Akhbar The Edge, 3 Disember, 2012 menarik perhatian saya. Antara beberapa isu yang dilontarkan dalam Perhimpunan Agung Umno, The Edge membuat hanya satu komen, iaitu mengenai pelantikan lembaga pengarah GLC.

Komen akhbar bisnes mingguan berbahasa Inggeris berpengaruh ini menyentuh ucapan dasar Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno 2012.

Dalam ucapan dasar di perhimpunan tersebut satu daripada 10 cadangan Khairy menuntut supaya dikaji semula amalan melantik pesara politik dan kerajaan untuk mengisi lembaga pengarah GLC.

The Edge menyambut seruan ini, menyifatkannya sebagai langkah wajar menuju meritokrasi dan profesionalisme. The Edge turut menggesa supaya lebih ramai bukan bumiputera dilantik sebagai CEO GLC “untuk membantu memacu pembaharuan di GLC”.  

Politik habuan, rebut kerusi, jawatan dan jutawan

Sungguh malang sekali bagi masa depan ekonomi bangsa dan negara jika isu ekonomi dan bisnes, termasuk peranan GLC, semuanya hendak “dipolitikkan” atau “dikerajaankan”.  Juga, sangat berbahaya jika naratif politik nasional dan perjuangan parti politik, tidak kira belang dan warna bendera, mengheret kita ke kancah “politik habuan dan imbuhan” atas perkiraan “siapa dapat apa, berapa” untuk diagih mengikut ukuran sempit kepartian atau perkauman.  

Kita akui hakikat perjuangan politik bertujuan merebut kuasa. Justeru kerusi, jawatan dan pangkat, termasuk pelantikan pengerusi atau ahli lembaga pengarah GLC (sama seperti jawatan Perdana Menteri, menteri dan penguasa lainnya) adalah antara habuan politik yang sewajarnya menjadi sasaran perebutan demokrasi.  

Namun, bukan habuan bermatlamatkan imbuhan politik sempit dan serong. Paling malang bagi bangsa dan negara jika politik habuan akhirnya melahirkan politikus pemangsa liar dan buas umpama harimau lapar mengganas.

Bahayanya, bukan sahaja harimau yang mahu merebut habuan mangsa. Banyak serigala, singa dan naga ganas yang bernafsu lebih besar berada di luar sana. Demikian juga “Superman” super kaya yang berlegar seperti geroda di angkasa, menanti untuk menyambar dan merampas sama!

Tiba masanya bangsa Malaysia mengetepikan politik habuan dan mengangkat semula darjat politik ke taraf satu perjuangan berakhlak, beretika dan bermaruah tinggi, iaitu perjuangan yang besar makna dan pengertian. Paling penting, jangan jadikan GLC habuan mangsa politik kepartian sempit dan serong hingga menjejaskan perjuangan dan menggugat masa depan.

GLC institusi strategik bangsa dan negara. Justeru, peranan pentingnya perlu difahami dengan mendalam. GLC bukan habuan untuk dibaham ikut nafsu politik peribadi “sementara berkuasa”.

Aset dan bisnes milik GLC bukan untuk dipecah dan diperah (iaitu aset stripping), misalnya dengan membawa masuk venture capitalist asing bertujuan melahirkan jutawan segera. Tender dan kontrak serta jawatan penting GLC dan syarikat miliknya juga bukan habuan dan imbuhan untuk kerabat dan kroni terpilih menghimpun wang membiayai parti untuk PRU.

“Politik habuan” berbahaya dan berpotensi merosak dan memusnahkan masa depan bangsa dan negara. Kerana bercirikan habuan, politik mudah menjadikan kerusi alat untuk merakusi, jawatan batu loncatan jutawan.

Akhirnya matlamat besar perjuangan tergadai dan aspirasi bangsa dan negara dilupakan; yang dikejar bangsa dan negara tak dapat yang dikendung pula semuanya diperibadikan.

Dalam keadaan negara menghadapi cabaran krisis pergolakan ekonomi global dan bangsa Melayu pula terpinggir, lemah ekonomi dan dependent, politik habuan boleh memusnah dan menghancurkan, politik pemangsa membinasa.

Sesungguhnya GLC satu-satunya benteng ekonomi strategik memperkasa masa depan ekonomi bangsa dan negara.

Lihat sahaja bagaimana Republik Rakyat China menjadikan GLC instrumen utama strategi ekonomi menerajui ekonomi dunia. China mengawal nadi ekonomi menerusi GLC sehingga menguasai 70 peratus syarikat tersenarai di bursa saham dan menyumbang 40 peratus kepada KDNK negara China.

Demikian juga Singapura, GLCnya diperkasa dukungan kuasa politik pemerintah. China dan Singapura lakukan semua ini mengikut kaedah bijaksana mengelakkan GLC daripada dipolitik dan “dikerajaankan”.

GLC diberi autonomi. Sekali pun diterajui pemerintah, GLC diurus teknokrat profesional. Tanggungjawab pengurusan diserah kepada yang “ahli” dan profesional, memangkinkan mereka bertindak cemerlang dan berprestasi tinggi.

