SEJAK zaman budak-budak, saya selalu diperingatkan oleh emak dan ayah, kalau orang minta tolong, kita kena tolong. Pergi sekolah, cikgu cakap perkara yang sama. Apabila sudah dewasa, pergi kuliah di masjid atau surau, pun pesanan yang serupa disuarakan oleh tok-tok guru dan ustaz-ustaz.

Maka jadilah saya seorang yang apabila orang minta tolong, saya berasa, saya kena tolong. Sikap itu terbawa-bawa ke dalam karier saya sekarang. Sejak 2006, saya jadi kolumnis majalah Mingguan Wanita. Editor Mingguan Wanita, Nuri Supian datang minta ‘tolong’ untuk menulis bagi pihak lelaki dalam sebuah majalah yang sepenuhnya dikuasai oleh wanita daripada team editorialnya hingga kepada pembaca.

Maka terjunlah saya ke dalam dunia feminisme yang akhirnya saya dapati begitu menyeronokkan dan membangkitkan semangat. Mulanya atas dasar mahu menolong setelah diminta tolong. Itu sahaja.

Menerusi Sembang Lelaki – nama kolum itu – bermulalah usaha saya membantu meningkatkan kefahaman lelaki dan wanita. Hingga sekarang, sudah lahir dua buku saya, Aduhai Isteri dan Aduhai Suami daripada kompilasi pojok tulisan saya dalam majalah itu.

Dalam pada itu, ada yang tersalah faham akan karier saya. Mereka menyangka saya kaunselor. Maka berduyun-duyunlah yang datang minta nasihat. Ada yang ajak berjumpa. Ada yang minta nombor telefon. Ada yang tanya alamat, malah ada juga yang tanya berapa bayaran caj untuk khidmat saya.

Tetapi oleh sebab sejak kecil saya telah diingatkan oleh emak, oleh cikgu-cikgu, tok-tok guru malah ustaz-ustaz supaya jangan hampakan harapan orang yang minta tolong, mulanya saya cubalah juga.

Dalam tempoh itu, bermacam-macam-macam jenis aduan saya terima. Ada kes yang minta nombor telefon saya. Apabila saya tanya untuk apa, jawabnya nak simpan. Saya tanya lagi untuk apa simpan, katanya sebab suaminya ada simpan nombor telefon wanita lain, maka dia mahu simpan nombor saya. Aduh!

Ini kes jerat tengkuk namanya. Umpama orang yang kelemasan, puntung kayu hanyut pun digapai juga walaupun tidak munasabah untuk puntung kayu itu dianggap boleh menyelamatkannya. Yang nanti akan ditimpa masalah tidak fasal-pasal adalah saya.

Antara semua itu, apa yang saya paling tidak boleh lupakan ialah hal seorang wanita yang hubungi saya minta untuk mengesahkan jatuh atau tidak talak ke atasnya.

Katanya, dia pernah diberi taklik oleh suaminya bahawa jika dia berhubung lagi dengan bekas kekasihnya, jatuh talak. Suatu hari mereka bertengkar.

Oleh sebab ‘hangin’ terhadap suaminya, dia pun telefon bekas kekasihnya itu. Setelah berdamai, suaminya sendiri minta didiamkan sahaja perkara itu, jangan beritahu sesiapa termasuk ibu bapa di kedua-dua belah pihak. Si isteri yang ragu-ragu akan status perkahwinan mereka hubungi saya. “Kalau encik tak jawab, encik tanggung dosa kami!”

Aduh! Saya pula yang kena.

Saya beritahu saya tak boleh jawab soalan itu, pergilah rujuk kepada qadhi di pejabat agama. Hanya mereka yang boleh jelaskan. Saya wartawan, mana mungkin boleh tentukan status rumah tangga orang.

Itu antara bermacam-macam-macam kisah yang pernah dihadapkan kepada saya, seorang wartawan yang cuba untuk berjinak-jinak sebagai penulis kolum. Saya pun tidak tahu bagaimana saya boleh ‘terjebak’ dalam bidang penulisan yang menyentuh hal-hal dan urusan komunikasi suami isteri. Mungkin kerana saya seorang lelaki yang terlalu obses kepada dunia percintaan.

Bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Begitu saya berjaga-jaga, pernah juga saya hanyut seketika. Asalnya sekadar mahu menolong orang yang minta tolong, tidak sampai hati hendak menghampakan. Daripada simpati, cuba hendak menyelami, saya kemudian dibawa menyeberang ke satu dunia yang paling saya tidak mahu mulanya.

Mujurlah isteri saya masih dapat terima walaupun saya tahu ujian itu terlalu berat untuk dirinya, juga untuk diri saya sendiri. Hingga sekarang, saya tidak boleh dengar lagu Pada Syurga Diwajahmu. Itulah suara penyesalan saya!

Suatu pengalaman yang hanya mampu disesali dalam keadaan masa tidak mungkin dapat diundur. Sejak itu, jika ada lagi yang minta tolong, saya menolak siang-siang. Maaflah jika terpaksa menghampakan. Saya tidak punya tauliah dan kepakaran. Saya tidak reti cara yang betul, atau etika untuk menasihat dan pada masa yang sama, saya kena jaga pembatas dalam diri sendiri juga. Saya hanya penulis, bukan kaunselor.

Dalam keadaan tidak mahir ini, saya bimbang jika masalah anda, akhirnya jadi masalah diri saya. Hal ‘kuch kuch hota hai’ memang sukar untuk dielak setelah diberi ruang.