayu.

Tiba masanya bangsa Melayu bertindak gagah dengan menyusun strategi perang.  Pertama, membentuk barisan wira usahawan entrepreneur Melayu dengan semangat kepahlawanan bisnes luar biasa. Strategi perang paling berkesan bagi Melayu sebagai umat Islam ialah menyemarakkan semangat Jihad, iaitu Jihad Bisnes, ke dalam jiwa semua terbabit. Jihad Bisnes berupaya menggembleng tenaga total kerana ia berlandaskan prinsip menegak amanah ALLAH, mengetepikan nafsu serakah peribadi dan menuntut pengorbanan luar biasa. Melalui Jihad Bisnes lebih mudah membulatkan semula perpaduan bangsa dan ummah yang telah dipecah.

Selain itu, strategi berkesan yang sebelum ini jelas berjaya membina kuasa korporat Melayu jangan sekali diketepikan. Antaranya, strategi GLC yang diamalkan sejak Dasar Ekonomi Baru dilancar pada awal 1970-an. Hari ini barisan GLC amanah berjaya menguasai antara 30 hingga 40 peratus nilai modal pasaran (market capitalization) di Bursa Malaysia. Pertahankan GLC sebagai benteng ekonomi Melayu dan jadikan sebahagiannya institusi Wakaf Korporat, supaya kebal berpanjangan, berkesinambungan membawa manfaat, insya-ALLAH sampai kiamat!

Tegasnya, bangsa Melayu perlu sentiasa waspada percaturan halus pihak lawan. Strategi musuh ialah musnahkan GLC dengan berselindung di sebalik doktrin “deregulasi, penswastaan dan liberalisasi”. Doktrin rakus kapitalis korporat global ini telah ditolak dan ditentang keras warga Barat setelah merosak ekonomi Barat sendiri. Kenapa kita pula hendak menciplaknya?

Mustahil Melayu-Muslim berjaya dalam perang ekonomi selagi memperjuangkan bisnes atas dasar sama, iaitu melepaskan nafsu serakah, menghalalkan segala cara. Mustahil juga Melayu mencapai kemenangan bermakna tanpa strategi Jihad Bisnes perkasa dan tanpa sanggup berkorban mewakaf bisnes dan harta milik ALLAH SWT. Kekuatan sebenar bangsa Melayu dan umat Islam terdapat hanya pada menyempurnakan amanah sebagai khalifah.

* Tan Sri Muhammad
 Ali Hashim
Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)