AGAK sukar diterima  apabila seorang ulama, pemikir dan pendakwah sufi, Fethullah Gulen dituduh dalang cubaan kudeta untuk menjatuhkan kerajaan Recep Tayyip Erdogan pada dinihari 16 Julai lalu.

Lebih sukar diterima apabila tindakan itu turut meragut nyawa orang awam. Mana mungkin seorang ulama yang begitu dihormati tergamak melakukan demikian!

Penglibatan Gulen dalam masyarakat sejak 1970-an adalah beridolakan tokoh ulama/ nasionalis terbilang, Badiuzzaman Said Nursi. Ajaran agama dan moral yang dibawa di sekolah-sekolah miliknya di seluruh dunia juga adalah berteraskan Risale-i Nur, kitab karangan Nursi.

Nursi ketika diajak melakukan pemberontakan terhadap pemerintah Turki telah mengungkapkan: “Pedang hendaklah digunakan ke atas musuh dari luar,  bukan di dalam negeri. Hentikan usaha kamu itu kerana ia akan gagal, akan mengakibatkan beribu orang yang tidak bersalah terbunuh hanya kerana tindakan beberapa penjenayah.”

Lalu selama puluhan tahun dia diketahui menggenggam ajaran Nursi, bagaimana seorang Gulen dalam usia tuanya bertukar watak jadi pemberontak dan sanggup melumurkan tangan dengan darah rakyat tanah airnya sendiri?

Disebabkan kenyataannya itu, Erdogan jadi sasaran kemarahan pengikut Gulen. Mereka menyifatkan sang presiden yang sebelum ini begitu dikagumi, beramal dengan prinsip realpolitik yang melampaui batas apabila sanggup ‘memfitnah’ seorang ulama yang begitu komited dan berjasa  pada agama. Bagi mereka, Erdogan telah berlebihan mengkambinghitamkan Gulen untuk mengukuhkan politiknya!

 Benarkah Gulen mangsa fitnah?

Sebelum pergi jauh, harus diketahui bahawa jasa, khidmat atau hizmet Gulen bukan hanya dalam  pendidikan. Meskipun pendidikan diketahui telah sekian lama menjadi padang permainannya yang utama, Gulen juga aktif membantu golongan peniaga. Mereka diberikan pinjaman modal dan setelah sukses, diminta membantu peniaga lain pula.

Konsep bantu-membantu ini telah melahirkan ramai ahli perniagaan berjaya daripada kalangan pengikut Gulen dan memberi manfaat besar terhadap ekonomi Turki. Beberapa tahun lalu, dianggarkan seramai 1,000 ahli perniagaan Hizmet layak mengeluarkan zakat RM1 juta seorang.

Usahanya  selama puluhan tahun kelihatan begitu murni dan harmoni, sangat berlawanan dengan tuduhan Erdogan.

Apakah memang Gulen tidak pernah ada cita-cita politik, ataupun sekurang-kurangnya mahu menguasai pentas dan watak politik?

Usai kudeta, apa yang jadi persoalan sekian lama mengenai Gulen, terkuak sedikit demi sedikit!

Di pentas ceramah dan di media sosial, muncul mereka yang mengakui pengikut Gulen, sering berulang-alik ke Istanbul, sudah pandai menggemari ‘baklava’ malah ada yang terus berkahwin dan menetap di sana, menceritakan  pengalaman dan pengetahuan yang mereka timba sepanjang mengikuti aktiviti kumpulan itu.

Menurut mereka, cita-cita Gulen untuk menguasai politik Turki boleh ditafsirkan daripada petunjuk-petunjuk tersirat yang sudah jadi perkara biasa dalam gerakannya. Satu daripadanya  ialah elemen ketaksuban terhadap Gulen yang digelar ‘Hocaefendi’ dikatakan sangat jelas. Kehebatannya disebut-sebut seolah-olah dia mempunyai tujuan yang tertentu dan mahu dipuja begitu!

Ini bertentangan sekali dengan imej  dirinya - seorang ulama sufi!

Bagi sesetengah pengikut, Gulen yang dahulu bukan begitu!

