Saya menulis kolum ini dua hari sebelum PRU13 diadakan dan tidak berhajat meneka ke arah mana penghujung keputusannya, kerana PRU13 adalah paling sengit dan paling hebat persaingannya, justeru sangat payah dibaca. Keputusan pasti membuat ramai terkejut, di samping tidak kurang pula yang kecewa.

Pihak menjulang kemenangan pasti gembira di luar jangka mendapat mandat berkuasa; sama ada yang dahulu menggenggam semula kuasa atau pihak yang baru berjaya merampas kuasa. Apa pun, rakyat seluruh negara pasti merasa lega setelah penentuan masa depan politik negara diputuskan dengan muktamad, rata-rata secara aman, damai dan terhormat.


Kematangan berdemokrasi

Setiap kali negara demokratik seperti Malaysia tiba di persimpangan penentuan pemerintahan seperti PRU13 yang diadakan semalam, rakyat berdepan tugas memilih jalan ke depan. PRU13 sangat menarik perhatian kerana pertama kali rakyat berdepan
pertandingan sengit antara dua gagasan parti politik. Kesannya, PRU13 memangkinkan Malaysia menjurus ke arah sistem demokrasi dwi-parti membabitkan dua pakatan parti besar yang hampir setaraf kewibawaan.

Sistem demokrasi diakui bukan satu sistem pemerintahan paling sempurna. Namun, apa pun kelemahannya, ia jauh lebih baik berbanding sistem pemerintahan raja tanpa perlembagaan atau diktator tanpa izin, restu atau perkenan rakyat. Justeru, rakyat
Malaysia wajib terus melabur tenaga, usaha dan sumber masa depan menentukan sistem demokrasi terus dimatangkan atas landasan persaingan terbuka, sihat dan positif bermanfaat berpanjangan.

Salah satu pegangan utama amalan sihat berdemokrasi ialah kepada prinsip menghormati perbezaan pendapat dan membudayakan sikap bersedia menerima fahaman berlainan, iaitu akhirnya semua dapat “bersetuju untuk tidak bersetuju” atau “agreeing to disagree”. Dalam kata lain, kematangan berdemokrasi memerlukan kematangan dan kebijaksanaan fikiran dan keluasan pandangan serta keprihatinan terhadap perbezaan pendapat dan kelainan fahaman.

Malangnya, selain negara seperti Malaysia, Turki dan Indonesia, kematangan berpolitik seperti ini jarang dilihat berlaku di negara majoriti Islam lain. Sangat mendukacitakan dan merosakkan imej kebesaran dan kesucian Islam apabila peti undi di beberapa negara majoriti penduduk Islam dibuang ke tepi dan proses pengundian dicabuli tangan-tangan gila kuasa sengaja berniat memporak-perandakan dan melakukan huru-hara anti demokrasi. Lebih buruk lagi jika politik keganasan dan konflik berdarah tanpa kesudahan berlaku cuma kerana ketidakmatangan berpolitik, kerakusan kuasa dan tiada kesungguhan mencari jalan keluar dari kemelut perbezaan pendapat dan kelainan fahaman.


Membina institusi

Setelah PRU13 selesai, tiba masa fokus kerajaan dengan mandat baru menumpukan kembali perhatian kepada cabaran membina negara menuju negara makmur dan maju menjelang 2020. Cabaran jangka pendek pasca-PRU13 pasti terhadap menyempurnakan segera janji manifesto. Selain itu, kerajaan yang diberi mandat wajib segera menyusun strategi mapan mengatasi beberapa isu strategik jangka panjang negara. Peringatan ini penting kerana trend negara mengamalkan demokrasi lebih minat fokus kepada cabaran jangka pendek atas desakan politik semasa, daripada menangani isu atau cabaran strategik jangka panjang.

Antara isu berstrategi besar jangka panjang, terutama bagi kepentingan penduduk majoriti berpendapatan rendah Malaysia, ialah usaha berkesan merapatkan jurang kaya-miskin, sama ada mengikut ukuran pendapatan mahu pun dari perspektif agihan harta kekayaan.

Isu ini tidak menjadi tumpuan utama dalam kehangatan berkempen sewaktu PRU13 kerana ia bukan isu “segera” dan bukan juga isu yang dekat di hati pengundi. Namun jika kerajaan tidak bertindak berkesan merapatkan jurang kaya-miskin, malah membiarkan pelebaran perbezaan agihan harta kekayaan, ia boleh mengancam kestabilan dan kemakmuran jangka panjang bangsa dan negara. Buktinya dapat kita lihat berlaku dengan jelas di beberapa negara majoriti Islam lain seperti Tunisia, Libya,

Mesir dan Yaman yang diledakkan revolusi Arab baru-baru ini.

Perhatikan: Penduduk majoriti Malaysia beragama Islam sama seperti umat Arab. Justeru mereka juga tinggi semangat anti ketidakadilan sosial dan ekonomi serta bencikan rasuah dan kerakusan, keangkuhan dan kronisme, selain penindasan dan kezaliman. Namun, kenapa tidak berlaku ledakan revolusi di Malaysia seperti di negara Arab sejauh ini?

