Keputusan PRU13 bukti nyata reformasi sistem politik berjaya mengintegrasikan dan memantapkan kedudukan parti alternatif peringkat nasional ke dalam sistem demokrasi negara.

Dalam kata lain, PRU13 mengubah sistem demokrasi Malaysia daripada politik dominasi satu parti selama lebih setengah abad kepada sistem demokrasi membabitkan dua parti dominan.

Gagasan politik dwi-parti, iaitu Barisan Nasional di satu pihak dan Pakatan Rakyat di pihak lain satu kematangan demokrasi di Malaysia yang sangat besar implikasinya. 

Sekali pun berisiko tinggi, ia wajar dialu-alukan.

Paling penting, pemimpin politik khasnya dan rakyat Malaysia amnya sentiasa waspada, aktif dan bijak menangani risiko paling besar: iaitu jangan sampai polarisasi rakyat atas dua jurusan politik berlainan landasan diikuti polarisasi ekonomi langsung mengancam kestabilan dan keharmonian hingga akhirnya menghancurkan negara.

Politik dwi-parti berpotensi memecah-belah

Sesungguhnya sistem demokrasi dwi-parti mengakibatkan polarisasi tidak dapat dielakkan.

Bahayanya, polarisasi dalam masyarakat majmuk Malaysia mudah sekali diartikulasi mengikut garis perkauman memecah-belah. Misalnya, kalangan Melayu-Muslim yang terjejas atau terhakis kepentingan politik pasca PRU13 cenderung menyalahkan sikap “anti-Melayu” orang Cina, sekalipun yang mencetus gerakan reformasi sebenarnya Melayu sendiri.

Tidak hairan jika tuduhan dan artikulasi seperti ini sengaja dianjur pemimpin Melayu bertujuan mencari alasan mudah punca kegagalan setelah tidak sanggup mengakui kelemahan membuka pekong sendiri.

Demikian juga sebaliknya, kaum Cina mudah sekali menuduh golongan Melayu konservatif anti-perubahan gigih berjuang mempertahankan status quo Perlembagaan sebagai golongan jumud perkauman.

Kewajaran dan hak legitimis golongan Melayu mempertahankan “social contract” persetujuan asal bersama sewaktu Merdeka dahulu tidak diendahkan.

Demikian juga “fear factor” kebimbangan Melayu akan hilang segalanya kerana kedudukan ekonomi terancam dan “vulnerable” tidak diambil kira, malah ditakrif sebagai tebalnya sikap “anti-Cina” orang Melayu.

Justeru, senario politik dwi-parti memerlukan kebijaksanaan terutama dalam dua aspek asas. Pertama, semua warga Malaysia segera menerima realiti reformasi dan pembaharuan iklim politik sebagai perubahan positif dan perkembangan demokrasi sihat.

Kedua, dan tidak kurang penting, satu formula baru berkesan menangani “fear factor” kelemahan dan perasaan vulnerable Melayu wajib diartikulasi, dilaksana dan dijayakan sebagai satu agenda nasional merentasi kepentingan berbeza berdasarkan kepartian atas dasar kerjasama semua kaum.     

Atasi ancaman polarisasi ekonomi

Polarisasi ekonomi berlaku apabila Melayu terbelenggu aktiviti rendah nilai ekonomi sedangkan kaum lain berlipat-ganda penguasaan ekonomi sektor bernilai tinggi.  Justeru mendesak disusun semula dan diperbaharui.

Formula nasional mengatasi kelemahan ekonomi Melayu menuntut pembaharuan institusi dan pembabitan GLC yang sebelum ini pun berperanan besar dan strategik menyumbang kepada pertumbuhan selain menyeimbangkan agihan manfaat ekonomi.

Justeru, jawapannya bukan mengetepikan malah memperkasa GLC.

Namun matlamat besar dan cara operasi GLC tidak harus mengikut cara lama eksklusif perkauman. 

Apa pun kaedah inklusif baru, ia tidak harus mengatasi matlamat utama melibatkan Melayu dan Bumiputera di barisan depan.

GLC wajib membina usahawan entrepreneur dan intrapreneur Melayu asalkan semuanya dikendalikan atas dasar merit dengan mengutamakan keahlian dan kebolehan berbisnes.

Seperkara lagi yang juga penting: Fokus dasar sebelum ini kepada membina jutawan Melayu melampau nafsu-nafsi wajib diubah dan digantikan dengan strategi menzahirkan barisan entrepreneur amanah Melayu yang turut memanfaatkan harta kekayaan untuk pembangunan bangsa dan kemajuan berkelangsungan generasi demi generasi.

Untuk menjayakannya, GLC berperanan paling strategik. Apa pun, semua GLC terbabit mesti beroperasi atas landasan bisnes dan “market-driven” sepenuhnya.

Tidak harus ada lagi campur tangan politik dalam GLC. Malah kerajaan perlu tegaskan dasar meleraikan (decouple) GLC daripada diterajui tangan politik dan campur tangan birokerasi.

