BARU - BARU ini, saya diajak  ‘mengeteh’ oleh sekumpulan anak muda aktivis sebuah parti pembangkang.

Saya terima jemputan mereka dengan besar hati. Bagi saya, ini ruang untuk berkongsi maklumat dan pandangan, juga untuk saya sendiri lebih memahami gaya pemikiran anak-anak muda yang memilih untuk menjadi partisan.

Banyak yang kami bualkan. Antara lain saya ditanya: “Mengapa dalam kebanyakan tulisan saudara yang menyentuh mengenai DAP, saudara selalu bersikap menolak terhadap parti itu?”

Saya berikan jawapannya tetapi saya kira jawapan saya itu tidaklah sesuai untuk saya hebahkan di sini.

Kemudian  mereka bertanya lagi: “Dalam sistem politik pilihan raya negara kita, mana-mana parti pun tidak akan menang tanpa bergabung.  Pas tidak mungkin boleh menang tanpa kerjasama DAP dan parti-parti lain. Umno tidak mungkin menang kalau tidak bergabung dengan MCA dan Gerakan. Logiknya sudah begitu …”

Saya bukanlah wakil Pas untuk jawab soalan mereka tetapi saya cuba perjelaskan rasional pendirian politik Islam (yang jadi pegangan Pas) mengikut apa yang saya fahami.

Anti

Kata saya,  perjuangan politik Islam bukan semata-mata mengenai pilihan raya. Ini yang membezakan parti politik Islam dengan gerakan politik daripada aliran lain.

Perjuangan politik Islam adalah berkaitan dengan tanggungjawab seseorang Muslim kepada ALLAH (hablumminallah) dan tanggungjawab sesama manusia (hablumminannas). Ia juga ada hubung kait dengan urusan dakwah, tanggungjawab  mendidik masyarakat ke jalan yang diredai ALLAH.

Soal menang atau tidak, itu, bukan kita yang menentukannya. Tetapi sebagai sebuah parti yang wujud dalam sistem demokrasi berpilihan raya, tidak munasabah kalau dikatakan Pas tidak punya hasrat untuk menang. Namun kemenangan yang dicari jangan sampai menggadai prinsip dan maruah sebagai sebuah harakah Islamiyyah, gerakan politik yang memperjuangkan Islam.

Atas dasar itu, setiap kerjasama yang dijalin dengan mana-mana pihak seharusnya bersyarat dengan syarat-syarat itu dipegang secara tegas. Ini bukan semata-mata untuk Pas tetapi demi maruah dan kredibiliti perjuangan Islam seluruhnya. 

Mengenai DAP, sejak dahulu saya kurang ‘berselera’  dengan parti itu. Ketika Pas bertahaluf siyasi dengan DAP, saya termasuk antara yang menentang. Ketika itu, saya teruk dikecam oleh kawan-kawan dalam Pas. Mereka mempersoalkan siapa saya untuk menyanggah tok-tok guru alim dalam Majlis Syura Ulamak yang merestui kerjasama itu.

Memang jauh sangatlah untuk saya dibandingkan dengan tok-tok guru Pas. Saya tidaklah sampai mengatakan saya lebih arif daripada mereka, tetapi saya kira, hak saya untuk punya pendirian sendiri. Lagi pun saya tidak menentang mereka secara peribadi!

Ada rakan berjawatan dalam Pas mempersoalkan saya: “Pasal apa hang anti sangat  Guan Eng?”

Hari ini, mereka yang mengecam saya dahulu, lebih teruk mengutuk DAP dan Guan Eng.

Sekurang-kurangnya apa yang saya ragui dahulu, sudah jadi kenyataan.

Pendirian saya bukan ikut-ikutan tetapi dengan pengamatan sebagai orang biasa yang tiada political interest. Saya juga tidak melihat perkara ini dari perspektif peribadi tetapi demi maslahat agama dan bangsa.

Sesungguhnya, saya lebih menghormati cara Allahyarham Ustaz (Datuk) Fadzil Noor berkoalisi dalam politik, walaupun itu bukanlah bermakna saya tidak menghormati kepimpinan Pas hari ini.

Kalau kita mengaku bersetuju dengan sesuatu pihak 100 peratus, kebenaran kata-kata kita mungkin boleh dipersoalkan, Tetapi kalau kita tidak bersetuju satu dua perkara, itu bukanlah bermakna kita juga menolak 98 atau 99 perkara yang lain.

“Agree to disagree adalah indikasi kematangan dalam berpolitik,” kata saya kepada anak-anak muda itu.

Mesra

Saya kemudian ditanya mengenai sikap segelintir pemimpin Pas yang kebelakangan ini dilihat ‘mesra lain macam’ dengan pemimpin Umno.

Saya sekali lagi mengingatkan mereka bahawa kehadiran saya  petang itu bukan sebagai wakil Pas dan saya tidak punya hak sama sekali untuk bercakap bagi pihak parti itu. Saya sekadar boleh memberikan pandangan sebagai seorang pemerhati dan pengulas politik. Itu pun atas apa yang saya sendiri fahami dan tanggapi.

Menjawab soalan mereka, saya berkata, soal sikap atau tingkah laku termasuk kata-kata, itu urusan individu. Waima seseorang itu pemimpin parti, apa yang diperkatakannya adalah dari pertimbangannya sendiri. Apa yang membezakan adalah dia diberi mandat untuk bercakap atau bertindak bagi pihak parti atas perkara-perkara yang mewakili kepentingan parti atau organisasi.

