DALAM budaya masyarakat Siam, Raja Thailand dianggap jelmaan tuhan atau dewa mereka di dunia. Bukan di Thailand sahaja, orang Siam yang tinggal di luar negara itu termasuk yang diterima sebagai pribumi Malaysia juga sesetengahnya ada yang berpegang pada kepercayaan itu.

Ini mungkin tidak ada kaitan dengan isu taat setia kepada negara tetapi kepercayaan dalam budaya beragama! Meskipun memberi hormat dan taat setia kepada pemerintah tanah air, Raja Thailand masih mendapat kedudukan yang istimewa dalam hati mereka.

Di sesetengah rumah warga tempatan berketurunan Siam di Kedah dan Perlis dahulu, mereka menggantung potret Raja Bhumibol Adulyadej di dinding rumah sebagai tanda menghormati kedudukannya yang istimewa itu.

Sekarang tidak dapat dipastikan sama ada masih ada amalan yang seperti itu dalam kalangan orang Siam Malaysia! Sememangnya jika dinilai daripada perspektif budaya kaum dan agama, pemerintah Thailand bukan sekadar raja.

Mereka digelar ‘Rama’ yang diadaptasi daripada ajaran agama yang berkaitan dengan seorang dewa, Rama yang dipercayai sebagai penjelmaan semula Dewa Vishnu.

Atas sebab itulah, hormat dan patuhnya rakyat Thailand terhadap raja mereka kadang kala dilihat begitu luar biasa oleh orang luar hinggakan untuk mengadap raja, mereka dilarang daripada berdiri atau berjalan di hadapan raja, sebaliknya perlu mengesot atau melutut. Ini termasuk juga mereka yang memegang jawatan setinggi perdana menteri.

Keluarga diraja yang memerintah Thailand hari ini adalah daripada Dinasti Chakri yang diasaskan oleh Buddha Yodfa Chulaloke yang memakai gelaran Rama I (1782-1809).  Dinasti itu didirikan selepas kejatuhan kerajaan Ayutthaya. Serangan Burma telah menyebabkan Thonburi, ibu kota Ayutthaya yang ketika itu diperintah oleh Raja Thaksin musnah.

Kudeta

Chulaloke yang ketika itu memegang gelaran Chakri, gelaran hormat untuk anggota kanan Kerajaan Ayutthaya mengambil insiatif untuk menyatukan semula rakyatnya dengan menubuhkan ibu kota baharu, Bangkok di tebing Sungai Chao Phraya seberang dari pusat pemerintahan lama di Thonburi.

Bersempena dengan gelarannya, Chulaloke menamakan kerajaannya itu sebagai Dinasti Chakri. Jata rasmi dinasti direka bentuk berdasarkan cakera Sudarshana dengan Trisula. Trisula adalah tombak bermata tiga, senjata kesayangan Dewa Vishnu dan Shiva.  

Bermula daripada era Chulaloke yang memakai gelaran Rama I, Dinasti Chakri telah menguasai pemerintahan Negara Gajah Putih selama 234 tahun di bawah sembilan raja atau ‘Rama’. Rajanya yang kesembilan, Bhumibol Adulyadej yang memakai gelaran ‘Rama IX’ mangkat pada 13 Oktober lalu setelah memerintah selama 70 tahun – suatu tempoh yang mencatat rekod  sebagai raja menduduki takhta yang paling lama dalam sejarah dunia.

Pada masa ini, Thailand sedang menunggu masa yang sesuai untuk menabalkan rajanya yang baharu yang akan memakai gelaran Rama X atau yang ke 10, dengan calon yang paling layak mengikut hierarki ialah Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn.

Daripada sembilan raja Dinasti Chakri setakat ini, hanya tiga yang mendapat gelaran ‘Agung’ iaitu pengasasnya,  Chulaloke;  Rama V, Chulalongkorn yang memerintah daripada 1868 hingga 1910 dan juga Bhumibol (1946 – 2016).      

Keluarga diraja yang memerintah pada masa ini adalah daripada keturunan Putera Mahidol Adulyadej. Mahidol adalah putera Chulalongkorn, bersaudara dengan Rama VI, Vajiravudh dan Rama VII, Prajadhipok.

Keturunan Mahidol telah menubuhkan Wangsa Mahidol sebagai cabang atau dinasti kecil daripada Dinasti Chakri. Keluarga ini berasal daripada campuran darah Cina-Thai dan Mon.

Sebelum Bhumibol, seorang lagi putera Mahidol dan isterinya, Srinamenduduki takhta Thailand pada 1935. Ananda memerintah tanpa ditabalkan (berstatus Pemangku Raja)

hingga 1946 sebelum menemui ajal (melalui tembakan) dalam keadaan misteri. Ada yang mengatakan baginda dibunuh, ada juga andaian baginda membunuh diri lantaran tidak dapat menahan tekanan sebagai pemerintah.

Selepas kemangkatan kekandanya itu, Bhumibol mengambil alih tanggungjawab pemerintahan dan dikenali sebagai seorang raja yang begitu disayangi dan dimuliakan oleh rakyat Thailand. Antara amalan yang sering dilakukannya ialah membawa buku kecil untuk menulis nota aduan rakyat yang ditemuinya setiap kali turun melawat mereka.