Pada saya terdapat dua sebab utama: Pertama, kerana kematangan politik berdasarkan amalan demokrasi Malaysia itu sendiri. Malaysia telah membina institusi demokrasi yang benar-benar memberi kebebasan bersuara dan hak mengundi kepada rakyat, terbukti setelah 13 kali diadakan PRU sejak merdeka. Tegasnya, institusi demokrasi ini sangat tinggi nilainya dan wajib kita lindungi dan bersungguh memeliharanya.

Kedua, selain rakyat Malaysia dibela institusi politik, di bidang ekonomi juga negara telah buat beberapa lama membina institusi berkesan membela nasib rakyat majoriti yang perlu dikekalkan dan diperhebat peranannya menjelang 2020.


Revolusi senyap

Institusi korporat amanah GLC seperti FELDA, Tabung Haji, PNB, Khazanah dan JCorp berkesan sekali meningkatkan taraf hidup dan kedudukan ekonomi rakyat majoriti Malaysia. Mereka juga mengimbangi hak milik ekonomi supaya tidak berat sebelah, dibolot semuanya oleh individu korporat dan bisnes swasta. Semua ini adalah hasil keberkesanan program pragmatis pembangunan negara sejak merdeka.

Rakyat harus bersyukur kerana kerajaan sejak merdeka lagi bukan sahaja pro-demokrasi malah tidak ekstrem menciplak ideologi politik popular sezaman. Sebagai contoh, Presiden Gamal Abdul Nasser ketika memerintah Mesir dipandang hebat sebagai wira Arab dan juga jaguh dunia ketiga, setelah berjaya memiliknegarakan Terusan Suez, merampasnya kembali daripada kuasa Barat (ketika itu didominasi British dan Perancis). Nasser kemudiannya (seiring dengan Presiden Sukarno di Indonesia dan pemimpin dunia ketiga lain) lebih minat menjejaki kaedah sosialisme (kadangkala menciplak atau mendekati komunisme) dalam membangun ekonomi negara, memperjuangkan kepentingan nasional masing-masing.

Malaysia pula sebaliknya. Dari sejak merdeka, terutama di bawah Perdana Menteri Tun Abdul Razak, rakyat Malaysia tidak dibakarkan emosi api revolusi menentang penjajahan Barat, sekalipun hak milik ekonomi negara ketika itu dikuasai Barat.
Sebaliknya, menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) secara senyap tetapi tegas Malaysia sebenarnya telah juga melakukan revolusi berkesan, kerap dengan mengikut kaedah pasaran atau market-driven methods.

Ekonomi negara disusun semula dengan kaedah mesra-bisnes tanpa merosakkan sistem pasaran, berbeza dengan nasionalisasi dilakukan oleh Nasser. Kebijaksanaan Malaysia ialah, dalam usaha mengatasi kongkongan ekonomi penjajah, Malaysia gunakan institusi bisnes dan korporat penjajah, iaitu dengan berjual-beli syarikat (merger & acquisition) di pasaran saham.

Dengan cara ini syarikat Kulim Plantations Ltd antara terawal dibawa balik kawalan hak miliknya daripada kepentingan korporat British di London ke tangan warga negara di bawah teraju Johor Corporation (ketika itu SEDC Johor atau PKENJ), iaitu pada penghujung 1970an lagi. PKENJ di bawah pimpinan Tan Sri Basir Ismail memulakan proses mengembalikan hak milik aset bernilai tinggi negara di London, khasnya tanah dan ladang getah dan kelapa sawit milik British, sekali gus memangkinkan Malaysia akhirnya menerajui pasaran strategik dunia dengan teknologi berkaitan industri dan bisnes getah dan minyak sawit global.

Langkah revolusi senyap menerusi kaedah pasaran ini kemudiannya disusuli “Dawn Raid” ke atas Guthrie Plantations Ltd yang memeranjatkan pasaran saham London serta mengejutkan korporat British. Dawn raid ke atas Guthrie berjaya dilancarkan atas inisiatif Permodalan Nasional Bhd (PNB) pada 1981 di bawah pimpinan Tun Ismail Ali, Pengerusi PNB ketika itu.

Kesimpulannya, setelah kehangatan PRU13 berlalu, rakyat perlu segera kembali semula ke dalam mode memajukan negara menjelang 2020. Keputusan PRU13 membuktikan rakyat Malaysia keseluruhannya bulat dengan keazaman memanfaatkan sepenuhnya sistem demokrasi berparlimen dengan memperkukuhkan institusi menerusi kaedah politik dwi-parti.

Di bidang ekonomi pula, warga majoriti Malaysia wajib mempertahan dan memperkukuhkan institusi mengikut kaedah pro-pasaran dan pro-bisnes menggunakan sepenuhnya kekuatan dan kelebihan GLC. Paling utama, mereka wajib waspada fahaman menghasut dirombak institusi GLC menerusi doktrin penswastaan merosakkan. Kerana penswastaan mengutamakan dan memperjuangkan kepentingan segelintir korporat milik swasta rakus dan nafsu-nafsi, termasuk kepentingan MNC asing, iaitu punca utama krisis ekonomi global hari ini.

* Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden Dewan Perdagangan
Islam Malaysia (DPIM)