APABILA disentuh mengenai konsep pemerintahan, negara kita pada dasarnya beramal dengan mazhab Westminster.

Westminster – daripada nama Westminster Palace, bangunan Parlimen Britain –  adalah sistem pemerintahan demokrasi berparlimen mengikut acuan British yang diamalkan di Britain dan negara-negara Komanwel termasuk Malaysia.

Sebagai salah sebuah negara Komanwel,  banyak corak dan peraturan yang diguna pakai hari ini, kita cedok daripada konsep dan perundangan British dengan sesetengahnya diubah suai mengikut hukum-hakam, budaya dan peradaban tempatan namun asasnya masih bertunjang pada Westminster.

Ironinya, setelah Britain sendiri  melaksanakan berbagai-bagai evolusi dan transformasi dalam budaya dan perundangan Westminsternya, apa yang berlaku di negara kita bukan sahaja masih di takuk lama bahkan sesetengahnya seakan mengundur ke belakang. Pembangkang di negara ini bukan sahaja tidak dirai sebagai sebahagian daripada komponen pemerintahan malah ada ketikanya dianggap seperti musuh negara.

Ya, harus diakui memang dalam keadaan tertentu, ada ahli politik pembangkang yang bersikap melampaui batas, provokatif dan tidak mencerminkan kebertanggungjawaban serta kematangan sebagai pemimpin politik namun di pihak kerajaan, harus tetap menyediakan polisi dan gagasan untuk menyempitkan ruang bagi mereka yang cuba menonjolkan perlakuan seperti itu.

'Short money'

Ini tidak dapat tidak perlu ditangani secara cekap dan berhati-hati kerana kerana landasan geopolitik negara kita yang telah mewujudkan ruang kepartian berasaskan kaum dan agama sejak sekian lama, menyebabkan hal yang seperti itu sukar untuk dielak. Kelompok yang berusaha menonjolkan diri sebagai juara kaum dan agama dengan memanipulasi isu-isu sensitif akan sentiasa ada dari semasa ke semasa.

Namun sebagai sebuah negara yang sedang berasimilasi dengan karakter negara maju, amatlah menyedihkan apabila didapati hampir tiada perubahan yang jelas telah dilakukan untuk meningkatkan status pembangkang sebagai komponen pemerintahan yang dihormati dan diiktiraf di sisi Perlembagaan.

Britain sebaliknya telah memperkenalkan banyak inisiatif perubahan dalam usaha memartabatkan institusi parlimennya dengan menggalakan penglibatan rakyat dan pengukuhan konsep semak dan imbang yang sudah tentu melibatkan peranan penting pihak pembangkang.

Di negara itu, parti-parti pembangkang – walaupun menentang pemerintah dalam pilihan raya –  tetap mendapat peruntukan dana daripada kerajaan jika mereka berupaya memenuhi kriteria yang ditetapkan. Setiap anggota Parlimen pembangkang berhak untuk mendapat dana ‘short money’ manakala parti pembangkang pula diperuntukkan dana daripada Suruhanjaya Pilihan Raya United Kingdom.

Suruhanjaya itu ditubuhkan oleh Parlimen dan bertanggungjawab kepada Parlimen. Ia menguruskan parti-parti politik bermula daripada urusan pendaftaran dan pemantauan pentadbiran hingga melibatkan aspek kewangan parti termasuk sumbangan dana yang mereka terima. Ini berbeza di negara kita yang mana pendaftaran parti politik adalah di bawah bidang kuasa Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengikut Akta Pertubuhan 1966 yang dikawal selia oleh Kementerian Dalam Negeri. Ini secara tidak langsung memungkinkan wujudnya konflik kepentingan.

Mengikut peruntukan Policy Development Grant pula, setiap parti politik yang mendapat jumlah undi tertentu ketika pilihan raya berhak untuk mendapat dana bernilai £2 juta (RM10.4 juta) setahun bagi tujuan membiayai kajian dan aktiviti parti di kawasan yang mereka wakili.

Ini menunjukkan kepentingan rakyat tetap jadi keutamaan kerajaan meskipun mereka telah mengundi pembangkang dan ini adalah pengiktirafan terhadap hak mereka dalam mengamalkan demokrasi mengikut Perlembagaan.

