JAM 2 pagi, 1987. Tarikh tidak ingat. Saya tidak lena tidur. Untuk menyahkan kebosanan, saya atur rancangan. Mesti ‘happening’ dan jadi kenangan.

Ketika itu, saya bersekolah tingkatan empat. Tinggal di asrama bersama pelajar tingkatan lima dan tingkatan dua. Asrama kami, Asrama C Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) Alor Setar, sebuah banglo lama.

Saya ambil jam dinding utama, ubah jarumnya. Empat jam ke depan, jadi 6 pagi. Selepas itu, saya ke bilik suis loceng. Hidup di asrama pada zaman sekolah memang dikawal oleh loceng.

Dari bangun pagi hingga masuk kelambu, semua dengan loceng. Jika terbabas, hukuman menanti. Starlight atau ketuk ketampi. Beramai-ramai atau seorang diri. Tetapi prinsip asramawan, ‘satu untuk semua, semua untuk satu.’ Cukup seorang buat salah, habis semua kena belasah, tiada terkecuali.

Hidup di asrama memang lali dengan hukuman. Tiap hari ada sahaja yang tidak kena di mata pengawas senior. Tetapi apabila dikenang semula, itulah hikmahnya. Mengajar hidup berdisiplin, mengatur masa dan bersatu hati.

Berbalik pada peristiwa jam 2 pagi itu, saya picit suis loceng. Alam di sekitar banglo lama itu yang tadinya sunyi sepi, bingkas dengan bunyi-bunyian manusia yang hidup mereka dikawal oleh loceng.

Seperti yang diprogram, mereka bangun, terus capai tuala dan berus gigi. Di kolah panjang, KECEBUM! KECEBUM! mereka mandi dengan asyik sekali. Mencebok air kolah yang 'sejuk bedi' jam 2 pagi.

Ketika itu, hadir rasa simpati dalam hati. Saya dekati seorang daripada mereka, menyuruhnya tidur semula. Dia balas, "tidoq apa lagi abang? Nak pi sekolah ..."
Saya tanya dia, "la ni (sekarang) pukui berapa?"

Dia gagau jam di bawah bantal.

"Alamak! Jam saya mati," katanya melihat jarum yang masih tunjuk pukul dua. Keras perut saya menahan gelak melihat tingkah laku adik junior itu (Baru ini sahaja saya tahu, dia sudah tidak ada. Al Fatihah untuk arwah Din).

Hanya setelah seorang daripada mereka melaungkan iqamah untuk solat subuh, barulah saya keluar dari 'persembunyian' minta mereka kembali ke katil. Saya berterus terang sengaja kenakan mereka. Walaupun ada yang marah tetapi mereka tidak berani tunjuk lebih daripada itu. Saya senior.

Sesungguhnya, hal-hal yang semacam itulah, walaupun boleh mencetuskan rasa marah, benci dan sakit hati semasa dilalui namun apabila diimbas semula, kini jadi kenangan terindah zaman hidup di asrama. Semasa saya junior, pun pernah dikenakan juga oleh senior, malah lebih teruk daripada itu.

Baru-baru ini, dua junior saya yang terbabit dengan insiden jam 2 pagi itu datang ke rumah. Ismail Mansor bersama keluarga. Itulah kali pertama kami bertemu semula sejak saya tinggalkan KSAH pada 1990. Seorang lagi, Kasdi Dahari. Nama glamournya sebagai hos rancangan masakan TV, Jaguh Kampung, Chef K. Kami tinggal berjiran.

Walaupun masing-masing sudah berumur lebih 40, tetapi resmi rakan sekolah, rakan sepermainan, apabila bertemu, akan kembali jadi seperti anak remaja. Kami bercerita, bergelak ketawa mengenang kisah-kisah lama dalam pengkisahan yang plotnya kami sendiri sahaja faham. Isteri-isteri dan anak-anak terpinga-pinga.

Akhir sekali, di penghujung perbualan, saya ungkit satu perkara. Dua tahun lepas, saya bawa isteri dan anak-anak kembali ke alma mater tercinta. Di dinding luar bangunan Asrama A yang jadi tempat berteduh saya selama dua tahun ketika tingkatan satu dan dua, ada pengadang besi dipasang untuk mencegah pergerakan manusia antara bilik ke bilik.

Saya tanya Cikgu Rosli Endut, Penolong Kanan KSAH yang juga ketua warden asrama (dia juga senior saya zaman sekolah dahulu) untuk apa pengadang itu dipasang? Katanya, untuk mencegah pelajar senior ceroboh bilik junior dan buli mereka.

ALLAHUAKBAR! Terkejut saya. Saya tanya dia semula, “apa perlu dihalang? Bukankah kita dulu pun biasa buli membuli ni. Kami dulu kena buli dengan geng Abang Li (Cikgu Rosli) pun teruk juga, tapi kerana itulah, kita kekal mesra jadi adik beradik sampai hari ni.”

Dia kata pada saya, “nak buat macam mana Mat, dah peraturan la ni lagu tu. Budak la ni (sekarang) tak macam kita dulu. Kita dulu lasak, depa la ni ada yang manja lebih, ada yang ganas terlebih.” Sedih. Saya berasa cukup sedih. Tetapi itulah realiti.

Perubahan dalam persekitaran menyebabkan kita menerima, mentafsir dan menilai sesuatu perkara secara berbeza hingga menafikan ruang dan peluang untuk menikmati kesudahan yang lebih baik sebenarnya.