Sebaliknya kepimpinan dan pengurusan profesional GLC diperkasa dengan diberi autonomi bertanggungjawab sepenuhnya.

Amalan berleluasa sebelum ini menjadikan GLC lubuk habuan dan ganjaran politik, atau  diperah aset, diswastakan bisnes dan hartanya kepada kepentingan individu dan swasta wajib dihentikan.

Demikian juga kecenderungan menjadikan GLC tempat akhir berlindung dan berpaut bekas ahli politik yang gagal mendapat kerusi dalam PRU, “dikitar semula” sebagai pengerusi, pengarah atau pengurus GLC dan syarikat milik GLC.

Paling penting, seluruh agenda formula baru ekonomi wajib dijayakan atas dasar pro-bisnes dan pro-pasaran, menambah nilai dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi tanpa geran, subsidi dan keistimewaan merosakkan; juga tanpa penyelewengan atau korupsi membabitkan kerabat dan kroni politik atau perkongsian dan pakatan haram dalam apa bentuk sekali pun. 

Perhatikan juga, mustahil formula baru ini dijayakan sepenuhnya tanpa membabitkan langsung keupayaan tinggi bisnes dan dukungan jaringan korporat warga Cina Malaysia khasnya.

Justeru, ahli bisnes Melayu wajar diberi akses memanfaatkan sepenuhnya jaringan bisnes Cina sedia ada. Satu persefahaman dan gabungan kerjasama bisnes Cina-Melayu wajib dijadikan prasyarat kejayaan dan diinstitusikan dengan susunan struktur persepakatan bisnes berkesan.

Dipercayai ciri bisnes dinamis dan kuasa entrepreneur Cina boleh digembleng menjayakan agenda ekonomi nasional ini mengikut pendekatan formula “win-win” jangka panjang memanfaatkan semua.

Jangan biarkan gelap masa depan

Pada akhirnya, apa pun kelebihan politik sistem dwi-parti, ia semula jadi bersifat mempolarisasi dan berpotensi memecah-belah masyarakat dan negara, kerana kedua-dua parti berlainan gagasan memperjuangkan agenda politik berasingan landasan dan berbeza tuju arah.

Akhirnya politik adversarial berpembangkangan cuma mengakibatkan ketegangan emosi hingga turut menjejaskan hubungan antara individu, juga saudara-mara, sahabat-handai, jiran tetangga sekampung sehalaman, mahu pun sepusat-sepusing dalam keluarga, dan pada Melayu-Muslim khasnya, juga memecah-belah kumpulan sekariah-sejemaah surau atau masjid sekali pun!

Tegasnya, ia memerlukan kebijaksanaan dan kematangan luar biasa kepimpinan. 

Kematangan politik berdemokrasi juga memerlukan pembaharuan dalam erti kata mengelakkannya daripada melampau dipengaruhi atau diterajui personaliti tertentu, tidak kira di pihak mana.  

Dalam konteks ini, sangat berbahaya jika parti politik utama berpanjangan memilih jalan terlampau membudayakan pendewaan pemimpin atau “personality cult”.

Lebih-lebih lagi jika asas perjuangan parti gagal dialihkan kepada memperjuangkan idea besar atau ideologi hebat untuk dikongsi dan sepakat dijadikan landasan perjuangan mantap.

Selain itu, sistem demokrasi memerlukan parti politik utamanya juga demokratik pada amalan dalamannya.

Parti politik dengan kuasa dibolot dan dimonopoli satu-dua individu; dikawal, ditaja atau dibiayai oleh pemimpin tertentu atau kroni, mudah sekali mengetepikan perlembagaan parti sendiri untuk melindungi kepentingan sempit individu.

Sesebuah parti yang kehilangan ciri demokrasi dalaman pasti payah mempertahankan demokrasi amnya.

Jika parti sanggup mengetepikan perlembagaan sendiri, apa lagi nanti kedudukan Perlembagaan negara: pasti mudah sanggup dikesampingkan dan dikompromi semuanya!

Sesungguhnya cabaran masa depan negara dalam konteks persaingan sengit ekonomi dunia dan dalam suasana krisis ekonomi global semakin kompleks, justeru tidak boleh dipandang ringan. 

Lebih-lebih lagi apabila rakyat, terutama golongan rakyat majoriti di pola paling bawah dibelenggu aktiviti ekonomi rendah nilai.

Tanpa pembelaan dan penambahbaikan berkesan masa depan jika pemimpin politik negara gagal mencari penyelesaian, bahayanya sistem demokrasi dan lindungan Perlembagaan tidak lagi bermakna kepada mereka.

Sangat malang sekali bagi masa depan negara jika kepimpinan politik gagal menyelesaikan masalah polarisasi politik dan ekonomi, akhirnya mengakibatkan rakyat bangkit mengetepikan Perlembagaan, memberontak membuang semuanya apabila “fear factor” mengetepikan keyakinan setelah hancur harapan dan gelap masa depan.

* Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM). ali.bizjihad@yahoo.com