Umat Islam ketika ini berada dalam suasana menyambut Aidiladha, iaitu Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban. Berkorban sempena Aidiladha bertujuan menyempurnakan satu ibadah besar yang dituntut oleh Islam bagi umatnya yang beriman dan mahu mentaati dan mendekati ALLAH SWT. Sesungguhnya agama Islam adalah agama yang menuntut pengorbanan daripada umatnya dalam semua bidang kehidupan.  

Semangat pengorbanan sangat dipandang tinggi oleh Islam sehingga dijadikan satu hari khas bagi merayakan pengorbanan dan memperingatinya. Tegasnya, amalan berkorban telah dibudaya dan diinstitusikan oleh Islam menjadikannya nadi kehidupan umat bermasyarakat.  

Penyembelihan binatang ternakan untuk menyempurnakan ibadah korban sangat besar makna dan pengertian simboliknya, khasnya kepada umat zaman awal Islam yang rata-rata merupakan masyarakat penternak.

Orang yang kaya, tinggi kedudukan dan berpengaruh lagi berkuasa dalam masyarakat penternak adalah orang yang besar jumlah ternakannya. Pengorbanan sangat digalakkan dalam kalangan mereka dengan berkorban binatang ternakan terpilih yang paling baik rupanya, sasa tubuh badannya, justeru yang paling disayangi.

Pengorbanan strategik mengatasi kemiskinan

Hari ini kedudukan umat Islam semakin meruncing dan ancaman terhadap kesucian dan kebesaran agama Islam pula pada tahap paling genting dalam sejarah perjuangan umat. Justeru, pengorbanan besar dan strategik perlu difikirkan oleh bangsa Melayu dan umat Islam untuk mencari jalan keluar.  

Antara paling membimbangkan ialah perpecahan dan konflik berpanjangan sesama Melayu dan juga sesama umat, berpunca daripada harta kekayaan. Usaha Melayu mencari jalan keluar telah berdekad dilakukan sebelum ini tanpa membawa kejayaan sepenuhnya. Ini bermakna segala usaha dan langkah penyelesaian sebelum ini kurang berkesan, atau langsung menggagalkan kita. Ini juga bermakna kita tersalah strategi, tersilap langkah atau kemungkinan besar langsung tersalah tanggapan dan fahaman terhadap punca sebenar masalah dihadapi.  

Apa pun, bangsa Melayu dan umat Islam wajib bangkit memperbaharui perjuangan, kali ini dengan kaedah transformasi strategik. Tumpuan paling penting ialah terhadap memahami punca masalah sebenar, diikuti menyusun strategi berkesan mengatasi masalah.  

Fokus utama ialah terhadap mengenal pasti akar-umbi yang mengakibatkan umat Islam berkonflik dan berpecah, sehingga ada yang berperang, bunuh-membunuh sesama sendiri tanpa kesudahan. Pasti banyak punca kepada masalah yang sangat kompleks ini. Namun, jelas sekali kemiskinan merata umat antara faktor paling memburukkan keadaan.

Terdapat bukti nyata bahawa bangsa dan negara yang terjamin kedudukan ekonomi tidak semudah itu diheret ke kancah konflik berpanjangan yang menghancur dan memusnahkan. Konflik dan perpecahan paling buruk berlaku dalam konteks masyarakat yang sebahagian besar penduduknya miskin, khasnya generasi muda menganggur tanpa jaminan masa depan.

Justeru membasmi kemiskinan dan menjana peluang kerja menjadi keutamaan paling tinggi.

Mengatasi ketidakadilan dan kezaliman

Alhamdulillah, kepesatan pembangunan ekonomi Malaysia sejak merdeka berjaya mencipta banyak peluang kerja sehingga negara berada dalam kategori "full employment". Justeru Malaysia terselamat daripada pemberontakan rakyat, misalnya yang berlaku di Mesir, Tunisia dan Libya kerana kadar pengangguran tinggi yang menyebabkan kemarahan rakyat. Apa pun, kita juga perlu berwaspada agar tidak pula dijangkiti krisis ekonomi yang melanda beberapa negara Eropah seperti Sepanyol dan Greece.

Sekalipun berkedudukan lebih baik, warga Malaysia belum terlepas daripada ancaman krisis masa depan.  Tambahan pula dalam keadaan bangsa Melayu dan umat Islam semakin diancam perpecahan dan perselisihan pandangan dan pendapat, terutama dalam arena politik.  

Sumber utama perpecahan Melayu bukan daripada pengangguran, tetapi tekanan hidup rakyat yang semakin tercabar dan tergugat setelah kos sara hidup meningkat. Ia juga berpunca daripada perbezaan pandangan dan persepsi sebahagian besar Melayu dan umat Islam terhadap dasar dan strategi yang telah mengakibatkan ketidakadilan dan kezaliman ekonomi.

