MINGGU lalu saya ke Bandar Indera Mahkota, Pahang, menyampaikan ceramah di Seminar Survival Ekonomi Anak Muda anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Peserta seminar terdiri daripada ahli PKPIM, iaitu NGO penggemblengan tenaga anak muda Muslim, terutama pelajar IPTA dan IPTS. Seminar dirasmikan Presiden PKPIM Ali Imran, turut disertai barisan kepimpinan PKPIM dan pemimpin serta ahli beberapa NGO pelajar lain.

Isu survival ekonomi anak muda wajar mendapat perhatian serius semua pihak. Dalam senario ekonomi negara bertumbuh pada kadar perlahan dan dunia masih diancam krisis ekonomi dan ketidaktentuan hala tuju, peluang kerjaya untuk anak muda semakin sempit.

Bukan sahaja anak muda, malahan ibu bapa serta seluruh masyarakat dan bangsa turut berasa bimbang ancaman pengangguran beramai-ramai seperti berlaku di beberapa negara Eropah dewasa ini.

Utamakan kerjaya bisnes

Justeru, kerajaan dituntut menyusun strategi berkesan mencerahkan prospek ekonomi generasi muda.

Tanpa kejayaan membela nasib anak muda mustahil Malaysia dapat menjayakan matlamat menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Jika Malaysia gagal mengatasi pengangguran beramai-ramai anak muda, terutama ratusan ribu pelajar keluaran IPTA dan IPTS setiap tahun, ketenteraman dan kestabilan politik negara pasti tergugat.

Strategi berkesan menjana peluang kerjaya berkualiti untuk generasi depan menuntut kerajaan mengiktiraf realiti ekonomi semasa.

Sistem ekonomi kini business-driven dan kerajaan bukan lagi penjana utama peluang kerja. Masyarakat semakin sedar kerjaya berkualiti berganjaran tinggi terletak dalam tangan bisnes dan korporat, terutama syarikat swasta atau milik GLC.

Penggubal dan pelaksana dasar pembangunan usahawan Melayu juga tidak wajar melihat kerjaya bisnes dari sudut sempit menggalak mereka menjadi usahawan membina bisnes milik sendiri semata-mata.

Perspektif sempit ini merugikan kerana sebenarnya bahagian terbesar peluang kerjaya bisnes berkualiti terdapat pada kesediaan majoriti anak muda menjadi warga kerja atau eksekutif makan gaji berisiko tinggi di sektor korporat swasta atau GLC.

Untuk itu, syarikat swasta dan korporat GLC perlu dinamis dan berkeupayaan entrepreneur tinggi mengembang ekonomi mempercambah peluang kerja berkualiti, terutama GLC, perlu berhenti daripada dijadikan alat politik menjaga kepentingan sempit dan serong pemimpin berkuasa.

Juga, jangan biarkan GLC menjadi kuda tunggangan peribadi meninggikan darjat CEO serta pemimpin atasan.

Paling penting, GLC jangan diswastakan, dipecah, diperah, dijadikan jentera rasuah atau agensi korupsi. Sebaliknya, GLC wajar diperkasa sekali gus dipertanggungjawabkan menjana prestasi menambah peluang kerjaya selain membuka luas peluang anak muda berbisnes dan berdikari.

Pada saya, kaedah makan gaji, terutama dengan organisasi korporat sama ada GLC atau syarikat swasta, wajar dijadikan pilihan utama anak muda Melayu yang bercita-cita membina kerjaya bisnes. Di negara maju majoriti eksekutif makan gaji berpeluang meningkatkan kerjaya hingga mendapat ganjaran lumayan.

Di Malaysia terdapat juga contoh eksekutif GLC berpengalaman berjaya membina kerjaya hingga menjadi jutawan!

Dalam tempoh lebih 28 tahun selaku CEO Johor Corporation (JCorp) saya melancarkan skim pembangunan intrapreneur JCorp membabitkan lebih 80 usahawan anak muda.

Program ini berjaya membimbing eksekutif muda JCorp membina bisnes masing-masing bersaing sepenuhnya di pasaran terbuka hingga ada yang disenarai di Bursa.

Beberapa intrapreneur JCorp berjaya sampai ke tahap jutawan, sekalipun mereka berkerjaya makan gaji.

Jadikan bisnes satu perjuangan

Selain itu, persepsi negatif masyarakat Melayu terhadap bisnes perlu segera diperbaharui.

Terutama kecenderungan ramai Melayu menyifatkan bisnes punca kerakusan dan kerosakan hidup. Kadang kala terdengar ustaz atau penceramah agama berdakwah songsang menghasut anak muda Islam menjauhi bisnes dengan tuduhan bisnes materialistik, nafsi-nafsi dan duniawi.

Tidak hairan jika ramai berpersepsi demikian melihat usahawan Melayu berbisnes ikut gaya rakus, serakah, korupsi dan rasuah.

