BARU-baru ini seorang usahawan muda di Lembah Kelang melahirkan rasa kecewanya kepada saya terhadap sistem pengeluaran sijil halal di Malaysia.

Beliau berjaya membina bisnes makanan burger dan kini memiliki rangkaian lebih 20 outlet kedai burger, sejauh ini pada sebahagian besar di Lembah Kelang, dengan jumlah pengguna melebihi tiga juta orang.

Beliau merancang untuk segera mengembangkan bisnesnya ke kawasan lain setelah mendapat sambutan menggalakkan.

Daya keusahawanan tinggi dan cita-cita besar beliau untuk menjadi usahawan berjaya jelas kelihatan daripada watak dan personalitinya, terutama apabila beliau menceritakan pengalaman pembangunan bisnesnya, dari tahap kecil-kecilan, hingga kini mencapai jualan melebihi RM2 juta sebulan.

Tidak cukup kakitangan Usahawan muda dinamis dan bersemangat berdikari tinggi seperti ini merupakan ahli bisnes tonggak utama masa depan ekonomi bangsa, iaitu pejuang membina ekonomi bangsa dan
negara yang sangat layak mendapat segala sokongan dan kerjasama semua pihak.

Namun, malangnya beliau kecewa apabila ramai pelanggan Muslim bisnesnya meragui tahap halal produk burgernya sehingga ada yang menuduh burger yang beliau jual “tidak halal”, sekalipun mereka tahu burger yang beliau gunakan dikeluarkan sendiri di kilang milik syarikat beliau dan menurut beliau, bahan digunakan adalah daripada sumber yang semuanya telah mendapat sijil halal yang sah.

Keraguan halal terhadap produk berlaku kerana sekalipun telah bertahun beroperasi dan lebih lapan bulan memohon sijil halal, beliau masih belum menerima pengiktirafan halal yang sangat penting untuk meyakinkan pelanggan, juga strategik kepada masa depan bisnes menambah nilai jenama produknya.

Beliau telah membuat beberapa rayuan meminta urusan ini disegerakan. Dalam satu surat jawapan diterima daripada penguasa sijil halal dinyatakan: “…proses pengesahan yang meliputi semakan kecukupan dokumentasi permohonan dan pemeriksaan pematuhan premis akan dijalankan terlebih dahulu pada kadar yang segera sebelum pertimbangan kelulusan boleh dibuat.”

Surat jawapan yang dipetik di atas bertarikh 18 Disember, 2013. Sehingga artikel ini ditulis, belum ada pemeriksaan dibuat dan sijil halal masih belum diperoleh. Jelas sekali karenah birokrasi menjadi salah satu halangan besar kepada ahli bisnes dan usahawan Muslim untuk meningkatkan usaha menyumbang kepada kejayaan ekonomi bangsa.

Peristiwa seperti ini bukan sesuatu yang luar biasa. Bahayanya, ketidakcekapan penguasa-penguasa halal Malaysia mengeluarkan sijil boleh mengakibatkan pemalsuan sijil halal atau penggunaan logo halal yang telah luput tempoh tanpa pemantauan terperinci.

Kerap juga pengguna mendapati logo halal pada premis restoran dikeluarkan oleh pihak bukan penguasa sah tempatan.

Semua ini menimbulkan pertanyaan: Jika kekurangan kakitangan, sejauh mana kekerapan pemeriksaan dapat menjamin pematuhan sepenuhnya semua syarat halal yang ditetapkan penguasa halal?

Tegasnya, apakah taraf halal benarbenar terjamin? Saya pasti tidak semua kelemahan yang dinyatakan sebenarnya berpunca daripada ketidakcekapan pihak penguasa terbabit atau mereka sengaja melewatlewatkan proses pengeluaran sijil.

Dalam kes pengeluar burger di atas, dilaporkan Jabatan Halal terbabit sangat rendah tahap keupayaannya kerana mempunyai hanya tiga orang kakitangan yang dipertanggungjawabkan mengurus semua aspek halal.

Apa pun, masalah ini tidak mungkin diselesaikan dengan menambah anggota dan membesarkan birokrasi penguasa halal yang cuma akan menambah beban kewangan kerajaan. Justeru, satu strategialternatif  berkesan dan inisiatif luar biasa diperlukan untuk mengatasinya.

Inisiatif korporat swasta Minggu lalu, dalam satu forum Menyusun Strategi Halal 2020 anjuran Jakim yang diadakan di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, saya turut menonjolkan contoh peniaga burger
dan cabaran yang beliau hadapi.

Saya juga mengambil kesempatan berkongsi pengalaman mengenai pengurusan halal di salah sebuah syarikat kumpulan Johor Corporation (JCorp) sewaktu saya CEOnya.

Pengalaman paling relevan ialah ketika saya menjalankan tugas selaku Pengerusi, KFC Holdings Malaysia Bhd (KFC) dan QSR Brands Bhd (pemilik francais KFC dan Pizza Hut tersenarai di Bursa Malaysia) setelah JCorp berjaya mengambil alih kedua-dua syarikat terbabit pada 2006-2007.