Kenapa kita tidak bertindak berhikmah seperti ini?

Serah amanah GLC kepada “ahli”

GLC Malaysia mesti dilindungi dan diperkasa pejuang politik bangsa. Paling utama, GLC jangan diswastakan; malah terajunya diserah kepada profesional dan teknokrat bisnes dan korporat.

GLC adalah institusi korporat amanah bangsa. Taatilah ajaran Islam yang menuntut umatnya menegakkan amanah dan menyerahkan amanah kepada yang “ahli”. Jika tidak, kita diingatkan menanti sahaja kehancuran usaha dan perjuangan. Saya percaya pengabaian ajaran inilah punca utama ketempangan perjuangan bangsa dan umat dewasa ini!

Tegasnya, saranan Khairy dan The Edge supaya GLC menuju meritokrasi dan profesionalisme wajar disokong. Namun cara pelaksanaannya tidak wajar berdasarkan pertimbangan politik habuan sempit, peribadi, kroni, kepartian atau perkauman.  

Lebih daripada itu, peranan institusi GLC mesti dinilai dalam konteks sejarah perjuangan ekonomi-politik Malaysia tanpa melupakan aspirasi DEB yang melahirkan GLC. GLC dilahirkan khusus untuk merapatkan jurang ekonomi antara Melayu/Bumiputera dengan kaum lain. Hari ini GLC wajar dilihat sebagai institusi amanah melindungi kepentingan majoriti warga Malaysia golongan bawah berpendapatan rendah tanpa mengira kaum, keturunan dan agama.

Pengalaman saya selama 28 tahun sebagai CEO salah sebuah GLC (Johor Corporation -JCorp) jelas membuktikan GLC seperti JCorp berjaya cemerlang di bawah lindungan politik bijaksana yang JCorp nikmati selama 40 tahun sebelum ini.

Malangnya, terdapat tanda perlindungan ini kini dikompromi, mengakibatkan masa depan JCorp tidak menentu.

Ini berlaku setelah beberapa wakil politik dan pentadbir kerajaan dilantik ke dalam JCorp dan Lembaga Pengarah syarikatnya, iaitu sesuatu yang bertentangan dengan dasar dan amalan korporatnya.

Paling berbahaya, pelantikan ini membabitkan bukan sahaja “pesara politik dan kerajaan” seperti yang tidak disenangi Khairy dan The Edge. Lebih memudaratkan, pelantikan di JCorp dan syarikat seperti Kulim Malaysia Bhd dan KFC Holdings Malaysia Bhd membabitkan penjawat dan aktivis parti politik sepenuh masa, iaitu proksi dan kroni politik berkuasa.  

Apabila proksi dan kroni politik dilantik pengarah atau CEO syarikat, kita boleh menjangka kuasa kolektif lembaga pengarah akan terjejas dan dikompromi. Percayalah, kroni dan proksi politik berkuasa akan berperilaku seumpama “Napoleon kecil” atau “Superboy” proksi “Superman”, mengarah dan memerintah langsung mematah inisiatif dan daya kreatif selain melemahkan semangat entrepreneurship. Semua ini akan memusnahkan autonomi JCorp, merosak profesionalisme pengurusan dan mematikan semangat juang!

Kesimpulannya, Malaysia memerlukan GLC kebal dan gagah perkasa menjayakan agenda ekonomi negara. Untuk itu, pengalaman JCorp menuntut GLC diberi pertimbangan
berikut:-

•    Perjuangkan autonomi GLC dengan melantik profesional dan teknokrat bisnes dan jangan dedahkan GLC kepada sentimen “politik habuan” atau “dikerajaankan” operasi;
•    Jangan swastakan GLC, menjadikannya alat politik rakus. Jadikan GLC institusi amanah strategik transformasi ekonomi negara dengan menghidupkan semula aspirasi DEB;
•    Perkasakan GLC sebagai institusi keadilan ekonomi dan elakkan ekonomi Malaysia didominasi swasta nafsu-nafsi. Jangan izinkan “Superman” super-kaya membolot semua sehingga ekonomi negara menjadi seperti di Baratatau di negara Arab, di mana satu peratus warga atasan akhirnya memiliki 90 peratus harta kekayaan;
•    Tanam semangat pengorbanan tinggi dan muliakan perjuangan bisnes GLC berdasarkan jihad suci. Jadikan GLC penjana ekonomi negara pembela maruah bangsa dan umat;
•    Akhirnya, wakafkan saham milik GLC. Pertahankan hak milik majoriti rakyat Malaysia dan jadikan aset dan bisnes sebagai amanah melindungi kepentingan ekonomi generasi masa depan. Dalam kes JCorp, wakafkan saham KFC, Kulim, KPJ Healthcare dan syarikat lain miliknya kepada Waqaf An Nur Corporation Bhd supaya terselamat daripada diswasta atau “difaraidkan”. Menerusi wakaf hak milik diserah kepada ALLAH SWT, kekal berkesinambungan bagi manfaat umat, insyaALLAH sampai kiamat!

* Tan Sri Muhammad Ali Hashim ialah Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)