PADA 18 dan 19 Jun, 2014 saya berada di Istanbul, Turkey, atas undangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Saya diminta menyampaikan ceramah di salah satu sesi Persidangan Wakaf Antarabangsa anjuran bersama UIAM dengan Fatih Sultan Mehmet Vakif University (FSMVU), Turki, di kampus FSMVU di Topkapi, Istanbul.

Tema persidangan fokus kepada pengurusan wakaf antarabangsa. Pembentangan Ketua Pengarah, Badan Berkuasa Wakaf Turkey (Directorate General of Foundations - DGF) di hari pertama menarik perhatian saya, terutama apabila beliau turut mengedarkan buku berbahasa Inggeris bertajuk “Marvelous Pious Foundations (Waqfs) Throughout History (Kegemilangan Ibadah Wakaf Sepanjang Sejarah)”.

Turki berada jauh di hadapan dalam pencapaian wakaf dan buku ini mengandungi 115 kisah wakaf Turki sepanjang zaman, bermula dengan wakaf ditubuhkan pada 1105, iaitu 909 tahun dahulu!

Bukan sahaja untuk kebajikan

Buku DGF diterbitkan khas untuk bacaan kanak-kanak Turki bertujuan memupuk jiwa mencintai wakaf, membudayakan semangat dan amalan berkorban mengutamakan kepentingan besar masyarakat mengatasi kepentingan peribadi.

Huraian 115 kisah benar wakaf Turki bukti nyata kehebatan wakaf dalam Islam, terutama pada zaman pemerintahan Khalifah Osmaniah.

Berikut saya petik lima kisah ikonik wakaf yang boleh dijadikan mercu tanda sejarah wakaf Turkey. Lima kes ini pasti mengubah pandangan umum yang cenderung melihat wakaf hanya sebagai institusi bertujuan kebajikan dan sosial, khusus untuk membantu golongan fakir miskin.

Wakaf melindungi binatang dan burung, sekali gus membasmi pembaziran makanan, dibangunkan oleh Sultan Ahmed I Han pada 1615 di Istanbul.

Kes ini menceritakan kisah “orang burung”, iaitu gelaran diberi kepada pekerja wakaf ditugaskan pengurusan wakaf Sultan Ahmed memberi makan menyelamatkan burung dan binatang liar daripada mati kelaparan, terutama sewaktu musim salji di Turki.

Orang burung ditugaskan setiap hari memungut lebihan makanan dari rumah ke rumah, langsung mengelakkan pembaziran buangan lebihan makanan harian.

Perhatikan: Umat Islam mendahului zaman selama hampir 400 tahun berkeprihatinan tinggi menjaga dan melindungi binatang dan makhluk liar daripada kelaparan atau teraniaya. Jelas sekali institusi wakaf Islam jauh mendahului NGO yang baru mula bergiat dalam aktiviti amal ini.

Wakaf untuk membantu anak gadis dan pemuda miskin berkahwin, dibangunkan Ismihan Sultan, isteri kepada Wazir Sokollu Mehmed Pasha pada 1573.

Antara catatan niat wakaf oleh Ismihan Sultan: “... membantu anak gadis miskin berkahwin; membangunkan rumah untuk mereka; menggembirakan mereka; melindungi anak gadis yatim dan janda serta ibu tunggal; supaya mereka dapat tersenyum sama seperti kita... Wakaf ini juga akan membiayai belanja perkahwinan untuk jejaka bujang yang tidak mampu berkahwin kerana miskin...”.

Wakaf infrastruktur awam

Sebuah hospital wakaf untuk pesakit miskin dibangunkan pada 1847 oleh Permaisuri Bezim-I Alem Valide Sultan, dibiayai menerusi hasil bernilai tinggi daripada wakaf tanah ladang zaitun milik pewakaf di Edremit dan juga wakaf Tasik Terkos. Hospital wakaf ini dilaporkan masih beroperasi sampai ke hari ini.

Di Malaysia wakaf hospital dan klinik ditubuhkan atas inisiatif Johor Corporation menerusi Waqaf An Nur Corporation Bhd dengan dukungan syarikat KPJ Healthcare Bhd. Klinik wakaf pertama dibuka pada 1 November, 1998 di Plaza Kota Raya berhampiran Masjid An-Nur, Kota Raya, iaitu masjid pertama di kompleks beli-belah Malaysia.

