SEWAKTU di Turki minggu lalu, selepas menyampaikan ceramah Waqaf Korporat di persidangan wakaf antarabangsa di Istanbul, saya dan Mohd Sahar Mat Din, Timbalan Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) sempat berkunjung ke sebuah organisasi wakaf terkenal di Turki.

Kami bersama isteri bertuah kerana dapat melawat dan mengenali lebih dekat wakaf pendidikan Turki milik Sulaimanniyah bukan sahaja di Istanbul, malahan juga di kota Bursa.

Wakaf pendidikan Sulaimanniyah ditubuhkan pada 1936, menentang arus politik sekularisme ekstrem anjuran pemerintah Turki ketika itu.

Sulaimanniyah kini sebuah organisasi global beroperasi menerusi lebih 6,000 madrasah tahfiz di 149 negara di dunia, termasuk enam di Malaysia.

Ia fokus kepada membangun generasi baru Muslim berilmu, bertakwa dan berakhlak mulia yang juga boleh diistilahkan sebagai generasi berjiwa khalifah.

Teras kepada pembangunan akhlak bagi setiap Muslim tidak dapat lari daripada berlandaskan al-Quran. Justeru memahami dan mendalami ilmu al-Quran, dan khas untuk pelajar terpilih, menghafal seluruh al-Quran, menjadi asas dan nadi utama program pendidikan Sulaimanniyah.

Kami kagum dengan akhlak pelajar dan warga Sulaimanniyah yang ditemui sepanjang lawatan. Bermula di ibu pejabat Asia Tenggara Sulaimanniyah di Istanbul diikuti ke beberapa sekolah rendah dan menengah Tahfiz, asrama (lelaki dan perempuan) serta program tadika Islam di Istanbul dan Bursa, kami diiringi pelajar Indonesia bernama Abdullah Firman Syah, 24 tahun.

Pembangunan akhlakul karimah

Pelajar Turki yang boleh berbahasa Inggeris bernama Tarik Sezar, 22 tahun, menjadi hos kami sepanjang berada di Bursa.

Di akhir lawatan pelajar Malaysia, Muhammad Naim Hasnan, 20, lepasan sekolah tahfiz Sulaimanniyah Bangi, mengiringi kami ke lapangan terbang Istanbul, memberi kami kesempatan mendekati pelajar tahfiz Sulaimanniyah.

Mereka lengkap berpakaian kot berwarna gelap bertali leher kemas dan tampan, sekali pun dalam kehangatan musim panas di Turki.

Mereka juga serius membawa imej pemuda Islam berilmu dan berdisiplin serta tinggi keyakinan diri; namun tetap berbudi bahasa, sentiasa ceria, bersedia memandu dan ikhlas membantu, dengan sabar memenuhi kerenah kami sepanjang perjalanan.

Lawatan kami menjadi sangat bermakna dengan kehadiran mereka bersama. Pelajar Sulaimanniyah yang kami temui cermin terbaik generasi baru Islam yang diharapkan dapat membudayakan dan mentamadunkan semula kehidupan umat mengikut acuan mulia Islam.

Tidak syak lagi akhlakul karimah berlandaskan al-Quran seumpama dianjurkan Sulaimanniyah satu-satunya jalan umat Islam menebus kembali kedudukan umat khalifah seperti dicapai dalam sejarah, juga dijanjikan statusnya kepada umat Islam oleh agamanya.

Menerusi rangkaian madrasah al-Qurannya di seluruh dunia Sulaimanniyah membuka luas peluang generasi muda Muslim mempelajari dan menghafal al-Quran mengikut sistem Turki Osmani yang berupaya melahirkan ahli tahfiz dalam tempoh tidak sampai setahun.

Tidak kurang penting, gerakan Sulaimanniyah tegas menganjurkan pelajarnya menguasai ilmu umum.

Ramai pelajar muda digalakkan terus berjaya sebagai profesional ke tahap paling tinggi, selain ramai ahli profesional turut mengikuti program Sulaimanniyah untuk mendalami ilmu al-Quran.

Kombinasi penguasaan ilmu al-Quran dan ilmu duniawi ditekankan oleh Sulaimanniyah dalam usaha membina semula tamadun memperkasa umat Islam mengatasi cabaran hidup global.

Pendekatan Sulaimanniyah popular kerana ia memenuhi aspirasi umat Islam kontemporari kembali ke akar umbi akidah dan iman berlandaskan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah tanpa terjerumus atau terpengaruh ekstremis agama merosakkan.

Paling menarik perhatian, kami dimaklumkan seluruh pembiayaan untuk belajar termasuk yuran, tambang pergi-balik ke Turki bagi pelajar terpilih, belanja asrama, makan-minum dan pakaian rasmi pelajar semuanya dibekalkan percuma dan ditanggung oleh Sulaimanniyah.

Bagaimana Sulaimanniyah berupaya lakukan semua ini? Kami tidak terperanjat apabila diberitahu semuanya dicapai berdasarkan penubuhan Sulaimanniyah sebagai organisasi wakaf!