Konflik persepsi berlaku apabila pihak berkuasa masih terikat kepada strategi lapuk yang semakin tidak disenangi ramai. Sebagai contoh, pemimpin dan kerajaan masih berpegang keras kepada dasar ekonomi liberal dengan mengutamakan peranan swasta sebagai komponen utama pertumbuhan ekonomi.  Penswastaan GLC masih menjadi agenda utama, sedangkan majoriti Melayu tidak senang dengannya. Penswastaan dipercayai melemahkan keupayaan bersaing ekonomi Melayu selain menjadi punca utama korupsi dan keangkuhan kuasa.

Lagi pun dunia kini dilihat telah pun berubah persepsi terhadap ideologi liberalisasi ekonomi, terutama setelah krisis mengancam Amerika Syarikat dan Eropah. Peranan kerajaan mengimbangi ekonomi secara langsung tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang negatif. Satu anjakan paradigma besar telah berlaku dalam pemikiran ekonomi.

Justeru, pemimpin dan kerajaan wajar berubah. Misalnya, jangan lagi terlalu menonjolkan jutawan dan bilionair individu menjadikan mereka ikon ekonomi negara. Strategi mencipta jutawan dan bilionair individu juga wajar dikaji semula kerana hari ini, di Barat sekali pun barisan jutawan dan bilionair individu semakin dilihat sebagai ikon utama kerakusan dan kerosakan, ketidakadilan dan kezaliman ekonomi!

Pasti akan ada golongan berpendapat mengetepikan jutawan dan bilionair individu akan mematahkan semangat keusahawanan atau "entrepreneurial spirit", langsung melemah pertumbuhan ekonomi masa depan. Namun cabaran dari sudut ini boleh diatasi dengan kebijaksanaan dan strategi berpandangan jauh mengintegrasikan semangat pengorbanan ke dalam sistem ekonomi.

Waqaf Korporat satu pengorbanan strategik

Seharusnya semua ini lebih mudah dijayakan dalam kalangan "entrepreneur" Melayu-Muslim yang telah lama membudayakan pengorbanan dalam kehidupan.  Dipercayai ramai bersedia berkorban kepentingan peribadi selagi mereka yakin kemakmuran dan kesejahteraan masa depan dapat dihasilkan daripadanya dengan penuh adil dan saksama.

Sebenarnya semua ini telah pernah kita capai sewaktu DEB dilancarkan dahulu, iaitu sebelum dasar penswastaan diperkenalkan. Dengan kesepaduan usaha, DEB berjaya melonjakkan pencapaian. Kesannya, hari ini syarikat PLC milik GLC di Bursa Malaysia memegang 40 hingga 45 peratus nilai pasaran modal (market capitalisastion) saham di Bursa.  

Hakikatnya, hari ini barisan GLC dan institusi korporat amanah seperti Petronas, PNB, Khazanah, Lembaga Tabung Haji, Felda, Johor Corporation dan seumpamanya berada di barisan depan seiring dengan swasta menjana ekonomi. Apa yang diperlukan ialah mereka diiktiraf sebagai antara ikon besar ekonomi negara. CEO dan barisan pejuang GLC dan institusi korporat amanah banyak berjasa. Justeru, ramai antara mereka wajar dan layak dinobatkan sebagai ”mujahid bisnes” ikon pejuang ekonomi yang telah berkorban jiwa raga untuk bangsa dan umat, sekalipun sebagai individu mereka bukan bilionair.

Pengiktirafan paling penting yang diharapkan daripada pemimpin dan kerajaan ialah komitmen tegas bahawa semua pengorbanan besar GLC dan institusi korporat amanah ini tidak akan diperkecil, atau akhirnya disia-siakan menerusi penswastaan. Malahan strategi paling berkesan dalam menegakkan keadilan berpanjangan ialah dengan mewakafkan GLC strategik terpilih. Justeru, Waqaf Korporat wajar dijadikan teras strategi transformasi ekonomi negara.

Contoh, paling sesuai perwakafan GLC ialah Johor Corporation (JCorp), menjadikannya GLC pertama diwakafkan sepenuhnya. Kerana JCorp telah pun bersedia ke arah itu dengan penubuhan Waqaf An Nur Corporation Bhd yang jelas terbukti kewibawaannya dan manfaat dibawa olehnya untuk masyarakat.  JCorp juga wajar dipilih kerana selama empat dekad penubuhannya ia tidak pernah menerima sebarang geran atau peruntukan istimewa kerajaan Johor.  

Pada akhirnya  pewakafan JCorp pasti disambut seluruh rakyat sebagai satu pengorbanan strategik kerajaan Johor dan kerajaan Malaysia untuk kepentingan bangsa dan umat zaman berzaman, insya-ALLAH sampai kiamat!

* Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) dan Pengasas Waqaf An Nur Corporation Bhd.