TIGA  minggu lalu, saya bertemu bekas Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara.

Hampir sejam kami berbual tetapi Muhyiddin minta apa yang kami bualkan, jangan disiarkan. Saya menghormatinya.

Baru-baru ini, dalam kenyataan kepada Sinar Harian,  Nurul Izzah menyatakan Muhyiddin boleh dilantik jadi Ketua Pembangkang.

Dia bagaimanapun membayangkan beberapa perkara perlu diberikan perhatian (oleh Muhyiddin dan partinya, mungkin) dalam hal berkaitan komitmen terhadap agenda reformasi iaitu mewujudkan timbang tara yang jelas dalam pemerintahan sebagai konsep yang diperjuangkan.

Selain itu, Nurul Izzah juga menyebut mengenai jumlah kerusi yang harus dimenangi.

Naib Presiden PKR itu kelihatannya cukup berhati-hati dan dia tidak pun meletak sebarang janji.

Dalam beberapa perkara yang disentuh, yang menurutnya adalah juga pesanan daripada ayahnya, Nurul Izzah berkata Anwar sering mengingatkan (untuk dia dan pemimpin pembangkang lain)  “turun ke bawah dan berada di lapangan untuk mewujudkan momentum.”

“Ingin saya kongsikan,  selepas dipecat daripada Kabinet, Anwar dalam masa 18 hari telah selesai menjelajah seluruh negara. Jadi pada saya, kita harus menggerakkan rakyat supaya mereka dapat lihat,  dapat rasakan momentum dengan keadaan di mana media dikawal (yang menghalang penyampaian mesej pembangkang, lalu program turun padang sangat diperlukan),” katanya.

Apa yang disebut oleh Nurul Izzah adalah sangat penting. Mungkin itu yang mahu disampaikan kepada Muhyiddin sebenarnya.

Perlahan

Dalam kalangan pemerhati, Muhyiddin dilihat perlahan dalam menggerakkan kempen politiknya selepas dilucutkan jawatan. Malah setelah dipecat daripada Umno pun, reaksinya sekadar beberapa kenyataan media (yang sudah tentu dipencilkan oleh media arus perdana) dan seperti tiada usaha dibuat untuk mencetuskan gelombang bantahan dalam kalangan akar umbi.

Ini sangat tidak seimbang berbanding serangan bertali arus yang ditujukan terhadapnya oleh pemimpin-pemimpin kerajaan.

Dalam keadaan ini, Dr. Mahathir dilihat lebih proaktif dan agresif berbanding Muhyiddin sendiri.

Ini juga jauh sekali  dibandingkan dengan Anwar yang terus bingkas melawan sebaik dipecat daripada kerajaan. Bermula dengan ceramah di hadapan rumahnya di Bukit Damansara diikuti demonstrasi jalanan yang mencetuskan haru biru di tengah Ibu Kota selama berbulan-bulan, Anwar telah memunculkan gerakan yang terus memberikan  wajah  baharu politik negara  sampai sekarang.

Dari situlah Anwar menghimpun  penyokongnya daripada kalangan orang biasa – sebelum itu kalangan elit dalam Umno dan BN sahaja – bermula daripada apa yang disebut sebagai Reformasi.

Siapa Tian Chua, Ahli Parlimen Batu dan Naib Presiden PKR hari ini jika tidak ada demonstrasi jalanan ketika itu?

Dan  hari ini, meskipun mereka yang menyokongnya bukan hanya daripada generasi Reformasi, sedikit sebanyak mereka telah dipengaruhi oleh apa yang sudah  berlaku hampir dua dekad itu.

Kerana itu, wajarlah untuk Nurul Izzah mengingatkan bahawa  gerakan padang, berada di lapangan untuk mewujudkan momentum dalam kalangan rakyat bawahan, tidak harus dipandang ringan dalam politik pembangkang.

Gelombang

Seperti Muhyiddin, Anwar juga adalah Timbalan Perdana Menteri sebelumnya tetapi Anwar serta merta  mengubah watak dan penampilannya  selepas dipecat. Dia seperti tidak pernah jadi Timbalan Perdana Menteri,  tetapi pemimpin gerakan rakyat pada 1970an.

Anwar tidak teragak-agak untuk bertindak, malah tidak ambil masa yang lama untuk mengatur gerakan. Dia sedar itu sangat perlu untuk mencetuskan gelombang kebangkitan.

Keberadaannya bersama rakyat harus segera dizahirkan ketika simpati mereka  memuncak.

Seperti juga strategi dalam pemasaran, proses penanaman minda tidak boleh terhenti. Usaha-usaha yang berpaksi pada elemen persuasif logos, ethos dan pathos perlu digerakkan untuk memastikan momentum yang berterusan.