Pengambilalihan korporat terbabit antara paling sengit dan “hostile” pernah berlaku dalam sejarah korporat negara, selain berpanjangan hampir setahun dengan liputan meluas semua media nasional. Sekali pun banyak halangan dan rintangan, termasuk campur tangan politik yang cuba menggagalkan perancangan bisnes JCorp, alhamdulillah, akhirnya JCorp berjaya menguasai dan menerajui KFC dan Pizza Hut, bukan sahaja di Malaysia, tetapi Singapura dan Brunei Darussalam, sekali gus merealisasikan matlamat Jihad Bisnes yang tegas JCorp perjuangkan ketika itu.

Dalam forum Jakim tersebut, saya menonjolkan pengalaman KFC Malaysia mempertingkatkan keupayaan pengurusan halal atas dasar kerjasama antara syarikat makanan swasta dengan penguasa halal mengatasi kelemahan keupayaan mengurus, termasuk kekurangan kakitangan di pihak penguasa.

Kerjasama seperti ini harus distrukturkan sebagai satu strategi jabatan penguasa halal mengguna atau “meminjam” kekuatan syarikat dan keupayaan organisasi korporat swasta bagi mengatasi kelemahan upaya dan kemampuan jabatan.

Setelah JCorp berjaya menguasai KFC, sebuah Jabatan Audit Halal dalaman telah segera ditubuhkan. Selain itu, status halal dikuatkuasakan dan diintegrasikan sepenuhnya ke dalam proses pengurusan dengan menjadikan halal satu kriteria KPI untuk dipatuhi semua staf KFC, daripada pengurusan tertinggi sampai kepada staf operasi di kilang.

Dengan cara ini, tiada seorang pun staf KFC terlepas daripada tanggungjawab menguatkuasakan halal dan tiada siapa pun diizinkan mengkompromikannya.

KFC Malaysia boleh lakukan semua ini kerana ia adalah satu-satunya operasi KFC paling bersepadu atau integrated, membabitkan bukan sahaja restoran, malah termasuk ternakan ayam, penyembelihan dan pemprosesan ayam, termasuk pembekalan semua produk makanan lain yang dihidangkan oleh KFC dan juga Pizza Hut.

Barakah halal manfaatkan bisnes Alhamdulillah, setelah halal dikuatkuasakan tanpa kompromi, prestasi KFC Malaysia meningkat tinggi.

Ia memeranjatkan pihak KFC Amerika peneraju KFC global, apabila bagi dua tahun berturut-turut, iaitu pada 2007 dan 2008, KFC Malaysia memenangi “Anugerah Harimau” anjuran KFC global, satu anugerah tahunan diberi kepada rangkaian KFC terbaik di benua Asia yang berprestasi cemerlang, termasuk dalam meningkatkan kepuasan pengguna, kualiti produk dan servis, serta mengambil kira peningkatan keuntungan dan prestasi kewangan.

Pencapaian hebat ini meyakinkan KFC Amerika menyerahkan kepada KFC Malaysia hak francais di dua wilayah baharu di Asia, iaitu Cambodia dan di negeri Mahashatra, khasnya kota Mumbai, di India. Lebih 20 restoran yang dibuka oleh KFC Malaysia di kedua-dua wilayah baharu ini turut menawarkan makanan halal, sekalipun majoriti penduduk kedua-dua negara terbabit bukan Muslim.

Kes KFC adalah bukti nyata bagaimana pengintegrasian halal membawa barakah bisnes hebat kepada syarikat korporat. Justeru, tidak ada sebab syarikat swasta korporat, terutama dalam bidang makanan, tidak mahu atau tidak sanggup mengintegrasikan halal tanpa kompromi.

Kesimpulannya, seperti yang saya tegaskan dalam forum Strategi Halal 2020 Jakim, integrasi halal wajar disambut baik oleh sektor bisnes dan korporat atas dasar ia sangat bermanfaat buat bisnes.

Dalam kata lain: “Halal is good for business!” Saya juga kuat berpendapat telah tiba masanya syarat mengintegrasikan halal diwajibkan ke atas sektor korporat dengan kaedah syarikat membentuk jabatan audit halal dalaman masingmasing di bawah pemantauan dan seliaan jabatan penguasa halal berautoriti di satu-satu wilayah.

Telah tiba juga masanya satu undangundang diperkenalkan di peringkat pusat dan negeri-negeri mewajibkan pengintegrasian halal dalam pengurusan di sektor korporat, terutama yang membabitkan bisnes halal yang sangat sensitif kepada pengguna Muslim seperti rangkaian restoran dan hotel.

Tujuannya ialah supaya isu halal tidak lagi menjadi isu yang semudah itu dikesampingkan atau dikompromi, cuma kerana terdapat kelemahan dan halangan birokrasi di peringkat badan penguasa halal. (Sambungan minggu depan: “Halal untuk transformasi ekonomi”)