Di negara kita, pembangkang dianggap tidak layak untuk mendapat apa-apa dana daripada pemerintah malahan jika ada pun pembiayaan adalah atas urusan yang melibatkan Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat.

Itupun layanan yang diberi lazimnya adalah tidak sama antara Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri daripada parti yang sama, dengan antara Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri daripada parti yang berbeza.

Di negara kita juga, Kerajaan Negeri yang memerintah jika bukan BN, tetap dikenali sebagai 'pembangkang' meskipun hakikatnya, mereka adalah kerajaan!  

Ketika kempen pilihan raya, janji-janji manis akan dilaungkan tanpa segan silu; “kalau kami menang, kami akan bina …., rakyat akan dapat …” walhal adalah menjadi hak rakyat untuk mendapat kemudahan dan kemajuan tanpa mengira sama ada parti yang memerintah itu menang atau kalah dalam pilihan raya. Dan jika ditakdirkan mereka kalah, misi 'membalas dendam' biasanya sukar untuk dielakkan!

Di negeri-negeri yang diperintah oleh parti pembangkang (pembangkang di peringkat Persekutuan, maaf saya sendiri terpaksa guna istilah ini untuk memudahkan pemahaman), diwujudkan jawatan penyelaras Parlimen dan penyelaras Dun sebagai wakil Kerajaan Pusat di kawasan itu.

Dari satu aspek, langkah ini boleh dilihat seperti tidak mengiktiraf keputusan pengundi yang telah memilih wakil rakyat yang sah mengikut Perlembagaan. Setelah wakil rakyat dipilih, apa perlunya lagi dilantik ‘wakil rakyat’ lain seolah-olah keputusan yang dibuat oleh pengundi tidak layak untuk dihormati sedangkan mereka telah melaksanakan tanggungjawab mengikut proses demokrasi dengan  hak dan peruntukan yang sah di sisi Perlembagaan?

Langkah ini juga mewujudkan pertindihan. Memanglah wakil rakyat yang menang itu tidak mewakili parti yang memerintah di peringkat Persekutuan tetapi apabila pengundian telah dibuat oleh rakyat, seharusnya kedudukan itu diiktiraf dan dihormati.

Politik lapuk

Satu perkara yang lain ialah pelantikan individu daripada kalangan pemimpin parti di peringkat bahagian telah mencetuskan  politiking yang berlebihan. Jika sebelum ini, calon pilihan raya dipilih secara langsung oleh pucuk pimpinan parti dan tidak semestinya pemimpin utama parti di peringkat bahagian yang dipilih, jawatan penyelaras Parlimen atau Dun pula biasanya adalah daripada kalangan pemimpin bahagian.

Dengan itu, berebut dan mendapat jawatan dalam parti akan mencerahkan peluang untuk mereka dilantik sebagai penyelaras.

Kelebihan bagi penyelaras ialah biasanya peruntukan untuk mereka gunakan diturunkan terus daripada parti dan ini menyebabkan timbul tanggapan sesetengah pemimpin bahagian yang memegang jawatan itu lebih selesa dan lebih reda pemerintahan negeri terus dipegang oleh parti lain disebabkan mereka sendiri belum tentu akan dipilih sebagai calon atau menang jika bertanding pilihan raya.

Namun dengan kedudukan sebagai penyelaras Parlimen atau Dun, kuasa dan peruntukan yang ada dalam tangan mereka sudah seperti wakil rakyat!

Dalam sesetengah kes, yang jadi mangsa adalah wakil rakyat BN sendiri terutama jika mereka tidak memegang jawatan dalam parti, apa lagi jika pernah bertanding dan kalah kepada yang memegang jawatan!

Walaupun negara kita sudah enam dekad merdeka, budaya malah sistem politik kita boleh dianggap masih belum cukup maju, masih tegar dengan amalan lapuk. Apa yang kita amalkan seakan masih tidak mengiktiraf hak seseorang warga di sisi demokrasi!  

 

BERSAMBUNG ESOK...