SAYA bersyukur ke hadrat ALLAH SWT dan berterima kasih kepada Jumaah Majlis Diraja Johor, yang menghormati niat saya memulangkan semula semua darjah kebesaran Johor.

Pemulangan ini berlaku setelah saya dan Allahyarham anak saya (menerusi tulisan sajak terakhirnya “Menuntut hak dan menebus masa silam”) dituduh “menderhaka” dan “tidak bertanggungjawab”.

Tuduhan berlaku menerusi kenyataan media Datuk Abdul Rahim Ramli, Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, pada 5 Disember, 2013.

Namun akhirnya Abdul Rahim mengiktiraf hak saya memulangkan darjah apabila beliau menyatakan: “Seseorang yang dikurniakan darjah kebesaran negeri Johor boleh berhenti menjadi ahli darjah di atas apa sebab sekalipun…”


Khalifah, sultan dan imam

Sebagai bekas Ahli Darjah Johor, saya terpanggil menyampaikan nasihat dan pandangan dari perspektif seorang warga Johor yang sayangkan bangsa dan cintakan tanah airnya.

Juga kerana saya kuat berpendapat institusi raja sangat wajar dilindungi daripada dicemar hingga boleh menyebabkan kedudukannya di sisi perlembagaan negara dipersoal satu hari nanti.

Jika ini dibiarkan berlaku, bukan sahaja kedaulatan raja-raja Melayu boleh terjejas, malah kedudukan dan martabat bangsa Melayu keseluruhannya akan turut dipandang rendah, yang akhirnya akan mengancam kedaulatan bersama dan kepentingan politik jangka panjang kedua-dua pihak terbabit, iaitu raja dan rakyat.

Saya bersependapat dengan Dr Siddiq Fadzil dalam bukunya: “Islam dan Melayu – Martabat umat dan daulat rakyat” (2012) yang menyatakan bahawa institusi raja sejak zaman berzaman dijadikan tonggak kehidupan Melayu bermasyarakat dan berpolitik wajib membawa manfaat kepada bangsa dan umat.

Tegas beliau, pada akhirnya, dalam penggunaan kuasa politik kita “…perlu mengingatkan erti dan fungsi raja dari perspektif Melayu dan Islam.”

Dalam penulisannya, antara lain, Dr Siddiq merujuk kepada peringatan Raja Ali Haji dalam bukunya “Thamarat al- Mahammah”: “Raja Ali Haji mengingatkan makna raja bukan ‘… membuat apa sukanya di atas rakyatnya…’ tetapi merujuk pengertian tiga istilah politik Islam: khalifah, sultan dan imam.”

“Raja dalam pengertian khalifah dimaknai sebagai pengganti dan pelanjut pemerintahan nabawi yang berlandaskan al-Quran, al-Hadith dan al-ijmak. Raja dalam pengertian sultan dimaknai sebagai penguat kuasa keadilan hukum yang bersumberkan ajaran ALLAH dan rasul-Nya. Raja dalam pengertian imam pula dimaknai sebagai pemimpin dan ikutan.”


Jangan biarkan pagar makan padi

Saya percaya tugas asas dan tanggungjawab utama badan seumpama Jumaah Majlis Diraja ialah mempertahankan kedaulatan raja dan mengangkat darjat kemuliaan dan kebesaran institusi paling sinonim dengan lambang kedaulatan bangsa Melayu amnya.

Justeru peranan paling utama ialah memelihara dan melindungi institusi terbabit daripada dirosakkan atau dicemari, sama ada oleh tekanan atau ancaman luar mahu pun perbuatan negatif dan kelemahan serta kecacatan dalaman.

Kebelakangan ini diperhatikan martabat dan kebesaran raja terjejas dan terhakis, terutama apabila berlaku banyak kontroversi berkaitan kedudukan raja sebagai ketua agama Islam.

Sebahagian kontroversi berlaku akibat reaksi terhadap tindakan yang jelas tidak popular dan tidak disenangi rakyat jelata Melayu, khasnya dan umat Islam amnya. Pengalaman saya sendiri menyaksikan berlakunya peristiwa yang jelas turut tidak disenangi rakyat dan masyarakat.

Sewaktu memegang jawatan Pengerusi, Waqaf An Nur Corporation Bhd, saya terima surat rasmi daripada kadi dari dua daerah di Johor menyampaikan keputusan jabatan masing-masing mengarahkan supaya Klinik Waqaf An Nur di pekarangan Masjid Jamik di daerah terbabit ditutup.

