Minggu lalu saya ke Kaherah menyampaikan ceramah kepada 120 pemimpin pelajar Malaysia di beberapa universiti di Mesir. Program anjuran Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) bersama Education Malaysia Egypt (EME) di bawah Global Leadership Outreach (GLO) bertujuan mengasah bakat kepimpinan dalam kalangan pemimpin pelajar.

Seperti biasa setiap kali melawat keluar negara, saya ambil kesempatan mencari buku untuk dibaca. Fokus saya kali ini ialah terhadap isu besar yang melanda Mesir dan dunia Arab, iaitu Revolusi Arab atau Arab Spring yang turut membawa kesan terhadap umat Islam dan bangsa Melayu di Malaysia. Saya berkesempatan menghabiskan dua buku, iaitu “The Arab Spring and the Gulf States – Time to embrace change” oleh mantan menteri ekonomi dan perdagangan Qatar, Mohamed A J Althani dan “Egypt in the era of Husni Mubarak 1981-2011” tulisan Galal Amin.


Revolusi Tahrir

Althani menyifatkan Revolusi di Tunisia, Mesir dan Libya awal dekad kedua dalam abad ke-21 satu kebangkitan memberangsangkan bagi bangsa Arab. Beliau melihatnya sebagai peristiwa yang dapat menebus martabat bangsa Arab, juga sekali gus umat Islam, setelah dicemari keganasan ngeri pada dekad pertama abad sama; iaitu peristiwa berdarah 11 September 2001 ke atas Amerika Syarikat akibat tindakan beberapa pemuda Arab Muslim.

Pada beliau kebangkitan Arab, terutama revolusi di Medan Tahrir, Mesir, satu peristiwa menzahirkan kegagahan bangsa Arab. Kerana ia satu perjuangan menuntut kebebasan asasi menentang kezaliman dalaman masyarakat Arab sendiri dan bukan cuma menyalahkan pihak luar ke atas kelemahan Arab dan umat Islam.

Katanya: “In the first decade of this century, unfortunately, Arab nations suffered fallout from the horror of the 11 September 2001 attacks in the US. In the second decade, Arabs will be associated with freedom and bravery in the face of tyranny within.”
Althani menegaskan, selain isu politik dan hak asasi manusia, beberapa cabaran besar ekonomi, terutama kemiskinan, telah meledakkan Revolusi Arab. Seluruh dunia Arab, kecuali negara Teluk, kini menghadapi krisis ekonomi serius. Hari ini, lebih satu daripada setiap empat orang Arab menganggur. Menjelang 2020, dijangkakan 55 juta peluang kerja baru perlu dijana untuk menampung keperluan ekonomi generasi baru Arab.

Justeru, pengangguran antara ancaman terbesar, menjadikan membasmi kemiskinan remaja cabaran paling hebat. Hari ini 40 peratus remaja Jordan, Lebanon, Morocco dan Tunisia menganggur. Kedudukannya lebih teruk di Syria dan Mesir, dengan jumlah penganggur remaja melebihi 60 peratus.

Selain itu, pertumbuhan penduduk Arab antara paling pesat di dunia. Kajian Bangsa-bangsa Bersatu mendapati setengah daripada 350 juta jumlah umat Arab di paras umur bawah 25 tahun. Atas kadar pertumbuhan semasa, jumlah penduduk Arab akan bertambah dua kali ganda menjelang 2050.

Malangnya Althani berpendapat korupsi, terutama dalam kalangan ahli politik dan keluarga mereka, berleluasa di dunia Arab, menjadikannya penghalang utama transformasi. Ia ditambah-burukkan kepimpinan Arab yang “tidak mempunyai wawasan ideologi dan moral” serta tidak menggalakkan semangat persaingan atau “competitive spirit”. Beliau menegaskan supaya kuasa lebih besar diberi kepada golongan pemilik dan pengurus bisnes dalam masyarakat: “…there must be a transfer of power from the state to owners and managers of businesses.”

Kesimpulannya, Althani berpendapat sistem pemerintahan atau governance wajar diteraskan kembali kepada Islam kerana Islam memberi asas etika dan moral. Lagi pun Islam boleh menyatupadukan semula kepemimpinan Arab yang berpecah. Beliau menyeru mereka kembali kepada ajaran al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW dalam menegakkan keadilan: “They should take inspiration from the Koran and the sayings of the Prophet Mohammed that leaders should be just and fair in their manner of governance.”


Jangan jadi ‘soft state’

Galal Amin, seorang profesor ekonomi, turut menghuraikan punca berlakunya pemberontakan atau Revolusi Arab. Fokus beliau ialah terhadap kelemahan selama 30 tahun pemerintahan Husni Mubarak, terutama korupsi yang telah “diinstitusikan” sehingga langsung hilang rasa malu masyarakat terhadapnya.