Sehingga akhir 2013, 25 klinik beroperasi di Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak dan Pulau Pinang; 5 daripadanya menawarkan khidmat dialisis merawat pesakit buah pinggang. Apa pun, inisiatif klinik wakaf Malaysia didahului Turki selama 167 tahun!

Pada 1514, Mustafa Pasha menubuhkan wakaf infrastruktur di Bosnia bertujuan membina dan memperbaiki jambatan sewaktu Bosnia di bawah pemerintahan Khalifah Osmaniah.

Niat wakaf di Bosnia sangat luas: . “... salah satu tugas utama wakaf ialah memperbaiki jambatan di Mostar yang terletak di anak Sungai Perdule.” Selain “... membina jambatan di Skopje dan wilayah sekitarnya”, wakaf terbabit juga berhasrat “... membina masjid, sekolah, dapur makanan (soup kitchens) dan ... membantu semua yang memerlukan...”

Golongan istana, bangsawan dan hartawan pada zaman Khalifah Osmaniah gemar mewakafkan dan menginfakkan harta dan wang milik peribadi, antaranya untuk membina/memperbaiki jalan raya, jambatan dan infrastruktur awam.

Matlamat menyempurnakan ibadah amal jariah untuk kepentingan besar masyarakat motivasi utama wakaf. Nama pewakaf pasti terkenal masyhur dan pahala terus mengalir kepada pewakaf selagi manfaatnya dinikmati pengguna infrastruktur.

Wakaf institusi membina tamadun

Pemerintahan Khalifah Osmaniah salah satu empayar dunia paling lama bertahan dalam sejarah tamadun manusia. Kedayatahanannya dicapai terutama berdasarkan sumbangan besar Osmaniah kepada tamadun manusia sejagat.

Wakaf antara institusi strategik membina tamadun Islam Osmaniah berpanjangan memakmurkan dan menyejahterakan kehidupan.

Selain berperanan penting membangun infrastruktur, wakaf Osmaniah memupuk kesepaduan dan memperkukuhkan ikatan sosial dan ukhuwah umat.

Terdapat juga bukti sejarah wakaf digunakan sebagai institusi strategik melindungi keselamatan, memakmurkan ekonomi dan membina kekuatan pertahanan memperkasa tamadun Islam, seperti contoh wakaf berikut:

Wakaf ditubuhkan oleh Hasan Pasha di Antakya pada 1705 bertujuan menjaga keselamatan di jalanan khusus untuk melindungi pedagang, jemaah haji dan umrah serta musafir lain. Gaji semua anggota tentera terlibat dibiayai sepenuhnya menerusi hasil kutipan wakaf.

Rombongan pedagang dan musafir dari Anatolia ke Balkans dan dari Damsyik ke Antakya, juga langsung ke Makkah bagi yang berhasrat mengerjakan ibadah haji dan umrah, kerap dijarah, disamun dan dirompak dalam perjalanan.

Hasan Pasha tidak mengharapkan kerajaan pusat di Istanbul menyelesaikan semuanya, lalu memutuskan membiayainya atas keupayaan wilayah setempat menerusi wakaf.

Harta wakaf digunakan membina sebuah kota kubu pertahanan tentera di wilayah Karamut, selain sebuah bazar perdagangan menyumbang hasil pendapatan berterusan.

Kesimpulannya, seperti terbukti dalam sejarah kegemilangan Khalifah Osmaniah, institusi wakaf berpotensi menyumbang kepada kebangkitan umat membina semula tamadun di abad ke-21.

Namun untuk itu umat Islam perlu terlebih dahulu membuang tempurung yang mengongkong pemikiran dan menyempitkan pandangan hidup. Dalam hal wakaf, perlu dihentikan melihat wakaf dari sudut sempit dan serong, misalnya cuma untuk kebajikan atau “wakaf untuk mati”.

Paling penting di Malaysia ialah kesanggupan dan kesediaan pihak berkuasa wakaf membuka luas pintu wakaf supaya semua institusi berwibawa dalam masyarakat, termasuk GLC, universiti, koperasi, juga organisasi korporat swasta Muslim berwibawa digalakkan, dipermudah dan ditauliahkan membangunkan wakaf.

Untuk itu, penguasa wakaf Malaysia mesti bersedia mengkaji semula kedudukan monopoli mereka ke atas kuasa mutawalli dan pengurusan wakaf, supaya potensi hebat wakaf dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kemakmuran, kesejahteraan dan pemerkasaan umat.