Dahulu dia dikatakan begitu fokus terhadap  dakwah, namun dalam tempoh sedekad belakang, kecenderungannya terhadap politik mula terserlah.

Apa yang jelas, sejak tercetus konflik dengan Erdogan tiga tahun lalu, penentangan Gulen terhadap sang presiden seakan tidak dapat dibendung. Ia tidak melibatkan peribadi mereka sahaja bahkan di sekolah-sekolah miliknya, propaganda anti Erdogan diterap kepada pelajar. Media yang dikuasainya mengecam Erdogan secara terbuka!

Meskipun Gerakan Gulen atau Hizmet beridentiti organisasi dakwah, hukum-hakam Islam yang paling asas -menutup aurat bagi wanita - tidak dititikberatkan. Ada kakitangannya yang tidak bertudung pun!

Seakan pertubuhan rahsia seperti Freemason yang mana anggotanya sendiri tidak tahu akan kewujudan lapisan dalam kumpulan, juga tahap akses yang dibenarkan untuk mereka, begitu juga lingkaran kerahsiaan  dalam Gerakan Gulen. Hal ini bagaimanapun tidak disedari oleh sebahagian besar anggotanya  terutama di peringkat bawahan.

Keanggotaan di lapisan pertama melibatkan pengikut awam,  juga guru-guru di sekolah milik Gulen. Anggota di peringkat ini biasanya cukup patuhi tanpa banyak soal.

Lapisan kedua menempatkan  ahli perniagaan dan hartawan. Mereka memainkan peranan penting dalam membiayai kumpulan, namun mereka sendiri tidak dilibatkan dengan agenda utama gerakan. Justeru, apa yang sebenarnya diperjuangkan oleh gerakan, mereka tidak tahu ataupun kurang jelas mengenainya.

Namun dari segi komitmen, usaha dan peranan mereka tidak diragukan. Mereka benar-benar ikhlas dalam memberi khidmat, sama seperti pengikut di lapisan yang pertama.

Lapisan ketiga adalah mereka yang benar-benar faham akan agenda sebenar kumpulan, dan apa yang  diperjuangkan oleh pengasasnya. Kumpulan ini terlibat dengan apa yang dikenali sebagai 'Deep State’ atau ‘Derin Devlet’ , kerajaan rahsia yang bercita-cita mahu menggantikan kerajaan sedia ada.

Dari segi strategi, gerakan ini mengatur  operasi yang sangat tersusun, licik dan sukar dikesan.

Pada peringkat pertama, mereka bergerak sebagai badan dakwah yang sangat komited dan tersusun. Pada tahap ini, operasi mereka dikenali sebagai tabanda hizmet.

Di peringkat pertengahan, mereka mengaktifkan usaha  perniagaan di bawah payung ortada ticaret.

Pada tahap kemuncak, mereka memberi fokus  pada  kuasa politik iaitu tavanda siyasi. Agenda pada tahap ini adalah sangat rahsia!

Apa yang didedahkan ini adalah hierarki rigid  yang tidak akan berubah. Mereka yang berada di lapisan pertama, tidak akan dibawa ke lapisan yang kedua, apatah lagi yang ketiga. Begitu juga mereka yang di lapisan kedua, tidak akan tahu atau dibiarkan terdedah dengan urusan ‘abe’ senior di lapisan ketiga.

Dengan itu, tidak hairanlah apabila Erdogan mengeluarkan kenyataan menuduh Gulen  dalang coup d’etat  16 Julai lalu, pengikut tokoh berusia 75 tahun yang kini menetap di Pennsylavnia, Amerika Syarikat itu melenting. Mereka  bukan semata-mata mahu mempertahankannya, tetapi disebabkan mereka sendiri pun  tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku.

Tidak. Artikel ini bukan mahu menghakimi Gulen.

Sama ada benar atau tidak Gulen dalang coup d’etat 16 Julai lalu, mahkamah yang akan membuat keputusan. Itupun jika Gulen sedia untuk kembali ke Turki bagi membuktikan dirinya tidak bersalah di hadapan 80 juta rakyat negara itu.