Paling menarik perhatian ialah apabila beliau menggunakan istilah Karl Gunnar Myrdal, seorang ahli ekonomi terkemuka dunia berbangsa Sweden yang menulis karya agungnya berjudul “The Asian Drama: An inquiry into the poverty of nations” pada 1968.

Fokus Myrdal ialah terhadap punca utama kemiskinan negara-bangsa, dan beliau melabelkan negara miskin dan lemah sebagai “negara lembik” atau “soft state”.  

Label “negara lembik” menarik perhatian kerana relevannya kepada semua negara membangun termasuk Malaysia hari ini. Antara ciri utama negara lembik yang dihuraikan oleh Myrdal adalah:-

•    Golongan elit tidak mengendahkan undang-undang, malah mengambil kesempatan menggunakan kuasa di tangan mereka melindungi kepentingan daripada tindakan
•    Semuanya diperdagangkan dan “up for sale” (dalam istilah hari ini: ala penswastaan)
•    Peraturan sengaja dilanggar untuk memperkaya golongan berkuasa dan berpangkat
•    Meluluskan undang-undang yang kemudiannya tidak dikuatkuasakan
•    Pembayaran cukai kerap dielakkan
•    Orang berebutkan jawatan dan pangkat untuk kepentingan peribadi
•    “Budi politik” (political favours) ditabur atau dijual kepada kroni, kerabat dan pengampu

Ringkasnya, ciri utama negara lembik ialah berleluasanya korupsi, kerakusan, keangkuhan dan salah guna kuasa. Galal Amin menegaskan semua ciri ini menonjol selama 30 tahun era pemerintahan Mubarak, bermula dengan kalangan eksekutif (pentadbiran kerajaan), merebak kemudiannya ke golongan penggubal undang-undang (legialature), akhirnya menjangkiti pentadbiran kehakiman (judiciary).

Beliau menegaskan, korupsi dan salah guna kuasa berlaku di mana-mana. Namun bahayanya, dalam negara lembik semuanya berleluasa menjadi satu gaya hidup bermasyarakat atau "a way of life". Paling menarik perhatian, beliau berpendapat korupsi dan salah guna kuasa menular di Mesir setelah pada mulanya diterima baik oleh masyarakat Mesir melalui dasar “infitah”, iaitu liberalisasi ekonomi. “Infitah” diperkenalkan sejak pemerintahan Anwar Sadat lagi, setelah dipengaruhi Amerika Syarikat menciplak Barat.

Sekalipun pada mulanya dianggap bermanfaat, infitah jelas merosakkan.“… penswastaan satu persatu syarikat dan bank menguntungkan syarikat multi nasional dan korporat Amerika, akhirnya memaksa Mesir mematuhi kepentingan Israel …langsung memangkinkan bantuan ekonomi dan tentera Amerika diguna untuk menundukkan semuanya ke arah itu.”


Transformasi tanpa revolusi

Ceramah saya kepada pemimpin pelajar di Mesir fokus kepada isu menggalakkan mereka memilih membina kerjaya di bidang bisnes dan korporat. Jelas sekali, sama seperti negara maju lain, cabaran masa depan ekonomi Malaysia dan negara Islam berpusat kepada menjana peluang ekonomi dan peluang kerja berkualiti untuk remaja dan generasi masa depan, terutama menerusi peluang lebih luas yang dapat disediakan oleh sektor bisnes dan korporat.

Saya tegaskan, sekali pun sebahagian besar pelajar memburu ijazah di bidang pengajian Islam, kedoktoran atau lain, pengetahuan bisnes dan pembudayaan keusahawanan sangat penting untuk generasi mendatang. Lebih penting ialah cabaran menjadikan bisnes bukan sahaja laluan menghimpun harta kekayaan peribadi, malah mengisi makna dan pengertian lebih besar dalam kehidupan, iaitu menjadikan bisnes satu wadah perjuangan.

Dalam ceramah saya huraikan kaedah dan contoh pengalaman 30 tahun di JCorp membina organisasi korporat menjana ekonomi untuk kepentingan besar bangsa dan negara. Saya juga berkongsi pengalaman menjadikan bisnes perjuangan bertaraf satu jihad, iaitu Jihad Bisnes bertujuan mentransformasikan ekonomi dan membasmi kemiskinan, sekali gus membanteras kezaliman dan ketidakadilan.  

Pada akhirnya, melalui Jihad Bisnes kita juga dapat mengelakkan negara daripada terjerumus menjadi negara lembik, korupsi, rakus dan zalim. Dalam ceramah saya menonjolkan contoh Waqaf Korporat sebagai satu pembaharuan institusi yang berupaya menegakkan keadilan ekonomi. Paling penting, kaedah pembaharuan Jihad Bisnes dan institusi Waqaf Korporat berupaya mentransformasi negara Islam seperti Malaysia dengan cara aman tanpa perlu revolusi atau pemberontakan.


* Tan Sri Muhammad Ali Hashim ialah Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)