Minggu lalu Khalifah Bisnes menemui pembaca dengan artikel bertajuk: “Jangan ciplak rakus Barat”. Kebetulan pada hari sama akhbar berbahasa Inggeris The Star menerbitkan penulisan Datuk Seri Idris Jala, CEO Pemandu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dengan tajuk “Memfokus semula peranan bisnes kerajaan.” (Refocusing Government’s role in business). 

Idris menegaskan kerajaan akan berundur daripada bisnes dengan menswastakan semua pegangan kepentingan GLC. Setakat ini 33 syarikat kerajaan dan GLC dikenal pasti dan 13 telah diswastakan, termasuk penyenaraian syarikat Felda, iaitu Felda Global Ventures, penyenaraian IHH Healthcare (milik Khazanah Malaysia), Pos Malaysia dan EON Cap.

Oleh kerana isu penswastaan mempunyai implikasi sangat besar kepada kepentingan bangsa dan pembangunan ekonomi negara, Khalifah Bisnes minggu ini fokus kepada komen terbuka mengenainya. (Satu salinan artikel ini juga saya hantar terus kepada Datuk Seri Idris Jala menerusi emel, menyahuti pelawaan beliau meminta pandangan awam).

Pertama sekali, selaku Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), saya menggesa supaya Pemandu dan kerajaan menghentikan perancangan menswastakan syarikat GLC dan mengkaji semula seluruh dasar penswastaan.

Tidak mencukupi bagi Pemandu mengiktiraf peranan GLC dalam konteks terhad, misalnya menjaga keselamatan makanan negara (food security), infrastruktur asas, dan seumpamanya.

DPIM bertanggapan GLC institusi strategik yang wajar kekal dan diberi peranan arus perdana pembangunan negara terutama untuk mencapai matlamat negara maju 2020 mengikut acuan Malaysia. Idris memberi empat pertimbangan utama Pemandu menjustifikasikan penswastaan GLC: Pertama, untuk memesatkan pertumbuhan ekonomi, kerajaan/GLC tidak wajar berbisnes kerana “swasta lebih berkesan”. 

Kedua, mengelak pengetepian swasta (overcrowding). Ketiga, menambah kecairan pasaran saham; dan keempat, penswastaan menambah hasil kerajaan. DPIM berpendirian kerajaan perlu mengekalkan opsyen berbisnes menerusi GLC bagi mengelakkan bergantung sepenuhnya kepada swasta, dan terdedah kepada dominasi gergasi korporat asing.

Slogan “Kerajaan tiada sebab berbisnes” (Government has no business to be in business) terbit daripada perspektif mendewakan swasta dan seruan ini pernah diguna kapitalis Barat dengan niat angkuh mendominasi ekonomi negara membangun. 

Hari ini, kapitalisme global tergugat dilanda krisis survival, manakala slogan dan doktrin ini telah luput tempoh laku di Barat. Kenapa pula kita di Malaysia mahu mendewakan swasta atas segala-galanya?

Malaysia juga berpotensi diancam krisis berpunca daripada peminggiran golongan majoriti miskin dan berpendapatan rendah yang tidak terbabit bisnes atau korporat. Kehidupan rakyat jelata semakin tertekan. Seharusnya GLC berperanan membela nasib mereka dalam mengimbangi pembahagian hak milik harta kekayaan mewakili mereka. Justeru, apa justifikasi GLC hendak dibuang atau diketepikan? 

GLC Malaysia banyak yang berprestasi tinggi. Jika ramai berpersepsi GLC lemah, puncanya adalah kegagalan beberapa GLC pada awal sejarah penubuhannya, kerana kurang pengalaman bisnes. Dalam pengalaman saya selama 28 tahun selaku CEO sebuah GLC (JCorp) terdapat berpuluh syarikat atau bisnes swasta telah JCorp ambil alih, termasuk hospital pakar milik swasta, yang turn around dan dicemerlangkan prestasi. 

