WAHAI wanita keturunan Hawa, bayangkan suami anda begini sifat dan sikapnya, tidak pernah sekali pun meninggi suara terhadap anda. Baginya, suara yang keras daripada seseorang suami terhadap isterinya, kesannya lebih buruk daripada pukulan tangan.

Dia juga tidak pernah memarahi, apa lagi memaki kerana katanya, anda dilamar dan dibawa ke dalam rumahnya untuk hidup bersama dengan janji kasih sayang.

Jika itu  janjinya, mengapa setelah hidup bersama mahu dimaki, dicela pula. 

Lagi pun baginya, kata-kata keras terhadap isteri sekadar menunjuk kelemahan dirinya sendiri yang tidak cocok bagi seorang suami. Kata-kata yang kasar bukan tindakan bijak dan matang, apa lagi untuk membimbing isteri ke arah kebaikan sedangkan itulah tanggungjawab dirinya dan menjadi hak isterinya.

Bagaimana pula jika anda sebagai isteri yang berbuat salah?

Tidak. Dia tidak sekali-kali akan marah, sebaliknya dengan penuh kasih sayang, dia memeluk dan membelai anda sambil menasihati, "jangan lagi ulangi lagi kesilapan seperti itu sayang!".

Malah katanya, sebarang perlakuan anda adalah tanggungjawabnya dan jika anda buat silap, itu menunjukkan dia sendiri yang gagal mendidik anda menjauhi dan mengelak kesilapan itu. Justeru, berkali-kali pula dia minta maaf atas ‘kegagalannya’ itu.

Waktu tidur pula, dia sentiasa pastikan anda tidur lena mendahuluinya dan ketika bangun, dia sendiri bangun lebih awal daripada anda. Sebabnya, kewajipan suami ialah melindungi isteri dan memastikan isteri sentiasa dalam keadaan selamat. Dia tidak mahu mementingkan diri, nyenyak tidur ketika isterinya masih berjaga.

Ketika berjalan di mana-mana, dia memegang erat tangan anda. Pegangannya kejap dan kemas, seperti tidak mahu lepas. Bukannya susah. Realiti zaman ini, berpegangan tangan bagi pasangan muda-mudi yang belum nikah dirasa seperti tidak bersalah. Kalau belum nikah mahu pegang, mengapa setelah nikah, setelah jadi pasangan yang sah, mahu renggang-renggang? Tatkala berjalan, isteri jauh ditinggal di belakang!

Dari segi psikologi, berjalan berpimpinan tangan membuatkan isteri berasa selamat dan dilindungi. Bukankah melindungi dan menjaga keselamatan isteri itu tanggungjawab suami?

Isteri, walaupun mungkin malu hendak meminta tetapi jauh di lubuk hatinya mahu selalu dicium dan dimanja. Isteri yang kerap dicium oleh suami akan selalu berasa tenang dan gembira. Ciuman tidak semestinya berserta dengan nafsu. Ciuman di kening cukup untuk membawa pengertian yang sangat mendalam, akan segera mengalir bersama darah membawa aura yang begitu membahagiakan ke seluruh jiwa raga isteri.

Melindungi, bertanggungjawab, kasih sayang, semua itu ada dalam satu ciuman di pipi atau kening isteri pada waktu mahu keluar atau pulang dari kerja, sesudah solat bersama ataupun ketika mahu tidur. Isteri yang dikucup keningnya oleh suami akan tidur nyenyak dan tenang tanpa sebarang rasa gundah gulana. Juga ketika suaminya mahu keluar ke tempat kerja. Pemergian suami diiringi dengan rasa yang penuh reda, restu dan doa tanpa sebarang curiga dan syak wasangka.

Soalnya, adakah suami yang seperti ini?

Contoh yang terbaik mungkin kita pernah dengar mengenai sikap dan perwatakan Rasulullah SAW, bagaimana baginda melayan isteri-isterinya. Akan tetapi dalam kalangan manusia biasa, amat sukar untuk kita temukan seorang lelaki yang begitu sempurna sifatnya terhadap isteri. Meskipun terasa susah, malah mungkin mustahil bagi sesetengah orang tetapi inilah prinsip tanggungjawab kita sebagai suami.

Kalau sudah tanggungjawab, bimbang nanti kita gagal menjawab di akhirat.

Apa pun, mulai hari ini, marilah kita lembutkan hati, belajar untuk berlemah lembut dengan isteri. Kesukaran ini bukan pada fizikal tetapi hati. Hati yang lembut, tiada rasa ego, sedar akan tanggungjawab, ini semua bukan sahaja mudah malah akan dilakukan dengan penuh keseronokan, akan memberikan dirinya sendiri juga kebahagiaan. Peganglah apa yang orang putih kata, what you give, you get back!

Akhir kata, perkongsian daripada saya untuk tajuk ini adalah pesanan daripada seorang ustaz, bimbinglah isteri kita dengan jalan agama. Kalau suami masuk syurga, ada kemungkinan isteri juga akan masuk syurga.

Tetapi kalau suami masuk neraka, belum tentu isteri masuk neraka. Sebaliknya pula kalau isteri masuk neraka, besar kemungkinan suami juga masuk neraka. Akan tetapi kalau isteri masuk syurga, belum tentu suami masuk syurga.