Pembudayaan wakaf memperkasa umat

Jelas sekali Sulaimanniyah satu lagi bukti nyata kehebatan dan relevannya wakaf sebagai institusi membela dan memperkasa umat Islam di abad ke 21.

Sumber wakaf memangkinkan Sulaimanniyah bukan sahaja memberi biasiswa kepada pelajar, malah mengupayakannya membina madrasah, menyediakan kemudahan pembelajaran dan asrama berkualiti tinggi.

Sekolah tahfiz dan asrama yang kami lawati setaraf hotel 4-5 bintang, dengan permaidani dan kelengkapan berkualiti, dijaga sangat bersih termasuk sampai ke dapur, ruang makan, bilik tidur, bilik mandi dan tandas sekali pun.

Semua ini memberi nafas baru kepada aktiviti dakwah selain membina imej baru mengubah persepsi terhadap agama Islam dan umatnya yang kini rata-rata diperlekeh kerana tidak mencerminkan apa yang sebenarnya dituntut oleh Islam.

Kehebatan Sulaimanniyah turut terdapat pada impaknya terhadap masyarakat sekitarnya, terutama dalam membudayakan wakaf dan pengorbanan.

Sumbangan derma masyarakat bukan sahaja dalam bentuk wang, malahan tenaga, termasuk profesional. Sumbangan makan-minum, bahan dan sumber serta peralatan antara prasarana penting kejayaan Sulaimanniyah.

Penubuhannya sebagai institusi wakaf memudah dan menggalakkan sokongan padu anggota masyarakat sekitar memberi khidmat sukarela.

Sebagai contoh, kami dijemput dan dihantar pulang ke Lapangan Terbang Bursa dan Istanbul menggunakan kenderaan dimiliki dan dipandu sendiri tenaga sukarelawan Sulaimanniyah tanpa mengharap atau meminta apa-apa bayaran.

Ekonomi diterajui khalifah

Sesungguhnya impak pembudayaan wakaf sangat luas manfaatnya, bukan sahaja untuk sosial, pendidikan dan kebajikan.

Lebih daripada itu, seperti yang saya tekankan sewaktu berceramah di persidangan wakaf di Istanbul, menerusi konsep Waqaf Korporat, sistem ekonomi pacuan bisnes dominasi korporat global dan MNC hari ini boleh ditransformasikan.

Tujuannya supaya harta kekayaan tidak hanya dibolot golongan Superman bisnes rakus nafsu-nafsi terbang tinggi.

Malangnya budaya bangsa Melayu dan umat Islam telah terlalu lama didefinisi dan dipupuk oleh pembawaan bisnes acuan organisasi korporat berakhlak Superman ciplakan Barat, berebut kuasa membolot harta kekayaan peribadi. Kaedah ini bukan sahaja tidak serasi dengan Islam, malah berciri anti Islam secara halus.

Tanpa disedari, selain meminggir, menindas dan menzalimi hak ekonomi rakyat majoriti, ia meresap merosakkan akhlak dan meracuni jiwa warga Muslim.

Bayangkan satu hari nanti sistem ekonomi negara Islam seperti Malaysia dan Turki diterajui saf usahawan ‘khalifah’ berakhlak mulia milik institusi Waqaf Korporat.

Wakaf pasti mengutamakan jemaah, menjana harta kekayaan memakmurkan ekonomi dengan adil dan saksama menentukan harta kekayaan tidak hanya berputar dalam kalangan Superman.

Kesimpulannya, untuk menuju ke arah matlamat besar menjayakan khalifah ekonomi, Malaysia khasnya perlu menjadikan wakaf institusi teras bertujuan mencetus pembudayaan akhlak khalifah seluas-luasnya dalam masyarakat, bermula dengan transformasi bisnes dan korporat.

Saya percaya Waqaf Korporat adalah satu-satunya institusi Islam paling sesuai menterjemahkan konsep khalifah menjadikannya satu realiti memperkasa ekonomi umat.

Konsep khalifah yang dimaksudkan ialah golongan umat yang bersatu saf menggunakan tenaga, kuasa, harta dan sumber bertujuan memakmurkan dan menyejahterakan kehidupan, menegakkan keadilan, menyempurnakan amar makruf serta nahi mungkar berdasarkan nilai hidup Islamik.

Sasarannya ialah penguasa dan pemerintah negara Islam, sama ada raja bertakhta atau presiden berkuasa di istana, pemimpin politik demokrat pilihan rakyat berkuasa eksekutif negara, mahupun CEO menerajui korporat menjana ekonomi negara; satu hari nanti semuanya memiliki akhlak mulia seumpama ciri-ciri yang sewajarnya ada pada seorang khalifah Islam.

Ciri utama tamadun berlandaskan idea khalifah berpaksi kepada konsep istikhlaf Islam, iaitu kuasa di tangan, harta dan kekayaan, juga semua yang dimiliki dalam kehidupan, adalah milik mutlak ALLAH SWT.

Manusia berperanan hanya sebagai khalifah, dipertanggungjawabkan mengurus semuanya sebaik dan seefisien mungkin selaku pemegang amanah memakmurkan dunia memanfaatkan semua makhluk dan seluruh kehidupan.