Jika GLC kurang berprestasi, bukanlah kerana status GLCnya, tetapi kelemahan kepimpinan termasuk dalam mengurus cabaran agensi. Antara cabaran utama GLC adalah terdedah dengan campur tangan politik dan kerenah birokrasi serta tuntutan pihak yang berkepentingan terhadapnya.

Motivasi terjejas teruk kerana tiada CEO yang akan bekerja kuat kerana semua usaha akhirnya hanya memanfaatkan swasta, ahli politik dan orang luar. Tidak hairan jika ada CEO atau pengurusan GLC yang turut sama menangguk di air penswastaan!

Kini Barat pula semakin tergugat apabila masyarakat mendapati sistem pro-swasta tidak adil dan zalim. Jurang kaya-miskin semakin melebar. Segelintir jutawan dan bilionair swasta hampir membolot semua sedangkan rakyat jelata terbiar tanpa pembelaan.

Slogan protes antikapitalis Wall Street yang berbunyi: “99 peratus menentang kerakusan 1 peratus” jelas mencerminkan sentimen antiswasta dan antikezaliman kapitalis global. Justeru, anjuran “swasta diutamakan” tidak boleh diterima.

Menjual aset dan bisnes GLC untuk menambah hasil kerajaan juga bukan alasan kerana keutamaan hari ini. Bahkan terlalu banyak negara diancam muflis kerana pemerintah berbelanja terlalu besar. 

Pemandu perlu susun strategi jangka panjang 'mengecilkan' kerajaan supaya Malaysia dijauhi daripada ancaman muflis masa depan. Saya percaya GLC boleh berperanan dalam hal ini. Demikian juga, slogan “crowding out the private sector” tidak lagi masuk akal. Menciplak buta kapitalis Barat lebih besar bahayanya kerana ia mengizinkan swasta meminggir rakyat, atau: “private sector crowding out the people”!

Kesimpulannya, dalam situasi ketidakadilan ekonomi, siapa lagi berupaya membela rakyat kalau bukan kerajaan bersama GLC? Hujah “menambah kecairan pasaran” dan “mencergaskan bursa” juga melampau pro-swasta. Kebimbangan rakyat ialah apabila syarikat GLC disenaraikan, akhirnya kepentingan amanah GLC terhakis.

Jika disenaraikan juga, sangat penting GLC kekalkan pegangan kawalan PLC terbabit supaya tidak mengkompromikan amanah rakyat. Tanpa peranan amanah GLC, langkah penyenaraian hanya satu pemindahan hak milik daripada golongan miskin kepada golongan kaya yang dipermudah prosesnya oleh bursa saham.

Sekalipun diberi peluang memiliki saham agihan IPO, berapa kerat rakyat berpendapatan rendah berupaya bertahan, atau mampu menambah pelaburan? Boleh dijangka, apabila harga meningkat, ramai akan menjual dan pembelinya pasti individu kaya dan warga kapitalis swasta!

Untuk menjana ekonomi, Pemandu mesti utamakan fokus strategi kepada meratakan peluang bisnes, khasnya menggalak usahawan dan PKS lebih berjaya. GLC mesti ditugaskan membangun usahawan mengikut kaedah pasaran. Untuk itu, Pemandu juga perlu fokus kepada melindungi GLC daripada terjejas campur tangan politik sempit dan karenah pentadbiran kerajaan. 

Akhir sekali, untuk mengelak GLC diswastakan atau dicerobohi dan amanah hak milik terlepas tangan, langkah terbaik adalah mewakafkan GLC strategik menerusi kaedah Waqaf Korporat.

Strategi perlu juga disusun untuk menjamin saham PLC milik GLC seperti Felda Global Venture dan KFCH, kekal dimiliki institusi Waqaf Korporat. Dengan mewakafkan GLC dan saham PLC, amanah rakyat dapat kekal berpanjangan untuk manfaat generasi akan datang. Dengan cara ini juga bahaya kerakusan, kerosakan dan kezaliman kapitalis global dan tempatan dapat dibatasi.


Tan Sri Muhammad Ali Hashim
Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)
3 Ogos, 2012.
ali.bizjihad@yahoo.com