MINGGU lalu saya diundang RTM ke studio Angkasapuri merakamkan perbincangan panel Wacana Nasional atas tajuk GLC. Perbincangan diterajui penuh wibawa oleh Sayed Munawar, turut disertai Datuk Nurehsanuddin Haji Mohd Harun Narrashid, Ahli Parlimen Kota Tinggi; Mohd Nizam Mahshar, Ketua Pegawai Eksekutif MTEM dan Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor.

Saya diundang kerana pernah menerajui Johor Corporation (JCorp) selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) selama 28 tahun (1982-2010). Sebagai ahli panel paling hampir dengan perkembangan sebuah GLC dan gerak nadi operasinya, saya diminta membuka perbincangan.

Saya mulakan dengan menyatakan GLC institusi cetusan Dasar Ekonomi Baru (DEB) paling berjaya menyusun semula agihan ekonomi negara, sekali gus menyelamatkan kedudukan bangsa Melayu dan Bumiputera daripada terus-menerus miskin dan dipinggir. Justeru saya tegaskan peranan strategik GLC diutamakan dalam pembangunan masa depan ekonomi negara.

GLC institusi strategik

Sekalipun DEB tamat, saya yakin ramai Melayu, Bumiputera dan golongan miskin/sederhana semua kaum masih mengharapkan kerajaan memperkenalkan satu dasar baharu mengganti DEB bertujuan membela golongan majoriti bawahan. Apa pun, saya berpendapat negara bertuah atas kehadiran GLC institusi warisan DEB yang masih berperanan segar dan aktif membangun ekonomi negara. Persoalan yang berbangkit: Ke arah mana masa depan GLC?

Hari ini GLC menerajui beberapa sektor bisnes dan ekonomi strategik. Pada akhir Disember 2013, bahagian nilai modal pasaran saham (market capitalization) di Bursa Malaysia dikuasai GLC dan syarikat tersenarai milik GLC berjumlah RM742 bilion, iaitu 44 peratus daripada jumlah keseluruhan. Dengan jumlah nilai besar ini, GLC Malaysia berkedudukan kukuh dan berkeupayaan tinggi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara selain berperanan strategik memegang ekuiti amanah membela masa depan bangsa.

Dalam perbincangan panel beberapa kritikan terhadap GLC turut dihuraikan. Paling merisaukan golongan usahawan dan peniaga, terutama PKS Melayu/ Bumiputera, ialah tekanan GLC meminggir atau 'crowding out' menjejas bisnes mereka.

Dikatakan ada GLC seolah-olah mahu membolot semua bisnes termasuk kecilan, langsung mengetepikan dan membunuh PKS. Saya akui beberapa kelemahan GLC perlu segera diatasi dan 'crowding out' seperti ini tidak wajar ditoleransi. Namun 'crowding out' lebih besar ancamannya perlu lebih mendapat perhatian, iaitu apabila kuasa besar korporat swasta semakin meminggir dan mengetepikan kepentingan penduduk majoriti negara bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Saya berpendapat GLC berperanan sangat penting dan strategik dalam mengatasi ancaman ini.

Untuk menanganinya, saya berkongsi pengalaman JCorp. Pertama, saya tegaskan GLC berhenti daripada beroperasi atas dasar subsidi atau menggunakan geran dan kedudukan istimewa kerajaan. Selanjutnya, semua GLC wajib menyusun strategi bisnes mendukung dan membimbing PKS, membina barisan usahawan entrepreneur menerajui syarikat PKS berjaya hingga disenarai di Bursa. Program pembangunan intrapreneur JCorp boleh GLC contohi.

Dominasi GLC: Ke arah state capitalism?

Satu lagi isu kontroversi dibangkitkan dalam perbincangan ialah kebimbangan peranan besar GLC berpotensi menjadikan Malaysia negara bercorak kapitalisme kerajaan atau 'state capitalism'. Golongan pejuang liberalisasi ekonomi acuan Barat, khasnya mengikut model Amerika, paling kuat menentang kehadiran GLC. Mereka berpendirian pertumbuhan pesat ekonomi negara dicapai hanya setelah swasta dan bisnes milik individu diutamakan, mengatasi kepentingan rakyat sekali pun.

Justeru, pada mereka GLC tidak relevan dan wajib diswastakan. Namun pengaruh liberalisasi kini menurun setelah penswastaan tidak disenangi majoriti masyarakat Melayu/ Bumiputera. Penswastaan ditolak kerana melampau memihak kepada korporat kaya-raya mengakibatkan konsentrasi harta kekayaan pada individu dan keluarga terpilih, iaitu satu trend mengancam perpaduan dan kestabilan politik masa depan negara.

