SEMAKIN hampir tarikh PRU14, kemelut dalam Pakatan Harapan Selangor kelihatannya semakin kalut.

Label melabel dalam kalangan pemimpin termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri mendedahkan betapa hubungan sesama parti pakatan di negeri itu sememangnya sedang sakit.

Azmin menggelar Amanah parti pembohong serta tidak amanah sebagai respons terhadap kenyataan Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim yang menafikan kenyataan beliau bahawa pakatan negeri telah beberapa kali mengadakan mesyuarat agihan kerusi PRU14.

Sebagai tindak balas, Izham pula melabel Azmin 'Joker', mempunyai pemikiran silo serta tidak layak jadi menteri besar.

Perang terbuka itu secara langsung telah mendedahkan betapa tidak bersedianya Pakatan Harapan untuk menghadapi pilihan raya kali ini.

Dengan pengalaman memerintah selama dua penggal, mereka sepatutnya cukup matang untuk menangani konflik seperti itu.

Apabila disentuh hal agihan kerusi, ada andaian kononnya Azmin sengaja berdolak-dalik mengenai perkara itu hingga menimbulkan rasa tidak puas hati parti-parti lain dalam koalisi. Ada pihak tertentu membuat spekulasi beliau sedang berunding dengan Pas melalui pintu belakang.

Ini kerana Azmin dikatakan tidak yakin kerajaan pakatan akan mampu bertahan sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru, maka langkah kompromi dengan Pas harus direalisasikan, setidak-tidaknya di Selangor.

Namun hakikatnya, dengan Pas pun Azmin bermasalah juga.

 Tindakan beliau menyekat peruntukan kepada wakil rakyat parti itu telah ditegur secara terbuka oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan perasmian Himpunan Fastaqim 2.4 dan pelancaran jentera pilihan raya Pas Selangor di Shah Alam, 21 Januari lalu.

Semalam, Bendahari Pas Selangor yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri, Zaidy Abdul Talib memberikan tempoh kepada bossnya itu hingga akhir bulan ini untuk mengagihkan peruntukan tersebut kepada semua Adun Pas Selangor.

Sekiranya masalah itu tidak juga selesai, kata Zaidy, pihaknya akan bersemuka dengan Azmin menuntut penjelasan dan tindakan.

Walaupun ada andaian konflik dengan Pas hanya strategi penyamaran atau camouflage oleh Azmin untuk menunjukkan ketegasannya terhadap parti itu supaya dilihat oleh rakan pakatan, dan masalah itu juga dijangka akan selesai dengan mudah pada akhir bulan ini seperti yang dituntut oleh Pas, apa yang sebenarnya mungkin bukan begitu.

Pas sebagaimana ditegaskan oleh Abdul Hadi di Shah Alam tempoh hari, turut menyasarkan Selangor sebagai negeri yang akan ditawan pada PRU14.

Penegasan bahawa parti itu akan meletak ramai calon sekali gus menafikan hasrat Azmin yang mahu mengelak pertembungan tiga penjuru.

Dalam pada itu, satu lagi isu besar yang dijangka akan meletup dalam beberapa hari ini ialah ura-ura DAP juga dikatakan mahu lebih banyak kerusi untuk ditandingi.

Pada masa ini, parti itu memegang 14 kerusi Dun - kurang satu daripada yang dimenangi pada PRU13 setelah Adun Teluk Datuk, Loh Chee Heng dipecat daripada parti pada 2016 - dikatakan mahu tiga kerusi lagi untuk calon Melayu parti itu.

Ini sudah tentu akan mencetuskan keributan baharu kerana masalah perebutan kerusi tradisi Melayu melibatkan PKR, Amanah dan PPBM juga sedang menghadapi laluan sukar yang tidak mudah untuk diselesaikan.

DAP dikatakan bertegas mahu meletakkan calon Melayu untuk muncul dominan sekali gus mempunyai wakil sendiri sebagai calon menteri besar tanpa bergantung kepada PKR.

Dalam masa yang sama, parti itu sudah pasti akan dapat sokongan padu daripada Amanah lebih-lebih lagi dalam keadaan Amanah berkonflik sakan dengan PKR sekarang.

Bagaimanapun, sekiranya masalah ini dibiarkan marak tanpa penyelesaian segera, apa yang diangankan itu mungkin musnah.

Perpecahan dalam pakatan mungkin akan membawa kejutan tatkala ramai menjangka usaha Barisan Nasional menawan semula Selangor pada pilihan raya ini, juga suatu anganan.

*Muhamad Mat Yakim ialah wartawan yang berpengalaman lebih 24 tahun menulis pelbagai media.