BARU- BARU ini saya diundang merasmikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan tiga syarikat bisnes rawatan alternatif dan pemakanan tambahan, iaitu Magnetic Aura Sdn Bhd, Sinar Permata Resources Sdn Bhd dan Al-Ansar Health Sdn Bhd di Danau Golf Club, UKM, Bangi.

Kebetulan Al-Ansar Health Sdn Bhd diterajui Pengarah Urusannya, Haji Muhamad Khanafi Husin, yang juga Pengerusi, Biro Usahawan Muda, DPIM.

Dalam MoU, Al-Ansar Health berperanan sebagai syarikat pelabur modal teroka (venture capital) berhasrat melabur membina sebanyak mungkin Pusat Rawatan Al-Ansar Health seluruh Malaysia.

Pusat rawatan ini menawarkan khidmat rawatan perubatan alternatif termasuk pemulihan saraf/urat, resdung dan mata, selain memasarkan dan menjual produk kesihatan keluaran Sinar Permata Resources dan Magnetic Aura kepada pengguna di seluruh negara.  
 
'Power' jaringan bisnes

Jelas pada saya MoU berhasrat menggabungkan sumber ketiga-tiga syarikat menjadikannya satu jaringan pakatan bisnes lebih kukuh berbanding dengan tiga syarikat bertindak berasingan.

Sesungguhnya jaringan (network) memperkasa bisnes. Masyarakat tinggi tahap budaya bisnes paling berkesan menggunakan jaringan, menjadikannya strategi penting pengembangan bisnes, memudahkan bisnes menang bersaing menguasai pasaran. 

Perhatikan, jaringan bisnes strategi utama digunakan semua bisnes berjaya, sama ada di Timur atau Barat; di Asia, juga di Eropah.

Di Malaysia, orang Cina sangat memahami power jaringan atau pakatan bisnes, memangkin cepat berdikari, melindungi dan mempertahan kepentingan jangka panjang ekonomi mereka.

Malahan jaringan bisnes Cina didukung kuat jaringan politik bertindak selari, mengupayakan mereka menerajui pelbagai bidang bisnes negara, langsung mendominasi ekonomi.

Perhatikan: penguasaan bisnes dan ekonomi Cina umumnya dibina dari tahap permulaan secara kecilan.

Sebenarnya, jarang sekali bisnes Cina bertindak bersendirian nafsi-nafsi. Power jaringan dibudayakan dan digunakan menghimpun sumber tenaga dan pengalaman.

Modal yang pada mulanya sedikit dapat segera di besarkan, membolehkan pencapaian lebih berkesan.

Membudayakan disiplin bisnes

Dalam kalangan Cina, secara tradisinya membina jaringan bisnes tanggungjawab utama persatuan kaum atau persatuan keluarga senama keturunan (same sirname).

Urusan ini juga dikendalikan pertubuhan guild association untuk rangkaian bisnes tertentu.  Jaringan ini ditujukan untuk manfaat semua, tidak kira sama ada peniaga kecil, sederhana atau besar.  

Menerusi kongsi mereka, modal kecil-kecilan milik peribadi dihimpun beramai-ramai hingga menjadi sumber dana besar. Bermula berdikit-dikit, dana yang dihimpun kemudiannya dilabur membeli sebanyak aset dan sumber ekonomi untuk kepentingan jangka panjang bersama.

Ini berjaya dilakukan, misalnya, dengan membeli aset hartanah dan memiliki ladang berskala besar untuk manfaat jangka panjang bisnes, sekali gus menjamin keupayaan tinggi generasi depan.

Disiplin berjaringan juga memudahkan proses membudayakan ketekunan berusaha dan bekerja keras. Antara dorongan motivasi tinggi dalam kalangan orang Cina ialah kuatnya azam untuk hidup bebas berdikari dan tidak rela bergantung hidup kepada orang lain, iaitu sesuatu yang lebih mudah dicapai menerusi bisnes dan bukan makan gaji.

Lagi pun, ahli bisnes berjaya dan kaya, terutama atas keringat sendiri, dipandang tinggi, disegani dan sangat dihormati.

Dalam beberapa persatuan bisnes Cina, ahli-ahli peniaga diwajibkan melantik dan melatih sekurang-kurangnya dua orang pembantu niaga daripada kalangan anak-anak ahli persatuan pada setiap masa.

Bayangkan jika amalan seperti ini dapat diamal dan dibudayakan semua bisnes Melayu.

Pasti generasi bisnes baru dapat diasuh dan dibimbing dengan baik oleh orang lebih berpengalaman, sekali gus merapatkan saf mengakrabkan persahabatan bisnes sebangsa.   

Terdapat persatuan atau kongsi bisnes Cina membekalkan modal mula (seumpama modal teroka atau venture capital) yang wajib dibayar balik semua peminjam.