Doktrin liberalisasi ekonomi juga jelas anti semangat DEB dan kontradiksi perjuangan besar negara menegakkan keadilan ekonomi. Tambahan pula penswastaan antara punca utama hakisan hak milik ekuiti Melayu/Bumiputera.

Lagi pun, doktrin ekonomi liberal acuan Barat tidak dapat dipertahankan setelah beberapa negara Barat sendiri kebelakangan ini terjejas krisis dan ketidakstabilan politik terutama akibat daripada pelebaran jurang kaya-miskin.

Terdapat juga bukti nyata penswastaan bukan satu-satunya strategi pertumbuhan pesat ekonomi. Dalam perbincangan panel saya tonjolkan contoh Republik Rakyat China (RRC). China menggunakan dua paksi strategi pertumbuhan utama, iaitu gandingan kepentingan bisnes swasta bersama kekuatan GLC (dipanggil SOE atau state-owned enterprises).

Gandingan hebat GLC bersaing dengan usahawan dan korporat swasta berjaya memacu ekonomi China berkembang pesat hingga menjadikannya kuasa ekonomi kedua terbesar dunia.

Saya berpendapat Malaysia tidak wajar melampau taksub mana-mana ideologi politik dan perlu teruskan pendirian pragmatis amalan selama ini. Pada saya, tuduhan 'state capitalism' juga tidak perlu dihiraukan atau dijadikan alasan mengecilkan peranan GLC. Lebih-lebih lagi apabila semua ahli panel bersependapat bahawa hari ini rata-rata GLC Malaysia berjaya mengatasi kelemahan pengurusan yang menghantui mereka sebelum ini.

Antara contoh prestasi GLC menggalakkan terdapat pada prestasi hebat Petronas, Felda dan FGV selain syarikat milik Khazanah serta PNB yang sangat membanggakan.

Saya menganjurkan doktrin liberalisasi dikaji semula dan dasar penswastaan tegas ditolak ke tepi. Paling penting untuk pertumbuhan masa depan Malaysia ialah membina atas kekuatan GLC dan menggandingkannya dengan keupayaan tinggi korporat swasta negara.

Untuk itu, GLC wajar diperkukuh dan dikedepankan, bukan diganti atau diketepikan. Cabarannya: Bagaimana perkembangan GLC ditentukan tidak merosak sistem pasaran atau menyekat peluang dan membantut bisnes PKS daripada bertumbuh dan berkembang?

GLC institusi amanah

Apabila saya tonjolkan China sebagai contoh kejayaan ekonomi bukanlah pula dengan niat atau tujuan supaya kita tiru dan ciplak semuanya. Mesej paling penting: Kes Republik Rakyat China bukti nyata pertumbuhan pesat ekonomi boleh dicapai tanpa taksubkan penswastaan dengan hanya menggunakan formula liberalisasi anjuran Barat.

Lagi pun semangat memperbaharui dan menstruktur semula ekonomi menjadikannya lebih adil dan saksama menerusi peranan strategik GLC telah disebatikan ke dalam rangka dasar negara sejak DEB dilancarkan. Dengan demikian peranan strategik GLC sangat wajar dilangsungkan.

Bagaimanapun, dalam urusan ini perbincangan panel turut memberi perhatian terhadap kerenah campur tangan politik dan kadang kala juga istana, yang boleh menjejas prestasi dan merosakkan GLC. Kebelakangan ini terdapat insiden membabitkan pihak daripada parti sama menerajui kerajaan berebut kuasa, hingga mengesani pemilihan CEO dan menjejas pelantikan barisan pengurusan GLC, menyebabkan perang politik menjangkiti menjejas masa depan GLC.

Untuk menangani kerenah politik merosakkan, saya mencadangkan dipisahkan (decouple) GLC daripada kerangka pentadbiran politik. Salah satu kaedah paling berkesan ialah mewakafkan GLC strategik. Badan wakaf bukan milik kerajaan, dan bukan juga swasta konvensional; justeru lebih mudah diuruskan secara profesional dan berautonomi sepenuhnya.

Sebagai kesimpulan, perbincangan panel sekata melihat peranan dan tugas GLC sebagai satu tanggungjawab amanah besar untuk kepentingan jangka panjang masyarakat dan negara.

Saya tamatkan hujah dengan mengingatkan pesanan Islam mengenai amanah: Iaitu apabila menyerahkan amanah hendaklah kepada yang ahli. Jika amanah tidak diserahkan kepada ahli, iaitu yang terbaik, paling berupaya, boleh dipercayai dan profesional mengendalikan tanggungjawab pengurusan, Islam mengingatkan kita menantikan sahaja saat kehancuran sesuatu usaha atau organisasi terbabit.