KEMPEN pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) kali ini diwarnai banyak perkara luar biasa, termasuk apa yang tidak pernah berlaku sebelumnya.

Ia bukan sekadar cerita mengenai Hillary Clinton, wanita yang pertama dicalonkan, juga calon yang pertama daripada kalangan bekas Wanita Pertama.

Apa yang dikatakan tidak pernah berlaku ialah hal serangan peribadi sesama calon. Itu memang luar biasa lagi mencemarkan!

Apa yang diutamakan dalam kempen-kempen pilihan raya Presiden AS sebelum ini ialah hal-hal yang berkaitan dengan idealisme seseorang calon sebagai pilihan untuk menerajui sebuah negara super power, mengenai gagasan dan juga polisi-polisi yang dirangka untuk pentadbirannya jika ditakdirkan beliau menang.

Inilah caranya seseorang calon Presiden AS mengemukakan pelan pemerintahan sebagai pilihan kepada rakyat untuk dinilai  dan diterjemahkan sebagai undi mereka.

Isu-isu penting yang lazim jadi tumpuan ialah yang berkaitan dengan kesihatan termasuk insurans, percukaian, dasar luar dan pertahanan serta lain-lain isu kebajikan sosial.

Di situlah, calon-calon presiden bersaing memperagakan pakej yang paling menawan hati rakyat dari segi idea,  kepetahan berhujah juga imej dan perwatakan.

Mengikut gaya Amerika, semua perkara adalah sangat penting kerana Presiden AS diterima di seluruh dunia sebagai orang yang paling berkuasa!

Donald Trump, selama ini cukup dikenali dan dihormati di seluruh dunia.  

Reputasinya memuncak sebagai taikun hartanah yang memiliki jutaan kaki persegi aset di Manhattan meskipun pernah muflis ketika kegawatan  ekonomi pada 1990an.

Beliau bagaimanapun bingkas membina semula perniagaan dan terus gemilang sampai sekarang. Namanya memuncak menerusi program realiti bisnes The Apprentice dan cukup terkenal dengan kata-kata akhir "You're fired!" terhadap peserta programnya yang disingkir.

Keras kata-kata Trump bukan hanya dalam program realiti TV, malahan juga dalam dunia realiti.

Inilah masalah bilioner itu. Sebagai calon presiden, beliau tidak seharusnya melemparkan kata-kata yang tidak bertapis. Begitu banyak kontroversi tercetus yang disebabkan keceluparan mulutnya hingga ada yang menduga, itu semua disengajakan oleh Trump sendiri untuk lebih dikenali.

Kenyataan anti Islam, penghinaan terhadap imigran, provokasi perkauman malahan kata-kata lucah dilontar tanpa rasa bersalah!

Meskipun Trump pernah menyebut mengenai seriusnya beliau mahu menggantikan Barack Obama namun menilai tindak-tanduk terutama tutur katanya, ia persis hanya permainan populariti. Membina profil perbadi sebagai calon presiden sebuah negara paling berpengaruh di dunia!

Presiden AS, suatu jawatan yang dunia global adalah padang permainannya, tidak dapat tidak harus memiliki kemahiran diplomasi yang pada tahap yang tertinggi. Justeru, tidak ada kompromi untuk tutur kata yang semberono, apa lagi yang berbaur provokasi. Ini bukan program realiti TV!

Dengan apa yang telah ditampilkannya, tidaklah menghairankan apabila beberapa pemimpin senior Republikan, parti yang diwakilinya turut menarik balik sokongan terhadap Trump. Mereka termasuk Speaker Kongres, Paul Ryan yang kelmarin memberikan amaran "kapal Trump sedang karam, sudah tiba masanya bagi anggota Republikan pergi mendapatkan bot penyelamat!"

Ryan dalam kenyataannya bagaimanapun berikrar untuk mempertahankan penguasaan parti itu dalam Kongres kerana katanya, Hillary berupaya untuk meningkatkan sokongan terhadap Demokrat dalam Dewan Perwakilan.

Ini sudah tentu berpunca daripada gelagat Trump sendiri yang begitu tidak terkawal.

Hillary meskipun berpengalaman sebagai Wanita  Pertama selama dua penggal yang sudah tentu terbiasa dengan protokol serta disiplin kepresidenan, pun turut terperangkap dengan tingkah laku semberono saingannya. Meskipun cuba bergaya tenang, calon Demokrat itu beberapa kali terlibat membalas serangan peribadi Trump terhadapnya.

Apa pun, budaya politik AS masih setakuk di atas berbanding politik negara dunia ketiga.

Pendirian yang ditunjukkan oleh Ryan, juga beberapa pemimpin Republikan yang enggan menyokong Trump adalah indikasi kematangan politik, juga penghormatan parti terhadap kewibawaan anggotanya. Mereka kekal dan dikekalkan sebagai wakil Republikan meskipun setelah mengisytiharkan untuk tidak lagi menyokong calon parti mereka sendiri.

Ini berikutan kehodohan tingkah laku Trump sendiri yang bukan sahaja akan membawa kekalahan malah dianggap menjatuhkan imej parti hingga tidak lagi boleh dikompromi.

Menariknya, Ryan, juga anggota senior Republikan yang sama pendirian dengan beliau termasuk John McCain (calon Presiden 2008), Mitt Romney (calon Presiden 2012), Condolezza Rice (Setiausaha Negara di bawah pemerintahan George W. Bush); John Negroponte (bekas Pengarah CIA) serta beberapa anggota kanan yang lain, tidak pula dipecat atau dikenakan apa-apa tindakan oleh parti.

Inilah kematangan dalam kepemimpinan. Apabila seseorang diberi jawatan dan diiktiraf sebagai pemimpin, mereka seharusnya diberikan ruang untuk menonjolkan idealisme sendiri tanpa diikat oleh kepentingan diri termasuk jawatan.

Rakyat mahukan pemimpin, bukannya pak turut atau tukang angguk!