Simbol

Difahamkan, sepanjang tempoh pemerintahannya, Raja Bhumibol telah menggagaskan tidak kurang daripada 4,000 projek menambah baik kehidupan mereka di seluruh pelosok negara.

Kudeta tidak berdarah yang berlaku ketika pemerintahan Rama VIII (Ananda Mahidol) pada 1932 telah mengubah sistem pemerintahan negara yang ketika itu dikenali sebagai Siam daripada sistem monarki mutlak kepada Sistem Raja Berpelembagaan.

Pada 1939, nama negara, Siam telah diubah kepada Thailand. Sebagai pemimpin tertinggi Thailand, Raja Bhumibol yang mengambil alih pemerintahan selepas kemangkatan misteri kekandanya itu bukan sahaja berperanan sebagai simbol perpaduan dan kedaulatan negara bahkan juga sebagai pergantungan rakyat dalam menghadapi kebuntuan di negara yang sering dilanda pergolakan politik itu.

Menurut penganalisis, ada tiga peranan utama yang dimainkan oleh Raja Thailand sebagai sumber kekuatan moral dalam sejarah politik dan kehidupan berbangsa di Negara Gajah Putih itu.

Yang pertama, baginda selaku pemegang kekuasaan politik, sosial, agama dan budaya yang tertinggi. Meskipun mengikut struktur pemerintahan, kekuasaan raja sebagai raja berpelembagaan mengikut undang-undang terbatas dengan adanya Parlimen, tentera dan elit politik.

Bagaimanapun disebabkan konflik ketidakpercayaan yang sering membelenggu hubungan antara elit politik, tentera dan golongan kelas menengah Thailand, kedudukan raja dianggap sebagai tempat terakhir untuk menyelesaikan masalah.

Kedua, Raja Thailand, sebagaimana yang dinyatakan awal tadi dianggap sebagai wakil tuhan di bumi, maka baginda dengan kekuasaan turun-temurun yang ada padanya, juga dipercayakan untuk menyelamatkan negara ketika dilanda masalah.

Pertikaian kumpulan elit politik dengan pihak tentera bukan sesuatu yang luar biasa di Thailand. Meskipun cemerlang dalam rekod sejarah moden sebagai negara yang tidak pernah dijajah oleh kuasa luar, Thailand jarang sunyi daripada pergolakan dalaman sama ada antara fraksi politik ataupun golongan elit politik dengan pihak tentera.

Mengikut rekod, telah 11 kali kudeta tentera berlaku dalam sejarah negara itu sejak 1932. Paling akhir pada 22 Mei 2014 yang diketuai Jen. Prayut Chan-o-Cha yang kini berperanan sebagai Perdana Menteri junta. Beliau berjanji untuk mengembalikan mandat demokrasi kepada rakyat Thailand pada tahun hadapan.

Perseteruan

Kudeta adalah tindakan pihak tentera untuk mengembalikan kestabilan hidup rakyat yang terjejas oleh perseteruan terbuka parti-parti politik dalam tempoh yang lama. Apabila berlaku ketidakstabilan politik hingga menjejaskan keharmonian dan keselamatan rakyat, peranan raja amat diperlukan untuk memecahkan kebuntuan yang berlaku.

Ketiga, sebagai simbol tertinggi kekuatan moral yang paling dihormati dan dimuliakan, raja selalu mampu menempatkan diri secara tepat ketika terjadinya krisis seperti itu. Raja jarang terlibat dalam masalah hiruk-pikuk kekuasaan tetapi secara cermat memerhati ke arah mana panggung politik bergoyang.

Dengan demikian, kedudukan baginda terus dihormati dan sebarang keputusan yang dititahkan menerusi wakilnya, akan diterima oleh kesemua pihak yang berkenaan. Pada masa ini, wakil rasmi istana Thailand yang disebut Presiden Majlis Privi (Penasihat Raja) ialah Jen (B) Prem Tinsulanonda, 96, yang juga bekas Perdana Menteri dan bekas Panglima Tentera Thailand.

Beliau juga kini memangku jawatan Raja Thailand sementara pengganti Bhumibol dilantik. Sudah banyak kali berlaku krisis, Prem kemudian akan tampil untuk menyampaikan atau menerima solusi bagi pihak istana.

Dengan itu, posisi Raja Thailand sebagai sumber kekuasaan tradisional, diterima dengan mudah oleh rakyat Thailand. Suatu perkara yang jelas, Raja Bhumibol sepanjang tempoh tujuh dekad pemerintahannya, sudah tentu juga telah berjaya menampilkan karakter peribadi yang terpuji

membuatkan baginda begitu disayangi oleh sekalian rakyat Thailand, dan ini turut memberi nilai yang begitu signifikan dalam baginda memainkan peranannya untuk menyelesaikan isu-isu politik negara itu yang sering bergelora. Ia sudah tentu bukan semata-mata berkait dengan kedudukan dan juga dogma dalam masyarakat penganut Buddha bahawa raja adalah jelmaan tuhan di dunia.

Ini bukan sesuatu yang mudah bagi Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn untuk menggantikan kedudukan dan peranan ayahandanya yang begitu berkesan dan sangat istimewa di hati rakyat.