ESOK, 4 Julai 2018 segala persoalan dan perdebatan mengenai siapa yang bakal menduduki kerusi Speaker Dun Kedah akan terjawab. Seramai 36 Adun akan memutuskan pilihan mereka, sama ada calon kerajaan negeri daripada Harapan, Datuk Ahmad Kassim ataupun Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi yang dicadangkan oleh Pas.

Setiausaha Dun Kedah akan mengendalikan proses pemilihan mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri dengan membuka dewan kepada pencalonan. Sekiranya lebih daripada seorang calon dikemukakan sebagaimana yang diperdebatkan sejak lebih sebulan lalu, proses pengundian secara bertulis akan dilakukan.

Setiap Adun perlu menulis nama calon pilihan mereka dan menurunkan tanda tangan pada kertas yang disediakan. Selesai undi dikira, Setiausaha Dun akan mengisytiharkan keputusan dan jika seri iaitu undi yang telah dibuang mencapai keputusan sama banyak, undang-undang menetapkan bahawa proses mendapatkan keputusan perlu dijalankan dengan apa jua cara.

Setiausaha Dun perlu melaksanakan proses mendapatkan keputusan muktamad mengikut kaedah yang dikira sesuai  atas pertimbangannya.

Isu berkaitan kerusi Speaker Dun Kedah jadi perdebatan umum apabila Harapan yang mendapat 18 kerusi – sama banyak dengan jumlah kerusi yang diperoleh blok pembangkang – pada PRU14 menolak cadangan Pas untuk membentuk Kerajaan Perpaduan tanpa pembangkang di negeri berkenaan.

Mengikut konsep itu, Pas mencadangkan kerusi Speaker Dun diperuntukkan kepada parti tersebut manakala kesemua Adun pembangkang akan memainkan peranan semak dan imbang bagi kerajaan negeri, bukan sebagai oposisi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bagaimanapun menolak cadangan itu atas alasan, kerajaan negeri yakin untuk menyelesaikan isu Speaker tanpa bekerjasama dengan Pas.

Beliau malah menyifatkan sebagai mustahil untuk wakil Pas diterima oleh Harapan kerana itu akan menjadikan bilangan undi untuk pembangkang di Dun bertambah kepada 19 berbanding 18 di pihak kerajaan.

Mukhriz tentunya bimbang kerana mengikut undang-undang, sekiranya berlaku keputusan seri atau sama banyak dalam satu-satu pengundian, Speaker dibenarkan untuk mengundi bagi mendapatkan majoriti.

Dalam keadaan ini, undi Speaker akan jadi penentu sesuatu usul itu diterima ataupun ditolak oleh persidangan. Jika usul itu membabitkan hidup atau matinya kerajaan seperti belanjawan, penolakan terhadap usul boleh menyebabkan kerajaan tumbang dan pilihan raya perlu diadakan semula.

Sesebuah kerajaan tidak akan boleh bergerak atau mentadbir tanpa peruntukan yang diluluskan oleh dewan perundangan. Inilah risiko yang terpaksa dihadapi oleh sesebuah kerajaan yang dibentuk tanpa majoriti dan terpaksa mengharapkan undi penentu daripada Speaker yang diyakini akan menyokong mereka.

Dalam hal ini, Ketua Pembang-kang Dun Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Adun Jeneri memberitahu penulis, dalam perbincangan beliau dengan Mukhriz baru-baru ini, pihaknya telah menyatakan komitmen untuk memastikan Speaker yang dicalonkan oleh Pas tidak menentang kerajaan bagi “setiap perkara baik yang dibawa oleh kerajaan negeri”.

“Jangankan Speaker, kami Adun Pas pun tidak akan bantah jika apa yang dibawa oleh kerajaan baik untuk rakyat. Selama ini, rekod di Dewan Rakyat juga menunjukkan Ahli Parlimen Pas tidak pernah menolak bajet kerajaan. Yang tolak sebelum ini Ahli Parlimen Pakatan Harapan, bukannya Pas.

Pas sekadar ambil pendirian berkecuali kerana kita tidak mahu menganiaya rakyat. Kerana berkecuali itulah, Ahli Parlimen Pas dikecam oleh Pakatan Harapan. Tapi itu bukti betapa kita sedia untuk berhemah dengan kerajaan dalam hal membabitkan kepentingan rakyat,” katanya.

Alasan yang diberikan Mukhriz sebagai sebab penolakan adalah kerana Pas mencalonkan orang luar, bukan daripada kalangan Adun sedia ada. Calon Speaker daripada Pas, Dr Ahmad Fakhruddin yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah tewas di tangan calon Amanah,  Datuk Dr Ismail Salleh di kerusi Dun Pengkalan Kundur pada pilihan raya umum baru-baru ini.

Bagi Mukhriz, melantik orang yang bukan Adun boleh mengundang risiko terhadap kerajaan negeri Harapan kerana akan menambah sokongan untuk pembangkang.

Mengikut rekod, pelantikan Speaker Dun Kedah bukan daripada kalangan Adun bukanlah perkara baharu di negeri itu. Semasa era Datuk Seri Syed Razak Syed Zain Barakbah sebagai Menteri Besar, Tan Sri Badruddin Amiruldin yang tidak pernah menjadi Adun, dilantik sebagai Speaker Dun.

Begitu juga Datuk Md Rozai Shafian ketika era Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Md Bashah Hanipah dan Mukhriz sendiri sebelum ini. Manakala pada era Tan Sri Azizan Abdul Razak sebagai MB, Datuk Dr Isa Ismail yang diberi tanggungjawab sebagai Speaker Dun juga adalah bukan Adun.

Sebenarnya adalah tidak sukar untuk menelah keputusan bagi 18 Adun Harapan dan 15 Adun Pas apabila tiba hari Adun Kedah memilih esok. Yang jadi tanda tanya siapa akan dipilih oleh tiga Adun BN, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismai (Guar Chempedak); Datuk Suraya Yaacob (Sungai Tiang) dan Datuk Norsabrina Mohd Noor (Bandar Baharu).

Penulis menjangkakan, sekurang-kurangnya seorang daripada mereka akan berikan kemenangan kepada calon dikemukakan kerajaan Mukhriz sama ada menerusi undi menyokong ataupun berkecuali. Seorang sahaja sudah memadai!