Ia kontroversi dan tidak disenangi kerana klinik wakaf terbabit membawa manfaat kebajikan yang sangat besar ertinya membantu meringankan beban masyarakat.

Semua pesakit yang datang ke Klinik Waqaf An Nur (termasuk pesakit miskin bukan Muslim) mendapat rawatan dengan bayaran hanya RM5 setiap rawatan doktor dengan ubatannya sekali. Justeru kemudahan rawatan dan perubatan asas ini sangat besar maknanya khasnya dalam membantu menjimatkan perbelanjaan perubatan pesakit miskin.

Dua buah klinik terbabit ditubuh khas berlandaskan institusi wakaf di bawah anjuran Islam dan bertujuan menegakkan syiarnya.

Umat Islam sedia maklum dari segi hukum institusi wakaf wajib dilindungi dan dipertahankan supaya dapat berkekalan membawa manfaat berpanjangan kepada umat dan agama Islam. Sesuatu aset atau harta wakaf adalah diserah miliknya kepada ALLAH SWT.

Justeru, hak milik ke atas semua harta wakaf berprinsipkan ciri kekal dan kebal serta wajib dipertahankan oleh semua umat Islam.

Namun sebaliknya berlaku apabila Klinik Waqaf An Nur di pekarangan Masjid Jamik di dua daerah terbabit diarah tutup.


“Setia bersyarat, derhaka bersebab”

Dalam penulisannya Dr Siddiq Fadzil turut menegaskan raja didaulatkan sebagai satu institusi besar dalam konsep berpolitik oleh rakyat Melayu berlandaskan satu kontrak sosial yang wajib saling dihormati.

Tambah beliau: “Melayu yang telah mengalami transformasi keislaman adalah Melayu yang setianya bersyarat, dan derhakanya bersebab… Transformasi (keislaman) inilah juga yang telah melahirkan kontrak sosial … berasaskan prinsip dan nilai keadilan sebagaimana yang terumus dalam ungkapan raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.”

Catatan Dr Siddiq mengenai syarat menjadi raja yang terkandung dalam undang-undang tubuh atau perlembagaan salah sebuah negeri di Malaysia menarik perhatian saya.

Perlembagaan terbabit, sama seperti prinsip terkandung dalam Perlembagaan Malaysia, “…tidak mengandungi sebarang peruntukan yang meletakkan raja di atas undang-undang”.

Sebaliknya terdapat peruntukan dalam perlembagaan negeri terbabit tentang hilangnya kelayakan menjadi raja, iaitu kerana “… kecacatan yang besar yang menyalahi sifat raja-raja seperti gila, buta, bisu, atau pun ada mempunyai sifat kekejian yang tiada dibenarkan oleh syarak menjadi raja.”

Kesimpulannya, rakyat jelata Melayu beragama Islam yang cintakan tanah air berlambangkan kepada kedaulatan raja menaruh harapan sangat besar terhadap masa depan institusi raja.

Tidak hairan jika ramai yang akan bangkit mempertahankan institusi ini, rela dan bersedia menggadai nyawa sekali pun, daripada membiarkan ia dicemari atau direndahkan martabatnya oleh sesiapa.

Sewajarnya institusi raja dipertahankan, mengatasi kepentingan peribadi semua terbabit. Namun, hari ini, banyak sekali dilihat pencemaran dan kerosakan berlaku yang menjejas kebesaran dan kedaulatan raja.

Paling sensitif dan kontroversi andainya terdapat penguasa agama berkedudukan khas dengan tanggungjawab istimewa di sisi raja bertindak melalui kaedah yang menyebabkan masyarakat berpersepsi telah berlaku pencerobohan hak di sisi undang-undang, atau perlembagaan.

Malang sekali jika terdapat dalam kalangan mereka, sama ada dengan sedar, sengaja atau tidak, turut mengabaikan prinsip keadilan dan melupakan tanggungjawab serta kewajipan masing-masing dalam menegakkan yang hak dan mengetepikan yang batil.

Rakyat mengharapkan mereka menjadi pejuang barisan depan menyempurnakan amar makruf dan nahi mungkar seperti diwajibkan oleh Islam ke atas semua, dan bukan sebaliknya.

Pada saya, peristiwa ini mengecewa dan menghampakan masyarakat Islam dan boleh diibaratkan seumpama harapkan pagar, pagar pula yang makan padi!