Kalau mahu dikira dari segi fundamental dalam perjuangan, apa yang diusahakan oleh Muhyiddin (juga Dr. Mahathir, Mukhriz dan lain-lain) adalah lebih relevan berbanding Anwar. Perjuangan politik Anwar ketika itu lebih menjurus pada kepentingan peribadi, untuk mempertahankan dia daripada tuduhan salah laku yang dikenakan terhadapnya.

Dalam konteks Muhyiddin, dia ketika masih  dalam Umno dan kerajaan pun, telah menyuarakan sesuatu yang selari dengan aspirasi  rakyat dan itulah yang akhirnya menyebabkan dia dikenakan tindakan.

Namun atas sebab perlahannya dia bangkit meraikan simpatisan, momentum itu tidak dapat dikekalkan. Dan sekarang, selepas menghantar permohonan untuk mendaftarkan Bersatu, barulah usaha untuk membangkitkan kembali gelombang itu dilakukan.

Bagaimanapun pada masa ini, momentum itu sudah sudah tidak seperti dahulu lagi. Justeru, suatu gerakan mega harus dilakukan untuk dia mendominasi keadaan.

Shafie

Berbanding Muhyiddin, Shafie Apdal yang meninggalkan Umno selepas digantung keahlian dan dikatakan sedang memberi tumpuan untuk menghidupkan wadah politik baharunya di Sabah dikira lebih proaktif dalam menyambut gelombang simpatisan.

Berita keluarnya beribu-ribu ahli Umno yang menyokong Shafie mempamerkan impak pengaruh pemimpin dari Semporna itu.

Shafie membuat keputusan yang strategik apabila menolak jawatan Timbalan Presiden (Penaja) Bersatu atas alasan "sudah sampai masa untuk saya berkhidmat kepada orang di negeri saya."

Meskipun tindakannya itu mungkin tidak menguntungkan gerakan yang sedang diusahakan oleh Muhyiddin namun Shafie sebenarnya mempunyai peluang yang lebih cerah untuk melakukan sesuatu di Sabah. Pada ketika sebahagian rakyat Sabah tersinggung  dengan pemecatannya daripada Kabinet, Shafie menggerakkan kempen yang bersifat kesabahan yang mungkin berupaya untuk membawa wajah baharu dalam politik negeri itu selepas 23 tahun Umno dibawa masuk.

Jangan diperlekehkan!

Parti Bersatu Sabah (PBS) yang ditubuhkan  Joseph Pairin Kitingan pada 5 Mac 1985 – 13 hari sebelum pembubaran Dun – bertanding pilihan raya pada 20 April 1985, menang 25 daripada 45 kerusi. Parti itu berjaya menguasai kerajaan hingga 1994.

Pada pilihan raya 1994, PBS masih menang 25 kerusi berbanding 23 kerusi dimenangi BN. Bagaimanapun ia tumbang juga akhirnya apabila sebilangan besar Adunnya melompat menyertai BN.

Justeru, ada kemungkinan Shafie yang disebut-sebut dalam proses menghidupkan sebuah parti baharu, berupaya untuk mengulangi sejarah itu.

Pada masa ini, isu mengenai kemungkinan Muhyiddin akan mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang sudah tidak timbul lagi. Dia sendiri dalam satu kenyataan telah menolak kemungkinan itu, apatah lagi setelah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Salahuddin Ayub, Timbalan Presiden Amanah juga menyatakan, pakatan pembangkang tidak pernah pun membincangkan hal itu.

Sememangnya tiada apa yang boleh dibincangkan selagi parti Muhyiddin sendiri tidak diluluskan oleh ROS.

Apa pun, mesej Anwar yang disampaikan menerusi Nurul Izzah lebih penting daripada jawatan Ketua Pembangkang.

Turun ke bawah, berada di lapangan, wujudkan momentum!

Biarlah orang lain jadi Ketua Pembangkang selepas PRU14.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEMELUT politik yang melanda Kedah sejak lebih seminggu lalu mula menampakkan kesan pada rakyat. Sebelum ini pola politik di negeri itu, terutama dalam kalangan orang Melayu agak jelas terbahagi kepada Umno dan Pas, selain sedikit PKR dan kini, Amanah.
  • WISMA Darul Aman di Jalan Tunku Bendahara, Alor Setar persekitarannya begitu mendamaikan, dikelilingi pokok-pokok besar yang rimbun dan tidak jauh dari Taman Rimba yang jadi tumpuan warga ibu negeri Jelapang Padi untuk beriadah.
  • BARU-baru ini, saya bawa isteri dan anak-anak hadir sebuah majlis di rumah sepasang suami isteri.
  • MALAM kelmarin, di sebuah restoran di Dataran Otomobil, Shah Alam, saya memesan murtabak. Pelayan yang saya percaya warga India itu mengangguk. Dalam beberapa saat kemudian, saya terperasan ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.