Persepsi negatif merendahkan imej bisnes Melayu di mata masyarakat mematahkan semangat bisnes kerana persepsi ibu bapa, pendidik, ilmuwan, ulama dan pemimpin masyarakat Melayu kuat mempengaruhi minda, jiwa, hati dan sikap anak muda.

Apa pun, dalam ceramah saya menggesa anak muda Melayu supaya gigih dan gagah memburu kerjaya bisnes kerana menerusinya, bukan sahaja terdapat prospek ganjaran lumayan halal, malah juga peluang dan kesempatan mengamalkan bisnes berlandaskan Islam menguntungkan di dunia dan juga akhirat. Saya mencabar anak muda menjadikan bisnes wadah perjuangan hidup bernilai tinggi lagi suci mulia sampai ke tahap satu jihad, iaitu Jihad Bisnes, bertujuan memerangi kerakusan dan korupsi menegakkan Kalimah ALLAH dalam dunia bisnes dan korporat.

Sesungguhnya inisiatif menjadikan kerjaya bisnes satu perjuangan jihad mudah disempurnakan jika persepsi Islam terhadap bisnes difahami dengan betul. Islam mengiktiraf pentingnya sumber harta kekayaan, menjadikannya salah satu cabang utama Maqasid Syariah.

Menjaga dan melindungi harta kekayaan sangat dipandang berat dan umat Islam diancam dan dikecam jika leka dan lalai sehingga mengakibatkan pembaziran harta atau miskin harta hidup meminta-minta apabila harta terlepas tangan.

Lagi pun Islam sangat pro bisnes, menegaskan sembilan per sepuluh sumber rezeki berpunca daripada bisnes. Bisnes satu sunnah besar Baginda Rasulullah SAW, justeru sangat wajar diteladani. Islam juga memandang tinggi darjat ahli bisnes yang jujur dan amanah.

Maksud hadis Rasulullah SAW (riwayat Termizi), menegaskan: “Peniaga-peniaga yang jujur dan amanah (akan ditempatkan) berserta para nabi, siddiqin dan para syuhada.” Subhanallah!

Keistimewaan bisnes sebagai satu jihad

Kesimpulannya, sesungguhnya bisnes satu pilihan kerjaya sangat istimewa, menjadikannya satu kerugian besar jika tidak direbut anak muda.

Bagi yang rajin, gigih, gagah dan bijak berbisnes, mereka bukan sahaja dijanjikan ganjaran lumayan untuk hidup senang dan terjamin, malah ada berpeluang menjadi jutawan.

Paling menarik, semua yang berjaya mampu hidup bebas berdikari selain berupaya mengisi kehidupan dengan makna dan pengertian lebih tinggi.

Lebih penting, daripada perspektif Islam, bisnes sungguh istimewa kerana padanya terdapat potensi mencapai kejayaan bukan sahaja untuk dunia, malahan juga akhirat, insya-Allah.

Menerusi harta kekayaan kewajipan berzakat lebih mudah ditunaikan; selain lebih banyak amalan soleh dapat disempurnakan dengan membawa impak lebih besar.

Demikian juga, ruang untuk bersedekah, berinfak, berjariah dan berwakaf terbuka luas, memangkinkan ahli bisnes Muslim lebih mudah mencapai darjat “sebaik-baik manusia” di sisi pandangan Islam: iaitu manusia yang berupaya membawa sebanyak manfaat kepada manusia lain.

Sebagai satu masyarakat, kejayaan bisnes berpanjangan generasi demi generasi memangkin umat Islam Malaysia menuju status umat “alyadul uliya” satu hari nanti, iaitu umat tangan di atas, berkedudukan lebih tinggi dan mulia.

Tidak seperti umat tangan di bawah yang lumrah bangsa Melayu lalui ketika miskin, daif, hidup sentiasa tertekan dan meminta-minta.

Insya-Allah, akan tiba juga masanya, setelah majoriti anak muda Melayu menguasai bisnes, gandingan sumber bisnes mereka dengan kekuatan GLC dan institusi Waqaf Korporat pasti berupaya membentuk critical mass kuasa korporat Melayu-Muslim.

Ketika itu, manfaat bisnes bukan lagi hanya menghasilkan kekuatan ekonomi, malah pasti memperkasa politik Melayu memangkinkan mereka mendefinisikan semula jati diri bangsa Malaysia supaya nyata sifat dan identiti Melayunya serta lebih terserlah ciri teras Islamnya.

Lebih jauh daripada itu, perjuangan Jihad Bisnes berpotensi ditujukan ke arah memerangi kerakusan kapitalis sekular-liberal nafsi-nafsi perosak kehidupan manusia sejagat.

Namun semua ini hanya boleh dijayakan setelah bangkit barisan anak muda Melayu yang sanggup dan bersedia mengambil risiko.