Ada juga menggunakan kaedah meminta peminjam memberi cek tersedia ditandatangani dan ditarikhkan (post-dated cheques). Pantang sekali jika berlaku cek ditendang. 

Akibatnya, peminjam akan ditendang keluar kerana gagal menepati janji, langsung ditamatkan hak sebagai ahli kongsi.

Dengan cara ini, persatuan Cina dapat menanam budaya integriti dan disiplin bisnes tinggi yang juga harus Melayu contohi.

Tali ALLAH ikatan jaringan Muslim

Sewajarnya Melayu memberi keutamaan tinggi membina jaringan bisnes berlandaskan budaya bangsanya berteraskan nilai Islam.

Sesungguhnya mustahil Melayu berjaya memperkasa ekonomi dengan sempurna jika jaringan dibentuk fokus hanya kepada memburu keuntungan menghimpun harta kekayaan semata-mata, langsung memandang sepi peranan harta dalam menjayakan bisnes sebagai satu cabang jihad memenuhi matlamat besar Maqasid Syariah.

Jaringan bisnes yang hendak dibina juga tidak lengkap dan mustahil memperkasa, selagi tidak membabitkan semua lapisan bisnes yang diterajui Melayu.

Tegasnya, bukan sahaja bisnes kecil dan sederhana memerlukan jaringan.

Semua bisnes Melayu; sama ada milik individu atau keluarga, korporat swasta Melayu, koperasi, malah gergasi korporat milik GLC sekali pun, wajib dilibatkan sama menjayakan jaringan bisnes perkasa berlandaskan nilai Islam.

Justeru, jaringan persahabatan atau ukhuwah bisnes Melayu wajar dibentuk membabitkan tiga peringkat binses. Pertama, jaringan “Bisnes-Bantu-Bisnes” (atau “B-B-B”) atas inisiatif syarikat milik individu dan swasta.

MoU antara Kumpulan Al-Ansar Health/Magnetic Aura/Sinar Permata salah satu inisiatif peniaga swasta Melayu, iaitu salah satu langkah membina jaringan B-B-B. 

Pakatan strategik seperti ini sangat sesuai di jadikan contoh supaya lebih banyak bisnes swasta Melayu tampil memanfaatkan jaringan bisnes sebagai strategi untuk memperoleh kejayaan depan lebih besar.

Kedua, jaringan dibentuk atas inisiatif persatuan dan dewan bisnes (seperti DPIM, DPMM dan lainnya), iaitu jaringan “Dewan-Bantu-Bisnes” atau D-B-B”.DPIM sejak lebih dua tahun kebelakangan telah memulakan jaringan D-B-B menerusi program Rakan Jihad Bisnes (RJB) yang sangat aktif terutama di bawah pimpinan DPIM Johor dan DPIM Putrajaya.

RJB membabitkan kumpulan 20 hingga 40 ahli bisnes bertemu secara kumpulan sekitar sejam setiap minggu. Pertemuan mingguan sangat penting untuk membina keakraban mengukuhkan persahabatan.

Format RJB membabitkan setiap ahli kumpulan membawa peluang bisnes baru, informasi relevan, hubungan (contact) dan pasaran baru, atau berkongsi pengalaman membantu menyelesai masalah bisnes rakan lain. RJB bergerak berlandaskan falsafah “alyadul uliaya”, iaitu memperkasa bisnes Melayu-Muslim hingga berjaya menjadi masyarakat “tangan di atas” berlandaskan semangat syura dan bantu-membantu bersama ahli bisnes.

Sejak dua tahun dilancarkan, program RJB DPIM berjaya menjana peluang bisnes bernilai lebih RM250 juta untuk manfaat ahli bisnes terbabit.

Ketiga, jaringan korporat GLC sebagai institusi amanah korporat induk membuka seluas peluang bisnes baru untuk Melayu.

Banyak boleh GLC lakukan, misalnya menawarkan modal teroka memanjangkan manfaat sokongan korporat dan membuka luas jaringan bisnes mereka untuk manfaat usahawan dan bisnes Melayu. Jaringan “GLC-Bantu-Bisnes” atau “GLC-B-B” wajar dimanfaatkan hingga persepakatan ini akhirnya berjaya menerajui dan mendominasi beberapa sektor bisnes strategik negara.

Salah satu contoh terbaik kaedah GLC membentuk jaringan usahawan terdapat pada kejayaan JCorp membina barisan usahawan intrapreneur.

Beberapa intrapreneur JCorp yang ditawarkan saham minoriti milik peribadi, termasuk CEO/peneraju syarikat milik Waqaf An Nur Corporation Bhd (Waqaf Korporat), mencapai kejayaan bisnes besar hari ini hingga berjaya menjadi jutawan.

Kesimpulannya, jaringan persahabatan bisnes berteraskan Islam prasyarat utama memperkasa keupayaan bisnes Melayu bersaing.

* Tan Sri Muhammad Ali Hashim ialah Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) [email protected]yahoo.com