“Apabila kita bercakap mengenai individu, ia boleh berubah. Sama ada dia sendiri berubah pendirian atau pandangan, ataupun kedudukannya yang berubah, diganti oleh orang lain.”

Apa yang penting bagi kita adalah komitmen kepada dasar yang menjadi teras perjuangan. Ia seumpama sebatang pohon besar, boleh hidup sampai ratusan tahun. Dari semasa ke semasa, pasti  ada yang berubah. Ada dahan yang reput, patah ataus ekah. Pada masa yang sama,  dahan baharu pula tumbuh.

Itu yang berlaku sepanjang masa dan pohon besar itu pula terus tegak melangit. Yang jadi tunjang memastikan pohon itu terus tegak adalah akar dan terasnya. Begitulah setiap ahli harus meyakini perjuangan partinya!

Saya juga mengingatkan mereka – sebagai abang – supaya jangan mudah hilang arah perjuangan.

“Pohon yang baru tumbuh, bukan tidak boleh hidup tetapi memerlukan masa dan keupayaan untuk melepasi rintangan sebelum benar-benar matang. Selain itu, selagi ada pohon yang lebih besar dalam lingkungan sama, pohon yang baru tumbuh itu tidak akan jadi lebih besar kerana pohon besar  itu akan menutup ia daripada mendapat cahaya.”

Saya kemudian ditanya pula mengenai hubungan mesra Umno – Pas sejak setahun dua kebelakangan ini.

Kata saya, dalam isu perpaduan Islam/ Melayu melalui kerjasama dua parti itu, dahulu sayalah yang akan bangun mendahului orang lain untuk menyokong sebarang usaha ke arah itu.

“Ketika itu, Umno tidak macam sekarang tetapi Pas pada masa itu pantang disebut soal kerjasama dengan Umno. Pantang besar!”

Apabila Pas memilih DAP dan PKR sebagai rakan gandingan, itulah juga puncanya mereka menjauhkan diri dari Umno ketika itu.

Dalam keadaan itu, saya sebenarnya lebih mengharapkan untuk Pas sama ada berdiri sendiri ataupun berbaik-baik dengan Umno – seperti sekarang – demi perpaduan Melayu/Islam. Itu yang lebih baik untuk Pas daripada terus membiarkan diri diperkotak-katikkan oleh DAP dalam pakatan.

Selama ini pun, Pas sudah cukup pengalaman bergerak bersendirian.

Saya yakin, Pas pada masa itu lebih berupaya untuk meyakinkan  orang Melayu/Islam jika parti itu benar-benar tegas dan jelas memperjuangkan dasar Islamnya. Bukan tidak ramai akar umbi yang bersetuju dengan Pas tetapi sokongan mereka terhalang oleh adanya DAP yang berterusan menentang dasar Islam yang diperjuangkan Pas.

Setelah tidak dapat lagi bersabar dengan penentangan DAP terhadap usahanya, Pas dalam setahun dua ini mula berbaik dengan Umno. Kemuncaknya adalah adalah kerjasama yang dijalin untuk meminda Akta 355 di Parlimen yang dilihat menjadi kunci hubungan baik dua parti seteru tradisi itu. Bagaimanapun bagi pemerhati, penerimaan akar umbi  kini sudah tidak sama seperti dahulu.

Ini kerana pemimpin Umno pada masa ini sedang menghadapi pelbagai krisis kronik. Sebutlah apa sahaja sama ada dalam isu intergriti, kewibawaan apatah lagi keyakinan, pemimpin-pemimpin parti itu seperti telah hilang kesemuanya!

Lemas

Ironinya, ketika inilah Pas datang menghulurkan tangan seakan mahu menyelamatkan Umno yang kelemasan.

Mereka mungkin mahu beramal dengan budaya politik matang dan sejahtera yang diuar-uarkan. Namun di peringkat bawahan, masih ramai ahli yang kebingungan.

Ini kerana sejak sekian lama, mereka diajar  Umno adalah musuh politik No. 1. Sebaliknya kini, sikap yang ditunjukkan sesetengah pemimpin parti itu seakan telah berubah 180 darjah.

Mereka sering membuat kenyataan yang seperti sengaja mahu membela pemimpin Umno yang menghadapi kecaman rakyat berhubung sesuatu isu  yang sememangnya sukar untuk diterima oleh sesiapa pun.

“Saya kira, dalam soal berbaik,  masih perlu ada batasan. Jangan sampai mencetuskan fitnah kepada diri atau parti. Ini kerana antara Umno dengan Pas, masih ada perbezaan dalam perjuangan malah perlu sentiasa sedar bahawa mereka adalah lawan dalam gelanggang politik. Kalau dahulu, Pas seperti dipermainkan oleh DAP, jangan biarkan diri dibuli pula oleh Umno.

“Apa pun, saya tetap yakin pada kebijaksanaan pemimpin-pemimpin terutama Presiden dan Majlis Syura Ulamak dalam mengatur pendekatan dan strategi mereka. Apa yang dilakukan sekarang adalah langkah terbaik untuk masa ini walaupun keadaan tidaklah lebih selesa berbanding dahulu,” kata saya.

Selepas berborak lebih dua jam, saya tinggalkan anak-anak muda itu dengan 1,001  harapan untuk mereka terus berjuang.